15 Mac mungkin tarikh biasa bagi ramai orang. Tetapi lebih 2,000 tahun lalu, hari yang turut dikenali sebagai Ides of March ini merupakan tarikh pembunuhan diktator Rom Julius Caesar. Namun begitu, ada banyak maklumat yang tidak diketahui tentang plot tersebut.

Terdapat banyak maklumat bercanggah tentang pembunuhan Caesar. Misalnya, bilangan tikaman yang ada pada badan beliau oleh kumpulan pembunuh diketuai Brutus. Mengikut sejarawan Nicholas of Damascus, Caesar ditikam sebanyak 35 kali. Sementara sejarawan lain menyatakan angka berbeza seperti Appian, Plurtach dan Suetonius (23 kali).

Tetapi apabila perkara ini cuba diterjemahkan dalam bentuk kajian forensik pada 2003, angka tikaman yang dinyatakan oleh para penulis Rom sebagai mengarut. Pengkaji forensik berpandangan hanya lima hingga 10 orang pembunuh sahaja yang dapat menikam Caesar dengan mengambil kira faktor logistik dan lokasi pembunuhan iaitu Theater of Pompey.

Pada masa sama, Suetonius turut menyatakan luka tikaman mana yang membunuh Caesar. Mengikut keterangan Antistus, seorang tabib yang melakukan bedah siasat ke atasnya mendapati satu luka tikaman sudah cukup untuk membunuh Caesar. Bedah siasat ini dianggap bedah siasat pertama yang direkodkan dalam sejarah.

Begitu juga dengan kelompok yang bertanggungjawab menamatkan riwayat diktator Rom itu. Kebanyakan pembunuh yang terlibat dalam peristiwa Ides of March ini berasal dari Optimate – sebuah kumpulan bangsawan elit politik yang dipilih ke Senat melalui perlantikan. Kumpulan ini juga menyokong Pompey – musuh Caesar sebelum dikalahkan oleh beliau dan dibunuh atas titah Firaun Ptolemy XIII pada 48 SM.

Terdapat banyak sebab mengapa Optimate yang turut dianggotai Brutus memusuhi Caesar. Beliau banyak membuat keputusan penting Rom tanpa merujuk Senat terutama dalam aspek kewangan dan mengukuhkan kesetiaan tenteranya. Malah, wujud khabar angin Caesar juga dikatakan sudah bersedia mengisytiharkan dirinya sebagai raja.

Sebelum Rom berubah menjadi Empayar Rom, ia merupakan sebuah republik yang berusia lebih 500 tahun. Raja terakhir yang muncul sebelum era republik ialah Lucius Tarquinius Superbus. Bagaimanapun, baginda digulingkan pada 509 SM dan sejak itu, Rom bertukar menjadi sebuah republik.

Tetapi kelompok Optimate merasakan ia bakal berubah dengan kemunculan Caesar. Ini kerana beliau telah menunjukkan pelbagai tindakan persis raja seperti memberi pengampunan kepada musuh, meletakkan patung-patungnya di kuil-kuil Rom dan meletakkan sekutunya pada kedudukan kuasa yang tinggi.

Tabiat Caesar yang memberi pengampunan kepada musuh-musuhnya dianggap manifestasi paling jelas cita-citanya bergelar raja. Ini kerana sekiranya seseorang itu mahu menunjukkan belas kasihan, ia perlu mempunyai kuasa sebagai raja untuk berbuat demikian.

Ini dapat dilihat menerusi tindakannya pasca-kempen di Pharsalus, Thapsus dan Munda dari 48 hingga 45 SM. Caesar membuat kejutan dengan memberi pengampunan kepada pemimpin Rom yang menentangnya. Dengan berbuat demikian, ia membantu beliau mengukuhkan kedudukannya sebagai diktator dan memanfaatkan kemahiran mereka dalam pelbagai bidang.

Hal ini bagaimanapun sudah tidak boleh diterima oleh Brutus dan Cassius. Benar, dalam kebanyakan karya sastera termasuk drama William Shakespeare ‘Julius Caesar’, antagonisnya ialah Brutus. Tetapi perancang sebenar plot ialah Cassius – komander tentera laut Pompey yang menentang Caesar di Pharsalus. Ironinya, kedua-duanya diberi pengampunan dan dilantik sebagai praetor pada tahun sama beliau dibunuh.

Brutus

Ada menganggap tindakan mereka merupakan satu tindakan keadilan. Tetapi hakikatnya, ia hanyalah tindakan untuk menyelamatkan karier politik masing-masing. Ini kerana apabila Caesar bergelar diktator seumur hidup, maka karier politik ahli Senat bergantung sepenuhnya kepada ihsan beliau. Situasi ini cuba diubah oleh Cassius dan Brutus menerusi pembunuhan pada 15 Mac itu.

Dianggarkan 60 hingga 80 orang terlibat dalam plot ini. Selain Cassius dan Brutus, ia turut dianggotai oleh Gaius Trebonius dan Decimus Junius Brutus Albinus. Kedua-duanya menyokong Caesar semasa kempen beliau di Gaul (Perancis moden) dan perang saudara menentang Pompey. Dalam kes Decimus, beliau juga sepupu kepada Brutus dan rakan baik Caesar.

Plutarch turut merekodkan pada satu ketika, kumpulan ini cuba membawa masuk Mark Antony menyertai plot tersebut. Bagaimanapun, rakan baik Caesar itu menolak ajakan mereka. Tetapi pada masa sama, Antony gagal melaporkan kepada Caesar tentang plot ke atasnya itu.

Mark Antony enggan menyertai plot pembunuhan Caesar walaupun dipujuk beberapa kali.

Tidak diketahui apa motif beliau. Tetapi sebaik mengetahui Antony enggan menyertai mereka, Trebonius mencadangkan agar jeneral dan konsul itu menjadi sasaran selain Caesar. Bagaimanapun, ia ditolak oleh Brutus atas alasan jika ia diteruskan, pembunuhan tersebut dilabel sebagai pembunuhan bersifat partisan. Tetapi untuk Caesar, ia bersifat keadilan sejagat buat Rom dan populasinya.

Bagaimanapun, kumpulan ini mempunyai tetingkap masa yang terhad. Dua hari selepas Ides of March, Caesar akan bertolak ke perbatasan untuk menentang kerajaan Parthia. Suetonius mendakwa dalam sidang Senat yang diadakan pada 15 Mac, usul mengistyiharkan beliau sebagai raja untuk wilayah-wilayah bukan Itali akan dibentangkan.

Dengan membentangkan usul tersebut, ia pasti akan ditentang oleh kumpulan Optimate. Sekiranya ini gagal direalisasikan dalam tetingkap masa yang dinyatakan, Caesar akan terlepas daripada genggaman mereka.

Cicero yang menjadi senator pada ketika itu turut mendedahkan terdapat satu lagi usul akan dibentangkan pada hari itu. Usul itu bagi memilih pemangku konsul untuk mentadbir Rom bersama Antony sementara Caesar berada di perbatasan Parthia. Sementara beliau tiada, Antony dan penggantinya merupakan badan pemerintah tertinggi Rom.

Caesar sebenarnya sudah menghidu khabar angin tentang plot pembunuhannya. Tetapi beliau mempunyai sebab untuk tidak bertindak terhadap mereka. Caesar bimbang sekiranya tindakan diambil, perang saudara sekali lagi akan tercetus dan berpotensi mencetuskan ketidakstabilan kepada Rom.

Satu lagi sebab beliau enggan berbuat demikian ialah Caesar sentiasa mendapat perlindungan keselamatan. Walaupun telah melepaskan khidmat pengawal keselamatan, ramai orang dari senator hingga rakyat biasa bersedia mempertaruhkan nyawa mereka untuk melindungi beliau. Selain itu, setiap kali Caesar menghadiri sidang Senat, beliau diiringi oleh 24 orang lictor (pengawal keselamatan untuk pegawai-pegawai Rom).

Lantas, kumpulan pembunuh ini merancang menyerang Caesar semasa sidang Senat. Pertama, beliau tidak diiringi oleh lictor atau mana-mana pengiringnya. Kedua, Caesar juga tidak boleh membawa senjata ke dewan kerana ia dilarang mengikut peraturan. Bagi para pembunuh, ia satu peluang yang tidak patut dilepaskan begitu saja.

Pada malam 15 Mac, Caesar dan isterinya Calpurnia bermimpi perkara menyeramkan. Calpurnia bermimpi melihat suami yang dikasihinya dalam keadaan berlumuran darah. Sementara Caesar pula bermimpi dipimpin oleh Jupiter (antara dewa utama Rom) ke langit dan meninggalkan Rom. Si isteri merasakan ada yang tidak kena dan merayu Caesar agar membatalkan kehadirannya ke Senat.

Calpurnia cuba memujuk Caesar agar tidak menghadiri sidang Senat seperti digambarkan dalam lukisan Abel de Pujol. Sumber: Bridgeman/ACI

Pada awalnya, diktator Rom itu akur dengan rayuan Calpurnia dan tinggal di kediamannya. Lantas, Antony diminta untuk menghadiri dan merasmikan sidang hari berkenaan.

Tidak mahu plot mereka terjejas, Decimus diutus untuk memujuk Caesar untuk hadir ke sidang Senat walaupun seketika. Akhirnya, selepas dipujuk, barulah beliau bersetuju berangkat lokasi sidang Senat pada hari itu: Theater of Pompey.

Dalam perjalanan, seperti biasa rombongan Caesar dikerumuni oleh orang ramai – baik untuk melihat wajahnya atau memfailkan petisyen untuk didengar di Senat. Salah seorang daripada mereka cuba memberi amaran tentang plot hari tersebut melalui sekeping nota kecil.

Orang tersebut ialah Artemidorus of Damascus, seorang guru Yunani yang juga kenalan Brutus. Menurut Nicholas of Damascus, nota tersebut ditemui berhampiran dengan mayat Caesar.

Sebaik beliau duduk dan mempengerusikan sidang pada hari itu, beberapa senator cuba menghampirinya termasuk ahli konspirasi Tillius Cimber. Tillius berpura-pura memfailkan rayuan kepada Caesar agar membenarkan abangnya kembali ke Rom selepas duduk lama dalam buangan. Bagaimanapun, rayuan tersebut ditolak.

The Murder of Caesar oleh Karl von Piloty

Apabila Caesar cuba bangun, sesetengah senator cuba menahannya daripada pergi. Saat itulah, seorang lagi senator bernama Publius Servilius Casca mengeluarkan pisau tersembunyinya dan menikam diktator Rom itu. Ia isyarat yang dinantikan ahli kumpulan pembunuh lain untuk bertindak. Antony dan senator-senator lain cuba menghalang tetapi pada akhirnya, Caesar menemui Penciptanya.

Selepas itu, Brutus dan para pembunuh lain merayakan apa yang dianggap hari bersejarah buat Rom. Tetapi bagi penduduk Rom, kematian Caesar dianggap hari kesedihan buat mereka. Berang dengan semua pembunuh pemerintah kesayangan mereka itu, rusuhan berlaku pada hari pemakaman beliau. Akibatnya, Antony mengarahkan mayat rakan baiknya itu dibakar di Forum.

Imaginasi George Edward Robertson berkenaan majlis pemakaman Caesar.

Bagi sesetengah pembunuh, mereka sepatutnya diraikan sebagai wira yang menyelamatkan status Rom sebagai republik. Tetapi selepas melihat kebencian yang ditujukan kepada mereka, sesetengah seperti Cassius dan Brutus meninggalkan Rom. Pengampunan dikeluarkan melalui persetujuan Senat dengan syiling khas dikeluarkan bagi memperingati peristiwa berkenaan.

Tetapi jika Brutus dan Cassius menyangka ia menyelamatkan Rom daripada menjadi kerajaan monarki, mereka tersilap sama sekali. Republik kini meniti hari-hari terakhirnya dengan pelbagai isu ekonomi, sosial dan politik termasuk perang saudara dan ketidaksaksamaan ekonomi. Pembunuhan Caesar membuka ruang kepada anak angkatnya dan bakal maharaja Augustus, Octavius untuk bangkit.

Dalam tempoh beberapa tahun, Octavius bukan saja memburu semua pembunuh bapa angkatnya termasuk Brutus dan Cassius (kedua-duanya mati pada 42 SM). Beliau turut menentang Antony dan berjaya meraih kemenangan di Actium dan Iskandariah sekitar 31 hingga 30 SM. Dengan kemenangan itu, ia membuka jalan kepada Rom berubah sebagai sebuah empayar monarki.

RUJUKAN

Casals, J. M. (2022, 10 Mac). Inside the conspiracy to kill Julius Caesar. National Geographic.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Leave A Reply