Dalam dunia kesarjanaan dan akademik, terdapat beberapa peringkat dan gelaran akademik. Semakin tinggi anugerah dan gelaran akademik yang dikurniakan kepada seseorang sarjana, ini bermaksud semakin besar sumbangannya dalam sesuatu bidang ilmu yang diiktiraf oleh institusi-institusi pengajian tinggi.

Sebelum penulis menerangkan lebih lanjut tentang jenis gelaran Profesor, ada baiknya penulis membincangkan dahulu tahap-tahap akademik daripada bawah. Di Malaysia, Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) atau Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) atau Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau Sijil Vokasional Malaysia (SVM) adalah sijil tertinggi di peringkat persekolahan mengikut aliran persekolahan. Kemudian, seseorang itu boleh melanjutkan pengajian ke peringkat Diploma. Diploma juga setaraf dengan STPM dan STAM. Mereka juga boleh mengikuti program Asasi (Foundation) atau Matrikulasi (Matriculation) sebagai persediaan untuk melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda (Degree of Bachelor). Tahap Sijil Diploma dan Ijazah Sarjana Muda dikenali sebagai Pengajian Siswazah (Undergraduate Studies).

Selepas itu, seseorang itu boleh melanjutkan pengajian ke peringkat Pengajian Pasca-Siswazah (Postgraduate Studies) iaitu Ijazah Sarjana (Degree of Master) dan seterusnya ke peringkat Ijazah Doktor Falsafah (PhD). Apabila seseorang itu berjaya memenuhi pelbagai kehendak universiti dan berjaya menghasilkan penulisan tesis PhD yang diiktiraf oleh universiti, maka dia layak untuk dianugerahkan dengan gelaran Doktor (Dr.). Jangan terkeliru pula dengan gelaran Doktor Perubatan (Medical Doctor – MD) yang berkhidmat di hospital dan klinik. Gelaran “Doktor” (PhD) yang diiktiraf, kekal seumur hidup kepada pemiliknya dalam segala urusan rasmi duniawi. Gelaran Doktor juga pelbagai, bukan hanya Doktor Falsafah (PhD) dan Doktor Perubatan (MD) sahaja, terdapat juga Doktor Persuratan (DLitt), Doktor Sains (DSc) dan Doktor Kesihatan Awam (DrPH).
Kadang-kala, seseorang tokoh boleh dikurniakan sijil dan gelaran Ijazah Sarjana Kehormat dan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah oleh universiti sebagai tanda pengiktirafan kepadanya yang telah memberi sumbangan besar dalam bidang ilmu tertentu. Antara tokoh yang penulis ketahui pernah menerima Ijazah Doktor Kehormat ialah seperti kelima-lima mantan Perdana Menteri kita, Shaykh Muhammad Idris al-Marbawi (Tokoh ulama’ – Doktor Persuratan), Za’ba (Pendeta Bahasa – Doktor Persuratan), Ishak Haji Muhammad (Tokoh sasterawan – Doktor Persuratan), Dato’ Seri Hj. Harussani Zakaria (S. S. Mufti Perak – Doktor Syariah) dan Tan Sri P. Ramlee (Tokoh seniman – Doktor Seni Persembahan).

Baiklah, sekarang masuk pula pada perbincangan berkenaan penganugerahan gelar dan kedudukan Profesor. Sebenarnya, terdapat 13 jenis gelaran dan lantikan Profesor dalam dunia kesarjanaan dan akademik. Secara umumnya, semua gelaran tersebut boleh dibahagikan kepada dua kategori utama iaitu Profesor sebagai kerjaya dan Profesor bergelar. Sebelum itu, penulis akan menerangkan maksud dan gelaran Profesor. Profesor berasal daripada bahasa Latin yang bermaksud “A person who professes” dan juga seorang yang pakar dalam bidang ilmu tertentu. Lantikan dan gelaran tersebut adalah sesuatu yang amat berprestij kepada seseorang sarjana dalam bidang akademik yang diberikan oleh institusi-institusi pengajian tinggi yang diiktiraf dan boleh dianggap sebagai kemuncak pengiktirafan daripada tokoh-tokoh akademik yang lain dan masyarakat dalam kerjaya akademik mereka.

Mereka dianugerahkan gelaran Profesor disebabkan kesarjanaan, kepakaran yang tinggi dan ketokohan mereka dalam sesuatu bidang akademik selain pengalaman mereka yang luas dalam kajian dan penceburan mereka dalam bidang tersebut. Bagi Profesor sebagai kerjaya mereka di institusi pengajian tinggi, mereka dinilai dari aspek sumbangan akademik mereka seperti impak penerbitan dalam jurnal-jurnal terkemuka, buku-buku, jumlah sebutan (citation), penyeliaan mahasiswa-mahasiswa peringkat Ijazah Sarjana dan Ijazah Doktor Falsafah, program-program penyelidikan, harta-harta intelek dan iltizam mereka dalam aktiviti-aktiviti ilmiah di peringkat negara dan antarabangsa.
Seperti yang dinyatakan sebelum ini, terdapat 13 jenis gelaran Profesor yang boleh dibahagikan kepada dua kategori utama iaitu Profesor sebagai kerjaya iaitu dalam kalangan ahli akademik yang sedang berkhidmat di institusi-institusi pengajian tinggi awam dan swasta, dan Profesor bergelar yang dianugerahkan oleh institusi-institusi pengajian tinggi kepada sesiapa sahaja tokoh sama ada dalam kalangan ahli akademik atau bukan yang dinilai layak mendapat penganugerahan tersebut disebabkan ketokohan dan sumbangan mereka dalam bidang tertentu.

Ketiga belas-tiga belas jenis gelaran Profesor tersebut (menurut takrifan Majlis Profesor Negara) ialah:

1. Profesor Diraja (Profesor Kerjaya). Anugerah seumur hidup dan anugerah kehormat ini diberikan kepada seseorang tokoh akademik dan cendekiawan tersohor yang telah membuktikan sumbangannya kepada khazanah ilmu serta kepimpinan yang luar biasa sebagai profesor universiti serta masyarakat sejagat. Pelantikan Profesor Diraja merupakan satu penganugerahan oleh Canselor Universiti setelah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong. Penerimanya layak memakai nama gelaran tersebut di hadapan namanya dan panggilan formalnya juga ialah Profesor Diraja.

Setakat ini, cuma seorang sahaja tokoh yang dianugerahkan gelaran ini di Malaysia iaitu Y.M. Prof. Diraja Dr. Ungku Abdul Aziz bin Ungku Abdul Majid (1922-). Beliau yang juga merupakan seorang tokoh akademik dalam bidang ekonomi merupakan mantan Naib Canselor paling lama berkhidmat di Universiti Malaya iaitu selama 20 tahun (1968-1988). Beliau dianugerahkan dengan gelaran Profesor Diraja pada tahun 1978. Untuk rekod sejarah, beliau juga merupakan Profesor Melayu pertama dilantik di Tanah Melayu apabila Universiti Malaya di Kuala Lumpur, universiti pertama di Persekutuan Tanah Melayu yang sebelum itu terletak di Singapura, melantiknya sebagai Profesor dalam bidang ekonomi pada tahun 1961.

2. Profesor Emeritus (Profesor Bergelar). Anugerah seumur hidup untuk Profesor terkemuka dalam bidang akademik yang telah bersara sepenuhnya daripada perkhidmatan tetapi terus menyumbang dalam bidang keilmuan. Panggilan formalnya juga ialah Profesor Emeritus.

Antara tokoh akademik yang penulis ketahui, kenali dan kagumi yang mendapat anugerah ini seperti Prof. Emeritus Tan Sri Ahmad Mohamed Ibrahim (Undang-Undang), Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim (Sejarah), Prof. Emeritus Dato’ Paduka Dr. Mahmood Zuhdi Abdul Majid (Pengajian Islam, Fiqh), Prof. Emeritus Dato’ Dr. Osman Bakar (Falsafah Islam), Prof. Emeritus Dato’ Dr. Asmah Hj. Omar (Linguistik), Prof. Emeritus Dato’ Dr. Nik Hassan Shuhaimi Nik Abdul Rahman (Arkeologi), Prof. Emeritus Datuk Dr. Abdullah Zakaria Ghazali (Sejarah), Prof. Emeritus Dr. Ahmat Adam (Sejarah) dan Prof. Emeritus Dr. Hashim Musa (Linguistik). Bahkan, Prof. Diraja Dr. Ungku Abdul Aziz juga merupakan penerima anugerah Profesor Emeritus.

3. Profesor Laureate (Profesor Kerjaya). Anugerah yang mengiktiraf profesor universiti yang mempunyai tahap pencapaian akademik yang tinggi serta diiktiraf di peringkat antarabangsa.

4. Profesor Ulung (Profesor Kerjaya). Anugerah kepada ahli akademik yang dimartabatkan ketokohan serta kesarjanaannya dalam bidang kepakaran serta merentasi ilmu pengetahuan dan memenuhi tuntutan advokasi awam yang dirasai impak pemikiran dan pandangannya oleh masyarakat.

5. Profesor Kehormat (Profesor Bergelar). Anugerah kepada tokoh yang tidak bertugas sebagai profesor dan diberi kepada sesiapa sahaja tokoh yang layak termasuklah ahli politik dan warga korporat. Anugerah ini diberi kepada individu tetapi tidak disertai dengan tugas atau kewajipan. Contoh tokoh yang pernah menerima gelaran ini seperti Prof. Haji Abdul Malik bin Haji Abdul Karim Amrullah (Hamka).

6. Profesor Universiti (Profesor Kerjaya). Dianugerahkan kepada ahli akademik yang cemerlang dalam lebih daripada satu bidang atau disiplin yang diceburinya.

7. Profesor Kursi (Profesor Kerjaya). Jawatan akademik di fakulti Kursi tersebut ditempatkan, daripada kalangan tokoh yang tersohor kesarjanaannya serta memainkan peranan dan tugas khusus demi kepentingan penubuhan Kursi tersebut dan perkembangan universiti. Objektif utama Kursi diwujudkan di universiti adalah untuk mendapatkan perkhidmatan kepakaran daripada profesor atau individu ternama dalam bidang pengajiannya serta menjalankan penyelidikan yang hasil penyelidikannya dapat digunakan oleh pihak berwajib bagi membangunkan taraf sosio-ekonomi dan juga pengajian bidang berkaitan. Sebagai contoh, Kursi Profesor CIMB-UUM di Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Kursi Profesor Iskandar Malaysia di Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

8. Profesor Adjung (Profesor Kerjaya). Individu yang dilantik oleh universiti daripada sektor awam, swasta atau industri yang berpengalaman luas untuk memberi sumbangan dalam ilmu dan bidang yang tertentu dan mempunyai kaitan dengan pengembangan ilmu dalam Universiti. Gelaran Profesor Adjung hanya digunakan di dalam universiti yang menganugerahkannya sahaja.

Antara tokoh yang diberi gelaran ini ialah seorang tokoh chef terkemuka negara iaitu Datuk Redzuwan Ismail (Chef Wan) yang diberi tanggungjawab sebagai Profesor Adjung di Pengajian Pengurusan Pelancongan, Hospitaliti dan Alam Sekitar (STHEM), Universiti Utara Malaysia (UUM) pada tahun 2017.

9. Profesor Pelawat (Profesor Kerjaya). Profesor yang dianugerahkan oleh sesebuah universiti, sama ada dari dalam atau luar negara, untuk memajukan bidang ilmu yang khusus mengikut kepentingan fakulti dan perkembangan universiti. Profesor Pelawat juga ialah Profesor yang diundang untuk mengajar atau memberi ceramah di sesebuah universiti lain untuk satu tempoh masa tertentu. Profesor Pelawat boleh dilantik secara sepenuh masa oleh institusi pengajian tinggi yang lain.

10. Profesor (penuh) (Profesor Kerjaya). Jawatan yang diberikan oleh sesebuah institut pengajian tinggi kepada ahli akademik yang mencapai mercu ketinggian kecemerlangan dan kepakaran bidang ilmunya, diiktiraf dan menerima sanjungan kumpulan serakan (peer group). Gelaran tersebut diberikan semasa berkhidmat dengan institusi pengajian tinggi tertentu.

11. Profesor Madya (Profesor Kerjaya). Jawatan bagi ahli akademik yang telah membuktikan kecemerlangan akademiknya, sesuai dengan peningkatan dalam skim perkhidmatan pensyarah, dalam tugas hakiki seorang pensyarah. Jawatan ini ialah tingkat terakhir sebelum pelantikan ke jawatan Profesor. Tidak seperti gelaran Profesor yang lain, gelaran Profesor Madya hanya di atas kertas sahaja, atau sebagai pengenalan nama, adapun untuk perbualan rasmi hanya dipanggil gelaran “Doktor” (Dr.) sahaja sekiranya seseorang itu berkelulusan Ijazah Doktor Falsafah (PhD).

12. Profesor Klinikal (Profesor Kerjaya). Anugerah akademik kepada anggota profesion yang berkaitan dengan universiti dan terlibat dalam pengajaran praktikal pelajar profesional.

13. Profesor Praktis (Profesor Kerjaya). Jawatan yang diwujudkan bagi ahli akademik mahupun profesional yang mempunyai kemahiran tinggi di dalam sesuatu bidang tanpa terikat dengan sesuatu kontrak.
Mengikut protokol, cuma pemilik gelaran Profesor Diraja, Profesor Emeritus, Profesor (penuh) dan Profesor Madya sahaja boleh meletakkan gelaran tersebut sebelum nama mereka pada kad nama mereka. Sebagai contoh, Prof. Diraja Dr. Ungku Abdul Aziz atau Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim atau Prof. Dato’ Dr. Mokhtar Saidin atau Prof. Madya Dr. Mohd. Roslan Mohd. Nor. Adapun bagi gelaran Profesor yang lain, hendaklah diletakkan di bawah nama mereka. Sebagai contoh:
• Prof. Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin
Profesor Ulung

• Datuk Dr. Mohd. Fauzi Ramlan
Profesor Kehormat

• Datuk Ridzuwan Ismail
Profesor Adjung

Semua gelaran Profesor kecuali Profesor Diraja dan Profesor Emeritus tidak lagi boleh digunakan dalam segala urusan rasmi apabila penerimanya telah bersara daripada institusi pengajian tinggi (Profesor penuh) atau telah tamat tempoh perlantikannya (Profesor Laureate, Profesor Kursi, Profesor Pelawat, Profesor Klinikal, Profesor Praktis) atau di luar institusi pengajian tinggi yang memberi gelaran tersebut (Profesor Adjung, Profesor Kehormat). Bagi ahli akademik yang pernah memegang gelaran Profesor-Profesor tersebut, maka gelaran rasmi mereka kembali kepada “Doktor” (Dr.) sekiranya mereka berkelulusan PhD.

Walau bagaimanapun, kebiasaanya panggilan Prof. (penuh) akan melekat seumur hidup kepada para pensyarah yang pernah dilantik jawatan tersebut bagi para pelajar yang pernah belajar di bawah mereka walaupun setelah mereka bersara, sama juga dengan gelaran guru. Mereka tetap berperanan sebagai seorang guru dan pendidik yang mendidik anak bangsa, tetapi di peringkat menara gading dengan cara mengajar yang berbeza. Pada masa yang sama, mereka juga ialah para penyelidik yang menginovasikan dunia ini dengan penerokaan segala khazanah ilmu pengetahuan.

Sebagai contoh, Prof. Tan Sri Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas, walaupun telah lama bersara sebagai Profesor, namun kerana sumbangannya yang besar terhadap khazanah ilmu terutamanya dalam bidang sejarah, falsafah dan pemikiran Islam sehingga disegani oleh tokoh-tokoh pemikir Islam antarabangsa, menyebabkan gelaran Profesor terus melekat kepadanya. Menurut anak didik dan tokoh akademik seperjuangannya iaitu Prof. Dr. Wan Mohd. Nor Wan Daud, Prof. Naquib pernah ditawarkan gelaran Profesor Emeritus tetapi ditolak. Begitulah sifat seorang tokoh ilmuan sebenar, sentiasa merendah diri, pada masa yang sama terus menyumbang ilmu pengetahuan kepada masyarakat, agama, bangsa dan negara melalui mata pena.

Kita sebagai seorang anak murid dan pelajar wajib menghormati dan memuliakan guru-guru kita dan tokoh-tokoh ilmuan terutamanya para ulama dengan mengamalkan adab-adab dengan guru dan memanggil mereka dengan gelaran yang sewajarnya.
Gelaran Profesor adalah suatu gelaran dan pengiktirafan tertinggi yang diberikan oleh institusi-institusi pengajian tinggi kepada tokoh-tokoh akademik atas sumbangan besar mereka dalam segala bidang ilmu. Dari segi perkhidmatan, Profesor ialah nama pangkat dalam urutan perjawatan akademik bermula dengan Tutor, Pensyarah, Pensyarah Kanan, Penolong Profesor, Profesor Madya dan Profesor.

Para ulama silam juga ada gelaran-gelaran tersendiri yang diberikan oleh tokoh ilmuan lain dan umat Islam sebagai pengiktirafan terhadap kesarjanaan mereka. Sebagai contoh gelaran “Hujjatul Islam” (Pendebat Islam) kepada Imam al-Ghazali, “Syaikhul Islam” kepada Imam Ibnu Taimiyyah, “Badi’uzzaman” (Keunggulan Zaman) kepada Shaykh Sa’id Nursi, “al-‘Arif ar-Robbani” kepada Shaykh Daud al-Fatoni dan Shaykh Abdul Samad al-Falimbani serta lain-lain lagi. Gelaran “asy-Shaykh,” “al-Imam” dan “al-‘Allamah” itu sendiri merupakan gelaran yang bertaraf “Profesor” yang diberikan oleh umat Islam kepada tokoh-tokoh ulama dan sarjana. Apa yang lebih penting ialah sumbangan mereka dalam khazanah ilmu pengetahuan yang pelbagai dalam memajukan peradaban dan membina sahsiah generasi masa hadapan yang berilmu dan berkeperibadian tinggi.

Satu info yang menarik ialah, dalam bahasa Arab, gelaran Profesor secara khususnya ialah “al-Ustaz (الأستاذ).” Contohnya: الأستاذ الدكتور الشيخ يوسف القرضاوي (Prof. Dr. Shaykh Yusuf al-Qardawi). Walau bagaimanapun, secara umumnya, gelaran “Ustaz” itu juga boleh merujuk kepada sesiapa sahaja yang pakar dan mengajar ilmu-ilmu pengajian Islam.
Antara tokoh akademik antarabangsa terkenal yang penulis ketahui yang pernah berkhidmat sebagai Profesor di universiti-universiti ialah seperti Prof. Emeritus Dr. William R. Roff (Pengajian Oriental, Sejarah), Dr. Marie Curie (Fizik, Kimia), Dr. Albert Einstein (Fizik), Dr. Stephen Hawkins (Matematik dan Fizik), Shaykh Dr. Muhammad Abduh (Sejarah), Dr. Muhammad Iqbal (Falsafah dan Kesusasteraan Inggeris), Dr. Ahmed Zewail (Kimia, beliau merupakan satu-satunya saintis Muslim pertama dikurniakan Hadiah Nobel yang berprestij dalam bidang Kimia setakat ini) dan Dr. Tariq Ramadan (Pengajian Islam Kontemporari).

Jika ditelusuri sejarah tokoh-tokoh sarjana Melayu yang berasal dari Tanah Melayu, antara Profesor Melayu terawal yang penulis dapat kesan ialah Dr. Mustapha Osman dari Kedah yang pernah dilantik sebagai Profesor dalam bidang Patologi di Universiti Hong Kong sekitar akhir tahun 1920-an dan awal tahun 1930-an. Prof. Dr. Faridah Awang dari Johor pula merupakan Profesor Melayu pertama dilantik di Amerika Syarikat iaitu pada tahun 2011. Beliau yang merupakan Profesor dalam bidang Teknologi dan Komunikasi Korporat, Fakulti Pentadbiran, Pemasaran dan Perniagaan Antarabangsa di Universiti Eastern Kentucky, Amerika Syarikat juga mungkin merupakan wanita muslim asing pertama dilantik menduduki jawatan tertinggi akademik tersebut.

Selain itu, Profesor Madya Dr. Mohd. Mustafa al-Bakri Abdullah dari Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) merupakan rakyat Malaysia pertama dalam sejarah dilantik menganggotai “International Federation of Inventors’ Association” (IFIA) yang beroperasi di Geneva, Switzerland. Persatuan berprestij peringkat antarabangsa tersebut ditubuhkan pada tahun 2006 dengan keanggotaan daripada 50 buah negara di seluruh dunia. Dr. Mustafa yang berkepakaran dalam bidang teknologi hijau dan geopolymer dilantik sebagai Pengurus di Jabatan Akademik IFIA pada tahun 2015. Ramai lagi tokoh-tokoh akademik dan sarjana kita diiktiraf di peringkat antarabangsa.

Untuk rujukan penuh yang lebih terperinci, para pembaca boleh merujuk sumber-sumber rujukan berikut:

Sumber Rujukan:

Garis Panduan Penggunaan Gelaran Profesor, Putrajaya, Jabatan Perdana Menteri: Majlis Profesor Negara, 2014.

– Buku Istiadat Konvokesyen 2016 Universiti Malaya.

– Faridah Abdul Rasyid, Research of The Early Malay Doctors 1900-1957 Malaya and Singapore, Xlibris Corporation, 2012.

– “It’s “Professor Aziz” Now for Leading Malayan Economist,” The Straits Times, 14 Mei 1961, hlmn. 4.

– “Laluan Pendidikan di Malaysia,” dalam laman web rasmi Kementerian Pendidikan Malaysia, pautan: https://www.moe.gov.my/images/carta/Laluan_Pendidikan_Di_Malaysia.pdf, dirujuk pada bulan Januari 2018.

– Prof. Dato’ Ir Dr. Zaini Ujang, “Profesor Penentu Kecemerlangan Universiti,” dalam Berita Harian (Rencana-Minda Bestari), 26 Jun 2009.

– “UniMAP Professor Becomes First Malaysian to Join IFIA,” dalam laman web The Star Online, 7 Februari 2015, 8:34 am, pautan: https://www.thestar.com.my/news/nation/2015/02/07/unimap-lecturer-joins-ifia/#BMzbtpKAtczLgBZb.99, diakses pada bulan Januari 2018.

– Norhafzan Jaafar, “Faridah Anak Melayu Pertama Profesor di US,” dalam laman web Berita Harian Online (BH Online), 11 Februari 2017, 9:00 am, pautan: https://www.bharian.com.my/node/246830, dirujuk pada bulan Januari 2018.

– Siti Nurazlina Jamaludin, “Chef Wan Dilantik Profesor Adjung UUM,” dalam laman web Utusan Online, 19 Mac 2017, 12:27 pm, pautan: http://www.utusan.com.my/pendidikan/video-chef-wan-dilantik-profesor-adjung-uum-1.458852, diakses pada bulan Januari 2018.

 


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

MA. (Malaya), BUs. (IsHis&Civ)(Malaya)

Comments are closed.