Pergunungan Ural mungkin bukanlah pergunungan tertinggi. Tetapi ia antara yang tertua di dunia, berusia 300-250 juta tahun. Ia kaya dengan sumber mineral dan logam. Misalnya emas, minyak, dan bijih besi. Sejak kurun ke-18 lagi, pergunungan itu banyak menyumbang kepada ekonomi Russia.

Namun, bukan sektor itu sahaja yang meraih manfaat. Bidang arkeologi dan paleontogi juga berkembang pesat. Hal ini berikutan penemuan demi penemuan baru yang berlaku di Pergunungan Ural.

Salah satunya adalah fosil Helicoprion. Fosil itu dijumpai oleh seorang ahli geologi Russia bernama A.P Karpinsky pada 1899. Pada mula, dia perlu berteka-teki tentang status fosil tersebut – benda apa yang dijumpainya; kerang ammonit, kerang nautilus, atau apa?

Memang bentuknya pun seakan cengkerang. Lihat saja rajah di bawah. Sekali imbas, sukar untuk jangka yang ia adalah gigi jerung. Tetapi, itulah yang disimpulkan oleh Karpinsky selepas puas mengamati.

Antara fosil pusar gigi Helicoprion dalam koleksi Universiti Idaho. Fosil Helicoprion dijumpai di Amerika Utara, Kazakhstan, Jepun, Australia Barat

Cuma, mengapa gigi jerung boleh berbentuk pusar begini? Milik jerung mana gigi tersebut? Bagaimana ia berfungsi? Dan paling utama, betulkah pusar gigi itu terletak di mulut – bukan di bahagian badan lain? Itu antara soalan yang berlegar di fikiran Karpinsky dan ramai pengkaji.

Ini kerana satu-satunya fosil yang dijumpai hanya gigi. Tanpa tengkorak. Tanpa rangka badan. Sebab ikan seperti jerung memang tiada tulang. Ia hanya ada tulang rawan. Tulang rawan tidak kalis zaman. Ia terurai sebaik proses pereputan berlaku.

Jadi sekali lagi, Karpinsky perlu berteka-teki. Untuk soalan pertama, kita ketepikan dahulu. Sebab hingga kini pun saintis belum mampu menjawab bagaimana evolusi gigi berpusar boleh berlaku. Justeru, ia masih menjadi misteri utama bagi spesis tersebut.

Berpindah ke soalan kedua, Karpinsky mengusulkan yang pusar gigi tersebut milik spesis jerung baru. Bukan Edestus seperti yang didakwa oleh Henry Woodward (yang menjumpai fosil pertama di Australia Barat pada 1886).

Karpinsky sebaliknya menamakan spesis baru itu sebagai Helicoprion, bermaksud ‘gergaji pusar’. Namun pada waktu itu, belum diketahui pada era bila ia hidup. Hanya menerusi teknologi masa kini, barulah hal itu diketahui.

Pengkaji menganggarkan yang Helicoprion hidup pada 290-250 juta tahun lalu. Yakni, dari era Permian hingga era Triassic. Ini bermaksud, Helicoprion terselamat dari Bencana Kepupusan Permian-Triassic (Permian-Triassic Extinction Event; berlaku pada 251.9 juta tahun lalu) yang mempupuskan 95% hidupan laut.

Erti kata lain, Helicoprion bukan sekadar nadir (rare) sebab memiliki bentuk gigi yang pelik. Tetapi ia juga spesis yang memiliki daya tahan tinggi (walau tetap pupus sejuta tahun kemudian).

Perbandingan saiz dengan manusia. Purata panjang Helicoprion adalah 5-11.3 meter dan beratnya pula sekitar 226.79-453.59 kg

Berbalik kepada persoalan tadi, selepas memberi nama, Karpinsky berteka-teki pula tentang letak duduk pusar gigi tersebut dalam anatomi Helicoprion. Dia mencadangkan rahang atas, dan ia memuncung naik.

Cadangan tersebut bagaimana pun kurang dipersetujui. Antaranya oleh C.R. Eastman. Bagi Eastman, mustahil pusar gigi sebesar itu boleh duduk di dalam mulut. Setakat carian yang dibuat, tiada rekod yang menyebut tentang diameter fosil jumpaan Karpinsky itu.

Namun secara umum, pusar gigi Helicoprion boleh tumbuh sehingga 40 cm. Hampir dua kali ganda berbanding diameter bola keranjang (24.2 cm). Atas sebab itu, Eastman mencadangkan lokasi lain. Menurutnya, pusar gigi itu bertempat di belakang badan – sebagai mekanisme pertahanan.

Karpinsky juga kemudian mengubah pendapat, meletakkannya di ekor. Dan sepanjang kurun itu, pakar paleontologi dan iktiologi tidak segan-silu mengusulkan idea-idea baru tentang letak-duduk pusar gigi tersebut. Hasilnya boleh dilihat dalam rajah di bawah.

Himpunan berbagai-bagai andaian pakar tentang letak-duduk pusar gigi Helicoprion

Kata muktamad hanya dicapai pada tahun-tahun kebelakangan, tepatnya pada 2013. Tetapi apapun, perjalanan untuk sampai ke situ bermula lebih awal. Iaitu pada 1966. Tahun tersebut, seorang ahli paleontologi Denmark bernama Svend Erik Bendix-Almgreen mengkaji satu fosil Helicoprion.

Fosil tersebut dijumpai di Lombong Fosfat Waterloo, berdekatan Montpelier, Idaho pada 1950. Berbanding fosil lain, satu ini agak nadir. Sebabnya, ia memiliki sedikit bekas tulang rawan dari rahang atas dan tengkorak Helicoprion.

Ini bermakna ia menyimpan petunjuk yang besar. Dan memang, setelah berdekad-dekad ia disimpan di Muzium Sejarah Alam Idaho, spesimen yang dilabel sebagai IMNH37899 itu menjalankan tugas merungkai misteri.

Kondisinya saat kajian dilakukan memang sudah sedikit terjejas. Tetapi, ia jelas memiliki 117 gigi yang tersusun rapi dalam pusaran berdiameter 23 cm.

Pada tahun 2013, fosil itu dibawa ke Universiti Texas untuk menjalani ujian imbasan. Ujian tersebut diketuai oleh Leif Tapanila dari Universiti Idaho, dan ia menggunakan tornoggrafi berkomputer (CT) beresolusi tinggi.

Menerusi imbasan itu, ada dua dapatan penting yang diperoleh. Pertama, pusar gigi itu sah terletak di rahang bawah Helicoprion – bukan di muncung rahang, bukan di belakang badan, dan bukan di ekor.

Fungsinya pula memang untuk makan. Kerana ia merupakan satu-satunya gigi yang dimiliki Helicoprion; ikan itu tiada gigi di rahang atas. Dan sama seperti jerung, Helicoprion kerap tumbuh gigi baru. Cuma, gigi baru ini tidak mencabut gigi lama. Jadi, gigi lama akan berganjak ke depan dan lama-kelamaan membentuk lingkaran.

Gigi-gigi Helicoprion didapati tiada kesan kerosakan ketara, bermaksud diet utamanya adalah haiwan berbadan lembut seperti sotong.

Hasil imbasan turut mengesahkan yang Helicoprion bukanlah jerung. Tetapi haiwan dari genus Euchondrocephali. Ini bermakna Helicoprion adalah leluhur jauh ikan dengkis (rabbitfish), ikan tikus (ratfish), dan ikan-ikan bertulang rawan (chimaera) lain.

Namun persoalannya, bagaimana Helicoprion berevolusi sampai boleh memiliki gigi berpusar sebegitu? Setakat ini, masih tiada jawapan.

Tapanila memang berhasrat mendalami lebih lagi. Tambahan, Universiti Idaho memang memiliki banyak spesimen untuk dikaji dan diimbas (IMNH37899 cuma satu dari 30 spesimen yang ada dalam koleksi universiti).

Cuma, sebahagian fosil bersaiz lebih besar. Jadi, pengimbas CT di Texas tidak dapat digunakan. Ini memerlukan Tapanila berpindah ke fasiliti lain bagi melakukan ujian. Fasiliti pilihan terletak di Pasadena, California.

Mungkin dengan ujian terbaru itu dapat merungkai lagi persoalan tentang Helicoprion. Misalnya tentang spesis-spesisnya yang baru. Sebab memang, Tapanila sendiri mengandaikan yang spesimen besar dalam simpanannya adalah spesis lain berbanding IMNH37899. Setakat ini kita cuma tahu beberapa spesis sahaja seperti H. bessonowi, H. davisii, dan H. ergassaminon. Siapa tahu, dalam beberapa tahun ini kita bakal temui spesis baru.


Kalau anda berminat dengan haiwan-haiwan spesis pra-sejarah seperti ini, kami nak cadangkan buku terbaru kami, TERHEMPASNYA PESAWAT MH747, mengisahkan survivor para penumpang pesawat yang terpaksa berhadapan dengan haiwan pra-sejarah seperti Helicoprion untuk kekal hidup. Beli di: http://bit.ly/TerhempasnyaShopee

RUJUKAN

Crew, Becky. (2013, 27 February). Prehistoric ghost shark Helicoprion’s spiral-toothed jaw explained. Scientific American.

National Geographic. (2013, 27 February). Buzzsaw Jaw Helicoprion was a Freaky Ratfish.

Pappas, Stephanie. (2013, 28 February). Toothy Spiral Jaw Gave Ancient Sea Predator an Edge. Live Science.

Strauss, Bob. (2019, 27 October). Helicoprion the Prehistoric Shark. ThoughtCo.

 


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Pencinta bahasa ibunda dan sejarah dunia. Amir Zayyanid merupakan seorang penulis dan penterjemah bebas yang menyimpan impian mahu menabur bakti kepada anak pertiwi menerusi pendokumentasian sebanyak mungkin bahan bacaan, sama ada fiksi mahupun bukan-fiksi.

Leave A Reply