Sempena Tahun Baru Cina, ramai akan mengenakan Cheongsam (bagi perempuan) dan Samfu (bagi lelaki) sebagai tanda meraikan tradisi, atas tanggapan umum bahawa Cheongsam dan Samfu adalah pakaian tradisi Cina. Malah di sesetengah pertunjukan budaya di Malaysia, model lelaki yang memakai Samfu akan memakai tocang sekali di kepala.
Sebenarnya Cheongsam dan Samfu adalah pakaian klasik, bukan pakaian tradisi. Asal usulnya ialah fesyen orang Shanghai, China pada 1920-an. Selepas Komunis menguasai China pada tahun 1949, ramai orang Shanghai telah berhijrah ke Hong Kong, Taiwan dan negara-negara Barat, maka fesyen Cheongsam turut disebarkan ke seluruh dunia.
Cheongsam (長衫, istilah Kantonis yang bermaksud “baju panjang”) atau Qipao (旗袍, istilah Mandarin yang bermaksud “jubah Qi/Panji”) dan Samfu (衫褲, istilah Kantonis yang bermaksud “busana”) atau Magua (馬褂) diubah suai dari busana orang Manchu atau orang Qi (旗人, “Bannermen”) yang memerintah China dari 1644 hingga 1911. Orang Manchu bukan etnik Cina, tetapi berasal dari kawasan Manchuria di timur laut China. Selepas menakluki China pada 1644, orang Manchu cuba mengasimilasi orang Cina dengan mengharamkan pakaian tradisi Cina yang asli iaitu Hanfu (漢服, “pakaian Han”) dan memaksa kaum lelaki mencukur rambut depan dan mengikat rambut belakang dalam bentuk tocang, mirip gaya rambut orang Manchu. Keengganan untuk bertocang boleh mendatangkan hukuman bunuh, dan ramai orang Cina terkorban kerana terikat dengan adat Konfusianisme yang mengharamkan mencukur rambut.
Walaupun Hanfu ini beragam mengikut perkembangan dinasti, ia mempunyai kesinambungan reka bentuk iaitu kelepak yang longgar dan terbuka, lengan yang panjang dan longgar. berbeza dengan pakaian orang Manchu yang berkolar tertutup, dan berlengan sempit dan ketat. Reka bentuk busana tradisi Korea (Hanbok) dan Jepun (Kimono) adalah berdasarkan Hanfu.
Kalau diperhatikan, ragam Hanfu pada Dinasti Ming (1368-1644) adalah mirip dengan Baju Panjang yang dipakai oleh Nyonya di Melaka. Ini kerana Baba dan Nyonya adalah berasal dari keturunan imigran Dinasti Ming. Kaum Baba juga tidak bertocang seperti imigran Cina semasa abad ke-19.
Selepas Dinasti Qing digulingkan oleh revolusioner Cina Han yang dipimpin Sun Yat-Sen pada 1911, orang Cina terus memotong tocang sebagai tanda pembebasan dari pemerintahan Manchu. Namun gaya rambut dan busana tradisi Han yang asal tidak dikembalikan. Sun Yat-Sen ialah seorang yang berfikiran moden dan berpaksikan Barat, dan tren intelektual ketika itu juga berpaksikan modenisme. Maka, tradisi pakaian Cina Han yang pernah berlangsung selama 2000 tahun tenggelam begitu sahaja.
Busana tradisi bukan setakat fesyen, tetapi ia mengandungi falsafah atau pandangan dunia (“worldview”) sesebuah masyarakat. Hanfu melambangkan falsafah Konfusianisme yang mengandungi nilai-nilai kesantunan dan keadaban yang tidak dapat dibawa oleh fesyen moden.
Hari ini masih ada yang memakai Hanfu untuk menunjukkan apresiasi sejarah, namun mereka akan dipandang serong dan sinikal, sama seperti sikap segelintir orang kita yang mempertikaikan niat Faiz Subri untuk mengenakan busana tradisi Melayu. Nasib Hanfu telah membuktikan bahawa kalau sesebuah bangsa tidak menghargai dan membiasakan memakai busana tradisi, ia akan pupus begitu sahaja. Jangan membiarkan busana tradisi kita menghilang ditelan oleh arus pemodenan.
Nota: orang Cina juga dikenali sebagai orang Han. Di China, istilah “Cina Han” (Han Chinese) digunakan untuk membezakan warganegara China etnik Cina dan etnik bukan Cina (seperti Manchu, Mongol, Uyghur, Tibet).
Rujukan:
Bian Xiangyang, Origin of Qipao Fashion in Early Republic Period (2003)
Zhou Xibao, The History of Ancient Chinese Clothing and Ornaments (1956)
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih