Tempoh hari kami ada kongsikan ulasan admin kami yang menonton Ejen Ali The Movie sampai terlupa nak makan popcorn dia. Tetapi untuk artikel kali ini, walaupun bukanlah memerihalkan tentang animasi tersebut secara keseluruhan, kami cuba berikan kredit kepada salah sebuah gajet yang banyak berjasa sepanjang Ali bertugas sebagai seorang ejen.
Gajet yang berpeluang merasakan nikmat membedal Uno secara langsung. Gajet yang sempat berkongsi rasa bersalah dengan Ali lantaran mencederakan Khai, Moon, Iman dan Comot semasa Ali dikawal oleh Override Mode. Gajet yang walaupun sebenarnya memang sebuah mainan, tetapi tidak pernah dimainkan oleh Danish, cucu Aunty Faye semacam yang dialami IRIS.
Yo-yo, gajet senjata yang digunakan oleh Ali sepanjang bergelar Ejen MATA. Walaupun mungkin yo-yo sebagai senjata itu kedengaran seperti suatu hal yang pelik, tetapi itu bukanlah hal terpelik dalam siri Ejen Ali, setidaknya ia tidaklah sepelik tempoyak udang yang menjadi faktor bermulanya hidup Ali sebagai ejen. Apapun, ia tetap mencetuskan rasa ingin tahu tentang yo-yo.
Adakah yo-yo memang pernah dijadikan sebagai senjata pada masa lalu? Sebelum itu, apa pula sejarah mainan yang bernama yo-yo? Sejak bila yo-yo mula wujud? Atau kenapa yo-yo disebut sebagai yo-yo? Tak ada nama lain yang lagi cun ke? Persoalan-persoalan yang lebih kurang macam inilah yang cuba diteroka dalam artikel kali ini. Jadi, apa lagi yang nak ditunggu? JOM BACA SEGERA!
YO-YO DI ZAMAN PURBA
Yo-yo dipercayai berasal dari dua buah tamadun purba, iaitu China dan Yunani. Malahan, yo-yo dianggap sebagai mainan kedua paling tua di dunia, menyusuli boneka. Walau bagaimanapun, kurangnya bukti fizikal mahupun pendokumentasian rapi menyukarkan usaha untuk menjejak sejarah awal yo-yo. Siapakah yang mula-mula menciptanya? Pada tahun bila ia mula dimainkan dan bagaimana pengaruhnya dalam kalangan masyarakat purba? Setakat sumber yang dirujuk, tiada yang benar-benar dapat mencerahkan persoalan tersebut, melainkan tentang sejarahnya di zaman moden.
Sebutan pertama berkenaan yo-yo diperkirakan muncul sekitar 500SM di Yunani. Mainan ini secara umum diperbuat daripada kayu, tanah liat dan kadangkala logam. Kebiasaannya, sesudah kanak-kanak Yunani mencapai usia dewasa, mereka akan menyerahkan yo-yo mereka kepada mana-mana kuil sebagai tanda kesyukuran terhadap dewa pilihan mereka kerana mengurniakan mereka usia yang panjang.
Yo-yo yang diserahkan kepada kuil ini lazimnya diperbuat daripada tanah liat, bahan yang lebih kukuh berbanding kayu yang rapuh. Di samping itu, mainan yang diserahkan kepada kuil ini turut dipelihara dengan baik oleh penjaga kuil. Lantaran itu, agak munasabah apabila tiada yo-yo kayu Yunani yang dapat ditemui sehingga kini.
Apa yang dapat kita saksikan pada hari ini hanyalah yo-yo tanah liat Yunani yang dipamerkan bersama sejumlah pasu yang mengandungi lukisan yang dipercayai menggambarkan kanak-kanak sedang bermain yo-yo, di Muzium Kebangsaan Athens, Greece.
Bagi sebilangan sumber, mereka kurang meyakini bahawa lukisan pada pasu-pasu berkenaan merujuk kepada yo-yo. Menurut mereka, lukisan tersebut sebenarnya menggambarkan sebuah objek lain yang mempunyai kepentingan tersendiri dalam budaya Yunani purba, iaitu Aryballos, sejenis bekas berbentuk bulat yang lazimnya dijadikan sebagai bekas pewangi dan diikat dengan tali kulit. Antara pengkaji yang berpandangan sebegini adalah Doc Lucky Meisenheimer.
Tidak cukup dengan ketidaktentuan status lukisan pada pasu-pasu tersebut, kita juga sama sekali tidak mengetahui nama atau sebutan masyarakat Yunani purba terhadap yo-yo. Namun, kekurangan sebegini tidaklah meluputkan status tamadun tersebut sebagai salah sebuah tamadun yang dipercayai melahirkan permainan yo-yo.
Kekaburan sejarah awal ini juga berlaku bagi yo-yo dari tamadun China. Sumber-sumber yang dirujuk menyebutkan bahawa yo-yo China paling tua setakat yang ditemui oleh ahli-ahli arkeologi sehingga kini adalah yo-yo yang ditemui di wilayah Shanxi, dipercayai berusia lebih 4000 tahun (2000SM). Walau bagaimanapun, bukti bertulis atau rujukan teks yang dapat mengesahkan kewujudan mainan ini dalam tamadun China hanya hadir di zaman Dinasti Ming (1386-1644M).
Yo-yo China dikenali dengan beberapa nama seperti ‘Tzuh-ling’,‘Kongzhong’, ‘Xianghuang’, dan ‘Cheling’. Namun pada hari ini, dunia lebih mengenalinya dengan sebutan diabolo, nama yang hadir setelah yo-yo China mengalami pengubahsuaian di Barat. Di China, yo-yo secara umum diperbuat daripada buluh atau kayu. Bentuknya juga agak berbeza berbanding yo-yo yang biasa kita lihat dan mainkan. Dua cakeranya tidak diikat dengan tali dan lazimnya berbentuk seperti gelas ataupun rama-rama.
Malahan, cara bermainnya juga melibatkan penggunaan dua batang kayu sekaligus lebih rumit berbanding gaya permainan biasa di mana kita hanya perlu mengendalikan yo-yo tanpa alat seperti batang kayu. Mekanisme permainannya mungkin boleh dikatakan cenderung mirip dengan sebuah permainan yang dikenali sebagai spin-top. Walaupun sejarahnya sedikit kabur terutama di zaman purba, yo-yo China terus menjadi sebahagian daripada budaya unik mereka.
YO-YO DI FILIPINA – BERMULA SEJARAHNYA SEBAGAI SEBUAH SENJATA
Selain pengaruhnya tersebar ke Barat yang sekaligus melahirkan nama diabolo, yo-yo dari China juga tersebar ke Asia Tenggara, tepatnya Filipina. Sebahagian sejarahwan Filipina mencatatkan bahawa sejarahnya bermula semasa penjajah Sepanyol tiba di pantai negara itu pada 4 kurun yang lalu (1600M). Menurut mereka, penjajah-penjajah tersebut memperkenalkan spin-top kepada masyarakat tempatan dengan tujuan untuk mengajarkan kepada mereka bagaimana bentuk bumi dan bagaimana ia berputar pada paksinya serta pusingannya mengelilingi matahari.
Apapun, hal yang lebih menarik tentang sejarah yo-yo di Filipina adalah penggunaannya sebagai senjata, atau dengan pernyataan yang lebih tepat, mekanisme senjata yang mirip seperti yo-yo. Di Filipina, yo-yo bukan hanya dimainkan oleh kanak-kanak bagi mengisi masa senggang. Akan tetapi, pahlawan-pahlawan mereka turut menggunakan sejenis kaedah serangan yang memanfaatkan mekanisme yo-yo semasa berburu atau menyerang penjajah.
Dicatatkan bahawa pahlawan atau pemburu Filipina akan memanjat pokok lalu menantikan kehadiran mangsa. Sebaik sahaja mangsa berada hampir, mereka akan melontarkan batu atau objek lain yang sudah pun dipertajamkan. Batu atau objek tersebut terlebih dahulu diikat dengan tali sepanjang 20 kaki sekaligus membuatkannya berfungsi hampir sama seperti yo-yo. Malahan, nama ‘yo-yo’ itu sendiri berasal daripada bahasa Tagalog yang membawa maksud, “datang-datang’ atau ‘kembali’. Pun begitu, nama ini hanya lahir pada awal kurun ke-20 menerusi seorang imigran dari Filipina yang hidup di Amerika Syarikat.
SEJARAH YO-YO DI EROPAH
Sebelum kita menjengah ke benua yang jauh itu, mari kita telusuri terlebih dahulu sejarah yo-yo di wilayah barat yang lebih dekat, iaitu Eropah. Setelah pengaruhnya berkembang dari China ke timur (Filipina) secara meluas sekitar kurun ke-16 dan ke-17, yo-yo berputar dan terus berputar sehingga sampai ke Eropah pada kurun ke-18. Pada masa-masa inilah kepopulariti yo-yo mula meningkat secara mendadak. Di Perancis, mainan tersebut dikenali secara umum sebagai bandaleur sementara masyarakat Inggeris pula menyebutnya sebagai bandalore.
Sekitar waktu berlakunya Revolusi Perancis (1789), mainan ini sudah pun menjadi kelaziman dalam kalangan aristokrat sebagai permainan untuk melepaskan tekanan atau stress. Nama-nama lain yo-yo di Perancis seperti l’emigrette, Coblenz, dan incroyable masing-masing memiliki kaitan kuat dengan Revolusi Perancis.
Sebagai contoh, nama l’emigrette dikatakan berakar daripada peristiwa bermigrasinya golongan aristokrat atau bangsawan Perancis semasa rusuhan rakyat berlaku. Sepanjang perjalanan jauh yang membosankan itu, antara kaedah untuk mereka menghabiskan masa adalah dengan bermain yo-yo atau bandaleur yang dibawa bersama. Nama Coblenz pula merujuk kepada sebuah nama kota yang menjadi destinasi perpindahan golongan aristokrat tersebut.
Malahan, yo-yo juga muncul dalam salah sebuah lukisan penting bagi Perancis pada kurun ke-18, iaitu potret Louis XVII yang ketika itu berusia 4 tahun sedang bermain emigrette. Terdapat juga lukisan-lukisan lain yang memperlihatkan kehadiran yo-yo dalam suasana kehidupan masyarakat Perancis. Antara lain adalah lukisan kartun General Lafayette yang sedang memimpin kemaraan sepasukan tentera sambil masing-masing bermain yo-yo. Begitu juga lukisan General Mirabeau dan tentera-tenteranya, yang turut digambarkan sedang bermain emigrette.
Kemudian dari Perancis, mainan ini tersebar ke England terutama semasa berlangsungnya Pesta Peckham pada tahun 1789 di mana yo-yo dijual kepada masyarakat tempatan. Di sana, yo-yo dipopularkan oleh Prince of Wales, yang kemudiannya menjadi George IV sehingga bandalore menjadi sebuah trend bagi segenap lapisan masyarakat di England.
Hal ini dibuktikan menerusi sebuah lukisan tahun 1791 yang menunjukkan beliau sedang bermain bandalore. Terdapat juga lukisan lain yang menggambarkan dua orang pemuda menakut-nakutkan seorang wanita berusia dengan bandalore, bertarikh 1862. Dalam dekad yang sama, bandalore melebarkan pengaruhnya ke benua seberang laut iaitu Amerika.
YO-YO MULA DIKENALI SEBAGAI YO-YO
Pada tahun 1866, dua orang lelaki dari Ohio memperkenalkan bandalore kepada masyarakat Amerika. Mereka terus mengenali permainan itu dengan nama tersebut, sehingga memasuki dekad ketiga kurun ke-20. Pada tahun 1928, Pedro Flores, seorang imigran dari Filipina membuka Yo-Yo Manufacturing Company di California dan mendaftarkan hakcipta produk “Flores Yo-Yo”. Beliau bukan setakat dikenali sebagai pengeluar yo-yo terbesar di sana, malah beliau sendiri merupakan individu yang bertanggungjawab memberi nama ‘yo-yo’ kepada yo-yo.
Beberapa tempoh kemudian, seorang usahawan berpengaruh bernama Donald F. Duncan membeli kilang milik Flores. Pada waktu itu, dipercayai bahawa Yo-Yo Manufacturing Company milik Flores mengeluarkan lebih 300 000 unit sehari. Di bawah teraju Duncan, yo-yo mengalami sejumlah penambahbaikan sehingga membolehkan teknik-tenik permainan yo-yo seperti sleeping dan walking the dog dapat dilakukan buat pertama kali.
Antara langkah pemasaran besar yang dilakukan oleh beliau adalah menjalinkan kerjasama dengan William Randolph Hearst, pemilik akhbar Hearst. Menerusi usahasama itu, Duncan berpeluang mengiklankan produk mainannya itu secara percuma dan sebagai imbalan, Duncan mengadakan pertandingan dan peserta pertandingan tersebut diminta supaya membawa sejumlah akhbar sebagai yuran penyertaan.
Berkat kemahiran Duncan dalam dunia perniagaan dan pemasaran, kepopulariti Duncan Yo-Yo meraih lonjakan yang luar biasa di Amerika Utara dan Eropah. Pada suatu tahap, kilang milik Duncan mengeluarkan sebanyak 3600 unit yo-yo setiap jam sekaligus menjadikan pekan Luck, Wisconsin, tempat kilang utamanya berada, sebagai Ibu Kota Yo-Yo Dunia. Dicatatkan bahawa pada masa-masa kemuncaknya iaitu sekitar tahun 1962, sebanyak 45 juta unit yo-yo berjaya dijual oleh Duncan Toys Company.
Walau bagaimanapun, kejayaan tersebut tidak berpanjangan apabila beberapa tahun kemudian, syarikat tersebut bankrap akibat menanggung kos pemasaran dan pengeluaran yang terlampau tinggi. Syarikat dan hakcipta Duncan seterusnya dibeli oleh Flambeau Plastic Company yang kemudiannya meneruskan legasi Duncan Yo-Yo.
PENUTUP
Yo-yo bukan hanya mainan kedua paling tua di dunia, akan tetapi ia juga merupakan salah satu mainan terawal yang pernah di hantar ke angkasa iaitu apabila ia menyertai 10 mainan lain yang diterbangkan ke angkasa menerusi Space Shuttle Discovery pada 12 April 1985.
Sehingga kini, mainan ini masih dianggap popular dan mempunyai segmen peminatnya yang tersendiri. Malahan di Amerika Syarikat, yo-yo meraih pengaruh yang tersendiri apabila negara berkenaan mengkhususkan tanggal 6 Jun sebagai Hari Yo-Yo Kebangsaan.
Di samping itu, pertandingan yo-yo pelbagai peringkat termasuklah dunia terus-menerus mendapat sambutan di pelbagai negara seperti Kejohanan Yo-Yo Asia Pasifik yang pernah diadakan di Singapura, Peraduan Yo-Yo Sedunia yang pernah berlangsung di Amerika Syarikat dan juga 44Clash di Tokyo, Jepun. Malahan, industri animasi Jepun turut pernah menyiarkan beberapa buah anime yang bertemakan yo-yo seperti Super Yoyo dan Chousoku Spinner.
Malaysia sendiri mempunyai pertandingan yo-yo peringkat kebangsaan, iaitu Kejohanan Yo-Yo Malaysia (Malaysia Yo-Yo Championship). Bagi edisi tahun ini, pertandingan tersebut diadakan di Kota Kinabalu, Sabah pada 29 dan 30 Jun yang lalu. Tambahan lagi, industri animasi tempatan menerusi Ejen Ali mewarnai penghujung dekad kedua abad ke-21 ini dengan kehadiran yo-yo sebagai gajet senjata bagi watak utamanya.
Adakah ini petanda bahawa tahun ini akan membangkitkan demam yo-yo dalam kalangan kita, dewasa mahupun kanak-kanak, semacam Beyblade lakukan pada tahun lalu?
RUJUKAN
Nikola Budanovic. (3 Mac 2018). The origins of the Yo-yo, one of the oldest toys known to seen on the side of Greek vases 500BC. The Vintage News.
https://www.thevintagenews.com/2018/03/03/origins-of-the-yo-yo/
Mikael Angelo Francisco. (15 November 2018). Did A Filipino Really Invent the Yo-Yo? The Answer Will Surprise You. Flip Science.
https://www.flipscience.ph/technology/did-filipino-invent-yo-yo/
Sebastian. (1 Jun 2019). The Complete True Yoyo History Presented to You. Best Skill Toys.
https://bestskilltoys.com/yoyos/yoyo-recommendations/yoyo-history/
Conny Waters. (13 Mei 2019). Oldest Yo-Yo Dates Back to 400-500 B.C. Ancient Pages.
http://www.ancientpages.com/2019/05/13/oldest-yo-yo-dates-back-to-400-500-b-c/
Valerie Oliver. (n.d). History of the Yo-Yo. Museum of Yo-Yo History.
http://www.yoyomuseum.com/museum_view.php?action=profiles&subaction=yoyo
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih