“Rom tidak dibina dalam masa sehari” dan peradaban manusia tidak membangun semudah memetik jari. Perkembangan teknologi dan kemapanan industri, kedua-duanya umpama mata rantai yang terus menggerakkan roda ketamadunan.

Milenium demi milenium yang diharungi oleh nenek-moyang kita di Zaman Batu tidaklah berlalu tanpa berlakunya pencapaian yang signifikan. Selembar demi selembar, kemahiran mereka dalam pelbagai lapangan hidup dipertingkat ke aras yang lebih baik sehinggalah pada akhirnya ia membuahkan hasil dalam bentuk peralihan ke Zaman Gangsa.

BERMULA DARI ZAMAN TEMBAGA

Untuk lebih memahami sejarah kemunculan Zaman Gangsa yang berlaku secara berperingkat ini, molek seandainya kita menjengah ke zaman yang mendahuluinya – iaitu zaman Chalcolithic atau turut dikenali sebagai Zaman Tembaga. Zaman ini dianggap sebagai fasa terakhir bagi Zaman Batu, di mana ia bermula sekitar milenium ke-5 Sebelum Masehi (bergantung tempat) dan berpanjangan selama kurang lebih seribu tahun.

Zaman Tembaga berakhir seiring perkembangan ilmu logam yang memperkenalkan manusia dengan gangsa – logam yang terhasil daripada campuran timah dan tembaga yang dileburkan. Bukti arkeologi yang menuding kepada aktiviti peleburan tembaga terawal boleh dijejaki di Belovode, sebuah tapak berusia 7,000 tahun yang bertempat di Gunung Rudnik, Serbia moden.

Perkembangan dalam ilmu logam ini tidak mungkin berlaku tanpa peralihan daripada penggunaan alatan batu kepada alatan tembaga yang berlaku lebih awal. Kehadiran alatan tembaga – terutama mata kapak – juga melonjakkan lagi kreativiti dalam pembuatan alatan batu, khususnya bagi tamadun-tamadun yang tidak memiliki akses atau kepakaran melebur tembaga.

Namun, masa tidak pernah berhenti berganjak dan ia terus-menerus menggesa manusia yang punya upaya untuk terus mengorak langkah maju ke hadapan. Untuk menghasilkan gangsa, campuran dua bahan utama diperlukan – iaitu tembaga dan timah.Setakat yang diketahui, aloi timah terawal bagi menghasilkan gangsa dijumpai di Serbia, berusia sekitar milenium ke-5 SM dan mempunyai kaitan dengan tamadun Vinča.


Antara aktiviti peleburan tembaga terawal boleh dijumpai di tapak arkeologi, Belovode, Serbia

Cuma, waktu kemunculan teknologi gangsa tidaklah sama bagi setiap tamadun. Ada yang awal dan ada juga yang lewat. Apa yang pasti, ia membawa banyak pembaharuan sepanjang tempoh 2,000 tahun penggunaannya. Ia bukan sekadar mengubah gaya hidup, malahan turut memberi impak yang ketara dalam berbagai lapangan industri – misalnya perlombongan, pembuatan, dan perdagangan. Aktiviti import-eksport juga antara yang tidak ketinggalan.

KESAN TERHADAP AKTIVITI PERDAGANGAN

Kemunculan Zaman Gangsa membawa kesan langsung terhadap jaringan komunikasi dan perdagangan rentas tamadun – baik antara Denmark dan Alps Timur, juga antara Sumer, Zagros, Kaukasus, Mesir, dan Sinai.

Sumber bijih tembaga dan timah pula rata-ratanya berjauhan antara satu sama lain, justeru ia perlu dilombong dan diangkut ke pusat serantau secara berasingan. Hanya sesudah itu, barulah kerja-kerja peleburan boleh dilakukan.

Penghasilan alatan gangsa merancakkan pelbagai lapangan industri, termasuklah perdagangan rentas tamadun

Lingkungan arkeologi mendapati kebanyakan kilang di Eropah Tengah dan Scandinavia memperoleh sumber tembaga dari Alps Timur dan Slovakia, sementara timah pula diangkut dari Bohemia dan England.

Bagi masyarakat pada waktu itu, suasana import-eksport sebegini bukanlah suatu kebiasaan. Dahulu, mereka boleh mendapatkan bahan-bahan yang diperlukan untuk mencipta peralatan batu secara mandiri tanpa perlu bergantung pada aktiviti perdagangan rentas tamadun.

ZAMAN GANGSA DI SERATA DUNIA

Antara rantau terawal yang memperkenalkan alatan gangsa ialah Mesir Purba. Ia berlaku sekitar tahun 3,150 SM (Zaman Proto-Dinasti) dan berpanjangan sehingga 2,686 SM. Tempoh tersebut turut menyaksikan berbagai-bagai hasil seni agung dihasilkan di Mesir Purba, seiring dengan pembentukan identiti budaya mereka khususnya dalam aspek keagamaan dan seni bina.

Di Asia Timur pula (khususnya China), Zaman Gangsa muncul seawal 3,000 SM. Kebiasaannya, gangsa digunakan oleh masyarakat China bagi menghasilkan sen-jata dan barang keagamaan. Eropah juga menerima kehadiran gangsa secara berperingkat.

Di Kepulauan British dan Ireland misalnya, penggunaan alatan gangsa bermula sekitar 2,100 SM dan berpanjangan sehingga 750 SM. Kelangsungan Zaman Gangsa di Britain dapat disaksikan dengan cukup jelas menerusi penemuan Isleham Hoard, melibatkan lebih 6,500 barangan gangsa yang tertanam di sekitar kampung Isleham, England.

Di Asia Tenggara, Zaman Gangsa muncul dengan berkembangnya kebudayaan Dongson

Tamadun-tamadun Norse juga tidak ketinggalan daripada menerima gelombang peralihan ke Zaman Gangsa, walau ia berlaku sedikit lewat – yakni sekitar 1,700 SM dan berlanjutan sehingga munculnya Zaman Besi di Scandinavia (c. 500 SM).

Kelewatan ini berlaku kerana masyarakat Eropah Utara (Denmark, Sweden, Norway, dan Pomerania – hanya berpeluang untuk berinteraksi dengan peralatan serta pengetahuan berkaitan gangsa menerusi hubungan perdagangan antarabangsa. Mereka bukanlah masyarakat yang giat menjalankan aktiviti dua hala dengan tamadun luar.

Kehidupan mereka lebih bersifat mandiri dan kebiasaannya sesebuah komuniti Norse hanya dibentuk oleh sebuah rumah panjang, dengan kesemua isi rumah mengamalkan kegiatan menternak dan bertani sebagai punca rezeki.

Oleh kerana itu, kita dapat menyaksikan betapa di Scandinavia terdapat banyak artifak gangsa yang diimport dari Eropah Tengah. Lingkungan arkeologi sendiri pernah menjumpai kapak-kapak gangsa yang ditempa menggunakan tembaga dari Cyprus, sekali gus membuktikan betapa rancaknya aktiviti perdagangan jarak jauh pada waktu itu.

Gambaran masyarakat Zaman Gangsa di selatan Scandinavia

KEMAJUAN YANG MEMBAWA KEPADA PEPE-RANGAN

Kemajuan selalunya datang beriringan dengan pengorbanan, atau kadangkala kehan-curan – bergantung pada kemampuan manusia untuk menemukan titik keseimbangan sesama mereka. Dapatan arkeologi mendedahkan betapa Zaman Gangsa membawa manusia ke kancah pepe-rangan dan persaingan dalam skala yang jauh lebih besar (dan tersusun) – sesuatu yang belum pernah berlaku sebelum itu.

Keadaan tersebut boleh dilihat kembali menerusi hasil penyelidikan yang dijalankan ke atas Lembah Tollense, salah sebuah medan pertem-puran terbesar dan terpenting di Zaman Gangsa. Medan ini terletak di rantau Pomerania (atau Mecklenburg-Vorpommern, Jerman moden) dan dipercayai sebagai sebuah laluan perdagangan yang penting di zaman silam.

Kerja-kerja penggalian yang dilakukan di sana berhasil menemukan lebih 140 rangka lelaki, dengan kesemuanya mempunyai kesan luka parah. Turut dijumpai, lebih 13,000 tulang yang berselerakan. Pakar menganggarkan bahawa pertem-puran tersebut melibatkan kira-kira 4,000 orang – jumlah ten-tera yang cukup ramai bagi pertem-puran yang berlaku di Zaman Gangsa.


Lembah Tollense pernah menjadi medan pertem-puran besar di Zaman Gangsa, dengan dapatan arkeologi menjumpai lebih 13,000 tulang berselerakan, termasuklah 140 rangka manusia

Dapatan arkeologi juga membuktikan betapa kedua-dua belah pihak tidak dilengkapi dengan persenja-taan yang sama. Artifak-artifak yang dijumpai (mata panah, misalnya) bersifat pelbagai, dengan ada yang diperbuat daripada batu dan ada pula yang ditempa daripada gangsa. Justeru, sejarahwan berpendapat pertem-puran ini ibarat mentimun dengan durian.

Dalam erti kata lain, Pertem-puran Lembah Tollense bukanlah sekadar kon-flik berskala besar di Zaman Gangsa. Akan tetapi, ia juga memberikan gambaran sebenar tentang jurang kekuatan antara tamadun yang memiliki akses terhadap peralatan gangsa dan tamadun yang masih ketinggalan.

VINČA – TAMADUN GANGSA YANG MUNCUL SECARA MANDIRI DI EROPAH

Nama-nama seperti Mesopotamia, Indus, Mesir Purba, dan China mungkin cukup sinonim dengan topik berkaitan tamadun awal manusia. Di Eropah, antara tamadun terawal yang muncul ialah tamadun Vinča. Tamadun ini umumnya berkembang di Eropah Tenggara (Serbia, Bulgaria, Kosovo, Macedonia, dan Romania moden) sekitar 5700-4500 SM.

IKLAN: Anda sedang mencari novel thriller pembunuhan bersiri? The Patriots baru terbitkan novel keempat kami. Boleh beli di Shopee kami: https://shp.ee/47yzq2k

Dekad kebelakangan, lingkungan arkeologi berhasil membuat penemuan signifikan di Pločnik, Serbia. Sebanyak 14 artifak gangsa yang berusia seawal 4,000 SM dijumpai, bersama beberapa kepingan gangsa lain yang didapati jauh lebih tua, iaitu 4,650 SM. Penemuan ini membuktikan betapa penggunaan alatan gangsa di Eropah berlaku 1,500 tahun lebih awal dari jangkaan awal dan bersifat mandiri tanpa pengaruh dari tamadun-tamadun di Timur Dekat.

Patung yang dihasilkan oleh Tamadun Vinča

Zaman Gangsa kemudian disusuli oleh Zaman Besi (c. 1200-600 SM) yang turut membawa pelbagai perubahan kepada tamadun di serata dunia. Peralihan dari satu zaman ke satu zaman ini mengajarkan kita banyak perkara, antaranya bagaimana nenek-moyang kita meneroka dunia di sekeliling mereka dan memanfaatkannya untuk perkembangan manusia.

TERJEMAHAN
Aleksa Vučković. (15 Januari 2021). The Bronze Age – A Spark that Changed the World. Ancient Origins.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Pencinta bahasa ibunda dan sejarah dunia. Amir Zayyanid merupakan seorang penulis dan penterjemah bebas yang menyimpan impian mahu menabur bakti kepada anak pertiwi menerusi pendokumentasian sebanyak mungkin bahan bacaan, sama ada fiksi mahupun bukan-fiksi.

Comments are closed.