Amat malang penemuan arkeologi di negara kita dipandang sepi oleh sesetengah pihak. Kononnya, ia kerja sia-sia dan menghalang usaha pembangunan. Persepsi sempit ini menyukarkan sejarawan dan pengkaji untuk memperkaya sejarah negara agar diketahui generasi seterusnya. Agaknya kalau persepsi ini ada di Sweden, mungkin mereka tidak akan menemui limbungan kapal lama Viking di Birka!

Birka atau Kota Viking diduduki oleh orang Viking sekitar abad kesembilan dan ke-10 Masihi. Ia terletak di Pulau Bjorko, Tasik Malaren di mana kedudukannya di barat ibu negara Sweden, Stockholm. Birka mula muncul sebagai pusat perdagangan antarabangsa sekitar 750 Masihi dan menjadi tumpuan pedagang dari Scandinavia, Eropah dan Timur Tengah.

Penemuan limbungan kapal lama ini mengubah sepenuhnya pengetahuan sejarawan tentang petempatan Viking. Selalunya, kebanyakan kemudahan seperti rumah kediaman, gudang-gudang, bangsal-bangsal dan struktur keagamaan termasuk gereja dibina dalam kawasan petempatan. Ini bertujuan menjamin keselamatan penghuni petempatan dan harta mereka daripada ancaman musuh.

Tetapi dengan penemuan ini, ia membuka persoalan baru tentang skala pelabuhan yang dimiliki orang Viking. Hasil penggalian empat buah parit dari Ogos 2020 hingga Ogos 2021 mendedahkan pelbagai artifak yang berkait dengan perkapalan termasuk alat pertukangan kayu dan batu-batu asah. Ini menjadikan Birka sebagai contoh terbaik sebagai pelabuhan dan tempat persinggahan pedagang semasa era Viking yang berlangsung sekitar 793 hingga 1066 Masihi.

Salah satu parit yang mengandungi artifak yang dikaitkan dengan limbungan kapal lama Viking di Birka. Sumber: Universiti Stockholm

Penemuan artifak-artifak ini turut menjadikan Birka unik bagi pengkaji sejarah Viking. Ia bukan sekadar petempatan bandar pertama untuk orang Viking. Malah, ia juga merupakan petempatan pertama yang membuka gereja pertama di Sweden pada 813 Masihi.

Birka turut berperanan sebagai garison pertahanan berdasarkan penemuan tembok-tembok lama sekitar petempatan berkenaan. Tembok-tembok ini bukan sekadar sebagai tembok pertahanan. Malah, ia juga berfungsi sebagai sempadan hak sosial, ekonomi dan perundangan yang wujud di petempatan berkenaan. Selain diketahui sebagai pusat perdagangan, Birka juga dikatakan menjadi tempat orang Viking sebagai tempat permulaan memburu walrus dan pusat penghasilan madu lebah.

Disebabkan kepentingannya sebagai pusat perdagangan, nama Birka dilihat bersesuaian dengan fungsinya semasa era Viking. Ramai sejarawan percaya nama Birka ini diambil dari perkataan Latin lama yang bermaksud kawasan pasar. Semasa ia berada di puncak kegemilangannya, para pedagang memperdagangkan bulu haiwan, barangan besi dan kraftangan di mana ia ditukar dengan barangan seperti barangan kaca, rempah-ratus dan kain tenunan halus.

Dengan mengkaji kedudukan tembok-tembok sekitar Birka, sejarawan percaya limbungan dan pelabuhan lama orang Viking terletak di luar kawasan tembok Birka di Kugghamn. Kugghamn terletak di utara pesisir pantai Pulau Bjorko di mana sebelum ini, pengkaji arkeologi menemui tapak rumah lama di lokasi sama.

Contoh kapal lama Viking yang dibina semula di Birka. Sumber: Holger Ellgaard/CC BY-SA 3.0

Ini membuka pelbagai persoalan baru tentang aspek keselamatan dan pembinaan kubu yang melindungi petempatan orang Viking. Salah satu daripadanya ialah bagaimana kapal-kapal diberi kebenaran berlabuh. Selain itu, satu lagi perkara yang difikirkan ialah pemilihan lokasi sama ada di luar atau dalam tembok pertahanan bersifat relevan atau tidak. Dua persoalan ini dijangka akan menyingkap lebih banyak rahsia orang Viking yang masih belum diketahui sehingga hari ini termasuk kehebatan mereka sebagai pedagang.

Kegemilangan Birka sebagai pusat perdagangan bagaimanapun tidak bertahan lama. Menjelang abad ke-10 atau tempoh antara 960 hingga 975, Birka secara misteri tidak lagi dihuni oleh manusia. Pada masa sama, sebuah bandar baru Kristian bernama Sigtuna dibina dalam tempoh sama dan terletak kira-kira 35 km dari situ.

Pengkaji arkeologi percaya kewujudan petempatan baru ini menyumbang kepada kemerosotan Birka. Tetapi tidak mustahil terdapat faktor-faktor lain yang mendorong penghuni-penghuni Birka meninggalkan kota berkenaan secara misteri sekitar 960 hingga 975. Bagi menyelesaikan misteri ini, lebih banyak kajian perlu dibuat sebelum satu kesimpulan dapat dibuat.

Alangkah molek jika aktiviti arkeologi sebegini dapat dipergiatkan lagi di Malaysia. Masih banyak perkara yang kita tidak tahu tentang sejarah silam negara di sebalik pelbagai penemuan artifak yang dibuat saban tahun. Tidak mustahil ada versi Birka di negara kita yang menanti masa untuk ditemui.

Tetapi selagi mana pihak yang berautoriti terus bersikap seperti melepaskan batuk di tangga dan menganggap ini sebagai kerja sia-sia, maka yang rugi ialah generasi seterusnya. Rugi kerana dinafikan peluang mengenali sejarah negara tercinta.

Perhatian. The Patriots sedang mencari manuskrip untuk diterbitkan. Jika berminat, anda boleh kirimkan ke alamat emel seperti dalam gambar.

RUJUKAN

Pandey, S. (2022, 16 Jun). Unique Viking Shipyard Found Showing A “Maritime Cultural Landscape”. Ancient-Origins.

Universiti Stockholm. (2022, 15 Jun). Unique Viking shipyard discovered at Birka.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Leave A Reply