Universiti Oxford biasanya sinonim dengan kecemerlangan akademik. Tapi minggu ni, nama mereka naik bukan sebab kejayaan, tetapi kerana kegagalan. Kegagalan dalam memberi kredit atau pengiktirafan kepada yang layak.
Satu bunga, atau lebih tepat lagi, Rafflesia Hasseltii, adalah salah satu flora paling jarang dijumpai di dunia yang hanya ada di hutan-hutan Asia tenggara seperti Hutan Hujan Sumatera. Beberapa hari lepas, bunga ini dijumpai di Hutan tersebut oleh beberapa orang penyelidik.
Di Oxford, ada seorang profesor biologi bernama Chris Thorogood. Beliau tidak boleh dinafikan merupakan seorang ahli akademik berdedikasi. Thorogood telah banyak buat penyelidikan di hutan dan redah semak samun semata-mata nak cari tumbuhan unik. Kali ini, dia bersama penyelidik dan ‘renjer’ Indonesia, berjalan jauh ke dalam hutan Sumatera untuk sebuah penyelidikan.
Sepanjang perjalanan, Thorogood rajin berkongsi gambar dan video tentang penemuannya seperti Rafflesia kemumu dan tumbuhan seperti Rhizanthes telah dijumpa dalam ekspedisi ini. Tapi semuanya memuncak bila mereka jumpa “permata” sebenar; Rafflesia hasseltii.
Universiti Oxford, bangga dengan penemuan staf mereka dan terus buat satu ‘posting’ rasmi. Tapi ada satu masalah besar apabila ‘posting’ itu langsung tak sebut seorang pun penyelidik Indonesia yang turut sama bertukus lumus dalam penyelidikan ini. Hanya nama Thorogood yang disebut dan bukan Joko Wistono dan Iswandi.
Rakyat Indonesia, komuniti penyelidik global, dan rakyat Asia Tenggara semua naik angin dan menggesa mereka untuk memberi kredit. Isu yang nampak kecil tapi sebenarnya membawa sentimen yang jauh lebih besar.
Sebenarnya, ini bukanlah pertama kali perkara ini berlaku dan sebab itulah ramai dari rakyat Asia Tenggara marah. Kerja keras di lapangan biasanya dilakukan oleh penyelidik tempatan, tapi kredit hanya pergi kepada institusi lain.
Contohnya, Ramanujan, ahli matematik dari India. Beliau membuat sumbangan besar dalam teori nombor, fungsi theta, identiti, formula nombor partisi, dan banyak lagi. Beliau mengarang beribu-ribu hasil matematik dan malah masih menjadi rujukan dalam kajian hari ini. Walaupun beliau banyak membuat penemuan matematiknya secara sendiri tanpa melalui pendidikan atau latar akademik formal yang biasa seperti di bawah universiti ternama atau kursus matematik standard, mereka tidak memberi perhatian atau pengiktirafan kepada kerjanya sehingga beliau dibawa ke Cambridge, Eropah. Itu pun, setelah ahli matematik terkenal seperti G.H. Hardy menilai dan memperkenalkan karya Ramanujan kepada komuniti sains di sana. Ramai berpendapat sumbangannya sering dikaburkan.
Ini mencerminkan bagaimana telah ada ketidakseimbangan dalam sejarah sains dan susah untuk penyelidik dan ahli akedemik untuk mendapat nama di Barat, sejak zaman dulu lagi.
Selain itu, jantina juga memainkan peranan. Hasil kajian dan penemuan daripada wanita, terutamanya zaman dulu, memang susah untuk dapat pengiktirafan, apatah lagi nama.
Contohnya, pada 19 puluh-an, peranan Ada Lovelace dalam projek ‘Analytical Engine’ ciptaan Charles Babbage sering dipandang rendah. Rigkasnya, beliau cipta ‘coding’ untuk mesin yang belum wujud pun pada masa itu.
Tapi ramai menganggap beliau hanyalah “sekadar setiausaha” yang menulis nota dan menerangkan kerja Babbage, bukannya ‘inovator’ sebenar. Pandangan ini wujud kerana bias jantina yang popular pada zaman itu.
Sebenarnya, Lovelace adalah ahli matematik yang mempunyai ilmu mendalam dan visi jauh ke hadapan tentang potensi komputer, termasuk kemampuan untuk memproses simbol dan data selain nombor. Kini, peranan beliau diiktiraf sebagai programmer komputer pertama di dunia, dan terbukti bahawa pandangan dulu menafikan kepintaran dan kreativiti beliau.
Selain itu, Chien-Shiung Wu, yang digelar “First Lady of Physics”, ialah seorang ahli fizik Cina-Amerika yang terkenal dengan sumbangannya dalam projek Manhattan. Pada 1950-an, beliau ada menjalankan eksperimen dan penyelidikan tentang konservasi pariti. Teori beliau telah membawa kepada penemuan baharu. Tapi, macam yang anda boleh agak, hanya rakan sekerja (‘eksperimantal’) dalam projek itu sahaja mendapat pengiktirafan dan malangnya beliau tidak. Sejak itu, Wu menjadi pejuang vokal bagi kesetaraan jantina dalam sains, menuntut ganjaran dan pengiktirafan setara dengan rakan lelaki.
Rosalind Franklin. Seorang ahli kimia British yang pakar dalam mengambil gambar sinar-X struktur molekul DNA yang kita selalu dengar sekarang. Makmal beliau berjaya merakam DNA, yang sangat penting untuk penemuan struktur heliks berganda. Namun, tiga ahli lain, James Watson, Francis Crick, dan Maurice Wilkins menggunakan hasil kerja Franklin tanpa izin. Apabila mereka memenangi Hadiah Nobel dalam Fisiologi pada 1962 untuk kerja mereka, Franklin tidak termasuk dalam penghargaan itu kerana beliau telah meninggal dunia pada 1958.
Dan masih ramai lagi saintis yang tidak mendapat pengiktirafan sepatutnya, semua berpunca daripada diskriminasi dan pilih kasih. Sebab itulah, kita perlu lebih sedar dan peka terhadap tindakan institusi atau organisasi, kerana kesan ketidakadilan ini bukan sahaja menjejaskan seorang individu, tetapi juga memberi impak kepada semua yang berada dalam kedudukan serupa.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami untuk mempopularkan ilmu dan kebenaran kepada masyarakat umum.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham bahawa tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih




