Gadis muda ini hanya berusia 17 tahun ketika
beliau menyertai pergerakan kemerdekaan dan melakukan demonstrasi di Seoul,
Korea Selatan. Gadis pintar ini tekad untuk turut serta memperjuangkan
kemerdekaan negara dan dipenjarakan demi sebuah kebebasan negaranya. Beliau
yang dimaksudkan adalah Yu Gwan-Sun, gadis kelahiran Cheonan, dalam daerah
Chungcheong Selatan, Korea. Ini adalah kisah mengenai perjuangan beliau yang
mengetepikan perbezaan jantina dalam menuntut kemerdekaan buat Korea.
Sejarah awal
Yu Gwan-Sun telah dilahirkan pada 16
Disember, 1902, di kawasan Cheonan, Chungcheong Selatan dan merupakan anak
kedua daripada lima adik beradik. Bapa beliau adalah seorang yang berpegang
kuat kepada ajaran Kristian, dan menekankan aspek keagamaan yang kukuh kepada
anak-anaknya. Yu Gwan-Sun sering mengunjungi Gereja Maebong Presbyterian yang
berhampiran kawasan rumahnya, di mana di sinilah seorang mubaligh Amerika,
iaitu Alice J. Hammond Sharp mengenalpasti keistimewaan yang dimiliki oleh
gadis tersebut.
Yu Gwan-Sun merupakan seorang gadis yang pintar dan mampu untuk menghafal keseluruhan isi kandungan Bible walaupun hanya membacanya sekali dua sahaja. Alice J. Hammond Sharp telah mencadangkan agar Gwan-Sun dihantar ke Sekolah Ewha (Hakdang Missionary School for Girls) walaupun pada waktu itu pendidikan untuk perempuan bukanlah sesuatu yang penting.
Bapanya telah memberi sokongan penuh untuk dia melanjutkan pelajaran ke Sekolah Ewha (yang kini dikenali sebagai Ewha Women’s University), dan dengan itu, Yu Gwan-Sun telah berpindah ke Seoul pada tahun 1915 bagi meneruskan pembelajarannya.
Permulaan sebagai aktivis kemerdekaan
Selepas menamatkan pengajian sekolah menengahnya pada tahun 1918, Yu Gwan-Sun telah berpindah ke sekolah tinggi, dan di sinilah beliau telah menyaksikan pelbagai peristiwa yang akhirnya membawa kepada pergerakan 1 Mac. Pada tahun 1919, Raja Gojong yang menyerahkan takhtanya kepada pihak Jepun pada tahun 1907, telah mangkat.
Khabar angin mula tersebar yang mengatakan bahawa kemangkatan Raja Gojong ini adalah disengajakan dan baginda sebenarnya telah diracun oleh pihak penjajah Jepun. Rasa marah mula meluap-luap dalam kalangan rakyat.
Pada 1 Mac 1919, bandar Seoul telah dipenuhi
oleh penduduk yang datang dari seluruh negara datang berdemonstrasi untuk
mengecam penglibatan Jepun ke atas Korea. Yu Gwan-Sun telah menyertai
pergerakan ini bertempat di Pagoda Park, Seoul. Demonstrasi pergerakan ini
telah menyaksikan penahanan ramai pelajar serta guru dan sekolah serta
universiti pula telah diarahkan tutup oleh pihak Gabenor-Jeneral Korea kerana
dipercayai menjadi tempat pertemuan bagi merancang demonstrasi.
Sekolah yang dihadiri oleh Yu Gwan-Sun turut
sama ditutup, dan beliau telah pulang ke rumahnya di Chungnam. Namun,
kegiatannya sebagai aktivis kemerdekaan tidak terhenti begitu sahaja dan beliau
semakin rancak merancang pelbagai demonstrasi menuntut kemerdekaan. Yu Gwan-Sun
telah melawat 24 buah kampung dan mengumpulkan individu yang ingin menyertai
demonstrasinya. Beliau telah dibantu oleh dua lagi rakannya, iaitu Cho In-won dan
Kim Goo-Eung.
Pada malam 31 Mac 1919, sebelum pergerakan dijalankan, Yu Gwan-Sun telah mendaki puncak Gunung Maebong, di mana beliau telah menyalakan api bagi memberi arahan buat para penduduk kampung. Keesokan harinya, iaitu pada 1 April 1919, dianggarkan hampir 3,000 orang telah berkumpul di kawasan Pasar Aunae sambil melaungkan ‘Mansei’ dan ‘Hidup Kemerdekaan Korea!’.
Di kawasan ini, Pengisytiharan Kebebasan Korea telah dibacakan di hadapan khalayak, di mana salinan pengisytiharan ini sebenarnya telah diseludup masuk oleh Yu Gwan-Sun bersama beribu-ribu bendera Korea dari Seoul untuk diagihkan buat penduduk kampung. Polis Jepun telah meredakan perhimpunan dengan menembak mati 19 orang, termasuklah ibu bapa Yu Gwan-Sun, manakala 30 orang yang lain telah tercedera.
Penjara dan penyiksaan
Selepas kejadian tersebut, Yu Gwan-Sun telah ditangkap oleh pihak polis dan rumahnya telah dibakar. Sewaktu ditempatkan di Balai Polis Ketenteraan Jepun di Chonon, Yu Gwan-Sun telah diberi peluang bagi meringankan hukumannya sekiranya beliau mengaku bersalah atas penganjuran perhimpunan tersebut. Namun Yu Gwan-Sun menolaknya. Beliau telah diseksa oleh pihak polis Jepun bagi memaksanya untuk mendedahkan nama individu lain di sebalik perhimpunan tersebut, tetapi Yu Gwan-Sun tetap menutup mulutnya.
Beliau kemudiannya telah dipindahkan Balai Polis Gongju di mana beliau menghadapi perbicaraannya. Yu Gwan-Sun telah menafikan segala tuduhan ke atasnya dengan menyatakan bahawa “Negara kamu telah menceroboh negara lain. Kamu tiada hak untuk menghakimi kesalahan kami!”. Yu Gwan-Sun telah dijatuhkan hukuman penjara selama lima tahun.
Di dalam penjara, Yu Gwan-Sun terus menerus menghadapi siksaan seperti mana banduan yang lain. Penjara yang dihuninya telah dibina khas untuk proses penyiksaan, iaitu hanya sebesar 3.3 kaki persegi yang menyukarkan sebarang pergerakan di dalamnya.
Walau bagaimanapun, setahun selepas itu, iaitu tahun 1920, pada hari ulangtahun Pergerakan 1 Mac, Yu Gwan-Sun telah mengetuai para banduan yang lain untuk berdemonstrasi sekali lagi. Kejadian ini telah menyebabkannya disiksa dan didera dengan lebih teruk oleh pihak polis Jepun.
Akhirnya, akibat kecederaan teruk yang
dialaminya, Yu Gwan-Sun telah meninggal dunia pada 28 September 1920, pada usia
18 tahun. Sebelum meninggal dunia, Yu Gwan-Sun telah mencatatkan “Jepun akan
tumbang” yang akhirnya menjadi kenyataan 25 tahun selepas itu, iaitu pada Ogos
1945. Yu Gwan-Sun turut terkenal kerana catatannya yang lain, yang menyatakan
bahawa:
“Meskipun kesemua kuku jariku tertanggal,
hidung dan telingaku putus dan kaki serta tanganku patah, kesakitan fizikal ini
tidak dapat dibandingkan dengan kesakitan sewaktu aku kehilangan negaraku.
Satu-satunya penyesalan yang aku hadapi adalah tidak mampu untuk melakukan
lebih daripada menyerahkan nyawaku kepada negara ini.”
Selepas mengumumkan kematiannya, pihak polis Jepun enggan menyerahkan mayat Yu Gwan-Sun kerana tidak ingin kesan siksaan dan penderaan yang dialami olehnya didedahkan. Walau bagaimanapun, selepas menerima ancaman daripada pihak pengurusan dan guru besar sekolah lama Yu Gwan-Sun yang menyatakan kemungkinan Yu Gwan-Sun telah diseksa sehingga mati, pihak polis Jepun akhirnya telah menyerahkan mayatnya.
Pada 14 Oktober 1920, majlis pengebumian Yu Gwan-Sun telah dijalankan secara tertutup di Gereja Jung-Dong dan hanya kawan-kawan rapat serta ahli keluarga terdekat yang menghadirinya. Beliau telah dikebumikan di tanah perkuburan Itaewon yang akhirnya telah dimusnahkan.
Pada tahun 1962, beliau telah dianugerahkan Order
of Independence Merit dan pada tahun 1996, beliau telah dianugerahkan
diploma kehormat oleh Sekolah Tinggi Perempuan Ewha. Malah, rumahnya yang telah
dibakar dalam kejadian perhimpunan telah dibina semula pada tahun 1991.
Kesimpulan
Yu Gwan-Sun yang terkenal dengan gelaran ‘Joan
of Arc Korea’ akan terus dikenang oleh generasi seterusnya sebagai pejuang
wanita muda yang bangkit demi kemerdekaan negaranya. Ia telah menyemarakkan
semangat perjuangan kemerdekaan kepada anak-anak muda yang seterusnya membawa
kepada kejatuhan Jepun pada 1945. Apa yang boleh kita ambil di sini ialah
semangat dan dedikasi gadis muda ini yang sanggup melakukan apa jua demi negara
yang dicintainya. Moga kita juga dapat membina semangat yang sama untuk negara
yang kita cintai.
RUJUKAN:
Anonymous. (2016). Yu
Gwan Sun – Korea’s Joan of Arc. Retrieved August 24, 2019, from
http://www.historynaked.com/yu-gwan-sun-koreas-joan-arc
Anonymous. (2017). Yu
Gwan-Sun: A Young Heroine Who Took the Fight for Independence into Her Own
Hands. Retrieved August 24, 2019, from http://peacemaker.prkorea.com/yugwansun/
Bardise Muhammad.
(2017). Yu Gwan-sun : a hero for today, a hero for independence. Retrieved
August 24, 2011, from http://koreanetblog.blogspot.kr/2017/02/yu-gwan-sun-hero-for-today-hero-for.html




No comments yet