Semasa Sukan Olimpik Musim Sejuk 2018 di Pyeongchang berlangsung, ada satu komen yang dikeluarkan seorang pengulas bernama Joshua Cooper Ramo yang menimbulkan kemarahan orang Korea Selatan. Komen yang dimaksudkan ialah ini, “Setiap orang Korea akan beritahu Jepun merupakan contoh penting dari segi budaya, ekonomi dan teknologi yang memberi kesan kepada transformasi mereka.” Komen tersebut nampak biasa tapi ia sebenarnya membuka luka lama yang masih belum sembuh, terbentuk semasa era penjajahan Jepun di Semenanjung Korea. Tetapi bagaimana ia boleh berlaku?

Selepas membuang dasar pemencilan yang diamalkan selama beberapa abad, Korea yang muncul pada abad ke-19 berhadapan dengan kejutan tak disangka-sangka dari segi politik dunia semasa. Ini kerana pada ketika itu, China, Jepun dan Rusia sudah berlumba-lumba mahu mewujudkan kawasan koloni masing-masing. Ini belum dicampur dengan tindakan kuasa-kuasa asing seperti Amerika Syarikat, Britain dan Perancis yang mengintai peluang melebarkan pengaruh mereka di Semenanjung Korea.

Selalunya bila berhadapan dengan isu sebegini, Korea akan merujuk kepada China seperti yang dilakukan oleh kerajaan-kerajaan terdahulu. Tetapi menjelang lewat abad ke-19, kuasa politik China semakin terhakis oleh kuasa-kuasa asing yang melebarkan pengaruh mereka di sana. Sementara Jepun pula bangkit sebagai kuasa baru di rantau Asia Timur semasa era pemerintahan Maharaja Meiji. Dasar perindustrian Jepun menjadikan negara Matahari Terbit tersebut maju dari segi ekonomi dan ketenteraan. Namun dengan kuasa itu juga, ia turut mendorong Jepun mengintai peluang melebarkan pengaruh mereka di Semenanjung Korea dan Manchuria. Pada mereka, kedua-dua kawasan ini amat sesuai untuk mereka mengembangkan sektor pertanian dan perindustrian yang rancak ketika itu. Bagi Korea, Dinasti Choson yang memerintah ketika itu cuba melaksanakan reformasi dan bergantung kepada China untuk mengekalkan kedaulatannya. Namun, semua itu berubah selepas China tewas kepada Jepun dalam Perang China-Jepun Pertama (1895).

Dan cita-cita Jepun diperkukuhkan lagi dengan kejayaan mereka mengejutkan Rusia dalam Perang Rusia-Jepun (1905). Bagi kuasa-kuasa besar ketika itu, mereka tidak berminat untuk mengekang selera Jepun dalam meluaskan empayarnya. Bagi warga Korea pula, menerima Jepun bererti membiarkan kedaulatan negara mereka diragut begitu saja oleh penjajah asing. Namun, itu tidak menghalang Jepun menggunakan pelbagai kaedah termasuk pembunuhan anggota kerabat diraja Korea untuk mengukuhkan tuntutan mereka. Dan ianya menjadi kenyataan pada tahun 1910 apabila Jepun bertapak di Semenanjung Korea dan menamakan kawasan tersebut sebagai Chosen. Penjajahan tersebut berterusan sehinggalah kekalahan Jepun dalam Perang Dunia Kedua (WWII).

Semasa pemerintahan Jepun, warga Korea berhadapan pelbagai kesukaran untuk mengekalkan identiti dan budaya mereka. Ini kerana dalam tempoh 35 tahun, Jepun mengharamkan pengajaran bahasa dan sejarah Korea serta membakar banyak dokumen. Berdasarkan rekod, Jepun membakar 200,000 dokumen sejarah sekaligus memusnahkan rekod-rekod penting berkenaan Korea. Warga Korea juga dipaksa menukar identiti mereka mengikut nama Jepun, belajar dan mengajar dalam Bahasa Jepun. Contoh paling mudah, pemenang pingat emas Olimpik pertama dari Korea, Sohn Kee-chung. Semasa bertanding di Sukan Olimpik Berlin 1936, Kee-chung dipaksa bertanding menggunakan nama Jepun, Son Kitei.

Sekolah-sekolah dan universiti-universiti ditegah dari bercakap dalam Bahasa Korea dan diberi penekanan kerja berat serta kesetiaan terhadap Maharaja. Tempat-tempat awam dipaksa menggunakan nama-nama Jepun dan filem-filem diterbitkan dalam Bahasa Jepun. Dan semasa tempoh ini juga, tanah-tanah petani dirampas dan diberikan kepada peneroka-peneroka dari Jepun. Jika tidak dirampas, petani-petani ini akan dipaksa membanting tulang di ladang mereka untuk memenuhi kuota gandum Korea untuk Jepun. Peneroka-peneroka ini menanam spesis pokok yang tidak terdapat di Korea sekaligus mengubah lanskap pemandangan yang diketahui warga Korea.

Satu perkara yang pasti buat warga Korea mendidih ialah tindakan pihak Jepun ke atas Istana Gyeongbukgong. Semasa tempoh tersebut, satu pertiga kawasan istana Dinasti Joseon yang dibina pada tahun 1395 dirobohkan sementara kawasan istana yang terselamat dijadikan sebagai kawasan tarikan pelancong untuk pelancong Jepun. Kerajaan Jepun turut berusaha memulihara sejarah dan budaya seni Korea tetapi ada agenda di sebalik ini. Menurut sejarawan Kang Hee-jung, ianya digunakan untuk menunjukkan imej Jepun sebagai kuasa baru yang bertamadun dan moden sementara Korea digambarkan sebagai mundur dan primitif. Persepsi sebegini terus berakar di sana melalui buku teks, muzium dan pandangan sesetengah warga Korea terhadap diri mereka sendiri.

Bagi warga Korea, agak sukar untuk mereka bersatu. Ini kerana satu pihak mahu membina hubungan dengan Barat dan mengambil nilai mereka. Satu pihak lagi mahu Korea kembali kepada ajaran Confucius dan tradisi bangsa mereka. Dan ada juga mahu Korea mengikut acuan Revolusi Rusia 1917 dan fahaman Marxisme. Perbezaan dari segi fahaman ini masih wujud sehingga ke hari ini dan pada era penjajahan Jepun, agak sukar untuk pihak-pihak ini untuk berkompromi. Tetapi semua itu berubah pada 1 Mac 1919. Pada hari itu, pergerakan kemerdekaan tercetus apabila pelajar-pelajar di Seoul melancarkan protes terhadap pemerintahan Jepun dan mengisytiharkan kemerdekaan.

Sokongan kepada kumpulan ini tersebar luas dan ia disebabkan dua faktor. Pertama, kemangkatan Maharaja Gojong pada 21 Januari 1919. Wujud khabar angin baginda sebenarnya dibunuh oleh pihak Jepun. Upacara pemakaman dan larangan Jepun pada warga Korea untuk berkabung, mencetuskan amarah yang terpendam dan membawa kepada pemberontakan pada 1 Mac 1919. Kedua, warga Korea mengharapkan penentangan mereka mendapat sokongan masyarakat dunia. Pada ketika itu, Perjanjian Versailles sudah dimeterai untuk menamatkan Perang Dunia Pertama. Semasa sesi rundingan, Presiden Amerika Syarikat, Woodrow Wilson menegaskan semua negara perlu mempunyai hala tuju sendiri kerana ianya kunci kepada keamanan dunia. Atas sebab itu, Wilson mengusulkan cadangan membentuk Liga Negara-Negara (League of Nations). Doktrin Wilson ini mendapat sokongan warga Korea yang mahukan hak memerintah di tanah air mereka.

Namun idea tersebut ditolak mentah-mentah oleh Jepun dan mereka melancarkan kempen ganas sebagai tindak balas. Ramai yang berprotes atau dianggap bersimpati dengan pergerakan kemerdekaan ditahan dan dipenjarakan. Ramai mati akibat dibelasah pengawal dan askar Jepun, diseksa atau akibat keadaan penjara yang menyedihkan. Ini memaksa ramai warga Korea duduk dalam buangan dan meneruskan agenda mereka sama ada di Manchuria, Shanghai atau Amerika Syarikat.

Selain itu, Jepun turut memaksa warga Korea meninggalkan ajaran Confucius dan menganut agama Shinto. Menurut sejarawan, Donald N. Clark, kerajaan koloni memaksa warga Korea menyembah dewa-dewa maharaja Jepun termasuk maharaja-maharaja yang mangkat dan askar-askar yang terbunuh semasa kempen mereka di Korea. Bagi warga Korea, taktik paksaan ini merupakan satu pembunuhan ke atas budaya dan tradisi Korea. Tetapi bagi Jepun, ini menunjukkan bahawa Jepun dan Korea ialah orang yang sama. Ada yang mengelak perintah ini dengan hanya mengunjungi kuil Shinto dan tidak berdoa di situ. Tetapi ada juga yang mengamalkan kerana bimbang akan dihukum bunuh oleh pihak Jepun.

Selepas peristiwa 1 Mac 1919, Jepun mengurangkan dasar-dasar yang bersifat menindas warga Korea bagi mengelak kecaman masyarakat antarabangsa. Mereka membenarkan penerbitan beberapa buku dan majalah Korea dan mula melabur dalam sektor pendidikan, pembangunan dan jalan raya. Jepun mendakwa mereka sebenarnya berusaha memodenkan Semenanjung Korea dan menyediakan peluang dari segi perdagangan. Namun hakikatnya, semua pelaburan ini hanyalah bertujuan untuk memperkayakan lagi sektor perindustrian Jepun dan ianya juga tidak seimbang di sesetengah kawasan.

Pada era 1930-an, aspirasi ini semakin sukar dikekalkan lebih-lebih lagi apabila kerajaan Jepun semakin dikuasai golongan tentera. Pembunuhan pemimpin-pemimpin sederhana di Korea dan Jepun menambah lagi halangan kepada cadangan untuk pihak Jepun untuk tidak bersikap keras kepada warga Korea. Selepas Jepun memulakan kempen mereka di Manchuria dan Jepun, mereka melihat aspirasi kemerdekaan Korea harus ditentang habis-habisan. Dan mereka juga melihat Korea sebahagian daripada empayar Jepun di mana agama, bahasa dan budayanya harus sama. Maka tidaklah mengejutkan semasa WWII, warga Korea dipaksa memasuki pasukan kerahan tentera atau dipaksa bekerja seperti hamba. Bagi kaum Hawa pula, ribuan diculik dan dipaksa sebagai pemuas nafsu tentera Jepun. Dan sehingga ke hari ini walaupun WWII sudah berakhir, Jepun masih enggan bertanggungjawab dengan jenayah perang dan kemanusiaan yang dilakukan. Atas sebab itulah, ia menjadi duri dalam daging dalam hubungan Jepun-Korea Selatan.

WWII bukan saja memusnahkan Jepun tetapi juga memberi kesan besar kepada Semenanjung Korea. Pada tahun 1945, semenanjung itu ditawan oleh Amerika Syarikat dan Kesatuan Soviet sekaligus menamatkan penjajahan Jepun di wilayah tersebut. Korea dibahagikan kepada dua zon pendudukan yang seharusnya bersifat sementara. Tetapi negara Korea yang bersatu hanya tinggal impian sahaja. Sebaliknya, Perang Korea meletus antara Korea Utara yang disokong Soviet dan China dengan Korea Selatan yang mendapat sokongan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Amerika Syarikat.

Selepas Perang Korea berakhir, Korea Selatan bertukar menjadi sebuah negara liberal demokrasi dan berusaha membuang semua saki-baki pemerintahan Jepun. Negara tersebut mendakwa beberapa individu yang didakwa bersubahat dengan Jepun selepas WWII dan sebahagian tanah mereka dirampas. Hari ini, pertikaian masih tercetus tentang bagaimana dan apakah perlu mendakwa pihak yang bersubahat dengan Jepun semasa tempoh pendudukan mereka di Semenanjung Korea. Sementara mereka masih bergelut dengan titik hitam sejarah ini, mereka tidak pernah lupa benih-benih penentangan yang memarakkan api patriotisme di Semenanjung Korea. 1 Mac, tarikh peristiwa pemberontakan yang berlaku dijadikan sebagai hari cuti awam di sebelah sana. Ia sebagai ingatan bukan saja kepada semangat warga Korea semasa dijajah tetapi juga tahun-tahun penjajahan yang dihadapi mereka.

SUMBER

  1. Blakemore, Erin. (2018). History.com. How Japan Took Control of Korea. http://www.history.com/news/japan-colonization-korea
  2. Miler, Linda Karen. Japanese Colonialism in Korea 1910-1945. http://caforumonline.net/CAFHandlerPDF.ashx?ID=403

Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Comments are closed.