Pada hari ini, bila sahaja disebutkan tentang wanita salji sudah tentu yang lazim muncul dalam kotak fikiran adalah Elsa dari kartun animasi Frozen. Walau bagaimanapun bagi masyarakat Jepun, mereka mempunyai watak wanita salji tersendiri yang menghiasi legenda klasik negara matahari terbit itu. Namanya sendiri, iaitu Yuki Onna membawa maksud ‘wanita salji’.

Dalam sebutan-sebutan yang lebih spesifik, panggilan Yuki Onna kadangkala berbeza bergantung kepada sifat dan juga kisah yang menampilkan kemunculannya. Variasi panggilan ini antaranya adalah Yuki Onba (Ibu Salji), Yuki Musume (Puteri Salji), Yuki Onago (Gadis Salji), Yuki Joro (Penggoda Salji), Yuki Anesa (Kakak Salji) dan Yuki Nyobo (Isteri Salji). Legenda seputar Yuki Onna juga berbeza-beza mengikut wilayah yang menceritakannya. Sebelum kita lanjutkan kepada kisah-kisah berkenaan Yuki Onna, mari kita terlebih dahulu telusuri ciri makhluk legenda ini.

Yuki Onna merupakan suatu makhluk yang tergolong dalam kelas yokai (mudah difahami sebagai hantu). Seperti kami (dewa atau semangat alam) dan oni (syaitan), yokai turut menjadi elemen penting dalam budaya dan legenda masyarakat Jepun terutama apabila berlakunya fenomena-fenomena aneh, di mana ia lazim dianggap sebagai angkara perbuatan mereka.

Yuki Onna secara umum mendiami kawasan bergunung yang diselimuti salji tebal. Di sana, makhluk ini lazimnya memangsakan manusia, terutama mereka yang tersesat atau terperangkap dalam ribut salji. Ketika mahu menyedut nyawa atau tenaga manusia, Yuki Onna akan mengucup bibir mangsa dengan bibir munggilnya yang sejuk. Dengan demikian, mangsa bukan hanya disedut nyawanya, malah mereka juga m4ti akibat kesejukan.

Dalam beberapa kisah, Yuki Onna tidak disifatkan sebagai pemangsa manusia, sebaliknya ia dirincikan sebagai hantu yang lebih mesra di mana mereka hidup bersama manusia malah ada pula yang berkahwin dengan mereka. Memandangkan usianya tidak meningkat tua (dan kulitnya pula tidak berkedut), maka identitinya dengan mudah dapat dikenal pasti sesudah beredarnya masa.

Menyentuh tentang rupa parasnya pula, Yuki Onna digambarkan sebagai gadis jelita yang berambut hitam panjang dan berkimono putih yang kainnya amat nipis. Ada yang merincikan kain kimono yang dikenakan oleh Yuki Onna sangat nipis hinggakan ia mendedahkan kulitnya yang putih lagi mulus. Matanya pula disifatkan berwarna ungu dan tubuhnya sangat sejuk bak salji. Pun begitu, semasa kemunculan pertamanya dalam sebuah catatan klasik yang berjudul Sogi Shokoku Monogatari, Yuki Onna disifatkan sebagai gadis berambut putih dan berkimono putih.

Memandangkan lokasinya terhad pada kawasan-kawasan tinggi, maka Yuki Onna kurang masyhur dalam kalangan penduduk kawasan rendah. Walau bagaimanapun, ia sama sekali tidak mengurangkan kepopulariti Yuki Onna. Namanya bukan setakat menjadi bahan bicara penduduk kawasan sejuk di Jepun, malah ia juga tersebar hingga ke Barat berkat usaha yang dilakukan oleh para pengembara Eropah seperti Lafcadio Hearn. Di zaman moden, Yuki Onna malah ditampilkan sebagai watak di dalam pelbagai karya, antaranya seperti anime Nurarihyon no Mago.

Antara lokasi lazim yang menjadi tempat kemunculan Yuki Onna adalah Aomori, Iwate, Miyagi, Yamagata, Nagano dan Nigata. Ada juga yang turut menyenaraikan Ehime, Tottori, Fukui, Gifu, Nara, dan Toyama.

Di wilayah Aomori dan Iwate, Yuki Onna lazimnya muncul semasa Koshogatsu (Tahun Baru Kecil), satu keraian tradisional bagi menyambut Tahun Baru yang berlangsung pada tanggal 15 Januari. Lebih spesifik, lokasi tersebut adalah Jalan Nishitsugaru di mana Yuki Onna akan muncul pada Hari Tahun Baru dan beredar pada 1 Februari. Berkenaan kemunculan pada hari-hari khusus sebegini, sebahagian penulis menyebutkan bahawa pada zaman dahulu, Yuki Onna dipuja sebagai Toshigami, iaitu dewa khusus yang muncul pada hari-hari tertentu bagi memberikan petanda baik mahupun buruk bagi tahun tersebut.

Antara masa-masa lain yang disebutkan sebagai masa kemunculan Yuki Onna adalah malam bulan mengambang ketika salji baru sahaja turun. Begitu juga dengan awal musim luruh di mana ketika itu, Yuki Onna dipercayai hadir untuk mengucapkan selamat tinggal kepada musim salji.

Menerusi penerangan-penerangan umum yang ringkas ini, dapat difahami bahawa Yuki Onna adalah jelmaan atau hantu wanita yang memunculkan diri pada lokasi dan waktu yang terkait rapat dengan penurunan salji. Sifatnya pula ada yang ramah terhadap manusia dan ada juga yang memangsakan mereka.

YUKI ONNA DALAM SOGI SHOKOKU MONOGATARI

Walaupun Yuki Onna dianggap sebagai watak yang cukup purba dalam legenda Jepun, pada hakikatnya rekod bertulis pertama yang menampilkan kemunculannya datang dari zaman Muromashi (1333-1573M). Catatan tersebut ditulis oleh Sami Sogi yang merekodkan tentang pengembaraannya di wilayah Echigo (Nigata moden) dan dalam perjalanannya itu, beliau sempat bertembung dengan Yuki Onna.

Sogi menulis bahawa beliau memulakan perjalanan dari rumahnya pada suatu pagi yang bersalji. Dalam perjalanan tersebut, beliau terserempak dengan seorang gadis jelita yang berdiri di perkarangan kebunnya yang pada masa itu sedang amat sejuk. Tubuh gadis tersebut agar besar, hampir 10 kaki tinggi dengan kulitnya lebih putih berbanding mana-mana manusia yang pernah ditemui oleh Sogi.

Walaupun wajahnya muda dan jelita, rambutnya secara keseluruhan berwarna putih dan dibiarkan lepas sehingga ke paras bahu. Kimono yang dikenakannya pula berwarna putih jernih. Kainnya yang lutcahaya itu diperbuat daripada benang labah-labah yang sangat halus (nipis), justeru melekap pada tubuh gadis tersebut.

Sogi cuba menghampiri wanita itu, namun beliau hilang secara tiba-tiba di sebalik salji. Pengalamannya ini dikongsikan oleh Sogi kepada rakannya yang merupakan penduduk tempatan wilayah itu. Sogi dimaklumkan bahawa gadis itu adalah Roh Salji (yuki no seirei) yang lazim muncul semasa salji turun dengan lebat.

YUKI-ONNA YANG MUNCUL DI SEBUAH RUMAH TUMPANGAN

Dalam sebuah kisah yang berlatar-tempat di Nigata, terdapat seorang lelaki yang sudah lanjut usianya menjalankan perniagaan rumah tumpangan di sebuah gunung bersama isterinya. Pada suatu malam yang dihujani salji, rumah tumpangannya itu disinggahi oleh seorang gadis yang mengembara sendirian. Ketika berada di dalam rumah tumpangan, gadis itu menghangatkan tubuhnya dengan nyalaan api dan menikmati hidangan makan malam bersama pemilik rumah tumpangan dan isterinya. Gadis itu dirincikan sangat jelita dan menawan.

Pada tengah malam ketika salji turun dengan sangat lebat, beliau bangkit dari tempat duduknya dan beranjak untuk meninggalkan rumah tumpangan. Melihat keadaan itu, si pemilik rumah tumpangan memohon supaya gadis itu supaya terus berteduh untuk malam itu. Untuk menghalangnya dari terus melangkah keluar, beliau mencapai tangan gadis tersebut.

Sebaik sahaja tangan mereka bersentuhan, serta-merta rasa sejuk beku meresapi tubuh si pemilik rumah tumbangan. Habis tubuhnya menggigil dek kesejukan. Pun begitu, beliau masih terus memujuk gadis berkenaan agar terus berteduh dan bermalam di situ sehingga salji kembali reda. Namun, tidak semena-mena seluruh tubuh gadis itu berubah menjadi kabus ais dan terbang keluar dari cerobong rumah – hilang bersama tiupan salji.

YUKI ONNA YANG TUBUHNYA MENCAIR DI TAB MANDI

Dalam sebuah kisah yang berasal dari wilayah Yamagata pula, diceritakan bahawa terdapat seorang lelaki yang mengahwini Yuki Onna. Isterinya itu sangat jelita, matanya tajam dan kulitnya seputih marmar. Lelaki tersebut pula memiliki tabiat mandi air panas pada setiap malam. Namun, tabiat tersebut tidak dikongsi oleh isterinya yang mana hal ini menimbulkan kehairanan bagi si suami.

Pada suatu malam yang sangat dingin, si suami meminta isterinya agar mandi air panas kerana khuatir akan mati kesejukan. Mulanya, si isteri enggan. Namun disebabkan beliau terus-menerus didesak oleh si suami, maka wanita itu pun akur. Ketika si suami memasuki bilik mandi untuk memeriksa keadaan isterinya, beliau menemukan tab mandinya itu dipenuhi oleh batu-batu ais yang telah cair separuh.

YUKI ONNA PEMINTA AIR

Di wilayah Tottori pula, terdapat sebuah kisah ringkas yang menampilkan kemunculan Yuki Onna. Diceritakan bahawa Yuki Onna terbang bersama tiupan salji di hari yang dihujani salji ringan. Beliau berpenasaran di kota sambil memain-mainkan kipas Gohei yang dibawanya dan berteriak kepada sesiapa sahaja yang ditemuinya, “Tolong berikan saya air, tidak kira air panas mahupun sejuk!” Jika beliau disuakan dengan air sejuk, tubuh Yuki Onna akan membesar sejurus meminumnya. Jika diberikan air panas pula, beliau akan mencair dan tubuhnya menghilang.

YUKI ONNA SI PONTIANAK SALJI

Yuki Onna dikisahkan dengan sifat yang lebih menggerunkan di wilayah Aomori, Nigata dan Miyagi di mana beliau menghantui kawasan hutan bersalji dan memangsakan manusia untuk menyedut nyawa mereka dengan cara mengucup mulut mereka dengan bibir sejuknya. Mangsa yang paling digemari oleh Yuki Onna adalah kanak-kanak.

Sementara itu di wilayah Akita, kaedah serangan Yuki Onna dikisahkan agak aneh di mana beliau perlu berbual dengan mangsanya terlebih dahulu. Apabila mereka menemukan seseorang pada malam bersalji yang gelap, Yuki Onna akan memanggil atau menyeru nama individu berkenaan. Sekiranya orang tersebut menyahut panggilannya, maka beliau akan dimangsakan. Keadaan yang berbalikan pula berlaku di wilayah Fukushima dan Ibaraki di mana individu yang tidak menyahut panggilan tersebut yang akan selamat.

YUKI ONNA VERSI LAFCADIO HEARN

Di antara kesemua kisah berkenaan Yuki Onna, tiada yang dapat menanding kemasyhuran versi penceritaan yang ditulis oleh Lafcadio Hearn di dalam bukunya yang berjudul Kwaidan. Di dalam versinya ini, Yuki Onna mengambil sifat yang jauh lebih baik, lemah-lembut dan romatis. Masyhurnya versi ini hinggakan seandainya nama Yuki Onna disebut, seramai 99% masyarakat moden akan terus membayangkan versi Lafcadio Hearn ini. Antara karya beliau lain yang masyhur adalah Japan: an attempt of interpretation (1904); In Ghostly Japan (1899) dan Kwaidan: Stories and Studies of Strange Things (1904).

Versi Lafcadio Hearn ini dimulakan dengan kemunculan dua orang pemotong kayu – Mosaku dan Minokichi – yang bermalam di sebuah pondok terbiar pada suatu malam yang dingin kerana secara tiba-tiba sahaja ribut salji membadai. Pada malam itu, mereka menyelimutkan tubuh dengan pakaian dan melelapkan mata bersebelahan dengan unggun api kecil.

Dalam kegelapan lewat malam, Minokichi terjaga daripada tidurnya. Namun, dalam keadaan yang masih terpisat-pisat, beliau dihidangkan dengan suatu mimpi ngeri. Matanya menjamah pemandangan seorang wanita yang berpakaian serba putih sedang menghampiri Mosaku sambil menghembuskan nafas dinginnya ke arah Mosaku. Menyedari Minokichi yang sudah sedar dari tidur, wanita itu mengalihkan perhatian ke arahnya. Namun disebabkan terpukau dengan ketampanan dan usianya yang masih muda, wanita itu pun menyatakan bahawa beliau akan melepaskan Minokichi untuk terus hidup dengan syarat, beliau tidak sekali-kali menceritakan tentang kejadian pada malam itu.

Setahun kemudian, Minokichi mengahwini seorang gadis jelita yang bernama O-Yuki (bermaksud ‘salji’) dan mereka menjalani kehidupan yang bahagia serta dikurniakan cahaya mata. Pada suatu malam, semasa anak-anak mereka sedang ralit bermain, Minokichi menumpahkan perhatiannya kepada si isteri sambil mengenangkan sebuah memori yang telah lama tersimpan rapi dalam ingatannya. Ketika O-Yuki bertanyakan keadaan si suami lantaran berasa hairan dengan gelagatnya itu, Minokichi pun menceritakan kisah pertemuannya dengan wanita salji pada suatu masa dahulu.

Sebaik sahaja beliau menghabiskan ceritanya itu, satu senyuman yang menyeramkan diukir oleh si isteri. Tanpa semena-mena O-Yuki berubah menjadi Yuki Onna yang sama pernah ditemui oleh Minokichi dahulu. Tepat di waktu itu, beliau menyatakan bahawa Minokichi telah melanggar janji dan mahu sahaja dibunuhnya andai beliau tidak mempertimbangkan untung nasib anak-anak. Lantas, si isteri pun beredar, keluar dari rumah dan meninggalkan Minokichi yang dirundung penyesalan buat selama-lamanya.

RUJUKAN

Zack Davisson. (18 Disember 2013). Yuki Onna – The Snow Woman. Hyaku Monogatari.
https://hyakumonogatari.com/2013/12/18/yuki-onna-the-snow-woman/

Marina Sohma. (13 Disember 2016). A Heart As Cold As Ice? The Japanese Legend of Yuki-onna, the Beautiful yet Dangerous Snow Woman. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/myths-legends/heart-cold-ice-japanese-legend-yuki-onna-beautiful-yet-dangerous-snow-woman-007186

Yokai.com. Yuki onna.
http://yokai.com/yukionna/


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Pencinta bahasa ibunda dan sejarah dunia. Amir Zayyanid merupakan seorang penulis dan penterjemah bebas yang menyimpan impian mahu menabur bakti kepada anak pertiwi menerusi pendokumentasian sebanyak mungkin bahan bacaan, sama ada fiksi mahupun bukan-fiksi.

Comments are closed.