Sebelum ini, kita bercerita pasal macam mana agama Kristian bertapak di Korea. Sekarang kita bercerita pasal sejarah awal perjuangannya pula. Sewaktu kita menonton K-drama atau apa-apa bentuk hiburan yang berasal dari Korea Selatan, paling kurang kita pasti akan disajikan dengan sesetengah adegan yang menonjolkan bahawa masyarakat Korea Selatan menganuti agama Kristian. Paparan-paparan yang menonjolkan tentang keadaan masyarakat Korea Selatan ini lantas telah menimbulkan persoalan di benak pemikiran penulis.
Persoalan yang timbul itu adalah bagaimana agama Kristian ini diraikan dan diterima oleh masyarakat Korea Selatan pada awalnya. Mana tidaknya, dari segi geografinya, Korea Selatan merupakan sebuah negara yang terletak di Timur Asia. Tambahan pula, kawasan Timur Asia pula sinonim dengan agama-agama seperti Buddha, Shinto, Tao dan sebagainya. Oleh yang demikian, bagi menjawab persoalan yang menarik ini, kita perlu menelusuri kembali sejarah awal bagaimana agama Kristian yang berpusat jauh di benua eropah boleh sampai dan bertapak dengan kukuh di Semenanjung Korea.
Agama Kristian merupakan agama terbesar di Korea Selatan dan dipeluk oleh lebih kurang separuh daripada warganya. Pada hari ini, terdapat kira-kira 13.7 juta orang penganut Kristian di Korea Selatan. Majoriti rakyat Korea Selatan (56.1% berdasarkan bancian nasional 2015) adalah tidak beragama (Atheis). Manakala, Agama Kristian dan Buddha merupakan agama yang paling dominan di kalangan rakyat Korea Selatan. Bagi agama Kristian, aliran yang menjadi pilihan majoriti untuk dianuti ialah aliran Protestan yang mewakili (19.7%) dari jumlah populasi, manakala aliran Katolik (7.9%). Selebihnya, rakyat Korea Selatan menganut Buddhisme Korea (15.5%), dan Sebilangan kecil (0.8% keseluruhannya) merupakan penganut agama lain, termasuk Buddhisme Won, Confucianisme, Cheondoisme, Islam, Daejongnisme, Kristian Orthodox, Jeungsanisme dan bermacam lagi kepercayaan lain.
Menurut catatan, pengamalan agama Kristian di Semenanjung Korea pada peringkat awal dapat dibahagikan kepada dua aliran, iaitu aliran Katolik dan Protestan. Aliran Kristian yang pertama memasuki Semenanjung Korea ialah aliran Katolik. Agama Kristian aliran Katolik mula dibawa masuk ke Semenanjung Korea pada abad ke-18 oleh seorang penganut Kristian berbangsa Korea yang bernama Yi Seung-hun.
Yi Seung-hun atau Peter Li dilahirkan pada tahun 1756 di Seoul dan merupakan anak kepada Soam Yi Dong-u. Ironinya, bapa Yi Seung-hun iaitu Soam Yi Dong-u merupakan antara yang menentang ajaran Kristian. Manakala ibu kepada Yi Seung-hun tidak dapat dikenal pasti akan identitinya.
Benih-benih Kristian dikatakan mula hidup di hati Yi Seung-hun apabila beliau mula mempelajari dan membaca terjemahan teks-teks berkenaan Kristian bermazhab Katolik. Setelah membaca teks-teks tersebut, Yi Seung-hun menjadi tertarik untuk mendalami ilmu agama Kristian. Yi Seung-hun bertuah kerana berpeluang mengikuti bapanya yang bertugas sebagai diplomat ke Beijing pada tahun 1784. Semasa di Beijing, Yi Seung-hun telah bertemu dengan seorang mubaligh Kristian yang dikenali sebagai Yi Byeok. Yi Byeok merupakan antara sarjana Kristian berbangsa Korea yang berpengaruh sepanjang sejarah penyebaran agama Kristian di Semenanjung Korea.
Sepanjang pertemuannya dengan Yi Byeok, Yi Seung-hun telah dibaptiskan pada tahun 1784 lalu menukar namanya kepada Peter Li. Antara faktor utama mengapa Yi Seung-hun menukar namanya adalah kerana nama ‘Peter Li’ dianggap lebih sesuai dengan status barunya sebagai seorang penganut agama Kristian. Selepas selesai berkelana di China, Yi Seung-hun kembali ke Semenanjung Korea. Yi Seung-hun pulang ke Korea sambil membawa balik beberapa batang salib serta beberapa buah naskhah yang berkaitan dengan ajaran Kristian beraliran Katolik. Sejak itu, Yi Seung-hun mula menjalankan kegiatan penyebaran agama Kristian di kalangan ahli keluarganya serta masyarakat setempat. Apa yang mengejutkan adalah Yi Seung-hun berjaya mengumpul pengikut dalam jumlah yang agak besar.
Namun usaha penyebaran agama Kristian yang sedang rancak berjalan itu mula menerima ancaman oleh pihak kerajaan. Hal ini demikian kerana, Dinasti Joseon yang merupakan penguasa Semenanjung Korea pada waktu itu menganggap bahawa agama Kristian yang semakin berkembang itu sebagai satu fahaman yang agak subversif. Maksudnya, menurut kaca mata Dinasti Joseon, agama Kristian dianggap sebagai ajaran yang berisiko untuk menghakis pengaruh serta kedudukan Dinasti Joseon sebagai pemerintah mutlak di tanah Korea. Oleh yang demikian, kerajaan Joseon telah bertindak melakukan penindasan ke atas penganut Kristian pada waktu itu. Kerajaan Joseon dikatakan menyeksa sesiapa sahaja yang disyaki mengamalkan ajaran Kristian di Semenanjung Korea.
Kemuncak kepada penindasan ini berlaku pada tahun 1801. Pada tahun ini, kira-kira 300 orang penganut agama Kristian telah dibantai oleh pihak kerajaan dibawah arahan Ratu Jeongsun. Lebih malang lagi, peristiwa yang dikenali sebagai pembantaian Sinyu atau dalam bahasa koreanya dikenali sebagai Sinyu Bakhae ini turut mengorbankan Yi Seung-hun dan ibu saudaranya, Yi Ga-hwan.
Walaubagaimanapun, tindakan kejam kerajaan Joseon yang telah membunuh ratusan penganut Kristian serta menyebabkan kematian Yi seung-hun dilihat langsung tidak mematikan api perjuangan Kristian di Semenanjung Korea. Hal ini dikatakan demikian kerana, pada akhir abad ke-19, Kerajaan Joseon telah melaksanakan dasar buka pintu bagi Semenanjung Korea untuk berhubung dengan dunia luar.
Impaknya, bagi meraikan dasar baru ini, pihak kerajaan Joseon mula mengamalkan sikap toleransi terhadap orang-orang asing termasuklah penganut agama Kristian. Menurut sumber, pada waktu inilah aliran Protestan mula dibawa masuk ke dalam Semenanjung Korea. Sebelum daripada itu, sebenarnya bibit-bibit perjuangan untuk membawa masuk kemasukan aliran protestan telah mula diperjuangkan sejak pertengahan abad ke-19, namun ianya dilihat gagal memenuhi hasrat perjuangan asal. Namun ianya tidaklah mematikan terus perjuangan aliran protestan, apabila terdapat masyarakat Korea yang menetap di Manchuria yang mengadakan hubungan dengan salah seorang mubaligh dari Scotland iaitu John Ross (1842–1910).
Hasil daripada hubungan masyarakat Korea dengan John Ross, bahan-bahan berkaitan protestan juga telah berjaya diseludup masuk sehinggalah gerakan ini dirancakkan lagi dengan kehadiran Horace Allen (1858– 1932) yang tiba pada tahun 1884. Horace merupakan seorang doktor yang juga merupakan rakan kepada raja Joseon pada ketika itu. Horace merupakan antara mubaligh yang berperanan besar dalam perjuangan aliran protestan di Korea. Dipendekkan cerita, masyarakat Korea menyambut baik kemasukan aliran Protestan ini. Buktinya Gereja Protestan pertama di Semenanjung Korea telah dibuka oleh penduduk tempatan sendiri. Individu yang membuka gereja tersebut bernama Seo Sang-Ryun. Beliau membukanya pada tahun 1884 di Kampung Sorae yang berada dalam wilayah Hwang Hae.
Apa yang mengejutkan, perkembangan penyebaran Kristian juga dipercayai disumbangkan oleh dinasti Joseon itu sendiri. Hal ini dapat dilihat menerusi budaya yang diamalkan oleh kerabat diraja Joseon dan para intelektualnya yang menjadikan negara barat sebagai model untuk memajukan Korea pada waktu itu, kebanyakan daripada mereka mengangkat karya-karya yang ditulis oleh mubaligh Katolik dan Protestan. Oleh yang demikian, tidak dapat dinafikan bahawa budaya yang diamalkan oleh para penguasa ini telah merancakkan lagi pertumbuhan agama Kristian di Semenanjung Korea.
Semasa Semenanjung Korea berada di bawah penjajahan Empayar Jepun, pengamalan agama Kristian di kalangan penduduk Korea dilihat secara langsung semakin kukuh bertapak seiring dengan perkembangan semangat nasionalisme Korea yang memperjuangkan kemerdekaan dari Jepun. Punca kepada berlakunya pengukuhan agama Kristian dikalangan masyarakat Korea itu merupakan rentetan daripada tindakan Empayar Jepun yang menekan orang Korea untuk menerima agama Shinto.
Pertumbuhan dan perkembangan kedua-dua aliran iaitu Katolik dan Protestan terus berlangsung setelah berakhirnya perang dunia kedua pada tahun 1945 iaitu setelah pihak bersekutu berjaya menghalau tentera Jepun keluar daripada bumi Korea. Malangnya, pada tahun yang sama, Semenanjung Korea telah dipisahkan kepada dua buah negara yang berlainan ideologi dan sistem pemerintahannya. Di bahagian utara, sebuah negara yang membawa ajaran komunis telah diasaskan dibawah pengaruh dan tajaan Kesatuan Soviet. Manakala, sebuah negara demokrasi yang anti-komunis dibentuk di wilayah selatan.
Disebabkan pemisahan ini, majoriti penduduk Kristian yang berada di wilayah utara Semenanjung Korea pada masa itu telah berhijrah ke Korea Selatan bagi mengelakkan tekanan daripada kerajaan komunis di Korea Utara. Hal ini demikian kerana, kerajaan komunis yang berpusat di Pyongyang telah mengharamkan segala amalan yang berkaitan dengan agama Kristian. Kerajaan komunis pimpinan Kim Il-Sung sebaliknya menawarkan ‘agama’ baru dengan telah memartabatkan ideologi Juche sebagai pegangan yang wajib diutamakan oleh sekalian rakyat di Korea Utara.
Konklusinya, menurut kajian yang dikeluarkan pada tahun 1991, dianggarkan bahawa 18.4% penduduk Korea Selatan merupakan penganut Ajaran Kristian aliran Protestan sekaligus mengatasi bilangan penganut aliran katolik yang hanya berjumlah 6.7%. Sehingga hari ini, agama Kristian terus berkembang seiring dengan sistem pendidikan serta proses pemodenan gaya barat yang dilaksanakan oleh Korea Selatan.
RUJUKAN
Berman, H. J. (1959). The Influence of Christianity Upon the Development of Law. Okla. L. Rev., 12, 86.
Iraola, Antton Egiguren (2007) True Confucians, Bold Christians: Korean Missionary Experience. A Model for the Third Millennium.
Lee, Jung Ha , Hahn, Bae-ho , Lee, Ki-baik , Lew, Young Ick and Lee, Kwang-rin. “Korea”. Encyclopedia Britannica
Bacaan Lanjut
Christianity in Korea. Association for Asian Studies. (2021, August 20). Retrieved from https://www.asianstudies.org/publications/eaa/archives/christianity-in-korea/
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih