Orang kita tidak begitu kenal Perancis zaman dulu. Empayar Perancis banyak terlibat di Mali. Dan sebut saja Mali, ramai orang kita mungkin ingat Timbuktu disebabkan kisah raja mereka yang paling terkenal, Mansa Musa. Tetapi di negara Afrika Barat itu, terdapat satu lagi kota yang menjadi tumpuan pelancong iaitu Djenne. Di sinilah, terdapat sebuah masjid yang diperbuat daripada batu lumpur yang terkenal iaitu Masjid Agung Djenne.

Sebelum pembinaan masjid ini, sudah wujud masjid terawal di bandar berkenaan. Walaupun tarikh sebenar pembinaan masjid pertama Djenne tidak diketahui, sejarawan percaya masjid tersebut dibina sekitar abad ke-12 atau ke-13 Masihi. Ini berdasarkan catatan penulis buku Tarikh al-Sudan, Abd al-Sadi sekitar abad ke-17.

Dalam catatannya, seorang raja bernama Kunburu telah memeluk Islam setelah menerima seruan dakwah yang dibawa oleh kelompok dai’e atau pedagang luar. Tidak mustahil kelompok ini datang dari Timbuktu memandangkan statusnya sebagai kota perdagangan dan kota ilmu sekitar abad ke-13.

Djenne pada ketika itu merupakan pusat pengangkutan penting dari abad ke-13 hingga ke-18 dengan hasil dagangan utamanya ialah garam dan emas. Disebabkan ia menjadi tempat persinggahan kumpulan pedagang, kumpulan ini turut membawa golongan pendakwah yang mengajarkan Islam kepada pemerintah dan penduduk tempatan.

Sebagai tanda komitmennya terhadap Islam, baginda merobohkan istana tempat baginda bersemayam dengan tapaknya dijadikan sebagai masjid. Kunburu turut mendirikan sebuah istana yang terletak berhampiran dengan masjid pertama Djenne itu. Pemerintah-pemerintah selepas baginda kemudiannya menambahbaik infrastruktur masjid berkenaan seperti menara-menara dan dinding tembok.

Menjelang abad ke-19, masjid tersebut dilihat dalam keadaan terbiar disebabkan tindakan seorang pemimpin etnik Fulani yang menguasai Djenne ketika itu, Seku Amadu. Amadu dikatakan tidak bersetuju dengan reka bentuk masjid berkenaan dan lebih suka membina sebuah masjid baru yang dibina di atas tapak istana baru Kunburu. Masjid baru itu dibina sekitar 1834 hingga 1836.

Masjid Seku Amadu yang dibina tidak jauh dari lokasi asal masjid lama Djenne.

Disebabkan tindakannya itu, ia sedikit sebanyak memberi imej buruk Djenne kepada orang luar terutama pengembara asing. Salah seorang daripadanya ialah penjelajah pertama yang sampai ke Timbuktu, Rene Caillie. Caillie tiba di Djenne pada 1828 dan di sinilah, beliau melihat imej masjid yang dibina menggunakan lumpur dan tanah liat itu.

Disebabkan ia diabaikan, ia dihuni oleh kumpulan besar burung sekaligus meninggalkan bau busuk najis dalam bangunan berkenaan. Ini memaksa penduduk tempatan terpaksa mencari ruang yang sempit tetapi bersih bagi menunaikan tanggungjawab mereka kepada Ilahi. Di sebalik semua ini, aktiviti pengajian Islam terus digerakkan bagi memenuhi keperluan fardu ain penduduk tempatan.

Perhatian. The Patriots sedang mencari manuskrip untuk diterbitkan. Jika berminat, anda boleh kirimkan ke alamat emel seperti dalam gambar.

Selepas Djenne jatuh ke tangan Perancis pada 1893, lebih ramai pengembara dan penulis mengunjungi masjid lama itu. Salah seorang daripada mereka ialah penulis dan penjelajah terkenal Rene Dubois. Menerusi bukunya yang bertajuk Tombouctou la Mystérieuse (Timbuktu Yang Misteri) pada 1897, Dubois bukan saja menghasilkan pelan lantai masjid berkenaan. Malah, beliau turut melukis bayangan imej asal masjid tersebut sebelum ia diabaikan atas perintah Amadu.

Bagi menunjukkan imej mereka kononnya prihatin dengan penduduk koloni, Perancis meluluskan pembinaan semula masjid lama Djenne yang kita kenali hari ini sebagai Masjid Agung Djenne. Masjid tersebut dibina semula pada 1906 serentak dengan pembinaan madrasah yang dibuat di atas tapak lama masjid Amadu. Masjid ini dibina di bawah pemantauan ketua persatuan tukang batu Djenne, Ismaila Traore dengan buruh hamba sebagai tenaga kerja projek berkenaan.

Tetapi sebaik saja siap pada 1907, ia mengundang rasa kurang senang penduduk tempatan. Sepatutnya reka bentuk Masjid Agung Djenne mengikut reka bentuk tempatan. Tetapi ramai merasakan ia dibina mengikut pengaruh seni bina Perancis – satu tuduhan yang dinafikan sekeras-kerasnya oleh kuasa Barat itu.

Bagaimanapun, penafian mereka ditolak oleh Dubois yang merasakan masjid tersebut berbeza dengan lukisan bayangan imej asalnya dalam Tombouctou la Mystérieuse. Pandangan ini dinyatakan semasa Dubois membuat lawatan ke Mali buat kali kedua pada 1910.

Michel Leiris juga percaya Masjid Agung Djenne dipengaruhi oleh seni bina Perancis semasa berada di Djenne pada 1931. Sumber: Charles Mallison/CC BY-SA 3.0

Pandangan beliau turut disokong oleh penulis kebudayaan dan sasterawan Perancis, Michel Leiris semasa mengadakan lawatan ke Mali pada 1931. Dalam catatannya, orang tempatan sangat tidak suka sehingga ke tahap enggan membersihkan masjid tersebut. Hanya selepas mereka diugut dengan hukuman penjara, barulah mereka melakukannya.

Begitupun, pandangan kedua-duanya disanggah oleh penulis Jean Louis-Bourgeois. Bourgeois yang turut memiliki sebuah rumah di Djenne banyak membantu usaha pemuliharaan bangunan sekitar bandar tersebut. Baginya, mustahil bangunan tersebut dipengaruhi oleh seni bina Perancis disebabkan oleh satu faktor: pembinanya merupakan ketua persatuan tukang batu tempatan. Mereka amat arif dengan reka bentuk bangunan yang wujud sekitar Djenne sekaligus menjadikan mereka layak merekanya tanpa campur tangan Perancis.

Tidak seperti kebanyakan masjid di Mali hari ini yang dilengkapi dengan elemen moden, Masjid Agung Djenne masih mengekalkan elemen-elemen silamnya. Ia dibuat demi menjaga keutuhan struktur masjid dan memelihara keunikannya sebagai salah satu tarikan pelancong di Djenne. Atas sebab itulah, bandar Djenne termasuk Masjid Agung Djenne diisytiharkan sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO pada 1988.

Bagaimanapun, status sebegini kadang-kadang mengundang rasa tidak puas hati penduduk tempatan lebih-lebih lagi jika ada orang asing yang cuba berlagak pandai. Pada 2006, Dana Kebudayaan Aga Khan yang berpangkalan di Geneva, Switzerland membuat satu cadangan mengejut kepada bandar Djenne: hentikan kerja memplaster batu-batu lumpur pada Masjid Agung Djenne. Dana ini bertanggungjawab memulihara bangunan-bangunan yang diperbuat daripada tanah – dalam kes ini, Masjid Agung Djenne.

Tetapi cadangan ini mengundang kemarahan penduduk tempatan. Ini kerana setiap tahun, terdapat satu pesta di Djenne yang dikenali sebagai Crepissage de la Grand Mosquée. Pesta ini menyaksikan seluruh penduduk Djenne tanpa mengira jantina dan usia membantu memplaster semula masjid dengan tanah lumpur di bawah seliaan tukang-tukang batu bandar berkenaan.

Tanpa adanya festival itu, penduduk Djenne kehilangan satu hari cuti yang paling bermakna dalam kehidupan mereka. Ini tidak dicampur lagi dengan kerugian pendapatan pelancongan Djenne sekiranya idea tersebut menjadi realiti. Tetapi yang paling utama, penduduk tempatan merasakan mereka kehilangan peluang untuk beramal jariah menerusi pesta berkenaan.

Namun begitu, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Crepissage de la Grand Mosquée kembali menjadi acara tahunan – satu kelegaan kepada penduduk yang tertekan dengan situasi di Mali ketika ini. Bukan sekali negara itu dilanda situasi rampasan kuasa tentera termasuk yang terbaru pada tahun lepas. Rampasan kuasa ini bukan sekadar mencetuskan ketidakstabilan dalam Mali tetapi turut mengakibatkan negara itu dikenakan sekatan ekonomi dan penutupan pintu sempadan oleh Komuniti Ekonomi Negara-Negara Afrika Barat (ECOWAS).

Malah, sebulan lepas, junta tentera melaporkan mereka berjaya menumpaskan satu cubaan rampasan kuasa yang dikatakan mendapat sokongan pihak Barat. Walaupun nama pihak yang menyokong tidak didedahkan, ramai percaya tuduhan tersebut ditujukan kepada bekas penjajah Mali, Perancis.

Ini selepas pihak junta yang diterajui Kolonel Assimi Goita membawa masuk penasihat keselamatan dari Rusia – negara yang kini terjebak dalam konflik bersenjata dengan Ukraine sejak akhir Februari lepas. Konflik tersebut mengakibatkan Rusia dikenakan pelbagai sekatan oleh pihak Barat termasuk Perancis.

3 buku terbaru kami untuk PBAKL dah pun mula dijual di Shopee, ayuh segera dapatkan di: https://shopee.com.my/thepatriotsasia

RUJUKAN

Cotter, H. (2012, 18 April). A Tribute to Islam, Earthen but Transcendent. The New York Times.

Yeung, P. (2019, 3 Ogos). The massive mosque built once a year. BBC Travel.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Leave A Reply