Seawal jam 4 pagi, kedengaran sayup-sayup bacaan al-Quran yang didendangkan merdu. Penghuni Pondok Inabah 1Malaysia, Kedah, sudah biasa bangkit di awal pagi untuk menyempurnakan amalan rohani. Hari mereka dimulakan dengan Mandi Taubat (mandi dengan niat taubat & 40 gayung air) beserta solat sunat tahajud.

Pak Su & Agong antara tenaga penggerak yang menghidupkan tarbiyah spiritual di sini. Berbekalkan mandat dari Pak Guru Haji Marzuki asy-Syujak dan restu dari Allahyarham Abah Anom (Mursyid TQN), method zikrullah sebagai penawar hati diteruskan demi meraih redha Allah.

Sangat sukar melupakan kenangan 3 minggu di pondok ini. Bukan kerana saya dapat cuti-cuti Malaysia di negeri orang (1st time mai Kedah), tapi sebenarnya kerana di tempat ini lah, ruang kosong dalam relung hati saya, mula rasa benar-benar terisi. Benar temanku, Kuliah & Ukhwah ada efek yang tersendiri di dalam hati. Namun, nur Zikrullah pula dapat membawa kita melayari kenikmatan Cinta kepada Allah s.w.t dengan penuh syahdu & rindu. Zikrullah adalah energi dalam hidup kita!

Sudah semestinya banyak cerita yang terlakar di kanvas kehidupan sepanjang di sini. Saya cuba meringkaskan (seperti biasa) supaya hikmah yang ada mudah disedari kita bersama.

Pada asalnya, metod Zikrullah Tarikat Qadiriah wa Naqsyabandiah (TQN) yang diamalkan di Pondok Pesantren Suryalaya Indonesia adalah amalan rutin bagi santri yang menuntut ilmu agama & dalam masa yang sama mempelajari Tarekat. Hinggalah satu ketika, ada penagih-penagih dadah yang turut sama tinggal & belajar di pondok tersebut.

Subhanaallah, kesan terapi Zikrullah telah berjaya memulihkan kecanduan mereka terhadap dadah. Kemudiannya, bertitiktolak dari kejayaan itu, pengamalan zikir Tarekat Qodiriah wa Naqsyabandiah terus memerangi kecanduan dadah dengan membina pondok-pondok pemulihan yang dikenali sebagai Inabah.

Tapi! Jangan pula salah sangka yer! Saya berada di pondok Inabah ini bukan kerana kantoi apa-apa kes ganja atau nikotin (Na’uzubillah). Saya sekadar ingin menerokai sesuatu yang baru dan belajar menyantuni golongan pencandu dadah.

Terima kasih kepada Rahman (classmate Tasmi’), kerana menolong saya untuk mengenali sesuatu yang baru. Inilah kali pertama saya masuk ke pondok. Sungguh, selama ini saya amat teruja dengan pengalaman kawan-kawan lain mengenai kaedah Pondok yang unik dalam menyemai pemahaman agama.

“Lagi power daripada rindu kat awek”, Bob menjelaskan. Dialah anak bina (gelaran orang yang dirawat untuk pemulihan) pertama yang saya akrabi.

“Ingat, jangan pernah cuba-cuba amik dadah, sekali kau dah ‘kena’, kau susah nak berenti”. Saya mengangguk.

Surau. Di sini, kita dapat berjumpa dengan pelbagai ragam orang. Dari umur belasan hinggalah 70-an. Dari yang gila mereng hinggalah pegawai MAS. Alhamdulillah, tak sia-sia saya pilih syukbah Dakwah di DQ. Ada la jugak sedikit kemahiran menggauli masyarakat awam. Di sini, saya belajar sesuatu yang tak terdapat di bilik kuliah. Kisah kehidupan, kisah penyesalan & kisah hidayah Allah.

Ada yang dahulunya warak. Rajin beribadat dan menuntut ilmu. Tapi, kerana layu dengan godaan perempuan, dia mula hanyut dan semakin jauh dari Tuhan. Zina dengan perempuan simpanan menjadi habuan nafsu. Nak bernikah dengan perempuan simpanannya pula, isteri berkeras enggan bermadu. Berterusan dia terlanjur.

Ada yang berkhidmat dengan rumah kebajikan anak-anak yatim, dalam masa yang sama menjadi tokan dadah. Bercampur amal baik & buruk..

Ada yang hampir khatam menghafaz al-Quran. Sayangnya, ketika dia berada luar dari persekitaran agama, rakan-rakan yang dia kenali telah memperkenalkannya dengan ‘syurga dunia’.

Inilah insan-insan yang saya akrabi. Benar nasihat seorang kawan; ” Kita golongan pandai agama ni, jangan setakat dengan sect-sect kita jer, belajarlah bercampur dengan orang awam. Mereka amat memerlukan petunjuk dari kita”. Teman, di sini juga saya mula sedar, betapa pentingnya ikatan ukhwah. Meskipun seseorang tu dilengkapi dengan kefahaman agama, jika sekiranya dia terjatuh dan hilang arah, siapa lagi yang dapat membantu melainkan seorang kawan yang baik?

Mereka ini, sedar kesilapan yang dilakukan. Tetapi desakan nafsu menghalusinasikan segalanya. Mereka perlukan seorang sahabat yang sudi & sabar membimbing. Mereka perlukan kita!

Satu memori yang menginsafkan berlaku di hadapan mata saya. Akibat sihir, seorang pelajar yang ditempatkan sama bilik dengan saya menderita busung. Perutnya mengembung & mengakibatkan pesakit ini sering merintih kesakitan. “Allah..sakitnya..lebih baik aku mati kalau macam ni..”, rintihnya lantaran tak terhankan pedih. Nasib baik Pak Guru bijak mengawal keadaan. Berbekalkan ayat-ayat ruqyah, keadaan pelajar ini semakin beransur pulih. Manusia, kerana dengki, sanggup berbuat apa saja. Allah pasti membalas kembali dosa ini dengan azabNya, pasti!

Di tempat barakah ini juga, saya bertemu dengan Auntie Aisyah. Beliau adalah orang yang banyak mendukung kelangsungan Pondok Inabah. Beliaulah orang yang memperdebatkan praktikiliti dan kepentingan teknik Zikrullah di meja diskusi Persatuan anti-dadah Malaysia (PEMADAM). Ketika berbual dengannya, beliau kerap mengingatkan mengenai betapa unik & hebatnya kaedah Zikrullah selaku penghapus kecanduan dadah.

“Zikrullah meninggalkan kesan kepada hati. Masalah utama penagih dadah ini bersumber dari hati yang rosak. Nafsu mereka tak terkawal hingga rasa rindu & kecenderungan kepada dadah begitu kuat. Kelebihan kita berbanding method yang bersumberkan barat ialah dari segi titik tolak perubahan yang diharapkan.

Kaedah pemulihan dadah dari Barat menfokuskan otak sebagai sasaran utama, sedangkan otak penagih itu telah pun rosak (ia seperti menanam pokok di bumi yang kering). Manakala method Zikrullah memperbetul dan membersihkan kembali hati penagih. Hati yang menentukan segala-galanya. Rasa rindu dan ketagihan terhadap dadah adalah godaan dari syaitan. Dengan zikrullah penagih dapat dipulihkan dari sebarang gangguan.”

Saya mengangguk setuju.

Terdetik saya berkenaan sepotong hadis:

“Sesungguhnya dalam diri manusia itu ada seketul daging. Jika daging itu baik, maka baiklah seluruh anggota badannya tetapi seandainya daging itu rosak dan kotor, maka kotor dan rosaklah seluruh anggota badannya. Daging yang dimaksudkan ini adalah hati.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim daripada Nu’man bin Basyir)

Auntie Aisyah, seperti yang saya lihat, berpersonaliti professional namun dalam masa yang sama berpegang pada fikrah Islamiah. Beliau juga berpesan bahawa era yang bakal saya lalui akan lebih mencabar. Gandingan Akademia dan Agamawan diperlukan demi mengukuhkan Dakwah secara professional. Akademia ada lapangannya dalam Islam, begitu juga Agamawan. Satu ilmu dakwah yang baru saya temui praktikilitinya ialah ‘kesesuaian terma’. Penggunaan ayat dalam komunikasi amat penting. Auntie Aisyah menyampaikan hujjah berkenaan uslub zikrullah kepada golongan sekularis dengan penuh hikmah.

Tarekat berperanan sebagai rawatan psikologi. Zikrullah: Spiritual activity. Fana’: Ultimate release. Mandi Taubat: Freezing chicken. Bimbingan ahli Tariqat: Social helper.

“Apabila awak bercakap dengan mereka, jangan gunakan terma yang dapat mereka gunakan untuk menyerang awak balik. Mereka tidak membenarkan simbolik mana-mana agama digunakan. Jadi, gunakan terma yang sesuai supaya mereka boleh terima.”

Thanks a lot. Saya berharap dapat berjumpa beliau di kesempatan lain.

Sepanjang keberadaan saya disini, Pak Guru Haji Marzuki asy-Syujak adalah sosok yang paling ingin saya dekati. Karisma & Kepimpinannya terserlah terutamanya melalui personalitinya yang bijak berbicara dengan makna yang dalam. Alhamdulillah, saya sempat menerima beberapa nasihat dari beliau:

“Sentiasalah berzikrullah. Jaga Zikir di dalam hati sepanjang masa & di mana saja. Apabila jiwa kacau, berzikirlah hingga tenang, dapatkan petunjuk dari Allah. Apabila ingin membantu orang lain, pastikan diri sendiri dalam keadaan tenang. Berzikirlah.

Ilmu al-Quran beserta hikmahnya sangat luas. Hati adalah titik mula baik buruk kita. Bersihkan ia dengan zikrullah. Tak perlu bercinta sebelum kawin. Sabar dengan guru. Ada hikmahnya. Jaga zikrullah, InsyaAllah semua masalah akan selesai. Islam, Iman & Ihsan dapat disatukan melalui zikrullah.”

Sebenarnya, banyak bicara hikmah yang dititip oleh beliau. Mungkin saya terlepas pandang. Mudah-mudahan setiap ilmu dapat diaplikasikan dalam kehidupan.

Ramai wajah di sini yang masih saya rindui dan kenangkan ketika bersendirian. Adik Puteri yang comel & manja, moga menjadi muslimah yang solehah ye. Kepada kawan-kawan di Inabah, moga tabah dalam hidup. Kepada saudari Akmal, moga beroleh jodoh yang diredhai. Kepada Johor, syukran kerana banyak membantu.

Kepada Mak Cik Khadijah, saya rindui masakan anda. Kepada Abang Mustafa, kuatkan semangat & sentiasalah berzikrullah, Ukhwah dengan anak bina yang lain akan bertaut melalui redha Allah. Buat Anak-anak bina Inabah, nama-nama kamu semua tetap saya simpan dalam peti memori & kotak hati, dikunci dengan ukhwah & dijaga dengan zikrullah. Moga berjumpa lagi.

Terima kasih yang tak terhingga buat Pak Guru Haji Marzuki asy-Syuja’, mohon maaf zahir batin. moga segala ilmu beroleh berkat dan bermanfaat di dunia dan akhirat.

..Allahu..Allah..Allahu..Allah.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Seorang Penceramah Bebas dan Guru Al-Quran Tauliah Khas. Aktif memenuhi jemputan kuliah agama di 10 buah masjid dan surau dalam sebulan. Bertugas mengajar kelas tahfiz di Pondok At-Tanzil serta mengajarkan al-Quran kepada orang ramai dalam Kelas Al-Quran Dewasa Kg Kelantan dan Kelas Al-Quran Dewasa TIC Kota Tinggi. Diijazahkan sanad 10 Qiraat Al-Quran termasuklah Riwayat Hafs an Asim dari Mesir. Graduan Diploma Qiraat & Tahfiz Al-Quran, Darul Quran JAKIM. Mahasiswa Sarjana Muda Usuluddin & Falsafah, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Comments are closed.