Kalau kau lahir sekitar hujung 90-an atau awal 2000-an, mesti pernah dengar bunyi deruman enjin F1 bergema dari TV dengan nama-nama macam Schumacher, Hakkinen, Alonso, Hamilton dan tempatnya, tak lain tak bukan, Litar Antarabangsa Sepang.
Malaysia masa tu gah menjadi antara negara Asia pertama selepas Jepun yang berjaya bawa sukan paling berprestij di dunia ke tanah air sendiri. Tapi hari ni, Sepang dah tak lagi dalam kalendar F1. Persoalannya, adakah keputusan untuk hentikan F1 ni satu “dosa besar” negara?
Keputusan menghentikan F1 diumumkan oleh Perdana Menteri waktu itu, Datuk Seri Najib Razak pada 7 April 2017. Beliau mengesahkan Malaysia tidak lagi akan menjadi tuan rumah Formula 1 mulai tahun 2018, walaupun kontrak asal sebenarnya masih berbaki setahun lagi.
Kata Najib ketika itu, keputusan dibuat kerana “pulangan penganjuran F1 tidak lagi berbaloi dengan kos yang terlalu tinggi”. Dengan kata lain, Malaysia sanggup melepaskan baki kontrak setahun demi menjimatkan perbelanjaan.
Langkah itu dibuat selepas perbincangan bersama Kementerian Kewangan, Petronas dan Litar Antarabangsa Sepang (SIC). Waktu itu, jualan tiket memang jatuh teruk dan minat penonton Malaysia terhadap F1 makin pudar.
Tapi keputusan itu tetap mengejutkan ramai sebab Malaysia bukan sekadar salah satu litar Asia yang terkenal, tapi juga antara yang paling digemari pemandu dunia. Dalam tempoh hampir dua dekad, Sepang sempat mencipta nama besar dan jadi mercu tanda sukan permotoran Asia Tenggara.
Beberapa bulan lepas, nama F1 kembali disebut apabila Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menjawab di Dewan Rakyat bahawa kerajaan tiada rancangan segera untuk membawa semula perlumbaan itu ke Malaysia.
Jawapan beliau ringkas tapi padat kerana kos penganjuran terlalu tinggi dan kalendar sukan negara sudah terlalu padat. Ramai yang kecewa, tapi dalam masa sama ramai juga faham.
Sebab bukan kali pertama isu ini dibangkitkan. Bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin yang bertanggungjawab menamatkan kontrak F1 pada tahun 2017 juga menjelaskan dalam rancangan Keluar Sekejap bahawa keputusan itu dibuat selepas pertimbangan panjang di peringkat Kabinet.
Katanya, ketika itu Malaysia sudah sampai di persimpangan sukar. Kos penganjuran yang diminta pemilik baharu F1, Liberty Media mencecah RM300 juta setahun. Kalau kontrak lima tahun, komitmen boleh menjangkau RM1.5 bilion. Ia bukan angka kecil untuk sukan yang masa itu sudah mula kehilangan penonton dan penaja.
Khairy mengaku, pada awal penganjuran tahun 1999, F1 memang sesuatu yang luar biasa. Malaysia jadi negara Asia pertama selepas Jepun yang berjaya menganjurkan perlumbaan berprestij itu.
Tapi menjelang 2017, keadaan sudah jauh berubah. Singapura, China, Bahrain, dan Abu Dhabi semuanya sudah ada perlumbaan sendiri. Kita bukan lagi tumpuan pelancong atau pelabur.
Singapura pula bijak mengubah konsep mereka jadikan F1 pesta malam di tengah bandar, penuh dengan parti dan hiburan. Malaysia pula masih kekal dengan perlumbaan siang di bawah panas terik.
“Sepang dahlah panas, lepas tu kena pergi trek jauh dari bandar,” kata Khairy berseloroh, tapi dalam lawak tu ada hakikat yang pahit. Sepang makin hilang daya tarikan di mata dunia.
Hakikatnya, masa Malaysia hentikan F1 dulu, dunia pun tengah berhenti tengok F1. Antara 2010 hingga 2016, penonton global F1 merosot dengan ketara.
Ramai bosan sebab perlumbaan terlalu teknikal dan tiada persaingan sengit. Pasukan besar macam Mercedes dan Ferrari asyik mendominasi podium dan generasi muda mula menjauh.
Zaman Bernie Ecclestone, F1 masih eksklusif kerana tiada media sosial, tiada promosi digital dan tiada usaha nak dekatkan sukan ini dengan peminat baru. Malah F1 waktu tu langsung tak ada jabatan pemasaran.
Bila liputan berpindah ke saluran berbayar, ramai peminat biasa terus berhenti menonton. Maka bila Malaysia buat keputusan untuk tamatkan penganjuran pada 2017, langkah itu nampak seperti keputusan logik dan bukan kesilapan. F1 ketika itu sedang menurun, dan kerajaan tidak mahu terus tanggung kos ratusan juta tanpa pulangan.
Namun dunia berubah. Tahun 2016, konglomerat media Amerika, Liberty Media, membeli Formula 1 Group. Di situ bermulalah kebangkitan baru sukan ini. Liberty ubah segala-galanya daripada cara promosi, pemasaran hingga ke cara F1 berhubung dengan peminat.
Mereka buka akses media sosial, jadikan perlumbaan lebih mesra penonton muda dan buat F1 terasa lebih “manusia”. Langkah paling genius adalah kolaborasi dengan Netflix menerusi siri dokumentari Drive to Survive.
Siri itu mengubah segalanya memaparkan kisah di belakang tabir seperti drama antara pasukan, tekanan pemandu, politik dalaman dan sisi peribadi yang selama ini tak pernah didedahkan.
Orang yang tak pernah ambil tahu pasal F1 pun mula minat. Penonton wanita meningkat, generasi muda kembali terlibat, dan media sosial F1 meledak dengan video pendek dan klip viral. Dalam masa beberapa tahun sahaja, F1 berubah daripada sukan elit kepada fenomena global.
Liberty juga perkenalkan struktur kewangan yang lebih stabil. Setiap pasukan kini mendapat bahagian tetap daripada hasil F1, menjadikan pelaburan dalam sukan ini lebih menarik kepada syarikat besar. Nilai industri F1 melonjak kepada hampir USD7.9 bilion pada tahun 2024.
Jenama mewah seperti LVMH, Adidas, dan Cadillac kembali menaja. Jumlah penonton global naik semula kepada 1.7 bilion setahun, menjadikan F1 liga sukan paling pantas berkembang di dunia. Tahun 2025 pula menyaksikan kemunculan filem F1 lakonan Brad Pitt yang menjadi bukti bahawa F1 kini dah jadi pop-culture moden.
Ironinya, Malaysia keluar dari F1 tepat sebelum kebangkitan besar ini bermula. Kalau kita tunggu dua atau tiga tahun lagi, mungkin cerita berbeza. Litar Sepang yang dulu jadi kebanggaan Asia Tenggara kini hanya menonton dari jauh.
Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang, Azhan Shafriman Hanif sendiri mengakui bahawa keputusan untuk menghentikan F1 mungkin satu kesilapan besar.
Katanya, nak bawa balik perlumbaan itu sekarang bukan senang. Senarai menunggu panjang dan kos yang diminta Liberty Media semakin tinggi.
Sekarang, kalau Malaysia betul-betul nak F1 balik, kos keseluruhan boleh mencecah lebih daripada RM300 juta setahun. Tapi dengan pulangan ekonomi global yang F1 bawa hari ini, angka itu mungkin berbaloi jika dibuat dengan strategi betul.
Realitinya, Malaysia pernah jadi pelopor sukan permotoran Asia. Sepang direka arkitek terkenal Hermann Tilke dan pernah disebut antara litar paling teknikal dan mencabar dalam kalendar F1.
Tapi bila jualan tiket menurun dan rakyat sendiri tak mampu bayar harga ribuan ringgit untuk satu hujung minggu, sukan ini jadi eksklusif semula. Tambah pula, selepas era Alex Yoong, kita dah lama tak ada pelumba tempatan.
Tanpa “wajah Malaysia” di grid, sambutan tempatan pudar. Dalam masa sama, MotoGP melonjak naik dengan sokongan kuat rakyat dan penajaan Petronas. Tak hairan bila SIC melaporkan pulangan pelaburan MotoGP mencecah 6.3 kali ganda berbanding kos penganjuran, sesuatu yang F1 tak pernah capai semasa berada di Malaysia.
Jadi persoalannya, adakah hentikan F1 dosa besar Malaysia? Jawapannya tidak semudah ya atau tidak. Pada waktu keputusan dibuat, ia memang rasional. Tapi bila tengok ke belakang, kita tahu kita hilang sesuatu yang lebih besar daripada wang iaitu imej, reputasi, dan simbol kemajuan.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami untuk mempopularkan ilmu dan kebenaran kepada masyarakat umum.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham bahawa tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih




