Timur Tengah mungkin antara rantau paling sukar untuk hidup. Selain daripada bencana politik, rakyat perlu berdepan dengan cuaca begitu panas. Kuwait dan Qatar pernah mencatatkan suhu 42ºC hingga 53ºC (Samenow, 2016).
Jadi sukar untuk bayangkan bahawa satu hari sebuah dataran panas sebegini boleh bertukar hijau diisi dengan sungai, seperti yang disebut Nabi Muhammad (SAW) dalam Sahih Muslim 5:2208.
Memang sukar, melainkan dengan pemahaman tentang alam semulajadi.
Padang pasir yang terbentang luas bagaikan lautan membara hanyalah keadaan semulajadi semasa akibat perubahan iklim.
Sebuah kajian dilakukan para penyelidik daripada gabungan Institut Ekologi Kimia Max Planck, Sejarah Sains Manusia dan Universiti Diraja Holloway (bersama rakan-rakan antarabangsa).
Mereka mendapati 376 fosil tapak kaki manusia di tempat yang paling tidak disangka.
Padang Pasir Nefud pernah ada sebuah tasik yang digunakan manusia Paleolitik sekitar 120,000 tahun dahulu.
Mereka membawa haiwan pengangkutan dan peliharaan seperti kuda dan ternakan (Sci News, 2020).
Menurut pelajar PhD bernama Richard Clark-Wilson, tanah di Semenanjung Arab ini pernah ada dataran rumput yang luas dengan tasik air tawar kekal… dan juga sungai mengalir deras.
Penemuan ini membuktikan penghijrahan manusia dari Benua Afrika ke Tanah Syam, juga menunjukkan hubungan antara manusia dan haiwan sepanjang proses penghijrahan tersebut.
Malah dalam tempoh jutaan tahun, tempoh 120,000 tahun itulah yang paling aktif menyaksikan perpindahan manusia (mungkin kerana cuaca lebih elok).
Mengenali Tasik Ini
Selain daripada haiwan yang membantu manusia, saintis juga menemui tapak kaki gajah – memungkinkan kawanan gajah berteduh di sekitar tasik tersebut. Kewujudan gajah selaras dengan dapatan sains semasa.
Tasik ini turut dikunjungi badak air yang menggunakan sumber air begitu banyak di Arab Utara.
Fosil tapak kaki yang begitu banyak ini turut membawa teori bahawa tasik ini tempat paling sesuai untuk dibuat persinggahan (selepas sekian lama merantau dan berjalan).
Teori tersebut disokong dengan ketiadaan bukti peralatan batu, bermakna mereka tidak lama di situ.
Menghijaukan Semula Bumi Arab
Banyak manfaat boleh diperolehi daripada lembah Arab yang serba kehijauan. Mustahil bahawa sebuah rantau boleh dihijaukan sepenuhnya.
Tetapi andainya separuh daripadanya iaitu 3 juta kilometer persegi berjaya disirami air, alangkah untungnya negara-negara Arab di situ.
Satu ekar gandum mungkin boleh mengeluarkan 50 raga (bushel), yang boleh mengenyangkan 6.2 orang dalam masa setahun. Jika 3 juta kilometer persegi ini dilitupi dengan tanaman, nescaya bangsa Arab tidak mungkin akan berlapar lagi.
Projek gergasi ini memang mustahil dilaksanakan. Sungguhpun begitu, Arab Saudi telah memulakan secara kecil-kecilan (untuk dibandingkan dengan 3 juta kilometer persegi).
Mereka sedang menggerudi tanah bukan untuk minyak mentah – sebaliknya untuk mengeluarkan rizab air yang tertimbus sejak Zaman Ais. Air ini digunakan untuk menyiram tanaman-tanaman di sekitar Dataran Syria.
Projek ini semakin berkembang dengan pesat sepanjang 24 tahun.
Air mentah ini walau bagaimanapun tidak boleh diperbaharui kerana proses pengumpulannya memakan masa ribuan tahun. Malah mereka sendiri tidak tahu isipadu air secara keseluruhan, menganggarkan penggunaan hanya untuk 50 tahun sahaja.
Kehijauan bumi ini seolah-olah membuktikan keupayaan semulajadi Semenanjung Arab. Jika mereka boleh mencari solusi tetap bagi menjaminkan bekalan air, tentu sekali projek tanaman ini boleh dibesarkan lagi.
RUJUKAN:
Samenow, J. (2016, Julai 22). Two Middle East locations hit 129 degrees, hottest ever in Eastern Hemisphere, maybe the world. Washington Post.
Sci News. (2020, September 21). 120,000-Year-Old Human Footprints Found in Saudi Arabia.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih