Pada 1912, Alfred Wegener iaitu seorang ahli geologi Jerman, pernah mengemukan sebuah teori mengenai benuk muka bumi. Menurut teori beliau, lebih kurang 270 juta tahun yg lalu, bumi merupakan sebuah hamparan tanah yang amat lapang, menggabungkan keseluruhan benua yang sedia ada pada masa ini.
Tanah tersebut dikelilingi oleh sebuah lautan yang diberi nama Panthalassa. Pangea yang juga dikenali sebagai Pangaea, merupakan nama yang diberikan beliau kepada kawasan daratan bumi pada waktu itu.
Pangea ialah hasil gabungan dua perkataan Yunani ; Pan bermaksud ‘keseluruhan’ manakala Gaia atau Gea bermaksud ‘tanah’. Melalui teori beliau, sedikit sebanyak telah membantu perkembangan kajian plat tektonik yang mengkaji segmen keras kerak bumi yang disokong oleh magma bawah tanah. Maka, kata mudah, Pangea merupakan ‘ibu daratan’ di muka bumi ini.
Awal Mula Perpisahan
Para saintis berpendapat, Pangea mula berpecah sekitar 200 juta tahun yang lalu. Perpecahan tersebut kemudiannya membentuk dua buah benua yang besar iaitu Laurasia dan Gondwana. Konsep kewujudan Laurasia dan Gondwana ini, dikembangkan oleh Alexander Du Toit, ahli geologi Afrika Selatan. Konsep tersebut telah diabadikan dalam penulisan buku beliau iaitu Our Wandering Continents pada tahun 1937.
Nama Laurasia merupakan kombinasi antara dua nama iaitu Laurentia dan Eurasia. Laurentia merupakan kawasan daratan yang merangkumi Greenland dan sebahagian besar benua Amerika Utara manakala Eurasia ialah kawasan daratan yang terdiri daripada keseluruhan benua Eropah dan benua Asia.
Laurasia ialah benua di hemisfera utara Bumi seperti yang digambarkan dalam gambar di atas. Namun, berbeza pula bagi Gondwana yang juga dikenali sebagai Gondwanaland. Gondwana ialah benua di hemisfera selatan selatan Bumi yang terdiri daripada Antartika, New Zealand, Afrika, Arab, Madagascar, Amerika Selatan, India dan Australia-New Guinea.
Pangea Masa Kini
Saban tahun, kedua-dua benua tersebut berpisah sehingga terbentuknya muka Bumi yang sedia ada pada hari ini. Timbul persoalan, adakah wujud kemungkinan akan berlakunya ‘Pangea Baru’? Apakah yang akan berlaku dengan iklim Bumi dan kehidupan spesies di ‘ Pangea Baru’?
Menurut ahli geofizik di Yale University, Ross Mitchell, ‘Pangea Baru’ akan wujud setiap kitaran 600 juta tahun. Namun begitu, beliau menegaskan bahawa kewujudan Amasia dianggarkan akan berlaku lebih cepat dari apa yang disangkakan.
Kemungkinan, dalam 300 juta tahun yang mendatang dari sekarang. Kepantasan kewujudan ‘Pangea Baru’ atau juga diberi nama sebagai Amasia ini, didorong kuat oleh darjah kepanasan Bumi yang meningkat saban tahun. Maka, ada kemungkinan untuk kewujudan semula Pangea yang baru pada masa akan datang.
Kawasan yang akan terjejas teruk dengan situasi tersebut ialah kawasan tengah Amasia. Kawasan pedalaman ditengah-tengah Amasia akan menjadi padang pasir yang lebih luas dan mungkin lebih teruk dari Gurun Sahara di benua Afrika.
Selain itu juga, kemungkinan untuk menerima hujan di kawasan tersebut juga amatlah tipis kerana berjauhan dari kawasan lautan yang menyumbang kepada proses kitaran air hujan. Kesannya, kawasan tesebut tidak sesuai untuk didiami oleh manusia dan sebarang spesies hidupan yang lain untuk terus hidup di kawasan tersebut.
Kesimpulannya, bersyukurlah di manapun kita berada di muka Bumi ini. Sekiranya Pangea 2.0 berlaku, belum tentu kita dapat menjalani kehidupan yang normal dan sempurna seperti sekarang.
Artikel dikirimkan oleh Nur Aiman Haziq untuk The Patriots.
RUJUKAN:
1) Ghose, T. (2018, February 23). Facts About Pangaea, Ancient Supercontinent. Retrieved July 30, 2020, from https://www.livescience.com/38218-facts-about-pangaea.html
2) Where is Pangaea?. Where the Wonders of Learning Never Cease | Wonderopolis.https://wonderopolis.org/wonder/where-is-pangaea
3) The Editors of Encyclopaedia Britannica. (2009, September 11). Laurasia. Retrieved July 30, 2020, from https://www.britannica.com/place/Laurasia
4) Moyle, T., Raphael, Poll, G., Hordiienko, M., & Köchel, P. (2019, September 09). What If Pangea Never Broke Apart? Retrieved July 30, 2020, from https://insh.world/science/what-if-pangea-never-broke-apart/
5) Woodward, A. (2018, October 06). Will There Ever Be Another Pangea? Retrieved July 30, 2020, from https://www.livescience.com/63753-will-there-be-another-pangea.html
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih