Berkenaan dengan isu menghadap ke arah kiblat oleh seseorang yang berada di angkasa, Agensi Angkasa Negara Malaysia telah menganjurkan pertemuan antara 150 ahli sains dan para ulama untuk menyelesaikan isu arah kiblat daripada angkasa. Hasil perbincangan pertemuan tersebut telah menetapkan arah kiblat (mengikut keutamaan, jika keadaan mengizinkan) adalah seperti berikut:

  1. Menghadap ke arah kaabah di atas permukaan bumi.
  2. Menghadap ke arah unjuran kaabah sejajar dengan garis menegak daripada lokasi kaabah.
  3. Menghadap ke bumi.
  4. Bebas untuk menghadap ke mana mana arah

Kes kedua pula menyatakan bahawa cukup sekadar menghadap ke arah garisan bayangan yang terletak tegak di atas kaabah. Bayangkan jika di atas kaabah terdapat sebuah laser yang memancarkan cahaya garis lurus pada sudut 90° ke atas (ke azimut) kaabah, kedudukan arah kiblat adalah mana mana titik sepanjang garis cahaya tersebut. Namun, kes ini hanya berkesan ke atas mereka yang mengorbit dalam jarak yang dekat kepada bumi. Apabila seseorang angkasawan berada jauh daripada bumi, kes ketiga akan diambil pakai.

Kes ketiga pula menetapkan bahawa seseorang angkasawan muslim perlu menghadap ke arah bumi untuk menghadap kiblat. Dalam kes ini, bumi merupakan titik kiblat. Kes ini sesuai diguna pakai bagi angkasawan yang berada jauh daripada bumi. Jika bumi dianggap sebagai titik kiblat, konsep sisihan arah kiblat yang saya akan terangkan dalam bahagian seterusnya juga sebolehnya dikenakan ke atas kes ketiga ini. Namun, jika angkasawan berada di kedudukan yang sangat jauh daripada bumi sehingga kedudukan sebenar bumi sukar ditetapkan, ataupun terdapat batasan lain, kes keempat akan diguna pakai.

Kes keempat pula adalah kes yang paling kurang keutamaannya. Jika terdapat batas batas lain yang tidak membenarkan seseorang angkasawan mengikut 3 kes yang diberi keutamaan sebelum ini. Hal ini mungkin terhasil daripada kesusahan untuk bergerak dalam sut angkasawan, pergerakan yang menghasilkan kemudaratan dan pelbagai kesusahan yang terhasil dalam usaha menepati 3 kes sebelum ini. Kamal Abdali, seorang ahli kartografi muslim yang menghasilkan kajian mendalam dalam arah kiblat menyatakan bahawa “Solat bukanlah sebuah aktiviti gimnastik. Seseorang itu sepatutnya memberikan keutamaan dalam ibadat daripada menjaga arah yang tepat”. Beliau menerangkan dengan lebih lanjut bahawa, jika di dalam kenderaan bergerak seperti kereta api dan pesawat, kita sepatutnya memulakan solat dengan menghadap ke arah kiblat yang betul, dan teruskan ibadat menghadap arah yang sama, walaupun arah kiblat sudah bertukar sepanjang ibadat tersebut dilakukan tanpa mengubah arah kiblat.

Sisihan Sudut Kiblat

Dalam penentuan arah kiblat, sisihan nilai sudut arah daripada arah sebenar boleh berlaku. Ralat ralat seperti ini boleh terjadi apabila alat ukuran tidak beberapa tepat, dan juga kesalahan pertimbangan manusia dalam menghadap ke arah kiblat. Mufti Ebrahim Desai menerangkan terdapat beberapa pendapat mengenai sisihan yang dibenarkan. Pendapat yang diterima ramai ialah sisihan sebanyak 45° (Kitab Jawahirul Fiqh, Mufti Muhammad Shafi) ke kiri dan ke kanan daripada arah kiblat sebenar dibenarkan. Pendapat yang lebih ketat pula menyatakan sudut sisihan dibenarkan ialah 24°.

Gambar menunjukkan gambaran sisihan yang dibenarkan bagi arah kiblat.

Dalam permasalahan zaman moden, sebagai contohnya penumpang kapal terbang, penumpang masih boleh melakukan solat. Namun adalah satu kemestian untuk penumpang menghadap ke arah kiblat. Jika tidak dinyatakan arah kiblat, hendaklah ditanyakan kepada pramugara/pramugari pesawat. Hanya keadaan di mana arah kiblat tidak diketahui dengan apa cara sekalipun, menggabungkan solat (jama’) tidak sesuai dan waktu solat akan berakhir sebelum pesawat mendarat, barulah diizinkan untuk solat tanpa menghadap ke arah kiblat. Hukum ini berlandaskan bahawa seseorang hendaklah melakukan solat dalam keadaan terbaik, merujuk kepada ayat Q64:16:

“Oleh itu bertaqwalah kamu kepada Allah sedaya supaya kamu; dan dengarlah (akan pengajaran-pengajaranNya) serta taatlah (akan perintah-perintahNya); dan belanjakanlah harta kamu (serta buatlah) kebajikan untuk diri kamu. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjaga serta memelihara dirinya daripada dipengaruhi oleh tabiat bakhilnya, maka merekalah orang-orang yang berjaya.”

Melakukan solat sunat tidak menghadap arah kiblat dalam keadaan seperti ini diizinkan.

Kesimpulan dan Aplikasi

Memandangkan arah kiblat terletak sepanjang garis lengkok bulatan agung, trigonometri sfera boleh digunakan untuk menentukan sudut arah kiblat secara tepat. Arah kiblat terbukti bukanlah terletak sepanjang garis rumb (iaitu garis lurus di atas unjuran merkaptor).

Penggunaan kaedah pengiraan melalui trigonometri sfera sangat mudah dan praktikal berbanding cara cara penentuan arah kiblat yang lain. Sebagai contohnya, penentuan dengan cara penentuan tradisional semasa peristiwa istiwa’ memerlukan pengira melakukan anggaran pada waktu yang spesifik; saat kedudukan matahari berada pada azimut Kaabah (betul betul terletak di atas kaabah, sehingga bayang bayang kaabah hilang). Manakala cara pengiraan melalui trigonometri sfera hanya memerlukan seseorang mengetahui koordinat kedudukannya, dan sedikit kemahiran matematik.

Peristiwa istiwa’ pada tahun 2018 dijangkakan berlaku pada 28 Mei pukul 5:18 petang waktu tempatan dan pada 16 Julai 5:27 petang waktu tempatan. Maklumat didapati daripada dokumen almanak astronomi 2018 keluaran falak online. Pada mereka yang ingin mencuba cara penentuan arah kiblat secara tradisional, anda boleh cuba mengikut langkah langkah yang digambarkan dalam artikel ini: Peluang Menyemak Ketepatan Arah Kiblat.

Arah kiblat tidak akan berfungsi dalam garis lurus pada mengikut fahaman bumi rata. Dalam keadaan bumi rata, segi tiga akan mempunyai sudut dalaman maksimum sebanyak 180. Hal ini akan mengubah sudut kiblat. Saya cabar pengikut fahaman bumi rata untuk memeriksa kesemua arah kiblat masjid dan cuba membuktikan adakah arah kiblat masjid masjid di Malaysia, malah di seluruh dunia ini betul atau salah. Jika benar bumi ini rata, anda akan mengikut arah kiblat yang lain daripada apa yang lazim diikuti. Tidak wajar lah anda berjemaah dengan orang lain bukan jika kiblat yang digunakan sekarang salah jika diukur mengikut fahaman bumi rata anda.

Jika anda salahkan sistem koordinat moden dan mendakwa sistem koordinat moden dicipta untuk bersesuaian dengan konsep bumi sfera, mengapakah kiblat ditentukan secara tradisional menggunakan peristiwa istiwa’? Pemerhatian badan badan samawi seperti matahari bulan dan bintang menunjukkan bahawa bumi ini bulat. Buruj buruj di sebelah hemisfera utara tidak dapat dilihat apabila anda di hemisfera selatan, begitu juga sebaliknya. Silap silap kena hempuk dengan orang laut yang mahir membaca bintang.

Dan jika anda mendakwa ilmu sains dan matematik ini semua ciptaan yahudi yang cuba untuk menyesatkan umat islam, bagaimana pula dengan ilmuan ilmuan islam yang mengembangkan aturan, identiti dan teori matematik yang menjadi asas ilmu matematik moden? Saya tidak bermaksud untuk berkasar, namun, apa intipati yang saya mahu sampaikan ialah, jika anda berfahaman bumi rata, kiblat yang anda ikuti selama ini bukanlah kiblat yang bersesuaian untuk bumi rata.

Jika geng konspirasi hebat menunggang kuda agama, saya akan lawan menunggang sains dan matematik!

Satu perkara yang perlu saya jelaskan, dalam pengiraan sudut kiblat dalam artikel ini, saya menggunakan pernyataan “n darjah ke arah timur/barat daripada utara” untuk menunjukkan arah kiblat sesuatu lokasi. Namun dalam notasi piawai geografi, sudut dinyatakan dalam darjah, bermula dengan 0° yang menunjuk ke arah utara dan nilainya meningkat mengikut arah jam. Notasi ini dipanggil bearing. 360° diperlukan untuk melengkapkan satu bulatan kembali ke arah utara. Oleh itu, kiblat CFS IIUM, PJ dalam notasi bearing ialah 360°-67.60°=292.4°.

Kompas kiblat komersial.

Satu aplikasi yang sangat gemilang merupakan inovasi kompas kiblat. Alat ini sangat mudah pembuatannya, hanya memerlukan sebuah kompas dan penanda yang menujukkan sudut darjah dalam bulatan di sekeliling kompas tersebut. Kebiasaannya, kompas kiblat seperti ini akan disertakan bersama satu carta jadual sudut yang telah dikira mengikut lokasi lokasi tertentu. Dan tanda sudut bulatan dibuat untuk memudahkan jadual darjah digunakan. Sebagai contohnya, kiblat CFS IIUM, PJ ialah 67.60° ke arah barat daripada utara, maka, untuk memudahkan pengguna, penunjuk sudut di sekeliling kompas dinyatakan dengan nilai meningkat mengikut arah jam.

Apabila seseorang ingin mencari arah kiblat menggunakan kompas kiblat ini, beliau perlu meletakkan kompas tersebut di atas permukaan rata yang sejajar dengan tanah (kebiasaannya lantai) dan memutarkan kompas tersebut supaya arah utara kompas menunjuk ke penanda yang menunjukkan sudut 67.60°. Apabila arah utara kompas sudah bertindih dengan penunjuk sudut 67.60°, arah penunjuk 0° (kebiasaannya ditanda dengan corak menara masjid haram) ialah arah kiblat. Alat seperti ini memudahkan pengguna supaya pengguna tidak perlu mengira, dan semua orang termasuk mereka yang tidak berkemahiran dalam trigonometri sfera mampu memenuhi syarak dalam beribadat.

Dalam inovasi kompas kiblat ini, individu yang membuat kompas kiblat perlu mengingati bahawa jika kompas yang direka mempunyai penunjuk sudut, yang nilainya meningkat mengikut arah jam, mereka perlu melakukan sedikit pelarasan terhadap jadual sudut bagi lokasi yang terletak di sebelah barat Mekah. Untuk menggunakan kompas kiblat seperti itu bagi lokasi yang terletak di sebelah barat, jadual sudut kiblat tempat tempat tersebut perlu dilaraskan dengan cara:

Sudut yang dilaraskan=360°-θ

Dengan keadaan:

  • θ merupakan sudut kiblat yang dikira melalui kaedah trigonometri sfera
  • θ<180°
  • lokasi berada di barat Mekah

Pelarasan ini perlu dilakukan oleh kerana sifat jarum kompas yang menunjuk ke arah utara. Penyelesaian melalui menggunakan penunjuk sudut yang mempunyai dua arah (mengikut arah jam dan lawan jam) hanya akan mengelirukan pengguna dan merumitkan proses penggunaan kompas kiblat. Jadi, pelarasan sudut bagi lokasi yang terletak di sebelah barat Mekah merupakan satu aspek penting yang perlu diambil berat oleh pereka kompas kiblat.

Masih ingatkah perbezaan antara utara benar dan utara magnetik? Dalam penggunaan kompas kiblat, sisihan sudut kiblat yang terhasil akibat perbezaan antara dua titik utara pada kelazimannya masih di dalam julat sisihan yang diterima untuk arah kiblat. Maka, untuk matlamat penentuan arah kiblat menggunakan kompas, titik utara magnetik boleh digunakan. Alat ini dicipta untuk memudahkan penentuan arah kiblat, jadi sisihan dalam julat kecil seperti ini masih diterima.

Kompas kiblat bukanlah sesuatu inovasi yang baharu, malah, sebenarnya penggunaan kompas kiblat telah wujud sejak berabad yang lepas. Rekod paling awal menyebut tentang kewujudan kompas kiblat adalah rekod daripada sultan Yaman, al-Malik al-Ashraf. Sultan al-Ashraf menggambarkan cara pembuatan dan penggunaan kompas kiblat pada abad ke-13. Walaupun begitu, beliau tidak menyebut bahawa sama ada beliau sendiri yang mencipta kompas kiblat, maka tidak mustahil alat ini telah wujud lebih lama daripada abad ke-13.

Carta penunjuk sudut kompas kiblat sultan al-Ashraf.

Zaman moden dengan peningkatan penggunaan telefon pintar membolehkan penggunaan kompas kiblat digital. Google Play dan App Store menawarkan pelbagai aplikasi kompas kiblat dan penunjuk arah kiblat. Aplikasi seperti ini menggunakan konsep trigonometri sfera sebagai asas pengiraan data untuk pencarian arah kiblat. Aplikasi tersebut akan menggunakan data daripada sistem GPS dan penderia yang terdapat pada telefon pintar tersebut untuk mendapatkan data koordinat lokasi dan arah mata angin. Menggunakan data data tersebut, aplikasi kompas kiblat digital dapat menunjukkan arah kiblat. Namun ketepatan arah kiblat melalui penderia telefon pintar terbatas jika terdapat gangguan elektro magnetik dan magnetik berdekatan telefon pintar tersebut kerana faktor ini dapat mengganggu bacaan nilai koordinat dan arah mata angin.

Rujukan

Parveen Kausar Yaakob, (2014), Foundation Mathematics, Cengage Learning Asia Pte Ltd, Malaysia.

S.Kamal Abdali, (1997), The Correct Qiblat, k.abdali@acm.org

Debra Anne Ross, (2010), Master Math Trigonometry, Cengage Learning Canada.

Don May: “You Can’t Build That Mosque With a Compass,” Surveying and Mapping (Quarterly Journal of the American Congress of Surveying and Mapping), Vol. 13, No. 3 (July–September 1953). pp. 367–368.

al-Razi, Fakhr al-Din: Tafs¯ir al-Kab¯ir (in Arabic). 8 vol., 1st ed., Matba‘at al-Bahiyat al-Masriyyah, Cairo, 1357 A.H./1938.

M’CLELLAND, W. (2015). TREATISE ON SPHERICAL TRIGONOMETRY,. [S.l.]: FORGOTTEN BOOKS.

Niyāzī, ʻ. (1999). World guide to Qibla. Riyadh: Dār al-Khurayjī lil-Nashr wa-al-Tawzīʻ.

Teunissen, P., & Montenbruck, O. Springer handbook of global navigation satellite systems.

 


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Beliau merupakan pelajar bioteknologi di UIAM. Aktif sebagai pengamal sains persendirian sejak 2010. Minat dan kemahiran beliau adalah biokimia dan biologi molekul. Sebagai presiden kelab Wawasan di dalam UIAM, beliau telah menganjurkan beberapa program berbentuk Tanggungjawab Sosial Korporat yang befokuskan "celik sains" (scientific literary) seperti Bioinformatic Outreach. Beliau percaya bahawa sains tidak patut terkurung di dalam makmal sahaja, dan merupakan sesuatu yang dikongsi setiap lapisan masyarakat.

Comments are closed.