Tular baru-baru ini, sebuah sejarah dalam dunia Kristian telah tercipta di mana Nicene Creed telah dibacakan bersama sebelah-sebelah di antara Pope Katolik, iaitu Pope Leo XIV, dan Patriark Ekumenikal Ortodoks, iaitu Bartholomew I dalam merayakan ulang tahun Nicene Creed yang ke-1,700.
Sebuah sambutan yang penting tersebut telah diadakan di Iznik, Turkiye selari dengan lawatan rasmi Pope Leo XIV ke negara tersebut yang juga telah disambut dengan baik oleh Recep Tayyip Erdogan.
Dah tu, apa masalahnya? Sebenarnya, ini merupakan satu peristiwa yang amat unik, kerana dalam sejarah,
Katolik dan Ortodoks sebenarnya sangat tidak ngam, bahkan pernah mengalami pergaduhan besar antara mereka.
Dan, kesemuanya terkait dengan sebuah pernyataan yang dibacakan oleh mereka, iaitu Nicene Creed.
Kalau kita nak faham, Nicene Creed ini sebenarnya satu pernyataan akidah yang sangat penting dalam dunia Kristian. Ia mula dirangka pada tahun 325 Masihi semasa Majlis Nicea yang menghimpunkan para pemimpin gereja dari seluruh Empayar Rom.
Tujuan asalnya mudah sahaja iaitu untuk selesaikan kekeliruan tentang siapa sebenarnya Jesus Christ dalam kepercayaan Kristian.
Pada zaman itu, wujud beberapa ajaran sesat, menurut Kristian, yang telah berleluasa dan salah satunya dipanggil sebagai Arianisme. Golongan Arius kata Jesus tidak setara dengan Tuhan tetapi hanyalah makhluk yang dicipta. Ramai yang setuju dan ramai juga yang tak setuju, menyebabkan keadaan jadi tegang dalam gereja.
Oleh itu, terbentuknya sebuah majlis yang dikenali sebagai Council of Nicea, di mana semua pemuka agama Kristian berkumpul dan akhirnya isytihar bahawa Jesus itu “sehakikat dengan Tuhan”.
Penyataan inilah yang jadi asas kepada Nicene Creed yang akhirnya diterima sebagai doktrin rasmi. Ia menetapkan konsep Tuhan dalam bentuk Triniti yang disusun dengan lebih jelas.
Nicene Creed ini telah menjadi sebuah pengakuan iman, bahkan dianggap sebagai sempadan identiti bagi gereja. Siapa yang setuju dengan ajaran ini dianggap berada dalam ajaran yang betul. Siapa yang menolak akan dianggap sesat atau menyimpang.
Walaupun nampak macam semuanya sudah selesai tetapi sebenarnya perdebatan teologi dalam Kristian tidak pernah berhenti. Setiap perkataan dalam ajaran itu kemudian menjadi perbualan hangat selama ratusan tahun.
Malah ada beberapa versi baharu yang disemak semula seperti versi tahun 381 M di Council of Constantinople.
Di sinilah bermulanya kisah perpecahan besar antara dua mazhab utama Kristian iaitu Katolik dan Ortodoks.
Pada asasnya kedua-dua pihak menerima Nicene Creed sebagai dasar akidah mereka. Tetapi perbezaan muncul pada satu bahagian kecil yang akhirnya membawa implikasi besar.
Bahagian itu ialah frasa “dan Anak” atau lebih mesra dikenali sebagai Filioque. Gereja di Barat telah menambah frasa ini dalam bahagian yang menerangkan asal usul Roh Kudus. Mereka kata Roh Kudus datang daripada Tuhan Bapa dan Tuhan Anak.
Gereja di Timur pula tidak setuju dengan perubahan ini. Mereka kata tambahan itu tidak pernah diluluskan oleh majlis ekumenikal dan ia menukar maksud teologi asal. Bagi mereka Roh Kudus hanya berasal daripada Bapa sahaja.
Walaupun nampak seperti isu kecil tetapi bagi dunia teologi Kristian, ini sangat besar. Ia melibatkan konsep Tuhan yang menjadi inti keseluruhan agama. Tambahan itu juga dilihat sebagai tindakan unilateral oleh Gereja Barat yang tidak menghormati autoriti majlis gereja secara umumnya.
Ketika itu gereja Barat berada di bawah kepimpinan Pope di Rom. Gereja Timur pula berpusat di Konstantinopel dan lebih menekankan keputusan bersama para patriark. Dua pendekatan ini membuatkan jurang antara Barat dan Timur jadi semakin luas.
Selain isu Filioque, faktor politik dan budaya turut menambah keretakan. Mazhab Katolik menggunakan bahasa Latin manakala Ortodoks menggunakan bahasa Greek.
Pada tahun 1054 M, apa yang sudah lama retak akhirnya pecah. Peristiwa ini dikenali sebagai The Great Schism. Utusan Pope dan Patriark Konstantinopel saling mengucapkan hukuman “excommunication”, iaitu mengeluarkan seseorang dari institusi gereja.
Sejak hari itu Kristian mula secara rasminya terbahagi kepada dua cabang besar iaitu Katolik dan Ortodoks. Walaupun kedua-duanya masih berkongsi Nicene Creed, tafsiran dan tradisi masing-masing berkembang ke arah berbeza. Mereka kekal berpecah sehingga hari ini walaupun ada usaha berdamai.
Dan telah terbukti pada kali ini, kedua-dua pemuka agama Kristian ini mula untuk menyeru untuk kesatuan dalam agama Kristian. Baginya, walaupun Kristian secara realitinya banyak, namun kita sebenarnya boleh bersatu di bawah nama Jesus Christ.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami untuk mempopularkan ilmu dan kebenaran kepada masyarakat umum.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham bahawa tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih




