Bukan mudah untuk negara-negara moden hari ini membasmi kemiskinan. Tetapi ketegasan figura bernama Umar al-Khattab r.a membantu usaha ini dicapai semasa era pemerintahan beliau.

Selepas bergelar khalifah pada Ogos 634 Masihi, antara reformasi beliau ialah pengenalan sistem yang dipanggil al-ashir. Pelaksanaan sistem ini menyaksikan para pedagang membayar zakat atau cukai kepada pengumpul hasil yang dilantik kerajaan di Madinah.

Pedagang Islam hanya perlu membayar zakat kepada kerajaan. Pedagang bukan Islam pula hanya perlu membayar cukai import. Umar memastikan cukai tersebut dikenakan pada kadar yang berpatutan dan boleh dibayar oleh pedagang yang melalui laluan dagang setiap wilayah yang ditadbir Khulafa’ Al-Rashidin.

Setiap cukai dan zakat dikumpul dan diagihkan secara sistematik. Langkah ini dibuat bukan saja memastikan setiap hasil diambil secara telus dan baik. Malah, ini memastikan setiap rakyat mendapat bantuan kerajaan dengan adil.

Umar turut menubuhkan pusat pemeriksaan dan melantik amil atau pengumpul yang jujur di setiap lokasi. Ini bukan saja mengelak unsur rasuah berlaku semasa kutipan dijalankan. Malah, setiap sumbangan yang diagihkan kepada orang awam diberi mengikut kadar yang sepatutnya. Pendek kata, profesional.

Peningkatan hasil zakat dan percukaian mendorong Umar memperluaskan peranan Baitulmal. Baitulmal mula diasaskan ketika zaman Rasulullah s.a.w dan merupakan perbendaharaan negara. Ini kerana di sinilah semua hasil zakat dan wakaf disimpan dan diuruskan.

Peningkatan hasil ini membolehkan Umar melaksanakan pelbagai program sosial, menaik taraf kehidupan penduduk miskin dan membina infrastruktur awam. Antara penerima bantuan yang wujud ialah golongan fakir, miskin, orang kelainan upaya (OKU, balu, anak yatim dan warga emas.

Selain menyediakan program sosial, Umar turut memastikan setiap wilayah memiliki simpanan makanan mencukupi sekiranya berlaku musibah atau jangkitan penyakit. Kesemua program yang direncana beliau menjadikan Madinah pada ketika itu menjadi negara berkebajikan yang pertama seumpamanya di dunia.

Hal ini turut disokong menerusi satu kisah membabitkan Umar dan seorang sahabat Nabi s.a.w bernama Muaz bin Jabal r.a. Semasa hayat baginda, Nabi s.a.w melantik Muaz sebagai Gabenor Yaman dan mengajar agama Islam kepada penduduk di sana.

Beliau kekal menggalas tanggungjawab sebagai gabenor semasa era Abu Bakar as-Siddiq r.a dan penggantinya, Umar. Pada satu ketika, Madinah mengirim hasil zakat ke Yaman dengan tujuan hasil zakat itu diagihkan kepada penduduk yang memerlukan.

Selepas setahun, Muaz memulangkan satu pertiga hasil zakat itu kepada Madinah. Umar merasa keliru lalu bertanya mengapa ia dipulangkan. Lantas, beliau menjawab, “Aku sudah mengagihkannya kepada semua orang miskin, hanya ini saja yang tinggal.”

Setahun selepas itu, Muaz sekali lagi memulangkan hasil zakat yang tidak digunakan kembali ke Madinah. Apa yang mengejutkan, separuh daripada hasil zakat itu dipulangkan. Perkara sama berlaku pada tahun ketiga di mana seluruh hasil zakat yang diperuntukkan untuk Yaman dipulangkan kembali ke Madinah.

Apabila ditanya apa yang berlaku, Muaz menjawab sistem bantuan yang diaplikasikan Umar cukup berkesan sehingga tiada siapa yang tinggal untuk dibantu. “Aku tidak menemui seorang pun rakyat yang memerlukan bantuan. Kemiskinan sudah dibasmi di rantau ini. Sistemnya cukup berkesan, tiada siapa lagi yang tinggal untuk dibantu,” katanya.

Ini jelas memperlihatkan usaha Umar untuk membasmi kemiskinan pada ketika itu cukup efektif. Dan ini seharusnya menjadi inspirasi kepada negara-negara Islam hari ini dalam mengadaptasi strategi dan membantu rakyat mereka keluar dari belenggu kemiskinan.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami untuk mempopularkan ilmu dan kebenaran kepada masyarakat umum.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham bahawa tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Comments are closed.