The Stanford Prison Experiment merupakan sebuah filem yang diinspirasikan daripada kisah ataupun eksperimen sebenar yang berlaku pada tahun 1971. Eksperimen ini diketuai oleh Philip Zimbardo, yang merupakan seorang professor bidang psikologi di Universiti Stanford. Eksperimen yang diberi nama ‘Stanford Prison Experiment’ (SPE) tersebut yang sepatutnya berlangsung selama 2 minggu, terpaksa diberhentikan selepas 6 hari, iaitu bermula 14 Ogos sehingga 20 Ogos, bertempat di Universiti Stanford itu sendiri.

Matlamat utama eksperimen ini adalah untuk mengenal pasti kesan psikologi yang berpunca daripada pegangan kuasa ataupun penguasaan autoriti, di mana subjek utama eksperimen difokuskan kepada tahanan penjara (prisoners) yang berada di bawah penguasaan dan juga pengawal penjara (prison officers) yang memegang kuasa. Subjek-subjek eksperimen iaitu tahanan penjara dan juga pengawal penjara merupakan pelajar-pelajar lelaki Universiti Stanford sendiri, yang mengambil bahagian secara sukarela dan dibayar sebanyak 15 dollar sehari.

Stanford Prison Experiment’ ini telah membuktikan bahawa manusia yang baik itu mampu melakukan kejahatan apabila berada dalam situasi tertentu, di bawah penguasaan sesuatu sistem. Tiga faktor utama yang terlibat adalah manusia, situasi dan sistem.

1. Sejarah Lucifer Effect

Seperti yang kita sedia maklum, ‘Lucifer’ adalah nama yang ditujukan kepada iblis. Iblis yang pada awalnya patuh dan tunduk kepada arahan Tuhan, telah ingkar apabila enggan bersujud kepada Nabi Adam as. Oleh itu, Tuhan telah menghalau iblis keluar daripada syurga di mana iblis telah berjanji untuk menyesatkan umat manusia sehingga akhir zaman.

Philip Zimbardo yang mengetuai Stanford Prison Experiment terinspirasi dengan kisah Iblis dan Nabi Adam tersebut, di mana beliau percaya bahawa seperti iblis (Lucifer) yang berubah kepada kejahatan, manusia yang pada asalnya baik juga mampu untuk melakukan perkara yang sama, terutamanya apabila berada dalam situasi di mana mereka berada dibawah penguasaan autoriti.

Namun, psikologi sosial yang diberi nama Lucifer Effect oleh Zimbardo ini telah wujud sejak zaman Perang Dunia ke-2 lagi, di mana Adolf Eichmann yang merupakan seorang Kolonel German Nazi, penjenayah perang (war criminal) yang didapati bersalah atas jenayah perang (war crimes) yang dilakukan ke atas orang Yahudi. Eichmann telah dihukum gantung pada tahun 1962 dan kisahnya telah dibukukan oleh Hannah Arendt yang berjudul ‘Eichmann in Jerusalem’. Di dalam buku tersebut, Hannah merumuskan bahawa Eichman bukan lah seorang fanatik mahupun menghidapi penyakit mental, namun dia menjustifikasikan segala jenayah perang yang dilakukan adalah atas sebab menurut arahan pemerintah sekali gus percaya bahawa dia tidak perlu bertanggungjawab atas jenayah yang dilakukannya.

Berikutan perbicaraan kes Eichmann, pada tahun 1961 seorang pakar psikologi daripada University Yale, iaitu Stanley Milgram telah melakukan eksperimen yang dinamakan Milgram Experiment. Eksperimen tersebut bertujuan mengenal pasti sejauh mana kah manusia sanggup melakukan sesuatu semata-mata demi menurut arahan pihak berkuasa/pemerintah. Dalam eksperimen tersebut, subjek merupakan beberapa orang dewasa yang berlainan pekerjaan dan tahap pendidikan. Subjek diyakinkan bahawa mereka sedang mengambil bahagian dalam satu eksperimen di mana mereka menjadi ‘guru’ (teacher) yang perlu mengajarkan beberapa patah perkataan kepada ‘pelajar’ (learner). Jika pelajar tersebut menyebut perkataan yang diajar dengan salah, ‘guru’ perlu menghukum dengan memberikan renjatan elektrik yang meningkat sebanyak 15-voltan bagi setiap kesalahan. Subjek percaya bahawa mereka memberi renjatan elektrik yang sebenar. Hakikatnya, renjatan tersebut tidak wujud dan ‘pelajar’ hanya berlakon seperti terkena renjatan elektrik semata-mata.

Setiap kali ‘guru’ menyatakan hasrat untuk menghentikan eksperimen tersebut, penyelia eksperimen akan memberikan 4 patah arahan verbal secara berperingkat.

  1. Sila teruskan (Please continue)
  2. Eksperimen memerlukan anda untuk teruskan (The experiment requires that you continue)
  3. Ianya adalah amat penting untuk anda diteruskan (It is absolutely essential that you continue)
  4. Anda tiada pilihan lain, anda perlu teruskan (You have no other choice, you must go on)

Jika subjek tetap berkeras untuk menghentikan eksperimen, penyelia eksperimen akan akur dengan keputusan yang dipilih. Namun, jika subjek memilih untuk meneruskan eksperimen tersebut, eksperimen cuma akan dihentikan apabila renjatan elektrik mencapai maksimum 450-volt 3 kali berturut-turut. Penyelia eksperimen juga akan menyuruh ‘guru’ untuk terus meneruskan eksperimen sehinggalah pelajar berjaya menyebut setiap perkataan dengan betul.

Eksperimen ini mendapat hasil yang mengejutkan. Sebelum memulakan eksperimen, Milgram terlebih dahulu telah meminta 14 pelajar psikologi tahun akhir daripada Universiti Yale untuk menganggar perlakuan 100 orang subjek eksperimen yang bakal menjadi ‘guru’. Kesemua responden percaya bahawa hanya segelintir kecil subjek (3 daripada 100 orang) yang sanggup memberikan renjatan elektrik dengan kadar voltan maksima. Respon daripada 40 orang pakar psikiatri daripada sebuah hospital pula mengatakan bahawa apabila tiba di renjatan ke-10, di mana ‘pelajar’ meminta untuk menghentikan hukuman, kebanyakan subjek akan menghentikan eksperimen tersebut. Mereka menganggar bahawa hanya 3% daripada subjek yang akan meneruskan eksperimen tersebut.

Namun, menerusi set pertama Milgram Experiment, 65% daripada mereka yang mengambil bahagian didapati memberikan renjatan elektrik maksima mencapai 450-voltan, di mana kesemua subjek memberikan renjatan sekurang-kurangnya 300-voltan. Setiap daripada subjek berhenti seketika untuk mempersoalkan eksperimen tersebut namun hampir kesemua meneruskan eksperimen setelah diyakinkan oleh penyelia eksperimen.

Milgram meneruskan eksperimen tersebut dari masa ke semasa, merangkumi pelbagai situasi dan lapisan masyarakat. Hasilnya masih konsisten. Ini membuktikan bahawa manusia cenderung melakukan apa sahaja demi menurut arahan ‘pihak berkuasa’.

2. Stanford Prison Experiment (SPE)

Phillip Zimbardo memulakan eksperimen nya sendiri yang dikenali sebagai Stanford Prison Experiment (SPE). Matlamat SPE ini sama seperti Milgram Experiment yang ingin mengkaji perlakuan manusia yang berada di bawah penguasaan autoriti. Sukarelawan yang mengambil bahagian mempunyai personaliti dan karakter yang baik, dibahagikan kepada 2 kumpulan secara rawak; tahanan penjara (prisoners) dan pengawal penjara (prison officers/guards). Zimbardo menyuruh pengawal penjara agar melakukan ‘tugas’ masing-masing dengan sebetulnya dan menganggap eksperimen itu sebagai satu realiti dan bukannya satu eksperimen.

Melalui Stanford Prison Experiment, Zimbardo mendapati bahawa salah satu faktor utama yang menyebabkan tahanan dilayan dengan teruk adalah proses yang dikenali sebagai ‘dehumanising’, di mana sifat manusia (human) dan identiti di dalam diri tahanan dikurangkan/dihapuskan. Ini menjadikan status tahanan merundum lebih menghampiri status ‘haiwan’ berbanding manusia sekali gus diperlakukan dengan teruk oleh pengawal penjara.

Sebagai contoh, menerusi filem The Stanford Prison Eksperimen ini, kita dapat melihat bahawa pada hari pertama berlangsungnya eksperimen, subjek yang telah dipilih menjadi tahanan melalui sesi penangkapan yang realistik, dan seterusnya dibawa ke ‘penjara’ yang dinamakan Stanford County Prison. Sebagai tahanan, nama mereka digantikan dengan nombor siri dan mereka dilarang menggunakan nama lain selain daripada nombor siri yang telah ditetapkan untuk setiap tahanan. Uniform tahanan diberikan dalam bentuk ‘dress’ berbanding baju dan seluar.

Setiap tahanan diberikan katil yang dilengkapi tilam dan selimut untuk tidur beserta makanan. Mahupun begitu, apabila tahanan-tahanan mula merancang sesama sendiri untuk melakukan pemberontakan, Zimbardo sendiri telah mengarahkan pengawal agar melakukan apa sahaja untuk memecahbelahkan ‘gerakan’ tahanan. Oleh itu, kemudahan katil dan tilam ditarik semula dan tahanan-tahanan yang didapati degil dan kuat melawan pengawal akan dikurung di dalam sebuah almari yang dipanggil ‘The Hole’ sebagai pengajaran kepada tahanan lain. Perjanjian yang pada asalnya melarang sebarang penderaan fizikal juga dilanggar apabila pengawal mula memukul tahanan yang tidak dapat dikawal.

Layanan buruk yang berlarutan ini menyebabkan tahanan cuba melarikan diri namum gagal. Tahanan akhirnya sedar bahawa mereka sedang berada di dalam penjara yang sebenar meskipun diberitahu bahawa mereka merupakan subjek eksperimen. Hal ini menyebabkan tahanan tertekan, hilang harapan dan berubah menjadi ‘submissive’ dan akhirnya cuma patuh kepada penderaan fizikal dan verbal yang diberikan oleh pengawal. Di sini, kita dapat lihat bahawa tahanan tiada lagi ‘kebebasan’ seperti manusia yang lain.

Seperti kehidupan di dalam penjara sebenar, tahanan juga diberikan peluang untuk berjumpa dengan ahli keluarga menerusi sesi lawatan. Walaupun dilayan dengan teruk sepanjang berada di dalam eksperimen tersebut, tiada seorang pun tahanan yang mengadu kepada ahli keluarga masing-masing. Ahli keluarga yang mengesyaki sesuatu juga hanya mendiamkan diri kerana berfikir ianya cuma satu eksperimen walhal tahanan diperlakukan seperti berada di dalam penjara sebenar.

Keadaan menjadi lebih membimbangkan apabila seorang paderi yang dijemput untuk berkomunikasi dengan tahanan juga memperlakukan mereka seperti tahanan sebenar. Tahanan akhirnya menjadi semakin bingung dan menerima ‘identiti’ baru mereka sebagai tahanan penjara yang benar-benar bersalah.

Zimbardo yang terlalu taksub dengan Stanford Prison Experiment ini akhirnya sedar apabila teman wanitanya yang juga seorang pelajar kedoktoran psikologi melawat eksperimen tersebut dan mendapati bahawa eksperimen dilangsungkan dengan tidak bermoral di mana subjek-subjek yang menjadi tahanan diperlakukan dengan teruk sehingga mampu menjejaskan emosi dan mental mereka. Dia akhirnya meyakinkan Zimbardo untuk menghentikan eksperimen tersebut.

Stanford Prison Experiment (SPE) yang sepatutnya berlangsung selama 2 minggu, berakhir pada hari ke-6. Dalam masa 36 jam sejak bermulanya eksperimen ini, subjek yang dipilih menjadi tahanan menghidapi tekanan yang keterlaluan. Lantaran itu, 5 orang subjek terpaksa dilepaskan.

III. Pengajaran

Hasil daripada Stanford Prison Experiment (SPE), Zimbardo mendapati bahawa ternyata manusia patuh melakukan apa sahaja yang diarahkan oleh orang atasan. Kepatuhan ini tidak tertakluk kepada subjek-subjek eksperimen sahaja, bahkan juga kepada orang luar yang mendiamkan diri dan tidak mempersoalkan apa-apa seperti ahli keluarga tahanan, paderi mahupun penyelia-penyelia eksperimen yang terlibat termasuklah Zimbardo sendiri.

Setelah eksperimen ini berakhir, satu observasi dibuat ke atas subjek-subjek eksperimen yang berlakon sebagi tahanan dan pengawal. Tahanan masing-masing merasakan bahawa mereka diperlakukan dengan teruk walaupun mereka hanya ‘bertugas’ di dalam eksperimen. Pengawal pula mengatakan bahawa jika tahanan diberikan tugas pengawal, mereka juga akan melakukan perkara yang sama; memberikan layanan yang berbentuk penderaan dan hukuman yang buruk. Semuanya kerana patuh atas arahan penyelia eksperimen.

Ianya juga amat mengejutkan kerana tiada seorang pun yang terlibat di dalam eksperimen tersebut yang mempersoalkan tindakan pengawal yang ’abusive’. Pengawal yang paling ‘kreatif’ dalam layanan ke atas tahanan juga mempersoalkan,

Why didn’t people say something when I started to abuse people?

Justeru, persoalan paling besar yang dapat kita rumuskan melalui Stanford Prison Experiment ini adalah ‘Adakah aku mampu melakukan kejahatan?’ (Am I capable of evil?)

Pasti kebanyakan daripada kita memperkatakan bahawa jika kita berada dalam situasi mereka, di mana kita merupakan pengawal, kita tidak akan melayan tahanan dengan buruk. Hakikatnya, kita tidak berada di dalam situasi mereka untuk berkata sedemikian.

Walau bagaimanapun, menerusi buku ‘The Lucifer Effect’ karya Philip Zimbardo, beberapa langakah boleh diambil agar kita lebih berhati-hati dalam konteks, perasaan dan keadaan yang melibatkan diri kita sendiri. Antaranya ialah:

  1. Mengakui kesilapan tanpa cuba menjustifikasikan perbuatan kita.
  2. Sentiasa berhati-hati dan kritikal terhadap perlakuan dan kata-kata orang lain.
  3. Mengambil enteng dan bertanggungjawab akan perbuatan diri sendiri.
  4. Fahami identiti dan personaliti sendiri.
  5. Menghormati autoriti yang adil dan menolak autoriti yang berat sebelah.
  6. Seimbangkan keinginan untuk diterima oleh sesuatu kumpulan dengan keinginan untuk identiti individual.
  7. Sentiasa peka dengan cara idea diekspresikan.
  8. Berfikir dan membuat keputusan untuk jangka masa panjang.
  9. Jangan mengorbankan kebebasan kendiri untuk sesuatu yang hanya ilusi.
  10. Sentiasa menolak dan melawan sistem yang tidak adil.

Kesimpulannya, anasir jahat itu wujud di mana-mana, tidak kira manusia, situasi mahupun sistem.  Namun begitu, kita sebagai ahli masyarakat yang menginginkan kesama-rataan dan peri-kemanusiaan perlu mempunyai jati diri yang tinggi di mana kita berkebolehan menegakkan perkara yang betul walaupun berseorangan sekali gus menentang sistem yang menzalimi pihak yang lemah.

Rujukan, bacaan dan informasi lanjut:

1) https://www.psychologized.org/what-is-the-lucifer-effect/

2) https://en.wikipedia.org/wiki/Milgram_experiment

3) https://www.ted.com/talks/philip_zimbardo_on_the_psychology_of_evil


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Aku menulis kerana kalian membaca. And for that we compliment each other. Selamat membaca dan semoga terus setia; untuk aku yang bertemankan pena dan kalian yang gigih mendalami kata-kata.

Comments are closed.