Walk on, walk on
With hope in your heart
And you’ll never walk alone
You’ll never walk alone
Laungan lagu You’ll Never Walk Alone sedang berkumandang dek kejuaraan Liverpool merangkul kejuaran liga yang ke-19 dalam sejarah mereka. Namun 10 tahun lepas, cita-cita tersebut pasti dianggap mustahil berikutan masalah kewangan yang dicetuskan oleh pemilik Reds sebelum ini, Tom Hicks dan George Gillett. Petanda betapa suramnya masa depan Liverpool ketika itu boleh dilihat menerusi pendedahan akaun mereka.
48 jam sebelum perlawanan terakhir musim menentang Hull City, kelab merekodkan kerugian 54.9 juta paun termasuk bayaran faedah 40.1 juta paun dan berhutang dengan pemiutang-pemiutang sebanyak 472.5 juta paun. Sesiapa yang mendengarnya pasti menggeleng kepala.
Situasi ini berlaku berikutan kedua-dua Hicks dan Gillett gagal membiayai pinjaman Royal Bank of Scotland (RBS) yang digunakan sebagai dana pengambilalihan kelab dari David Moores.
Dengan kelab tidak mempunyai belanjawan perpindahan, itu sudah cukup untuk mendorong bos Reds ketika itu, Rafael Benitez mengundur diri dan digantikan oleh Roy Hodgson.
Di sebalik situasi suram ini, dua pemilik Amerika ini cuba mengambil kesempatan dengan menjual kelab pada harga yang tinggi. Hicks mahukan sesiapa yang membeli Kop membayar mereka 800 juta paun. Apa saja tawaran yang dibuat kurang dari nilai berkenaan akan ditolak termasuk cubaan mendapatkan pegangan saham dalam kelab.
Pada April 2010, firma ekuiti swasta Rhone Group yang berpangkalan di New York menawarkan 118 juta paun sebagai tukaran kepada pemilikan 40% saham Liverpool. Walau bagaimanapun, Hicks dan Gillett memilih untuk menolak mentah-mentah tawaran berkenaan.
RBS yang menerima pelbagai tekanan daripada peminat kerana dianggap bersekongkol dengan Hicks dan Gillett menggeleng kepala dengan tindakan mereka. Justeru, bank itu menggantikan firma-firma pilihan mereka iaitu Rothschild dan Merrill Lynch dengan Barclays Capital dan melantik Martin Broughton sebagai pengerusi bebas kelab.
Broughton diberi kuasa untuk mengatasi keputusan yang dibuat dua pemilik itu. Namun beliau juga diberi ingatan sekiranya pasukannya gagal mencari pembeli sebelum Oktober 2010, Liverpool bakal diletakkan di bawah pentadbiran kewangan.
Jika itu berlaku, ia akan menjadikan Reds sebagai pasukan pertama Liga Perdana Inggeris berada dalam situasi sedemikian.
Jika Hicks dan Gillett merasakan Broughton boleh diperbodohkan begitu saja, mereka salah. Broughton yang datang dari latar belakang sederhana mempunyai satu sikap terpuji iaitu keazaman yang jitu dan beliau akan memastikan tugas yang diamanahkan itu dapat diselesaikan.
Namun bagi yang sudah masak dengan permainan pengambilalihan kelab ini, pasti tahu aspek khabar angin termasuk bakal pemilik atau pemegang saham kelab.
Dalam kes Broughton, beliau tahu untuk mendapatkan pemilik terbaik untuk kelab, beliau tidak boleh membenarkan permainan media mempengaruhi pemilihan siapa calon berpotensi.
Salah satu calon yang dikatakan berminat mengambil alih Liverpool ialah ahli perbankan Hong Kong, Kenny Huang. Namun Huang mendapati Broughton langsung tidak terpengaruh dengan cerita yang dijajanya dan mahu melihat setiap aspek yang didakwa selama sebulan sebelum membuat keputusan.
Terdesak, Huang mendakwa dia mengetuai konsortium Timur Jauh untuk mengambil alih Liverpool dengan salah satu pemain utamanya ialah China Investment Corporation.
Namun Broughton langsung tidak berminat kerana tahu semua perkara yang diceritakannya itu sebagai satu pembohongan termasuk dakwaan sebagai pemilik sebahagian francais pasukan NBA dan pernah belajar di Amerika Syarikat.
Tak lama selepas itu, Hicks cuba melepasi Broughton dan membiayai semula kelab menerusi firma ekuiti AS Blackstone Group untuk kekal di Anfield. Apabila berita tersebut diketahui penyokong, ia menjadi tajuk utama akhbar kewangan termasuk Wall Street Journal dan memaksa Blackstone berundur.
Menurut satu sumber kelab yang enggan dikenali, bukan sekali Broughton menerima pelbagai tawaran pengambilalihan kelab tetapi kesemua bidaan bersifat khabar angin semata-mata. Beliau sendiri menegaskan, beliau hanya akan memberitahu media bila tawaran pengambilalihan yang tulen diterima.
Tiga hari sebelum tarikh akhir yang ditetapkan RBS, Broughton memberitahu Hicks dan Gillett bahawa kelab menerima dua tawaran iaitu taikun Singapura Peter Lim (kini pemilik Valencia) dan pemilik Boston Red Sox, John W Henry. Justeru, satu mesyuarat lembaga pengarah akan diadakan bagi menilai tawaran yang dibawa kedua-dua individu tersebut.
Malangnya, Hicks dan Gillett cuba mengubah komposisi lembaga pengarah agar menyebelahi mereka dalam memilih pembida pilihan. Pengarah komersial kelab ketika itu Ian Ayre dan pengarah urusan kelab Christian Purslow disingkirkan dan digantikan oleh anak bongsu Hicks, Mack dan Lori Kay McCutcheon (CFO syarikat induknya).
Nama-nama ini kemudiannya dihantar ke Companies House bagi mengesahkan perubahan dalam lembaga pengarah Liverpool.
Namun Broughton dan ahli-ahli lembaga British lebih berminat memilih Henry berbanding Lim dan tidak mengendahkan taktik dua pemilik Amerika itu. Tindakan tersebut memaksa kelab membawa hal ini ke mahkamah tinggi untuk mengesahkan penjualan Reds kepada Henry.
Selepas menilai fakta yang dikemukakan oleh kedua-dua responden, mahkamah memilih memihak kepada Broughton dan jualan kepada Henry diteruskan. Namun Hicks dan Gillett enggan berputus asa dan memutuskan membawa hal ini ke Mahkamah Daerah 160 di Dallas dengan tujuan menghalang penjualan diteruskan.
Alasan yang dikemukakan ialah kuasa mahkamah di Dallas adalah sah kerana sekiranya penjualan diteruskan, ia dianggap mengundang kerosakan kepada syarikat AS (syarikat induk yang dikawal Hicks dan Gillett).
Walau bagaimanapun cubaan tersebut gagal dengan mahkamah tinggi British menyifatkan taktik yang dibuat dua pemilik itu sebagai mengarut dan bodoh.
Empat jam sebelum tarikh akhir RBS, kelab akhirnya sah menjadi milik Fenway Sports Group, syarikat pelaburan yang digunakan oleh Henry. Antara tindakan pertama beliau ialah menghapuskan hutang kelab berjumlah 200 juta paun tanpa berfikir panjang.
Semasa memperkenalkan dirinya buat kali pertama di Anfield, Henry pernah berkata, “Anda boleh menghapuskan pasukan-pasukan dalam jangka masa pendek tetapi ia mengambil masa lama untuk membina asas yang kuat. Kami orang yang sabar tetapi agresif.”
Sejak itu, pelbagai perubahan dibawa ke Anfield termasuk menambahbaik kemudahan kelab, menambah pemain berkualiti seperti Virgil van Dijk dan Mohamed Salah serta melantik pengurus pragmatik seperti Brendan Rodgers dan Jurgen Klopp.
Terima kasih kepada Broughton, masa depan kelab kelihatan lebih terjamin. Apabila saingan liga kembali bersambung, sudah pasti ramai orang berterima kasih secara senyap kepadanya kerana membantu Liverpool pulih dan menamatkan kemarau kejuaraan liga selama 30 tahun.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih