Sama seperti mana-mana hidupan, manusia mempunyai keperluan asas – iaitu makanan, minuman, pakaian, dan kediaman. Ini, keperluan asas yang biasa kita sebutkan.

Pada kurun yang lepas, tajuk keperluan manusia ini banyak diperbahaskan dalam kalangan ilmuwan. Antaranya oleh Abraham Maslow (1908-1970), seorang ahli psikologi dan ahli falsafah dari Amerika Syarikat.

Dalam sebuah kertas kajiannya yang diterbitkan pada tahun 1943, Maslow ada memperkenalkan satu teori yang disebut sebagai Teori Hierarki Keperluan Maslow.

Teori ini selalunya dijelaskan dalam bentuk piramid – sama macam piramid makanan, dengan aras terbawah adalah yang paling asas berbanding aras teratas. Cuma bezanya, piramid keperluan ini ada lima aras, bukan empat seperti piramid makanan.

Ini kerana menurut Maslow, keperluan manusia boleh dibahagikan kepada lima; iaitu Keperluan Fisiologi, Keperluan Keselamatan, Keperluan Kasih Sayang dan Kepunyaan, Keperluan Penghargaan Kendiri, dan Keperluan Kesempurnaan Kendiri.

Setiap satu aras ada senarai panjang yang tersendiri, di mana makanan, minuman, pakaian, dan kediaman seperti yang disebutkan di atas terangkum dalam Keperluan Fisiologi (termasuk juga tidur dan berzuriat).

Lima keperluan manusia mengikut Teori Hierarki Keperluan Marslow

Antara kesemuanya, makan dan minum mungkin adalah yang paling utama. Pentingnya ia sampaikan setiap agama dan budaya ada tatacara makan yang tersendiri. Jarang kita dengar fasal budaya tidur yang berbeza. Namun tentang makan dan pemakanan, lain pula ceritanya hinggakan wujud pepatah, “Kita adalah apa yang kita makan.”

Bercerita tentang makan ini, ada satu kisah pelik tetapi menarik yang berlaku dalam sejarah. Kisah ini berkisar tentang seorang lelaki yang kuat makan – sangat kuat makan (dan tanpa menambah berat badan).

Kalau data tahun 2019 menunjukkan yang manusia secara puratanya mengambil sebanyak 2.5 kg makanan setiap hari, lelaki ini pula makan sehingga 10 kg sehari tidak termasuk makanan-makanan aneh lain yang ditambah ke dalam diet hariannya.

Siapakah lelaki ini?

Beliau ialah Charles Domery, seorang warga Poland yang lahir pada tahun 1778 Masehi. Beliau ada adik-beradik yang ramai – dalam lapan orang. Namun, kita tidak tahu Domery ini anak yang ke berapa.

Cuma, membesar dalam keluarga yang besar dalam keadaan kewangan yang kecil ini bermaksud Domery dan adik-beradiknya tidak berpeluang mendapat makanan yang cukup.

Jadi pada usia 13 tahun, Domery pun keluar daripada rumah untuk menyertai pasukan tentera Prussia. Di kem tentera, makanan memang tersedia. Cukup untuk memenuhi keperluan seharian.

Namun, perut Domery tidak sama macam tentera-tentera lain. Makanan yang diperuntukkan tidak cukup baginya. Jadi, Domery terpaksa cari jalan lain. Menerusi pengamatannya, kem tentera Perancis menyediakan makanan lebih banyak berbanding kem Poland.

Maka tanpa berfikir panjang, Domery pun menukar seragam dan menyertai pasukan tentera Perancis. Di sana, Domery diberi hidangan (portion) dua kali lebih banyak berbanding rakan-rakan lain.

Namun, jumlah itu masih tidak cukup. Gajinya juga habis dibelanjakan untuk memenuhi tuntutan perut. Apabila poketnya sudah kering dan hidangan untuknya di kem tentera pun sudah habis, Domery biasanya akan mengambil 1.8 hingga 2.3 kg rumput sebagai diet tambahan.

Pernah ketika pasukannya berpangkalan berhampiran Paris, rakannya melaporkan satu tabiat aneh Domery – dalam masa setahun, beliau makan sebanyak 174 ekor kucing termasuklah secara hidup-hidup. Mujur beliau tidak hidup kekal di sana. Kalau tidak, mungkin Paris akan menjadi bandar yang bebas kucing.

Beberapa tempoh kemudian, berlaku lagi satu perangai aneh Domery. Ketika itu, beliau berusia 21 tahun dan sedang menyertai sebuah kapal bernama Hoche yang berlayar di pantai Ireland. Tanpa semena-mena, Hoche dibedil oleh kapal milik Tentera Laut British. Pertempuran lantas tercetus.

Namun dalam suasana yang sedemikian kacau itu pun, Domery sempat merisaukan tentang perutnya yang berkeroncong. Matanya meliar ke kiri dan ke kanan, cuba mencari makanan.

Kebetulan pada saat itu, seorang rakannya terkena bedilan meriam sehingga terputus kakinya – ia tercampak dan tergeletak di atas dek kapal. Domery yang sedang kebulur lantas menyambar kaki tersebut. Dagingnya dijamah mentah-mentah.

Dek kerana jijik dengan perbuatan itu, rakan Domery yang lain bertindak merentap kaki tersebut dari mulutnya lalu melemparnya ke dalam laut – sekali gus membuatkan Domery kembali sedar pada suasana di sekelilingnya. Kapal Hoche ditawan. Anak-anak kapalnya pula dijadikan tahanan British, termasuklah Domery.

Maka pada tahun 1799, di usia 21 tahun, Domery menghabiskan masanya di dalam sebuah penjara di Liverpool.

Di sana, setiap banduan diperuntukkan sebanyak 740 gram roti, 230 gram sayur, dan sedikit mentega atau keju sebagai makanan harian. Namun untuk Domery, penjara British memberikannya 10 kali ganda lebih banyak berikutan selera makannya yang kuat. Ini tidak termasuk kucing dan tikus.

Domery makan sepuluh hidangan sebegini

Melihat tabiat pemakanannya yang aneh, pihak penjara kemudian memanggil dua orang doktor untuk melakukan pemerhatian dan penyelidikan ke atas Domery.

Tempoh pemerhatian tersebut bagaikan rahmat buatnya, memandangkan beliau diberi pelbagai jenis makanan sepanjang hari – dan tentunya ia dalam kuantiti yang banyak.

Pada jam 4 pagi, beliau diberi sebanyak 1.8 kg hempedu lembu yang mentah. Lima jam kemudian, beliau dihidangkan pula dengan 2.3 kg daging mentah. Bahkan lantaran beliau dahulunya pernah makan lilin, doktor turut memberikannya 453 gram lilin bersama sebotol wain.

Semuanya bagi memerhatikan corak pemakanan Domery seterusnya mengenal pasti kondisi kesihatannya. Namun doktor yang ditugaskan tetap juga gagal memberikan preskripsi yang sesuai.

Walaupun mengambil makanan sedemikian banyak, badan Domery masih sihat dan normal – cukup untuk mengekalkan kecergasannya sebagai seorang tentera. Cuma, doktor mendapati Domery mengalami kesukaran untuk tidur dan kerap berpeluh terutama sebelum dan selepas tidur.

Menerusi simptom-simptom yang direkodkan, pakar kesihatan moden mengandaikan yang Domery mengalami penyakit hyperthyroidisme.

Namun, andaian ini tidaklah berapa tepat. Kerana dalam kes hyperthyroidisme yang ekstrim sekali pun, belum ada yang pernah makan berkilo-kilo rumput, lilin, mahupun kucing. Apatahlagi terlibat dalam kanibalisme.

Lagipun, Domery tidak menunjukkan beberapa simptom lain seperti degupan jantung yang kencang, perubahan mood yang kerap, dan serangan resah yang berpanjangan. Jadi, tabiatnya itu masih mengundang teka-teki sehingga hari ini.

RUJUKAN

Esh. (21 April 2021). Horrifying Appetite of a Man Who Ate Everything. Medium.

Hartzman, Marc. (n.d.) The Man Who Ate Anything and a Whole Lot of It. Weird Historian.

Redd, Wyat. (15 November 2017). Try Not to be Mortified When You Hear About the Legendary Appetite of Charles Domery. History Collection.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Pencinta bahasa ibunda dan sejarah dunia. Amir Zayyanid merupakan seorang penulis dan penterjemah bebas yang menyimpan impian mahu menabur bakti kepada anak pertiwi menerusi pendokumentasian sebanyak mungkin bahan bacaan, sama ada fiksi mahupun bukan-fiksi.

Comments are closed.