Sebut saja mumia, ramai membayangkan Tamadun Mesir Purba dan amalan pemumiaan untuk si mati. Tetapi di Jepun, siapa sangka mumia juga wujud di Negara Matahari Terbit itu. Mumia sami Buddha ini dikenali sebagai sokushinbutsu dan menjadi pujaan kumpulan tertentu sejak beratus tahun lalu.
Amalan sokushinbutsu ini dikatakan dibawa oleh sekumpulan sami Buddha berfahaman Shingon pada abad ke-14. Mengikut riwayat, pengasas fahaman Shingon iaitu Kukai/Kobo Daishi (774–835 Masihi) percaya sesiapa saja boleh menjadi Buddha di alam fizikal ini tanpa perlu mencapai status Buddha untuk proses kelahiran semula (reincarnation). Konsep ini dikenali sebagai sokushin jobutsu.
Kukai didakwa telah mencapai status itu sekitar 1,200 tahun yang lalu. Ramai pengikut Shingon percaya beliau masih hidup dan bersemayam di Makam Okunoinnya di kompleks kuil Koyasan, Wakayama. Disebabkan kepercayaan inilah, para sami sentiasa membawa makanan ke makamnya setiap hari. Bagi setiap sokushinbutsu, satu persamaan yang dimiliki ialah perkataan kanji kai (海) yang merujuk kepada nama Kukai.
Terdapat 18 sokushinbutsu yang bertaburan di Jepun. Sebahagian besarnya terletak di Dewa Sanzan – tiga puncak suci Gunung Gassan, Gunung Yudono dan Gunung Haguro di Yamagata. Sementara wilayah Shonai yang terbentang dari puncak-puncak Dewa hingga ke Laut Jepun mempunyai enam mumia. Manakala Okitama yang terletak di selatan pula mempunyai dua mumia. Niigata mempunyai empat dengan Fukushima, Gifu, Ibaraki, Kanagawa, Kyoto dan Nagano masing-masing mempunyai satu sokushinbutsu.
Sehingga pertengahan abad ke-17, tiga gunung suci Dewa dikaitkan dengan pelbagai fahaman agama. Tetapi semua itu berubah pada 1641 apabila kuil-kuil Buddha di Gunung Haguro memilih menukar fahaman daripada Shingon kepada Tendai. Peralihan ini dipercayai bagi menampakkan mereka sealiran dengan pemerintah tidak rasmi Jepun ketika itu, Keshogunan Tokugawa.
Kumpulan Shingon yang bertapak di Gunung Yudono digesa agar melakukan perkara sama. Bimbang pengamal Tendai akan cuba merampas kedudukan mereka di Yudono, pihak Shingon menghantar petisyen kepada kerajaan di Edo agar mengiktiraf kedudukan mereka. Walaupun kedudukan pihak Shingon diiktiraf oleh Keshogunan Tokugawa, pihak Tendai terus mendesak agar diberi kawalan di Gassan dan Haguro.
Ironinya, kedua-dua fahaman ini diasaskan di Jepun sekitar abad kesembilan Masihi dan bersifat esoterik. Bezanya di sini ialah Tendai lebih banyak berperanan sebagai penyebar agama Buddha dengan Shingon lebih bersifat tertutup. Pertembungan dua kumpulan ini menarik perhatian sekumpulan sami zahid yang dipanggil issei gyonin ke Gunung Yudono. Memandangkan ramai issei gyonin ini merupakan orang luar, ini menjelaskan mengapa sokushinbutsu banyak ditemui di Yamagata.
Di Yudono, terdapat tiga kumpulan sami iaitu sami Shingon, pengikut shugenja pengasas kuil Buddha di Yudono Shobo (832-909 Masihi) dan issei gyonin. Issei gyonin wujud di luar hierarki kuil dan dianggap lebih ekstrem dari segi pengasingan dan ritual mereka.
Ini kerana sami yang tidak berkahwin misalnya mengambil anak murid sebagai pewaris legasi mereka. Sementara shugenja yang sudah berkahwin pula mewariskan pengetahuan dan pengalaman mereka kepada anak-anak. Manakala issei gyonin pula melakukan ritual berseorangan di gunung-ganang semasa musim sejuk dengan sokongan penaung dan pengikut mereka selama berbulan-bulan lamanya.
Issei gyonin terkenal dengan mokujiki atau makan kayu. Makan kayu di sini ialah makan semua bahagian pada pokok semasa mereka mengasingkan diri seperti akar, daun dan kulit kayu. Kononnya dengan mengamalkan mokujiki, ia dapat meningkatkan kuasa kezahidan mereka. Issei gyonin juga mengelak mengambil 10 jenis bijirin termasuk nasi, gandum dan kacang soya.
Mokujiki dianggap permulaan kepada proses seseorang issei gyonin menjadi sokushinbutsu. Ini kerana tanpa makanan sebenar dan perlu bergantung kepada semua komponen pokok sebagai makanan, ia menghilangkan lemak dalam badan. Ini memaksa issei gyonin berpuasa lama dan bermeditasi sekaligus membawa kepada kelaparan.
Issei gyonin ini akan mati dalam keadaan jhana (meditasi) sambil menyebut nenbutsu (mantera berkenaan Buddha). Badan mereka akan terpelihara secara semulajadi sebagai mumia dengan gigi dan kulit masih utuh serta tanpa keperluan pengawet tiruan.
Dalam sesetengah kes, ada issei gyonin yang memilih untuk ditanam hidup-hidup. Ritual ini dikenali sebagai dochu nyujo. Ritual ini menyaksikan issei gyonin ditempatkan dalam sel bawah tanah bagi membolehkannya bermeditasi dalam tempoh tiga tahun dan tiga bulan. Ritual ini juga menjadikan issei gyonin sebagai sokushinbutsu.
Tetapi ramai saintis percaya sokushinbutsu terjadi akibat proses pemumiaan pasca-kematian, bukannya secara semulajadi seperti didakwa sesetengah pihak. Ini berdasarkan kajian yang dibuat Sekolah Perubatan Universiti Niigata terhadap sokushinbutsu pada tahun 60-an. Ini kerana iklim Jepun yang sejuk dan panas tidak sesuai untuk pemumiaan dengan iklim panas dan kering Mesir amat sesuai untuk proses berkenaan.
Ia turut disokong oleh bukti kajian arkeologi di mana pada stupa-stupa yang didakwa mengandungi sokushinbutsu, yang ditemui rangka manusia dan bukan mumia sami Buddha. Di sebalik semua pendedahan ini, ia langsung tidak menghilangkan unsur mistik yang menyelubungi sokushinbutsu.
Tetapi semua itu berubah dengan kemunculan Zaman Pemulihan Meiji pada pertengahan abad ke-19. Rejim baru menukar agama rasmi Jepun daripada Buddha kepada Shinto. Dengan perubahan polisi ini, agama Buddha dan Shinto perlu dipisahkan termasuk kuil-kuil kedua-dua agama sekiranya ia wujud di tempat yang sama.
Bagi kumpulan Shingon, perubahan polisi ini menggugat status kuil mereka di Yudono. Walaupun telah menegaskan bahawa mereka merupakan sebahagian daripada agama Buddha, bantahan mereka ditolak oleh kerajaan. Akibatnya, semua hak pengamalan yang dikurniakan sebelum ini semasa era Keshogunan Tokugawa ditarik balik.
Kerajaan baru juga telah mengharamkan amalan sokushinbutsu atas alasan ia merupakan satu perbuatan bunuh diri. Justeru, individu yang cuba melakukan ritual dochu nyujo (menanam issei gyonin hidup-hidup) akan berdepan tuduhan jenayah. Sementara cubaan mengeluarkan issei gyonin daripada sel mereka selepas tempoh tiga tahun tiga bulan dianggap perbuatan merompak kubur.
Dengan kuil tidak lagi mendapat sokongan kewangan, maka pengurusan kuil berpaling kepada sokushinbutsu sebagai cara meneruskan kelangsungan kuil mereka. Dengan elemen mistik yang menyelubungi mumia ini, maka mudah bagi para sami menjual cerita sokushinbutsu kepada orang ramai. Ini secara tidak langsung membantu menjana pendapatan yang amat diperlukan kuil.
Tetapi hari ini, sokushinbutsu berdepan cabaran baru: status sebagai warisan kebudayaan dan keagamaan. Disebabkan ia dikelaskan sebagai mayat, ia tidak mendapat perlindungan sama yang diberi kepada patung-patung atau mana-mana imej penting Buddha. Sementara ritual tertentu seperti menukar jubah pada mumia yang berlangsung setiap enam hingga 12 tahun pula bersifat tertutup dan tidak dibuka kepada orang awam.
Ini menyebabkan sesetengah pihak sudah mula mempertikai sama ada sokushinbutsu patut diberi status warisan kebudayaan atau tidak. Tanpa dana khas yang diperuntukkan kerajaan untuk warisan kebudayaan Jepun, pengurusan kuil-kuil yang mempunyai sokushinbutsu terpaksa menanggung kos penyelenggaraan mumia yang tinggi.
Satu cara untuk mengatasi masalah ini ialah kerjasama antara kerajaan tempatan dengan pengurusan kuil bagi menjadikan sokushinbutsu sebagai tarikan pelancong. Ini termasuk membiayai kos pengangkutan pelancong ke kuil-kuil berkenaan. Dengan kerjasama ini, sokushinbutsu akan terus kekal menjadi tatapan generasi penduduk Jepun seterusnya – walaupun ia masih bersifat pelik bin ajaib kepada orang luar.
Kalau anda berminat dengan artikel sejarah Jepun seperti ini, kami nak cadangkan buku terbaru kami, KITAB TAMADUN JEPUN pada pautan berikut: http://bit.ly/KitabTamadunJepun
RUJUKAN
Iwahana, M. (2022, 26 Januari). “Sokushinbutsu”: Japan’s Buddhist Mummies. Nippon.com.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih