Bandar Jakarta merupakan ibukota pentadbiran negara Republik Indonesia yang terletak di provinsi (negeri) Jakarta, Jawa Barat. Bandar ini yang dahulunya dikenali sebagai Batavia pada zaman penjajahan Belanda ditukar namanya ke Jakarta (Djakarta) pada zaman penjajahan Jepun yang mana nama tersebut masih digunakan sehingga ke hari ini.

Bandar Jakarta merupakan salah satu bandar yang paling terpadat, tersibuk dan mempunyai populasi penduduk seramai 10 juta orang di Asia.

Dari sebuah jurnal kajian yang diterbitkan pada tahun lepas, Nature Communications, terdapat lapan buah negara di Asia yang terancam tenggelam disebabkan peningkatan paras air laut iaitu negara China, India, Bangladesh, Vietnam, Thailand, Filipina, Jepun dan Indonesia.

Kawasan Jakarta merupakan salah satu kawasan yang paling tinggi risiko dalam menghadapi situasi ini kerana selain faktor pemanasan global, Jakarta juga menghadapi faktor dalaman daripada penduduknya sendiri. Wilayah Jakarta dibahagikan kepada lima bahagian iaitu Jakarta Pusat, Jakarta Barat, Jakarta Utara, Jakarta Selatan dan Jakarta Timur. Wilayah yang paling teruk terkena dampak peningkatan air laut adalah Jakarta Utara yang mana ia terletak di tepi laut. Pada tahun 2025, kemungkinan wilayah Jakarta Utara yang dihuni seramai 2 juta penduduk akan menjadi bandar yang tenggelam.

Menurut seorang peneliti iklim dan laut dari Lembaga Ilmu Pengetahuan Indonesia, Intan Suci Nurhati menyatakan akibat lain menyebabkan bandar Jakarta makin tenggelam adalah penyedutan air dari dalam tanah. Perlu diketahui, Jakarta bandar yang sangat besar sehinggakan ada beberapa bahagian di bandar tersebut tidak menerima bekalan air paip atau tidak berkemampuan untuk membayar bekalan air paip. Maka mereka yang tidak mempunyai akses menggunakan air paip dari pemerintahan, akan menggunakan insiatif lain untuk mendapatkan bekalan air dengan menyedutnya daripada tanah.

Setiap tahun, penduduk Jakarta menyedut air sebanyak 630 juta liter dari dalam tanah dan inilah merupakan punca utama terdapat beberapa bahagian permukaan tanah di bandar Jakarta semakin tenggelam. Faktor lain yang mempengaruhi tenggelamnya Jakarta adalah pembangunan bandar dan penempatan baharu di sekitar Jakarta Utara. Kandungan tanah-tanah di Jakarta Utara terdiri daripada butiran tanah yang sangat halus dan lembut. Dengan gabungan faktor penyedutan air tanah, pembangunan yang semakin membebankan lapisan tanah dan peningkatan paras air laut ia secara tidak langsung membawa Jakarta ke ambang kemusnahan.

Dr. Heri Andreas yang sudah mengamati paras tanah di Jakarta dari Institut Teknologi Bandung menyatakan dalam tempoh 10 tahun (2009-2019) pemerhatiannya, wilayah Jakarta Utara telah tenggelam sedalam 2.5 meter dan sebahagian kawasan di dalam wilayah tersebut juga tenggelam sebanyak 25 cm/tahun.

Pada masa sekarang, sebahagian besar bandar Jakarta mengalami paras tenggelam sedalam 1-15 cm/tahun. Jika dilihat, pada tahun 2050, hampir 95% daratan Jakarta Utara akan berada di bawah laut. Model penenggalaman bandar Jakarta:
https://news.files.bbci.co.uk/…/jakarta_sinking_subsidence_…

Terdapat pelbagai langkah yang telah diambil oleh pihak pentadbiran Republik Indonesia termasuk pembinaan tembok lautan dan sungai di sepanjang pantai dan sungai Jakarta Utara, hanya memberikan lesen yang sah kepada beberapa daerah untuk menyedut air dari tanah (jika ia berada di daerah yang terancam, maka lesennya akan dicabut kembali) dan lain-lain lagi.

Antara kawasan yang sudah ditenggelami air di Jakarta Utara adalah Kampung Kapuk Teko yang mana kawasan perkampungannya telah ditenggelami air. Kampung Kapuk Teko mula menunjukkan tanda-tanda digenangi air sejak pertengahan tahun 1990. Pada tahun 1995, kampung ini telah tenggelam ke paras 20 cm dan mengambil masa empat bulan untuk kering sepenuhnya.

Tetapi kejadian terakhir untuk penduduk Kampung Kapuk Teko melihat tanahnya pada tahun 2000. Setelah kejadian hujan lebat dan banjir yang besar, maka Kampung Kapuk Teko ditenggelami air sepenuhnya dan tidak akan pernah mengering sehingga ke hari ini. Sejak kejadian tersebut, Kampung Kapuk Teko menjadi kampung yang terapung.

Sebuah lagi kawasan yang mana paras air laut lebih tinggi daripada paras daratan adalah di penempatan Gedung Pompa. Kawasan ini seringkali menghadapi banjir besar dari limpahan air laut ketika musim hujan lebat. Pihak pemerintah mengambil langkah untuk membina tembok pemisah lautan di kawasan ini yang memisahkan perumahan penduduk dengan paras air laut.

Walaupun tembok pemisah ini sudah dibangunkan, pihak pemerintah turut mengambil langkah berjaga-jaga dengan menambahkan ketinggian beberapa meter pada tembok tersebut setiap tahun kerana paras air laut yang semakin meningkat dan terus meningkat. Jika ketinggiannya tidak ditambahkan, maka limpahan air laut akan membanjiri kawasan tersebut ketika musim hujan. Sekarang tembok ini sudah mencapai ketinggian 2 meter.

Kawasan lain yang turut tenggelam adalah Muara Baru. Sebuah bangunan yang dahulunya berfungsi sebagai syarikat jualan ikan telah tenggelam separuh ke dalam tanah dan hanya meninggalkan sisa tingkat atas sahaja. Sekarang, bangunan ini ditinggalkan terbengkalai kerana setiap tahun, ia semakin dimamah tanah.

Berikutan pelbagai laporan saintifik yang dilakukan ke atas bandar Jakarta yang akan tenggelam pada tahun 2050, maka Presiden Republik Indonesia, Joko Widodo, mengambil langkah awal untuk memindahkan pusat pemerintahan negara dari Jakarta, Jawa ke wilayah Kalimantan Timur, Borneo.

Tapak ibukota baharu Republik Indonesia ini akan dibina di kawasan antara bandar Samarinda dan bandar pelabuhan Balikpapan yang berkeluasan 256 ribu hektar untuk pembangunan infrasturktur pemerintahan. Baki yang lain diperuntukkan untuk pembangunan yang lain tergantung kepada pemaju yang ingin membangunkan kawasan disekelilingi kawasan pentadbiran.

Presiden Jokowi menetapkan bajet sebanyak 33 billion USD untuk membangunkan ibukota baharu yang mana ia akan bermula pada tahun 2024 akan datang. Pada tahun lepas, Presiden Jokowi telah membuka sebuah pertandingan besar melibatkan reka bentuk pusat pemerintahan baharu di Kalimantan. Dan daripada 750 rekaan bandar yang terlibat, rekaan bandar Nagara Rimba Nusa dipilih sebagai reka bentuk ibukota baharu Republik Indonesia.

Boleh melihat video rekaan bentuk Nagara Rimba Nusa di sini:

RUJUKAN:

1. Jakarta, the fastest-sinking city in the world, BBC Indonesia.

2. Jakarta is running out of time to stop itself sinking into the sea, NEWS.

3. Jakarta Is Sinking So Fast, It Could End Up Underwater, NY Times.

– TAMAT –


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

'Creative. Celibate. Crybaby.'

Comments are closed.