Tengahari 6 Oktober 1973 itu, tepat jam 1400 (2.00 petang) kesepian kawasan berpasir tebing timur terusan Suez itu bergema dengan dentuman tebakan artileri, roket Katyusha dan misil permukaan ke permukaan. Menderu-deru pasir halus berterbangan di udara.

Kedudukan pertahanan Israel yang telah bertahun diperkukuhkan, hancur dalam sekelip mata. Tanpa amaran, kesepian yang biasanya mencengkam sudah tak berbekas hari itu. Tanpa amaran, 222 buah pesawat MiG dan Sukhoi milik Mesir menjerit di udara.

Pos pengawal, ketumbukan permukaan ke udara, pengkalan udara, depot simpanan bekalan dan instalasi radar diratah letupan dan kebakaran yang makin membahangkan cuaca panas di Tanah Arab itu.

Secara serentak, beberapa ratus batu ke utara, bukit Golan yang berceragah turut digegarkan dengan letupan yang dihamburkan oleh 100 buah pesawat MiG milik Syria, diikuti pasukan penggempur berkekuatan sehingga 900 kereta kebal dan 40,000 anggota infantri melintas masuk ke daerah Israel.

Itu adalah petanda bermulanya Operasi Badar, yang dilancarkan ketika umat islam sedunia mula menyambut ketibaan Ramadhan tahun 1973, oleh ketumbukan tentera di bawah pimpinan Presiden Mesir ketika itu – Anwar el-Sadat, bersama -sama sekutunya Syria dan Jordan. Operasi yang berjalan selama 3 hari itu, menjadi titik utama permulaan Perang Oktober 1973 atau dikenali juga sebagai Peperangan Yom Kippur yang berlangsung selama sebulan.

Pergerakan semasa Operasi Badr. Sumber imej: Wikipedia

Asal namanya adalah Operasi High Minaret – dirancang oleh kekuatan perang Mesir sejak 1971. Namun, kesudahannya, namanya ditukar kepada Operasi Badar – mengambil inspirasi daripada Peperangan Badar yang dilalui oleh Baginda Rasullullah S.A.W pada tahun 634, di mana angkata tentera Islam pulang membawa kejayaan setelah berhadapan dengan ketumbukan tentera Quraisy yang jauh lebih besar.

Pihak Israel ketika itu pula sedang menyambut Yom Kippur – perayaan suci mereka. Siapa sangka, tembok kekebalan mereka yang telah diperkukuhkan sejak kemenangan mudah pada tahun 1967, bergegar juga hari itu. Di akhir peperangan itu, batalion kereta kebal, beratus pesawat juang dan berpuluh ribu askar, bertembung di dalam salah satu peperangan paling penting di dalam sejarah abad ke-20.

Harga minyak dunia melambung naik, dan kemungkinan akan tercetus peperangan nuklear, menyebabkan banyak pemimpin dunia tidak dapat tidur lena. Meski berlangsung dalam jangka masa yang boleh dikatakan agak singkat, konflik tersebut telah membawa impak yang sangat-sangat besar. Akhirnya, setelah sekian lama, kebekuan politik yang sebelumnya tidak dapat dipecahkan, telah memaksa Israel kembali ke meja rundingan, dan buat satu jangkamasa yang agak lama, Mesir dan Israel berjaya menetapkan satu tempoh aman yang jarang dapat dilihat di Timur Tengah yang sentiasa bergolak itu.

Punca

Semuanya bermula dengan Peperangan Enam hari pada bulan Jun 1967, apabila Pasukan Bersenjatan Israel (IDF) dengan mudah meratah kekuatan Ketumbukan Bersekutu Mesir, dan merampas Bukit Golan daripada Syria, Semenanjung Sinai daripada Mesir, dan Baitulmuqaddis Timur daripada Jordan.

Meski dengan pelbagai usaha – sama ada melalui jalan ketenteraan atau diplomasi, Israel enggan berganjak daripada cengkamannya ke atas tanah yang telah dijajah dan dirampasnya. Sadat yang sudah semakin panas hati bertekad untuk merampas kembali tanah tersebut. Beliau berjumpa dengan Presiden Syria –  Hafez el-Assad, yang juga sedang mencari jalan merampas kembali Bukit Golan. Assad bersetuju menyertai Sadat.

Jordan dan Iraq pula bersetuju menyumbangkan beberapa unit tentera mereka. Sadat sangat sedar, yang satu-satunya pilihan yang dipunyainya adalah untuk memberi tekanan ketenteraan kepada Israel untuk kembali ke meja rundingan. Beliau juga sedar, sebarang usaha untuk mendapatkan keamanan tanpa sebarang pertembungan akan hanya menyebabkan Arab Saudi dan negara pengeluar minyak yang lain menghentikan sumbangan dana yang sangat diperlukan Mesir ketika itu.

Tujuan beliau bukanlah untuk menghancurkan Israel. IDF terlalu kuat – ditambah pula dengan sokongan daripada Amerika Syarikat. Sebaliknya, yang mahu dilakukannya adalah untuk menghentam Israel sehingga keyakinan negara angkut itu tergugat – yang mencanak sejak 1967. Secara operasi, Sadat percaya beliau perlu bertindak keras dan pantas. Sebaik saja pertarungan tercetus, AS dan Soviet pasti akan masing-masing turut campurtangan – AS untuk melindungi Israel, dan Soviet pula untuk membantu sekutunya Syria. Masing-masing pasti mahu mengekalkan pengaruh mereka di rantau tersebut. Sadat juga beranggapan PBB kan turut mendesak gencatan senjata. Maka, kuncinya adalah untuk Mesir merampas kembali sebanyak mana tanah yang mampu, untuk memberikannya kelebihan semasa rundingan nanti.

Yang menang dalam masa 24 jam, akan memenangi keseluruhan peperangan ini,” kata Sadat.

Pasukan Mesir dan Syria merancang operasi daripada dua arah, dikoordinasikan daripada Kaherah. Sebaik pasukan Mesir menyeberangi terusan Suez, dan menduduki Sinai, pasukan Syria pula akan bergerak bagi merampas semula Bukit Golan. Kedua-dua negara meminta bantuan Soviet untuk membina sistem pertahanan permukaan ke udara, dengan bateri misil SAM-2, -3, -6, dan -7. Kekuatan ketumbukan mereka dipertingkatkan dengan beribu tambahan pelancar grenad roket ( RPG) dan AT-3 Saggers – misil anti-kereta kebal berpandukan wayar. Batalion kereta kebal pula ditambah dengan T-55s dan T-62 buatan Soviet, manakala kuasa udara dipertingkatkan dengan pesawat-pesawat  MiG-17, -21, dan -23 fighters serta Su-7 dan  -20. Tidak ketinggalan adalah misil Scud .

Askar-askar Mesir melalui latihan intensif sebagai persediaan bagi operasi tersebut. Serangan menyeberangi Terusan Suez diraptaikan sehingga 35 kali, dengan bantuan binaan tiruan menyerupai instalasi Israel (mockup). yang paling menjadi titik fokus adalah meneyeberangi terusantersebut – di mana di sesetengah tempat, lebarnya boleh mencecah 220 ela, serta memecahkan pertahanan yang telah dibina oleh jurutera Israel di seberang terusan tersebut. Pasir yang menimbun tinggi sehingga 60 kaki itu diperkukuhkan oleh konkrit, danmempunyai kecerunan antara 45 hingga 65 darjah. Bagi membentuk laluan bagi anggota dan peralatan mereka menembusi dinding itu, 4o batalion jurutera diwujudkan – disertakan dengan 450 buah hos berkekuatan tinggi.

Kesemua persiapan ini adalah perlu, memandangkan sejak peperangan 1967, Israel telah membina pertahanan ampuh bagi melindungi jajahannya. Garisan Bar-Lev Line, satu jaringan pertahanan, dibina 100 batu jauhnya, merentasi Suez, bermula daripada Mediterranean di bahagian utara. Di Bukit Golan pula, telah dibina satu jaringan canggih terdiri daripada parit anti kereta kebal, platform tembakan dan post pendengaran. IDF begitu yakin dengan pertahanan mereka, sehinggakan ketika serangan Operasi Badar bermula, pertahanan di Bar-Lev tidak dijaga sepenuhnya pun. Pemimpin tentera Israel memandang rendah keupayaan negara-negara Arab ketika itu.

“Letakkan semua Pak Arab tu.. bersama-sama anggota payung terjun mereka dan Saggers di atas sebuah bukit…saya akan hapuskan mereka dengan dua biji kereta kebal saja,” kata seorang jeneralnya.

Hanya selepas serangan tersebut, Zvi Zamir, ketua kepada Mossad, terpaksa mengaku: “Kami terlampau memandang rendah keupayaan mereka.”

Parit pertahanan di Garisan Bar Lev, dilatari sebuah bunker.

Sepanjang musim panas dan awal musim luruh 1973, panglima perang Mesir dan Syria memperincikan perancangan serangan tersebut, yang telah bermula sejak tahun 1971. 6 Oktober dipilih sebagai tarikh yang paling sesuai, ketika keadaan arus di terusan Suez adalah paling optimum untuk diseberangi. Hari tersebut juga merupakan hari om Kippur – hari paling mulia bagi masyarakat Yahudi. Di negara barat, peperangan yang berlanjutan daripada Operasi Badar ini dikenali sebagai Peperangan Yom Kippur, manakala bagi masyarakat Arab, ia dipanggil Peperangan Ramadhan, kerana berlangsung semasa bulan puasa.

Persediaan dipertingkatkan, dengan memberi tumpuan kepada kekuatan infantri Mesir, memandangkan mereka sedar, mereka tidak mempunyai kelebihan yang banyak daripada segi kekuatan udara. Anggota-anggota infantri dibekalkan dengan pelbagai kelengkapan tambahan – senjata jenis B10 dan B11, RPG bagi membantu menyusuli peluru Saggers, periuk api, dan malah gogel pandangan malam ( NVG) serta gogel pemateri, memandangkan pasukan Israel diketahui sering menggunakan lampu xenon yang dimuatkan di atas kenderaan dan kereta kebal mereka bagi menyilau danmembutakan pandangan pasukan lawan pada waktu malam.

Lima set pek kelengkapan direkabentuk khusus untuk operasi tersebut – lebih ringan, disesuaikan kepada lima ketumbukan berlainan, dan mempunyai ruang isian botol air yang lebih besar bagi memuatkan bekalan rangsum makanan untuk tempoh 24 jam. Kesemua ini dijalankan tanpa melupakan persiapan pasukan laut serta pasukan komandonya – Sai’qa.

Persiapan yang dijalankan itu tidak disedari oleh Israel, yang menganggapnya sebagai latihan tahunan biasa yang sering dijalankan oleh Mesir. Mereka tidak terfikir langsung yang ada negara Arab yang dipandang enteng, sebenarnya sedang merancang serangan ke atas negara mereka, kerana mereka berpendapat, tidak ada sesiapa yang cukup bodoh untuk menvabar kekuatan Israel ketika itu.

Keyakinan itu ditambah pula oleh khabar angin kononnya Mesir dan Syria ketika itu sedang “ berlaga angin”. Pihak risikan Israel juga tidak mengendahkan bisik-bisik tentang peperangan yang bakal tercetus itu. Yang lebih mereka tidak sangka, adalah peperangan tersebut bukan saja akan menghentam mereka daripada sudut ketenteraan semata, tetapi juga sudut ekonomi dan politik.

Dan operasi itu pun dimulakan tepat jam 1400, pada tarikh 6 Oktober 1973. Israel tergamam. Mereka diserang daripada pelbagai sudut, dengan cara yang tidak disangka-sangka. Tembok pasir yang kukuh itu telah dirobek oleh jurutera Mesir dengan hanya menggunakan pam air berkuasa gasolin.

Terusan mereka diseberangai pasukan Mesir menggunakan jambatan mudah-alih PMP dari Soviet, yang berat, tetapi mengambil masa hanya 2 jam untuk dibuka serta tidak mudah goyah walau dihentam. Perahu kecil dan rakit digunakan sebagai pengangkutan tambahan. Tangga tali dengan mata kayu digunakan untuk memanjat tembok tersebut. Dari seberang sana, kereta sorong kayu digunakan untuk mengangkut kelengkapan tentera Mesir. Pasukan Sai’qa mengamuk bagaikan dahag darah.

Setiap serangan diiringi jeritan “Allahu akbar!”. Israel benar-benar terpana ketika itu. Dalam masa 24 jam, lebih 1,000 kereta kebal, 13,500 kenderaan, and 100,000 anggota Mesir telah menyeberangi terusan tersebut.

“Keseluruhan operasi itu, adalah ibarat simfoni yang dimainkan oleh puluhan ribu manusia,” kata wakil Israel. Mesir hanya kehilangan 208 sahaja pada hari itu.

Pasukan Mesir menyeberangai jambatan PMP buatan Soviet semasa Operasi Badar.

Pasukan Syria, walaubagaimanapun, kurang bernasib baik. Kesilapan yang dilakukan oleh mereka telah mengakibatkan kehilangan nyawa ramai anggotanya, terutama ketika Israel mula melancarkan serangan balas menggunakan kereta kebal Centurion, M-60 dan juga “Super Shermans”  – yang telah dipertingkatkan dengan meriam 75mm atau 105mm sejak penggunaannya dalam perang Dunia Kedua. Pasukan udaranya pula dilengkapi oleh pesawat-pesawat F-4 Phantom, A-4 Skyhawks, Mirage, dan Super-Mystères. Pasukan Syria termati langkahnya di Baker Vail atau Valley of the Tear, selepas pertarungan hebat di Chinese farm.

Anggota terup Mesir memacakkan bendera mereka selepas berjaya menduduki garisan Bar Lev.

Meski ada saat-saat sepanjang operasi itu di mana pasukan Mesir seakan mengalami kecundangan, Israel dikejuntukan dengan semangat membara lawan mereka. Pada hari terakhir operasi, iaitu 8 Oktober, ketika 300 buah kereta kebal Israel menujah kedudukan pasukan Mesir, mereka menyangkakan pasukan tersebut akan lari mencecet. Namun, yang sebaliknya pula terjadi. Mereka pula yang dihentam daripada segenap arah menggunakan kereta kebal, Sagger dan RPG. Dalam masa 48 jam, 200 kereta kebal Israel musnah. Ia benar-benar “All hell broke loose.” Mejar General Ariel Sharon ketika itu terkejut:

“Askar kami telah terbiasa dengan kejayaan… mereka adalah generasi yang tidak pernah kalah. Sekarang, mereka dalam keadaan terkejut. Bagaimana jadinya.. askar Mesir sedang maju, dankita pula sedang kalah?”

Keadaan menjadi kritikal, dan Israel segera berpaling kepada sekutunya, AS, yang datang membantu dengan dilancarkan Operasi Nickel, di mana bantuan segera dihantar oleh AS. Berlaku perbincangan tentang melancarkan serangan nuklear bagi mengekang pergerakan Mesir. Ketika inilah, buat julung kalinya, negara Arab kelihatan bersatu. Pujukan Sadat terhadap negara pengeluar minyak lain nampaknya membuahkan hasil.

Sekatan bekalan minyak dilancarkan ke atas AS dan Eropah, menyebabkan harga minyak dunia melambung naik. Ia telah cuba dilakukan semasa peperangan 1967, tetapi tidak mendapat sokongan semua. Kali ini, sebulat suara negara-negara Arab berdiri di belakang Mesir. Dan sejak itu, minyak mula digunakan mereka sebagai senjata ekonomi.

Embargo minyak 1973 : kesannya dirasai di seluruh dunia. Sumber imej : Vision Solar

Operasi Badar mencapai kesemua objektifnya. Meski di akhir Peperangan Oktober itu, Mesir dikalahkan secara ketenteraan, Israel megalami kejutan yang melemahkan. Suku daripada kekuatan udaranya musnah dan perbelanjaan untuk sebulan peperangan itu bersamaan dengan setahun keluaran kasar negaranya. Ego mereka selama ini tercalar teruk. Sudahnya, Perdana Menterinya terpaksa meletak jawatan.

Sadat diangkat menjadi wira. Melalui usahanya, pada tahun 1978, termeterai perjanjian damai Camp David – di mana mahu atau tidak, Israel terpaksa melepaskan kembali Semenanjung Sinai kepada Mesir, dan Terusan Suez dibuka semula. Sadat dibunuh oleh ekstremis Islam pada tahun 1981, yang melabelkannya sebagai pengkhianat kerana tidak memasukkan perjajian lebih besar melibatkan Palestin dan jajahan-jahan lain yang ditakluk Israel.

Sadat (kiri sekali) semasa Perjanjian Damai Camp David 1978. Sumber imej: Encyclopedia Britannica

Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Aenid Abdullah, berkelulusan B.Ed.TESL ( Hons.) daripada Universiti Of Exeter, United Kingdom dalam bidang Bahasa Inggeris adalah anak desa berasal dari sebuah desa kecil di Kedah. Meski sudah jauh merantau, beliau tidak pernah lekang daripada kesukaannya terhadap sambal belacan,durian,petai dan harum bumi Malaysia tatkala disimbah hujan. Kecintaannya yang paling besar adalah terhadap dunia pertahanan, senjata, motorsikal berkuasa tinggi dan aktiviti-aktiviti mencabar.

Leave A Reply