Kebanyakan ‘geek’ sejarah Melayu mesti pernah bertentang muka dengan tayangan filem Thai yang bertajuk ‘The Legend of Suriyothai’. Ia mengisahkan mengenai seorang srikandi Siam abad ke-16 masihi yang setia membantu suaminya mempertahankan kota Ayudia daripada pencerobohan angkatan tentera kerajaan Pegu atau dikenali juga sebagai kerajaan Hangsawati.

Penyerbuan ini berlaku pada tahun 1548 dengan persediaan rapi raja Pegu yang berangkat dengan puluhan ribu askar. Baginda raja Pegu pada mulanya ingin menyerbu dari utara melintasi Sukhodai tapi merubah fikiran dengan menyusuri pesisiran pantai Tanasri ke selatan melintasi dekat dengan “kerajaan Kedah” di Ujung Salang dan Terang sebelum berpusing naik ke utara melalui Ligor sebelum tiba mengepung Ayudia.

Punca serangan adalah pergolakan politik di dalam istana Siam yang dipanggil kerajaan Swarna mendorong Raja Pegu yang berkerabat dengan Siam untuk meleraikan perebutan takhta antara bangsawan Ayudia dengan keluarga diraja. Siam baru kehilangan rajanya apabila permaisurinya telah meracun mati baginda yang baru pulang dari ekspedisi menewaskan pemberontakan di negeri Shan dan Chiangmai. Sebelum baginda sampai baginda telah diracun oleh permaisuri yang ingin menutup skandal seksnya dengan seorang pembesar istana yang digambarkan di dalam filem Suriyothai sebagai seorang Brahmin yang kacak.

Brahmin tersebut menurut plot ditabalkan oleh permaisuri sebagai ‘regent’ atau ‘king maker’ bergelar Worawangsa manakala anak hasil selingkuh mereka diangkat menjadi raja bakal. Walhasil, maka Raja Pegu merasakan baginda lebih berhak di atas segala nama-nama yang berebut di Siam itu.

Namun dalam perkembangan kisah yang diriwayatkan oleh saksi mata pengembara Portugis bernama Ferdinand Mendez Pinto ini, beliau menyatakan sesuatu yang selama ini tidak diketahui oleh ramai orang dan tidak dikaji oleh ramai ilmuan. Pada hakikatnya peperangan ini telah disertai oleh ribuan bahkan puluhan ribu askar-askar berbangsa Melayu dan juga dari dunia Islam yang lainnya.

Naskhah beliau yang kemudian diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris ini sebenarnya mendedahkan rahsia bahawa wujud tentera perintis dan elit dari kalangan etnik Turki, Jawa, Minangkabau, Aceh dan Cam yang berkhidmat kepada kedua-dua belah pihak yang berkonflik. ‘Vanguard’ Raja Pegu dalam pada itu dinyatakan sebagai janisari-janisari Turki dan orang-orang Jawa. Manakala ‘vanguard’ yang mempertahankan Ayudia pula adalah orang-orang Minangkabau, Aceh dan Cam. Hal ini boleh dikira sebagai peperangan antara dua bersaudara dari kalangan keluarga bukan Islam dan dua bersaudara yang sesama Islam.

Kepungan selama empat bulan itu gagal kerana perlawanan hebat dari sebelah dalam kota Ayudia walaupun Pegu dilengkapi meriam dan senapang lantak berkualiti dari pihak Portugis. Lebih parah lagi tercetus revolusi Zamindu, yakni seorang tokoh yang telah menubuhkan gerakan revolusi keagamaan di Pegu dan di tengah-tengah kekalutan ini orang-orang Awak(Ava) dari utara mengambil kesempatan sepanjang ketiadaan raja di dalam negeri untuk memusnahkan kota-kota Pegu, membunuh puluhan ribu rakyat Pegu dan enam ribu gajah milik kerajaan, serta harta kerajaan yang tidak terhitung banyaknya dilarikan. Dua ribu gajah kerajaan yang dibiarkan hidup adalah yang direzab untuk membawa lari harta istana Raja Pegu. Gudang amunisi raja juga dibakar dan diletupkan.

Seperkara yang menarik adalah pada mulanya janisari-janisari Turki sudah hampir berjaya membuka pintu kota Ayudia dari sebelah dalam. Mereka dengan begitu berani memanjat sigai untuk masuk ke dalam kota menempuh segala musuh yang menyerang. Namun, hasrat mereka yang cuba meraih pengaruh di sisi Raja Pegu yang menjanjikan harta dan pangkat kepada pihak yang pertama sekali menyerahkan kota itu kepada baginda telah mengundang perasaan ingin bersaing dalam kalangan askar-askar Jawa dan belum pun sempat pintu dibuka, orang-orang Jawa, berjumlah lebih kurang tiga ribu pertikaman itu membunuh habis orang-orang Turki tersebut yang berjumlah dalam ratusan jiwa. Meskipun askar Jawa ini berjaya membuka kota untuk dimasuki oleh ketumbukan Raja Pegu tetapi mereka terpaksa berundur keluar akibat tentangan sengit askar-askar Ayudia dan setibanya berita buruk dari Pegu. Cubaan untuk memasuki kembali Ayudia dilakukan dengan pelbagai inovasi teknologi Raja Pegu seperti membina pelantar bergerak yang sama tinggi dengan tembok kota dan lain-lain, dilaksanakan dalam empat ke enam pusingan namun semuanya gagal.

Setelah itu, Raja Pegu bermesyuarat dengan para panglimanya dan mengambil keputusan untuk menamatkan kepungan dan kembali ke Pegu secara langsung melalui jalan genting yang memintas terus ke Martaban.

Maka bertitik tolak daripada itu, kerajaan Pegu melemah dan runtuh tidak lama kemudian ditakluk oleh kerajaan Awak berbangsa Burma dari lembangan tengah sungai Irrawaddy, dan bermula daripada saat itu raja-raja Pegu Hangsawati dilantik dari kalangan ahli keluarga diraja Awak. -tm


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Nabil Nadri atau nama penanya Tuan Merbok merupakan pencinta sejarah, arkeologi dan budaya. Penulisannya yang banyak datang dalam bentuk artikel atau posting ringkas menyentuh pelbagai subjek menarik terutamanya berkaitan Alam Melayu dan Dunia Islam. Pencarian nasab dan salasilah diri menjadi obsesi yang mewarnai aktiviti beliau kebelakangan ini disamping usaha beliau menjejak ratusan artifak Batu Aceh yang terdapat di Tanah Melayu. Nabil Nadri merupakan graduan Sarjana Muda dari Jabatan Sejarah dan Ketamadunan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (2014-2016) dan kini sedang dalam peringkat melanjutkan pengajian Sarjana dalam bidang Sejarah di universiti yang sama

Leave A Reply