Semua maklum status Jerusalem sebagai kota suci tiga agama iaitu Islam, Yahudi dan Kristian. Di sinilah terletaknya masjid ketiga tersuci selepas Masjidil Haram dan Masjid Nabawi iaitu Masjid al-Aqsa. Bagi orang Kristian pula, tempat tumpuan mereka ialah Gereja Holy Sepulchre atau Gereja Anastasis (Gereja Kebangkitan Semula).

Tidak ramai tahu gereja ini pada asalnya dibina di atas tapak kuil dewa Jupiter atau dewi Venus yang diasaskan oleh Maharaja Hadrian pada 130 Masihi. Ia kemudiannya dirobohkan atas arahan Maharaja Constantine selepas didapati menempatkan makam Jesus Christ pada tahun 326. Penemuan itu mendorong baginda membina gereja di situ sebagai tanda penghormatan terhadapnya. (Stephenson, 2010)

Rajah 1: Gambaran artis tentang imej Gereja Holy Sepulchre semasa era Constantine.

Gereja Holy Sepulchre pada asalnya dibina untuk dua tapak suci berbeza. Pertama, kawasan rotunda yang dipanggil Anastasis yang dipercayai menempatkan makam Jesus. Manakala basilika pula didirikan di atas Martyrium yang dilawati seorang rahib wanita bernama Egeria pada 380-an. (Stephenson, 2010) Ia mula digunakan sebagai gereja pada 13 September 335. Setiap tahun pada 13 September, ia disambut oleh Gereja Ortodoks Timur sebagai ulang tahun dedikasi kuil kepada kebangkitan semula Jesus.

Bagaimanapun, ia dimus.na.hkan oleh angkatan Parsi selepas mereka menye.ra.ng Jerusalem pada tahun 614 sebelum dibina semula oleh Maharaja Heraclius pada tahun 630. Pada tahun 637, kota ini jatuh ke tangan Negara Islam Madinah (NIM) hasil rundingan antara pentadbir kota tersebut dengan pasukan ten.te.ra NIM yang diketuai Abu Ubaidah bin al-Jarrah r.a.

Bagi memastikan proses perjanjian berjalan lancar, Khalifah Umar bin al-Khattab r.a turun sendiri ke Jerusalem untuk memantau perjanjian tersebut. Tatkala beliau meninjau kawasan gereja, azan dilaungkan menandakan masuknya waktu solat. Pihak gereja bersedia membenarkan Umar r.a mengerjakan solat dalam gereja tetapi permintaan mereka ditolak dengan baik oleh beliau.

Ini kerana beliau tidak mahu perilakunya itu dijustifikasikan sebagai cara untuk memus.na.hkan gereja atau peranannya digantikan sebagai masjid. Selepas selesai mengerjakan solat di luar, Umar r.a mengeluarkan dekri melarang orang Islam daripada mengerjakan solat dalam Gereja Holy Sepulchre. (Kroesen, 2000)

Pada abad ke-10 dan ke-11 Masihi menyaksikan gereja beberapa kali mus.na.h sama ada akibat bencana alam (gempa bumi) atau perbuatan manusia. Antara kemus.na.han yang paling signifikan ialah semasa era pemerintahan Fatimiyyah atau lebih tepat al-Hakim bi-Amrillah. Khalifah al-Hakim atau Khalifah Gila di dunia barat mengarahkan ia dimus.na.hkan sepenuhnya pada Oktober 1009. (Gambaro et al., 2016)

Kemus.na.han Gereja Holy Sepulchre di tangan al-Hakim kemudiannya menjadi antara faktor pendorong gerakan Salib Pertama pada 1099. (Gold, 2009) Selepas Jerusalem jatuh ke tangan mereka pada Julai 1099, gereja yang dibina semula pada 1027 ditambahbaik termasuk menyatukan semua chapel kecil di bawah satu bumbung dan menambah menara loceng. Kerja-kerja penambahbaikan ini selesai pada 1149 semasa era pemerintahan Ratu Melisande.

Rajah 2: Menara loceng gereja yang dibina semasa era Pe.ra.ng Salib.

Pada abad ke-16, paderi-paderi Franciscan melaksanakan kerja-kerja pengubahsuaian pada gereja lebih-lebih lagi selepas bahagian atas menara loceng gereja itu runtuh pada 1545. Kerja tersebut perlu dilakukan memandangkan Gereja Holy Sepulchre dilihat dalam keadaan terbiar walaupun menerima ramai jemaah Kristian. (Murphy-O’Connor) Semasa tempoh ini, Friar Boniface of Ragusa menempah sebuah makam marmar untuk menutup kawasan makam Jesus bagi mengelak ia dirosakkan oleh pengunjung. (Gambora, 2016)

Pada awal abad ke-19, satu keba.ka.ran melanda kawasan rotunda yang mengakibatkan kubah bangunan tersebut runtuh dan merosakkan hiasan luar Aedicule (bangunan kecil). Ini mendorong kepada kerja-kerja penambahbaikan dibuat pada 1809 dan 1810 pada rotunda dan Aedicule oleh arkitek Yunani bernama Nikolaus Komnenos. Sementara kubah Gereja Holy Sepulchre dipulihkan semula dan diperkukuhkan dengan besi pada tahun 1868 hasil kerjasama pihak Roman Katolik, Ortodoks Timur dan Turki Uthmaniyyah.

Rajah 3: Ruangan Rotunda dalam Gereja Holy Sepulchre oleh Luigi Mayer (1804)

Selepas Palestin ditadbir oleh Mandat Britain pasca-Pe.ra.ng Dunia Pertama, pelitup marmar merah pada kubah Aedicule semakin merosot dan terpisah daripada struktur kubah. Bagi mengelak isu ini berterusan, mereka mengarahkan galang besi dipasang di luar kubah sebagai penyokong sementara. Ia hanya dibaikpulih pada 2016 dan 2017 hasil pembiayaan sebanyak AS$4 juta oleh Tabung Monumen Sedunia, Mica Ertegun dan Raja Abdullah II dari Jordan. (Goldman, 2017)

Di sebalik semua usaha untuk memelihara Gereja Holy Sepulchre, tanpa disedari ia turut mendedahkan realiti penindasan Israel terhadap warga Palestin. Perlu diingat, bukan warga beragama Islam sahaja yang menjadi mangsa penganiayaan rejim. Hakikatnya, komuniti Kristian Palestin turut merasa bahana penindasan dan ketidakadilan terhadap mereka.

Berdasarkan data terbaru Latin Patriarchate Printing Press, terdapat 40,000 orang penduduk Kristian di Tebing Barat termasuk 11,000 orang di Jerusalem. Dan mengikut tinjauan Kristian Palestin oleh Dr Bernard Sabella, peratusan penduduk Kristian merudum dari 7.4% (1947) kepada 2% (2007). (Sabella, 2007) Perkara ini didorong oleh penghijrahan penduduk yang keluar untuk mencari pekerjaan dan melepaskan diri daripada belenggu keke.ja.man rejim.

Antara yang terkesan dengan layanan buruk Israel ialah Elena Zoughbi. Zoughbi, seorang wanita berstatus warga Amerika Syarikat merupakan isteri kepada seorang pemimpin gereja Palestin bernama Zoughbi Zoughbi dan sudah menetap di Baitulaham selama 30 tahun. Tetapi semua itu berubah apabila dia tiba di Lapangan Terbang Ben Gurion dari Amerika Syarikat.

Rajah 4: Elaine Zoughbi dan suaminya, Zoughbi Zoughbi. Sumber: Peter Oborne.

Sebaik tiba, Zoughbi bukan saja dihalang memasuki Israel malah ditahan selama 12 jam dengan pasportnya dirampas. Menjelang tengah malam, barulah dia diletakkan dalam senarai penerbangan keluar dari negara itu. Bila ditanya mengapa dia dilayan sedemikian rupa, Zoughbi diberitahu itulah harganya bila berkahwin dengan warga Palestin.

Selain itu, dia turut dibelenggu isu birokratik Israel yang mengarut. Zoughbi diberi visa baru selama tiga bulan yang membenarkannya memasuki Palestin menerusi Jambatan Allenby dan mewajibkannya sentiasa berada di wilayah Palestin sepanjang masa. Dia juga perlu membayar wang jaminan sebanyak 70,000 shekel untuk memastikan semua larangan itu dipatuhi. Wang tersebut dibayar selepas keluarga Zoughbi meminjam sejumlah wang daripada rakan-rakan keluarga mereka.

Kisah Zoughbi ini hampir serupa dengan kisah warga Kristian Palestin yang berkahwin dengan warga asing. Kebiasaannya, suami atau isteri pasangan akan dikenakan pelbagai sekatan tidak munasabah termasuk dihalang memasuki Jerusalem atas sebab keselamatan. Sekatan sebegini memberi tekanan emosi dan mental terhadap mereka sekaligus mendorong ramai pasangan memutuskan untuk tinggal di luar negara.

Di Gaza pula, bilangan penduduk Kristian merudum dari 5,000 orang (2004) kepada kurang daripada 1,000 orang (2019). Begitupun, komuniti ini memberi sumbangan besar dari segi kebajikan, kesihatan dan pendidikan. Malah, semasa operasi ke.ja.m rejim pada 2014, komuniti ini menggunakan gereja-gereja dan yayasan kendalian mereka sebagai tempat perlindungan untuk warga Gaza dan menyediakan bantuan kecemasan kepada mereka.

Tetapi seperti warga Kristian Palestin lain, mereka juga tidak terlepas daripada ditindas Israel. Misalnya, pada 12 Disember 2019, mereka tidak dibenarkan mengadakan lawatan ke Baitulaham dan Jerusalem oleh rejim atas alasan keselamatan. Walaupun arahan itu ditarik balik 10 hari kemudian, ia dianggap sudah terlewat kerana mereka masih perlu melepasi kerenah birokrasi sempadan yang menyusahkan.

Di Israel sendiri, warga Arab Kristian dipandang sepi dan dianggap sebagai warga kelas kedua. Ini mendedahkan mereka kepada pelbagai bentuk diskriminasi termasuk dinafikan hak pekerjaan. Dan amat mengejutkan, golongan ini turut dilabel sebagai pengg.an.as oleh Israel hanya kerana mereka berdarah Arab biarpun menganut agama Kristian!

Bagi bekas uskup Jerusalem, Riad Abu El-Assal, beliau percaya rejim akan berusaha menghalau mereka keluar dari bumi Palestin. Apabila mereka sudah diusir, ia akan menjustifikasikan kempen keras Tel Aviv terhadap warga Palestin dan menggelarnya sebagai perang agama antara Islam dengan Yahudi. Dan rejim tidak teragak-agak menggunakan hal ini untuk mendorong negara-negara Kristian memihak kepada mereka.

Layanan dingin ke atas golongan Kristian Palestin ini membuatkan penulis tertanya-tanya mengapa gereja-gereja di Barat enggan mendukung hak mereka? Rupanya, seruan yang mengatakan semua ahli kariah gereja bersaudara di seluruh dunia itu hanyalah sekadar propaganda. Penganut Kristian Palestin tidak diendahkan dan tidak dianggap sebagai saudara terutama dalam kalangan gereja-gereja pro-Zionis.

Gereja-gereja ini percaya dengan membenarkan orang Yahudi pulang ke Israel, ia bakal membawa kepada kebangkitan semula Jesus sekaligus membawa kepada hari kiamat. Dan ini cuba dijayakan menerusi pelbagai inisiatif dan persidangan yang menunjukkan bahawa Timur Tengah merupakan masa depan agama Kristian. Bagaimanapun, ramai warga Kristian Palestin melihat perkara ini sebagai cara gereja-gereja ini menutup mata tentang perilaku rejim.

Bukan tidak ada gereja yang cuba membantu. Tetapi jika ada yang mencuba, maka bersedialah dikenakan pelbagai halangan termasuk dihalang melawat Jerusalem dan Baitulaham. Bagi mana-mana gereja yang bersubahat dengan Israel, mereka diberi pelbagai keistimewaan seperti kereta diplomatik dan surat sokongan pegawai-pegawai kerajaan.

Dan terkini pada akhir Ramadan lepas, mereka turut diba.n.tai dalam ruangan gereja oleh polis rejim semasa sambutan Easter Ortodoks Timur pada 2 Mei lepas. Se.ra.ngan ini dimuatnaik oleh seorang aktivis British pro-Palestin bernama Sarah Wilkinson.

Polis Israel be.la.sah warga Kristian Palestin:

Manakala dalam satu ciapan Twitter bertarikh 9 Mei lepas, seorang pengguna melaporkan enam orang paderi dan dua orang reverend mengalami kecederaan kritikal selepas dibe.la.sah oleh polis rejim. Israel turut mengarahkan semua gereja di Jerusalem Timur ditutup termasuk Gereja Holy Sepulchre.

Holy Sepulchre sepatutnya dianggap sebagai gereja yang mewakili umat Kristian di seluruh dunia. Tetapi jika dilihat dari konteks hari ini, ia juga merupakan saksi bisu penindasan rejim terhadap orang Kristian Palestin. Mungkin atas sebab itulah, seorang Kristian Palestin menyifatkan orang Kristian hanya tahu melawat tempat-tempat bersejarah tetapi buta hati terhadap realiti yang dialami saudara seagama mereka.

RUJUKAN:

Sabella, B. (2007). Palestinian Christians: Historical Demographic Developments, Current Politics and Attitudes Towards Church, Society and Human Rights: The Sabeel Survey on Palestinian Christians in the West Bank and Israel – Summer 2006.

Gambaro, C et al. (2016). Jerusalem, Israel, Petra & Sinai. DK Travel. Halaman 99.

Gold, D. (2009). The Fight for Jerusalem: Radical Islam, the West, and the Future of the Holy City. Regnery Publishing.

Kroesen, J. (2000). The Sepulchrum Domini Through the Ages: Its Form and Function. Leuven. Halaman 11.

Murphy-O’Connor, J. (1998). The Holy Land. Oxford University Press. Halaman 56 dan 59.

Stephenson, P. (2010). Constantine: Roman Emperor, Christian Victor. The Overlook Press. Halaman 206

Oborne, P. (2019). ‘The last generation’: How occupation is driving Christians out of Palestine. Middle East Eye.

Goldman, R. (2017). Tomb of Jesus Reopens to Public After $3 Million Restoration. New York Times.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Comments are closed.