Zaman Yayoi merupakan salah satu zaman terawal Jepun. Ia bermula sekitar tahun 300 Sebelum Masihi sehingga 250 Masihi, dengan didahului oleh Zaman Jomon dan disusuli oleh Zaman Kofun. Nama Yayoi ini diambil daripada sebuah daerah di Tokyo, daerah di mana artifak-artifak pertama yang dikaitkan dengan zaman ini ditemui pada tahun 1884 Masihi. Pada zaman ini, penanaman padi dan pertukangan logam mula mengalami perkembangan selepas diperkenalkan pada penghujung Zaman Jomon.

REVOLUSI PERTANIAN & TEKNOLOGI

Walaupun pertukangan logam sudah pun diperkenalkan pada penghujung Zaman Jomon, masyarakat Yayoi masih terus menggunakan alatan dan objek batu. Namun, dengan keupayaan untuk mengendalikan logam yang semakin meningkat, alatan batu kemudiannya ditinggalkan dan digantikan oleh senjata, baju pelindung dan perhiasan yang diperbuat daripada gangsa dan besi.

Dengan pendedahan terhadap penanaman padi, alatan yang berkaitan juga dibangunkan; cangkul dan sekop yang berbilah dan bermata batu digantikan dengan bilah dan mata daripada logam. Teknik-teknik pengairan juga dikembangkan pada Zaman Yayoi bagi kegunaan ladang padi dan tanaman-tanaman lain.

Dengan pendedahan terhadap amalan penanaman padi, pemakanan dan gaya hidup masyarakat Yayoi berubah secara drastik memandangkan mereka kini hidup secara tetap dan kebanyakan makanan mereka – seperti beras, sekoi (gandum), kekacang dan labu – ditanam dan tumbuh secara tempatan. Aktiviti perburuan dan pengumpulan hasil hutan yang masih diamalkan lebih berfungsi sebagai penambahan sahaja.

Gudang-gudang makanan dan perigi-perigi air untuk menyimpan makanan dan memperoleh sumber air dibangunkan berhampiran ladang padi. Susulan daripada revolusi pertanian ini, populasi di Zaman Yayoi berkembang secara stabil dengan masa kemuncaknya menyaksikan populasi mencecah 2 000 000 orang.

Pada mulanya, bandar-bandar dan kampung-kampung di zaman ini terdiri daripada rumah-rumah lubang (pithouse) yang beratapkan jerami dan berlantaikan tanah, seperti pada Zaman Jomon. Namun, ia berkembang secara bertahap sehingga menjadi struktur kayu yang dibangunkan di atas tanah dan disokong oleh tiang-tiang kayu.

Tembikar dari Zaman Yayoi

Sama seperti tembikar yang dihasilkan pada Zaman Jomon, tembikar di Zaman Yayoi juga diperbuat daripada tanah liat yang dibangunkan secara melingkar dari bawah (tapak), dilicinkan bahagian luar dan dalamnya, dan kemudian dibakar. Namun, kesamaan ini terhenti di situ memandangkan tembikar Yayoi mempunyai fungsi yang lebih meluas dan dihasilkan dalam keadaan kurang berliang.

Walau bagaimanapun, tembikar Yayoi kurang diperhias jika dibandingkan dengan tembikar Jomon. Bentuk-bentuk utama tembikar pada zaman ini ialah balang yang berleher panjang, periuk yang bermulut lebar, besen yang permukaannya lebih dalam, dan mangkuk yang berkaki.

Walaupun pada Zaman Jomon wujud interaksi antara satu kumpulan masyarakat dengan kumpulan masyarakat yang lain, perdagangan bukan menjadi satu keutamaan. Namun pada Zaman Yayoi, aktiviti perdagangan berkembang dengan pesat di mana kota-kotanya memiliki sumber-sumber berharga dan pusat-pusat perdagangannya pula berkembang menjadi petempatan terbesar.

Petempatan Yayoi yang paling besar pernah ditemui adalah sebuah pusat perdagangan yang bernama Asahi, yang terletak di Wilayah Aichi moden, dengan keluasannya mencecah 200 ekar (0.8 km persegi).

SISTEM MASYARAKAT

Pada Zaman Yayoi, muncul masyarakat yang dicirikan menerusi kelas sosial di mana sekitar 100 buah klan terbentuk menjelang tahun 100 Masihi. Sepanjang zaman ini, klan-klan tersebut saling berperang antara satu sama lain bagi berebutkan kekuasaan.

Selain itu, wujud juga situasi di mana klan-klan ini menjalinkan persekutuan dan membentuk kerajaan-kerajaan kecil, sama ada untuk tujuan ketenteraan mahupun ekonomi. Hal ini mengisyaratkan suatu perkembangan sistem politik yang tidak wujud di Zaman Jomon. Di bawah pemerintahan klan-klan ini, cukai-cukai dikutip dan sebuah sistem undang-undang dilaksanakan.

Malangnya, bekalan bijih logam agak terhad di Jepun pada zaman ini. Justeru, pemilikan barangan logam dijadikan sebagai satu penanda aras darjat seseorang. Barang-barang lain yang turut dijadikan sebagai kayu ukur status sosial seseorang ialah sutera dan kaca yang dihasilkan di Kyushu.

Lelaki-lelaki yang berstatus tinggi lazimnya memiliki isteri yang lebih ramai jika dibandingkan dengan lelaki yang berstatus rendah. Pada zaman itu, menjadi suatu kelaziman bagi lelaki-lelaki yang berstatus rendah untuk minggir ke tepi jalan dan memberikan laluan kepada orang-orang yang berstatus lebih tinggi. Budaya ini masih kekal diamalkan sehingga kurun ke-19 Masihi.

KEPERCAYAAN

Sebagaimana yang dapat dilihat menerusi bukti-bukti yang telah ditemui, kepercayaan di Zaman Yayoi agak berbeza dengan Zaman Jomon, memandangkan mereka menyembah pelbagai dewa dan mengadakan keraian-keraian bagi memuja dewa-dewi tersebut. Barangan gangsa seperti loceng, cermin dan senjata digunakan secara eksklusif bagi tujuan upacara keagamaan.

Secara umum, kubur-kubur dipisahkan antara masyarakat umum dan golongan bangsawan, di mana masyarakat umum dikebumikan secara rapat antara satu sama lain dan kuburnya pula hanya mengandungi sedikit, atau malah tiada sama sekali, barang penyemadian. Golongan bangsawan pula disemadikan di kawasan yang terpisah dan kubur mereka dipenuhi dengan barang penyemadian.

Kadangkala, selepas seseorang itu dikebumikan dan jasadnya sudah mereput, orang ramai akan menggali tulang yang tinggal, lalu membasuh dan mengecatnya dengan warna merah sebelum meletakkannya ke dalam balang dan menguburkannya semula ke dalam sebuah lubang besar yang kadangkala diiringi dengan parit.

Loceng dari Zaman Yayoi

INTERAKSI DENGAN CHINA

Kebanyakan maklumat berkenaan budaya Yayoi di zaman terkemudian sebenarnya datang dari China, terutama Dinasti Han dan dinasti-dinasti seterusnya. Sebutan pertama tentang Jepun yang terkandung dalam rekod-rekod China boleh ditemui di dalam Han Shu, sebuah karya sejarah Dinasti Han yang disiapkan pada tahun 82 Masihi. Jepun di dalam buku ini disebut sebagai Wa, yang membawa maksud ‘Tanah Orang-Orang Kerdil’. Ia mempunyai seratus buah kerajaan dan lazim membawa ufti ke China melalui sebuah pangkalan yang terdapat di Korea.

Catatan yang lebih terperinci dilakukan di dalam Wei Zhi, sebuah teks sejarah Kerajaan Wei-China yang ditulis pada tahun 297 Masihi. Sebuah entri di dalam teks ini ditulis pada tahun 240 Masihi, di mana ia menyebutkan tentang lawatan beberapa orang utusan Wei-China ke Jepun dan perincian tentang apa yang disebutkan sebagai kerajaan atau puak yang paling berkuasa di sana, iaitu Yamato.

Ratunya, yang bernama Himiko, disifatkan sebagai seorang dukun yang mengamalkan ilmu ghaib pada masa-masa senggang dan memegang tampuk kuasa setelah menempuh tahun-tahun peperangan dan penaklukan yang panjang. Pada tahun 238 Masihi, dicatatkan bahawa Ratu Himiko menghantar sebuah delegasi yang membawa ufti kepada Maharaja China dan meminta agar kedudukannya sebagai raja diperakui seperti pemerintah-pemerintah Jepun yang lain. Hanyasaja kedudukannya tidak sama seperti mereka, di mana kedudukan yang dipegang oleh Himiko adalah Ratu bagi seluruh Jepun.

Menurut Wei Zhi, Ratu Himiko mangkat di usia 65 tahun pada tahun 248 Masihi, sekaligus mencetuskan suatu zaman kekacauan lantaran tampuk pemerintahan diambil-alih oleh seorang raja yang lemah. Kekacauan ini hanya dapat ditenteramkan apabila salah seorang kerabat Himiko, iaitu wanita yang bernama Iyo, mengambil-alih tampuk kuasa.

LEGASI

Zaman Yayoi menandakan peralihan masyarakat Jepun dari mengamalkan gaya hidup sebagai pemburu-pengumpul yang interaksinya dengan tamadun-tamadun lain amat sedikit, kepada sebuah masyarakat yang mengamalkan pertanian, pertukangan logam, mahir berpolitik dan maju dalam bidang ketenteraan.

Yayoi meletakkan asas-asas bagi apa yang disebutkan pada hari ini sebagai Jepun Zaman Pertengahan, di mana penanaman padi dan pertukangan logam diperkenalkan sekaligus membolehkan peningkatan populasi dan penghasilan senjata bagi tujuan ketenteraan. Kemunculan klan-klan dan kerajaan-kerajaan serta sistem kelas sosial kemudiannya mendorong kepada lahirnya sistem daimyo, samurai dan Takhta Seruni (Chrysanthemum) di mana susur-galur maharaja-maharajanya masih berkekalan sehingga ke hari ini.

TERJEMAHAN:

Tony Hoang. (10 Mac 2016). Yayoi Period. Ancient History Encyclopedia.
https://www.ancient.eu/Yayoi_Period/


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Pencinta bahasa ibunda dan sejarah dunia. Amir Zayyanid merupakan seorang penulis dan penterjemah bebas yang menyimpan impian mahu menabur bakti kepada anak pertiwi menerusi pendokumentasian sebanyak mungkin bahan bacaan, sama ada fiksi mahupun bukan-fiksi.

Comments are closed.