Sultan Muhammad atau juga dikenali sebagai Mehmed II al-Fatih bukan sekadar seorang penakluk yang agung, baginda juga adalah pentadbir yang baik dan ahli dalam pelbagai jenis bidang yang tak ramai orang ketahui.
Sultan Mehmed II diberi gelaran Abu al-Fatih (Bapa Penaklukan) di atas kejayaan penaklukannya ke atas kota Konstantinopel yang merupakan ibu kota Empayar Rom Timur dan salah satu daripada kota yang menjadi pusat kebudayaan, ekonomi, politik dan agama di dunia.
Penaklukannya ke atas Konstantinopel pada 29 Mei 1453, adalah satu peristiwa penting dalam sejarah Empayar Uthmaniyah dan dunia, ia berterusan menjadikan nama baginda kekal diingati selama ratusan tahun.
Walau bagaimanapun, pencapaian baginda dalam bidang-bidang seperti seni bina, pentadbiran, perdagangan, kesusasteraan, dasar-dasar kerajaan, sains, linguistik, dan penaung seni kebudayaan telah dibayangi oleh kecemerlangan kempen ketenteraannya yang meluaskan empayar sehingga ke selatan Itali di barat, semenanjung Crimea di utara dan tengah dataran Anatolia di timur.
Konstantinopel sudah lama mengalami kemerosotan semenjak kota itu diserang dan dijarah oleh Tentera Salib Latin semasa Perang Salib Ke-4 pada tahun 1204, ia bukan lagi sebuah ibu kota empayar Rom Timur yang makmur dan berpopulasi tinggi seperti sebelum Perang Salib ke-4 semasa ia ditakluki Uthmaniyah pada tahun 1453.
Kemerosotan ibu kota Rom Timur ini bertambah kritikal apabila penularan wabak penyakit berlaku hingga menurunkan populasi penduduk secara drastik. Ia dipercayai berpunca dari pengepungan kota Caffa oleh tentera Mongol Ulus Jochi (Golden Horde) semasa berseteru dengan Genoa.
Wabak mungkin tiba ke Konstantinopel melalui penyakit yang dibawa para pelarian dari Caffa ke sana. Warga Caffa dijangkiti penyakit apabila mayat tentera yang terkorban dan mereput telah digunakan sebagai senjata biologi oleh tentera Mongol pada tahun 1346.
Untuk menghidupkan kembali kota itu, Sultan Mehmed II memindahkan suku-suku Turkmen dari pusat Anatolia dan menggalakkan orang-orang Yunani dari Foca, Argos, Thasos, Trabzon, Samothrace, Lemnos, dan Mytilene, serta orang-orang Yahudi dari Caffa dan Crimea untuk menetap di Konstantinopel dengan memberi mereka layanan yang baik dalam hal ehwal pentadbiran, tanah dan ekonomi.
Tambahan pula, projek-projek pembinaan semula yang amat diperlukan telah dilaksanakan serta-merta selepas penaklukan demi mengembalikan semula kota yang serba kekurangan itu ke zaman gemilangnya.
Tembok kota telah diperbaiki, di Yedikule, sebuah kubu kota atau citadel telah dibina, dan pembinaan Istana Topkapi telah dimulakan. Kemudian, pada tahun 1459, baginda memperkenalkan set langkah-langkah baharu untuk merangsang populasi dan kemakmuran Konstantinopel.
Sultan Mehmed II menitahkan para pembesar baginda untuk menubuhkan kompleks bangunan yang berkonsepkan wakaf kebajikan di kawasan-kawasan yang berbeza di dalam kota itu.
Biasanya kompleks wakaf ini akan dibangunkan dapur-dapur awam yang menyediakan makanan percuma untuk golongan fakir miskin, masjid, dan pelbagai kemudahan komersial seperti rumah penginapan dan bazaar.
Konstantinopel pernah menjadi kota terbesar di dunia pada abad ke-7 Masehi, namun merosot selepas diserang Tentera Salib.
Selepas ia jatuh ke tangan Sultan Mehmed II, reputasinya mula pulih sedikit demi sedikit.
Menjelang awal abad ke-16, Konstantinopel termasuk sebagai salah satu kota terbesar di dunia (kota terbesar di dunia pada abad ke-16 ialah Beijing) dengan populasi sekitar 400,000, ia turut termasuk sejumlah besar populasi orang Yunani, Armenia dan Yahudi.
Perspektif pemerintahan Sultan Mehmed II merangkumi setiap badan-badan etnik dan keagamaan, jentera-jentera pentadbiran, dan keberadaan bersama secara aman.
Baginda mengasaskan sistem Millet, di mana pelbagai masyarakat, aliran pemikiran, etnik, budaya dan agama di dalam Empayar Uthmaniyah dibenarkan mentadbir sendiri mengikut undang-undang yang dikehendaki mereka sendiri namun setiap urusan-urusan penting haruslah mendapat perkenan dari Sultan, contohnya jika millet Yunani Ortodoks mahu melantik patriark gereja yang baharu, patriark yang dipilih itu haruslah diperkenankan oleh Sultan.
Sultan turut melantik ramai anggota kerabat diraja bekas Empayar Byzantine yang terkenal menjadi pegawa kerajaan, ini termasuk Mesih Pasha dan Has Murad Pasha, anak saudara Maharaja Constantine XI Palaiologos, dan Mahmud Pasha daripada kerabat Angelos Byzantine.
Kebanyakannya diberi jawatan dalam sistem birokratik sebagai penjawat awam dan tentera Uthmaniyah. Manakala, para ulama Islam terkemuka pada masa itu, seperti Akshamsaddin dan Mullah Gurani, adalah antara tutor dan penasihat Sultan yang berpengaruh.
Bagi mengelakkan Empayar Uthmaniyah sekali lagi jatuh ke dalam dunia anarki seperti yang pernah terjadi selepas mengalami kekalahan dalam Perang Ankara menentang Empayar Timuriyah hingga menyebabkan Uthmaniyah tiada pemimpin yang sah kerana perang saudara selama 11 tahun, Sultan Mehmed II menggubal satu undang-undang khusus yang membenarkan para calon pewaris takhta atau dari kalangan putera-putera Uthmaniyah untuk berbunuhan sesama sendiri.
Dasar baharu ini dibenarkan dengan syarat, pihak terlibat tidak boleh menggunakan harta kerajaan, tidak mengheret rakyat dan tidak menyebabkan empayar kehilangan wilayah ke tangan musuh yang lain. Dasar ini dikenali sebagai ‘fratricide’ menurut istilah moden.
Sultan meluluskan dasar ini setelah baginda merujuk pandangan para ulama ketika itu, di mana ia dianggap sesuai dengan keperluan semasa kerana perebutan takhta dinasti pasti akan berlaku walau di mana jua sekali pun. Hanya Empayar Uthmaniyah yang pernah menjadikan ia ‘dihalalkan’ mengikut undang-undang dengan syarat khusus.
Selain itu, Sultan Mehmed juga meminati sains, sejarah, serta kesusasteraan klasik dan kontemporari. Minat baginda ini telah dizahirkan dalam bentuk ilmu, di mana baginda membina perpustakaan berbilang bahasa yang luas yang mengandungi lebih dari 8000 karya dan manuskrip dalam bahasa Parsi, Turki Uthmaniyah, Arab, Latin dan Yunani, serta beberapa bahasa lain.
Sultan Mehmed II pernah menjemput beberapa seniman Renaissance terkemuka dari Eropah untuk memberi khidmat berdasarkan bakat masing-masing, seperti Constanzo da Ferrara dan Gentile Bellini yang melukiskan potret baginda yang terkenal itu.
Sebagai seorang penyair, Sultan Mehmed II juga menulis rangkap syair dengan nama pena Avni dan menghasilkan karya divan, sebuah himpunan syair-syair yang ditulis dalam gaya tradisional kesusasteraan Uthmaniyah klasik.
Apabila Sultan Mehmed II mangkat pada 3 Mei 1481, baginda meninggalkan pengaruh dan kedudukan yang cukup gemilang dalam dunia Islam dan bukan Islam, serta sebuah empayar yang menguasai bahagian Mediterranean Timur yang luas dan membentuk abadnya yang tersendiri di Timur Dekat, Balkan, dan Afrika Utara.
Segala pencapaian baginda ini secara tidak langsung telah menjadikan dirinya sebagai pemimpin Islam yang bertanggungjawab dalam membuka pintu dunia untuk memasuki sebuah era baharu — era moden.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih