Saya sering ditanya, mengapa sultan-sultan atau raja-raja di Alam Melayu dulu bersikap negatif (zalim, suka berfoya dan sebagainya)?
Saya menjawab, dalam mana-mana sistem pemerintahan dan dinasti kesultanan selain Khulafa Ar-Rasyidin, mesti ada raja yang soleh dan raja yang kurang baik peribadinya. Sama ada kerajaan Umayyah, Abbasiyah, Uthmaniyah dan lain-lain.
Dalam dinasti Kesultanan Mughal di India, ada pemimpin yang soleh seperti Aurangzeb dan ada pemimpin yang zalim seperti Akbar Khan.
Malah setahu saya, sezalim sultan-sultan atau raja-raja di Alam Melayu, tiada yang lebih teruk berbanding Maharaja Akbar Khan. Dosa Akbar Khan yang mencipta agama baru iaitu Din Ilahi adalah terlalu besar untuk dibandingkan.
Sultan Mahmud Syah Melaka yang memiliki sikap-sikap yang negatif seperti berlaku zalim dan bernafsu buas seperti yang dicatatkan dalam Sulalatus Salatin, tetap memiliki sikap-sikap yang positif seperti menghormati guru dan ulama.
Ketika Sultan Mahmud berguru ke rumah Maulana Yusuf, baginda pergi berjalan kaki dan menggelarkan dirinya ‘faqir’ ketika berbicara dengan Maulana Yusuf.
Pemimpin-pemimpin yang lahir dari sistem demokrasi juga ramai yang zalim dan korup. Lihat sahaja pemimpin-pemimpin di Amerika Selatan, Afrika, Bangladesh dan lain-lain. Lihat sahaja penyelewengan yang dilakukan oleh Alberto Fujimori, Joseph Estrada, Khaleda Zia dan ramai lagi. Semua pemimpin ini lahir dari sistem demokrasi.
Negara Venezuela yang kononnya menjunjung sistem demokrasi-sosialis (democratic-socialism) pula kini menghadapi kemusnahan ekonomi. Rakyatnya terpaksa beratur sehingga empat jam semata-mata untuk membeli dua kampit tepung.
Sultan-sultan di Alam Melayu (Nusantara) pada zaman dahulu ramai yang berperibadi soleh. Namun mengapa kita hanya memandang mereka yang berperibadi tholeh (negatif)?
Berikut adalah contoh sultan-sultan yang soleh di Nusantara :-
1) Sultan Malikuz Zahir Thani (Samudera Pasai) diakui oleh Ibnu Battutah sebagai sultan yang dermawan dan tawaduk. Baginda juga seorang yang faqih dalam ilmu fiqh sehingga sering mengadakan majlis muzakarah ilmu-ilmu fiqh.
2) Sultan Alauddin Mansur Syah Aceh sangat tegas melaksanakan syariat dan syiar Islam. Segala kegiatan maksiat dicegah dengan tegas. Baginda memerintahkan semua hulubalangnya untuk memelihara janggut bagi mengikuti Sunnah Rasulullah SAW.
3) Sultan Iskandar Muda Aceh telah menghabiskan usianya dalam usaha membebaskan bumi Melaka dari cengkaman Portugis. Baginda telah menubuhkan sebuah majlis penasihat Sultan yang dianggotai oleh 22 orang ulama. Baginda akan merujuk para ulama dalam setiap tindakannya.
4) Sultan Ala’uddin Melaka menggerakkan usaha dakwah dari Melaka. Baginda berjaga malam untuk menjaga maslahah rakyatnya. Baginda juga mengajarkan ilmu agama kepada raja-raja di bawah naungannya dan kaum kerabatnya.
5) Ramai dari sultan di Alam Melayu yang merupakan ulama yang soleh. Antaranya Sultan Sharif Ali, Sultan Syarif Hidayatullah, Sultan Maulana Hasanuddin, Sultan Maulana Yusuf, Sultan Syariful Hashim dan ramai lagi.
6) Sultan Idrus Qaimuddin Al Buthoni, Sultan Kerajaan Buton diiktiraf sebagai seorang ulama besar Buton dan syeikh tarekat Sammaniyah-Khalwatiyah. Terkenal dengan hidupnya yang zuhud. Baginda telah mengarang lebih dari 17 buah kitab-kitab dalam bahasa Arab, Melayu dan Buton.
7) Ramai dari sultan di Alam Melayu yang turun langsung ke medan jihad dan berperang dengan musuh Allah sang penjajah. Ramai yang beroleh kemenangan seperti Sultan Saiful Rijal Brunei dan Sultan Babullah Ternate. Ramai yang ditawan seperti Sultan Mahmud Badruddin II Palembang dan Sultan Ageng Tirtayasa Banten. Ramai juga yang mati syahid seperti Pati Unus (Sultan Demak), Sultan Khairun Ternate dan Raja Haji Fisabilillah.
8) Sultan Mansur Kelantan yang terkenal dengan kewarakannya telah mengeluarkan perintah menutup aurat kepada semua rakyat Kelantan yang mukallaf. Syeikh Ahmad al-Fathani pernah membuat doa yang khusus untuk baginda.
9) Sultan Zainal Abdin III Terengganu juga terkenal dengan kealimannya dan sebagai ahli zikir. Baginda telah menggubalUndang-undang Tubuh Kerajaan Terengganu yang dinamakan Itqan al-Muluk bi Ta’dil al-Suluk. Syeikh Ahmad al-Fathani pernah mengarang syair tentang kesolehan Sultan Zainal Abidin III.
10) Sultan Iskandar Syah Perak, Sultan Muhammad Jiwa Kedah, Sultan Abdul Ghafur Muhyiddin Pahang, Sultan Alaiddin Sulaiman Shah Selangor turut memiliki peribadi yang soleh. Mereka mendapat pendidikan dan tarbiah yang jitu dari para alim ulama di Tanah Melayu.
Banyak lagi sejarah sultan-sultan yang soleh di Alam Melayu. Begitu ramainya sultan yang soleh hingga saya telah pun membuat buku tentang mereka.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih