Ada hari dalam bola sepak Malaysia yang kita bangga. Ada juga hari yang membuatkan seluruh negara merundum.

Tetapi skandal tujuh pemain warisan Malaysia ini mencipta satu kategori baharu, hari dimana kita jatuh tersungkur tersembam dan pada masa sama menunjukkan betapa dalamnya akar masalah dalam organisasi bola sepak negara.

Dalam laporan 63 muka surat FIFA itu, setiap muka surat terasa seperti tamparan yang diberikan satu demi satu.

Mereka periksa dokumen FAM, kemudian periksa rekod kerajaan luar dan mendapati percanggahan yang bukan sekadar typo. Ia percanggahan yang mengubah negara lahir seseorang. Ia percanggahan yang menunjukkan dokumen telah diubah. Ia percanggahan yang menyebabkan FAM kehilangan kredibiliti pada skala yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

Dan di tengah-tengah semua ini, satu demi satu pemain dipanggil untuk memberi keterangan.
Facundo Garces bukan sahaja berkata bahawa dia layak kerana “datuknya ada kaitan dengan Malaysia”, tetapi dalam keterangan kepada FIFA, dia mengakui yang dia sebenarnya tidak tahu apa-apa tentang keturunan itu.

Dia beritahu FIFA bahawa kedua-dua ibu bapanya lahir di Argentina. Dia pernah jumpa datuknya sekali je. Dia tidak pernah lihat dokumen itu. Dia tak semak. Dia hanya ikut arahan ejen bernama Federico Raspanti.

FIFA semak dokumen kelahiran datuk/nenek yang dihantar FAM untuk menyokong warisan Facundo dan mereka dapati dokumen itu:

– tidak sepadan dengan rekod Argentina

– tidak sepadan dengan maklumat asal

– menunjukkan tanda-tanda “alteration”

FIFA sebut dalam dokumen:

“Documents submitted by FAM were inconsistent with the official records.”

Ini bukti awal bahawa dokumen yang FAM serahkan datang dari ejen, bukan dari rekod sah.

Gabriel Palmero pula adalah pemain terakhir dipanggil.

Dan sebab itu jawapan dia sangat penting sebab dia menutup seluruh sesi siasatan.
Sebab itu FIFA tulis:

“He was the last player interviewed.”

Dan ketika dia ditanya soalan paling asas:

“Where was your grandmother born?”

Inilah catatan sebenar FIFA daripada mulut dia:

“My grandfather was born in Venezuela and my grandmother in Spain… I mean Malaysia, sorry.”

Kalau Gabriel diberi masa sejam pun untuk betulkan ayat itu, panel FIFA tetap akan rekod jawapan pertama dia.

Dan kerana dia pemain terakhir, silap dia adalah final nail in the coffin.

Ia menunjukkan dokumen FAM bukan sekadar tak tepat, tetapi bercanggah dengan kenyataan pemain sendiri.

Bila pasal bab surat beranak atau sijil lahir pula, semua benda yang sepatutnya logik tiba-tiba jadi tak masuk akal.

Panel mula dengan isu paling basic, dokumen datuk pemain. Normalnya, kalau betul warganegara Malaysia zaman kolonial, dokumen tu mestilah ada konsistensi dari tempat lahir jelas, ejaan ikut sejarah, format ikut negara pendaftar. Tapi yang dihantar dalam kes ni….

Sijil yang FAM hantar bagi datuk Jon Irazabal tulis tempat lahir “Luching, in the Luching Kingdom of Sarawak, in the Kingdom of Sarawak”.

Dua kali ulang. “Luching” yang langsung tak wujud dalam peta mana-mana. Panel siap tulis dalam report, ejaan tu bukan Kuching, bukan variasi bahasa Sepanyol, bukan transliterasi apa pun. Maksudnya, sesiapa yang tulis tu memang tak pernah tengok sejarah Sarawak.

Bila panel buka pula salinan yang FIFA sendiri dapat daripada registry Sepanyol, terus jumpa benda lain. Bahasa dia proper. Format dia betul. Tempat lahir datuk pemain ditulis jelas:

“En la Villa de Guernica y Luno, Provincia de Vizcaya.”

Tak ada Luching, tak ada kerajaan entah dari mana, tak ada dua kali ulang Sarawak. Terjemahan English pun masuk akal. Panel tulis terang-terang yang FIFA dapat secara rasmi tu konsisten, masuk akal dan boleh disahkan.

Lepas tu panel masuk isu tarikh lahir. Dalam dokumen FAM, datuk pemain kononnya lahir pada 25 Mac 1928.

Tapi bila tengok sijil Sepanyol, lahir 24 Februari 1928. Benda sebulan beza.

Dan lagi pelik, tarikh pendaftaran lahir dalam dokumen FAM jatuh sehari sebelum tarikh lahir. Mustahil. Panel siap tegaskan, benda ni saja cukup nak buktikan dokumen tu tak sah.

Pendek cerita, panel kemudian beralih kepada sijil lahir Malaysia. Bila baca, mereka terus letak pen dan tarik nafas panjang.

Sijil tu kosong. Banyak ruang “Information Not Available”. Nama datuk ada. Bangsa, agama, alamat, maklumat ibu bapa, semua hilang. Tiada tarikh keluaran. Tarikh daftar pun tak selari dengan maklumat sejarah.

Panel buat kesimpulan paling keras yang sijil Malaysia itu “manifestly unreliable”.

Player lain pun lebih kurang. Player 1 sampai Player 5, pattern sama, bila sesi dengar soal jawab, mereka sendiri bagi jawapan bercanggah dengan dokumen mereka. Ada yang kata nenek lahir Malaysia tapi sijil lahir Argentina sebut tempat lain. Ada yang guna sijil Malaysia tapi ejaan Spanish grammar tunggang-langgang macam Google Translate. Ada yang nenek ditulis sebagai “male”. Ada sijil Brazil yang lengkap dengan QR code, tapi sijil Malaysia tak isi apa-apa.

Panel baca, geleng kepala dan buat kesimpulan tak ada seorang pun antara mereka yang lahir Malaysia atau ada datuk nenek lahir Malaysia.

Sampai akhirnya bila masuk Player 7 iaitu Hector Hevel, pattern sama berulang. Sijil lahir Belanda kemas, detail jelas. Sijil Malaysia kosong, banyak ruang tak diisi. Player 7 pun masa bercakap sebut maklumat yang bercanggah. Panel tutup buku, datuk dia lahir di The Hague, bukan Melaka.

Apabila sesi keterangan pemain tamat, ketika panel FIFA sudah menyusun titik-titik pelik dalam kepala mereka, barulah muncul dua nama yang mencantumkan semua kepingan puzzle menjadi satu gambaran besar.

Dua nama ejen ini adalah benang merah yang bergerak di belakang semua pemain. FIFA menulis nama mereka terang-terang, tanpa cuba menyembunyikan apa-apa, Nicolas Puppo dan Frederico Moraes.

Kedua-dua nama ini muncul kerana apabila ditanya siapa yang menghubungkan anda kepada Malaysia, siapa yang minta dokumen, siapa yang menerima sijil lahir, siapa yang memberi arahan untuk memfailkan maklumat keluarga, semua pemain merujuk kepada dua orang ini.

Satu demi satu, keterangan pemain mengulangi pola yang sama. Mereka semua mengakui mereka tidak memeriksa dokumen. Mereka semua mengakui dokumen dihantar oleh ejen. Mereka semua mengakui ejen itu sumber kepada segala dokumen yang akhirnya sampai di meja FAM.

Dan di sinilah panel FIFA mula melihat corak. Corak yang terlalu kemas untuk jadi kebetulan, tetapi terlalu kotor untuk jadi prosedur rasmi.

FIFA arahkan dua ejen ini disiasat sepenuhnya kerana dianggap memainkan peranan dalam pemalsuan dokumen. Kedua-duanya menjadi orang tengah kepada hampir semua pemain.

FIFA menulis:

“Agents Puppo and Moraes must be investigated for their involvement in document falsification.”

Dan inilah titik di mana skandal ini berhenti menjadi masalah individu dan berubah menjadi rangkaian.
Rob Friend pula muncul dengan naratif yang mengejutkan FIFA.

Dalam Malaysia, Rob Friend diperkenalkan sebagai CEO Harimau Malaya. Tetapi di hadapan FIFA, ini yang keluar dari mulutnya:

“I am only a consultant to FAM.”

Kemudian:

“I was not involved in any naturalisation processes.”

FIFA melihat kenyataan ini sebagai bercanggah dengan peranan yang FAM sendiri umum kepada media.

Dan bila pemimpin organisasi tertinggi pun memberikan gambaran yang tidak konsisten, apa lagi yang tinggal untuk dipercayai?

Akhirnya, FAM pula menjadi subjek siasatan. Setelah semua keterangan dikumpul, FIFA bertanya FAM satu soalan asas:

“Siapa pegawai FAM yang menerima dokumen daripada ejen dan menyerahkannya kepada FIFA?”

Jawapan FAM mengecewakan:

Mereka tidak dapat menamakan sesiapa.

FIFA menulis dengan ayat paling keras dalam dokumen itu:

“FAM failed to identify any individual responsible.”

Dan lebih pedih, FIFA menambah bahawa pegawai FAM yang kononnya digantung iaitu Datuk Noor Azman masih menghadiri acara berprofil tinggi termasuk acara bersama kepimpinan FIFA.

FIFA akhirnya mengarahkan sekretariat FIFA menyiasat operasi dalaman FAM dari dalam.

Maka soalan terakhir bukan lagi ‘siapa salah?’ tetapi ‘ada tak sesiapa yang betul?’

Dalam keseluruhan skandal ini, pemain tidak memeriksa dokumen, ejen mengatur dokumen yang bercanggah, CEO tidak mengaku CEO, FAM tidak tahu siapa buat apa dalam bangunan mereka sendiri.
Dan itulah sebabnya FIFA menolak rayuan tanpa ragu.

Negara kita bukan kalah kerana bola. Negara kita kalah kerana tidak jujur sejak hari pertama.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami untuk mempopularkan ilmu dan kebenaran kepada masyarakat umum.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham bahawa tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Comments are closed.