Pada tahun 1643 Masehi, seorang biskop bernama Brynjolf Sveinsson diberikan amanah untuk memelihara 45 lembaran vellum yang mengandungi puisi dan prosa lama dari Eropah Utara. Koleksi tersebut ditulis sekitar tahun 1270 dan dikenali sebagai The King’s Book (atau Codex Regius).
Sepanjang tempoh 1270-1643 Masehi, ia disembunyikan daripada pengetahuan umum. Tidak lain dan tidak bukan, tujuannya adalah supaya ia tidak dicemari atau dilupuskan oleh gereja Rome. Sepanjang tempoh tiga kurun itu juga, kita langsung tidak memiliki maklumat perihal manuskrip tersebut – keluarga manakah yang menyimpan Codex Regius, dan bagaimanakah latar belakang kehidupan mereka?
Apa yang kita ketahui, ia kemudiannya dihadiahkan kepada Raja Denmark dan semenjak itu, Codex Regius tersimpan rapi di Copenhagen sehingga tahun 1971, sebelum akhirnya ia dikembalikan ke Iceland. Dalam perjalanan pulang, manuskrip tersebut diangkut oleh kapal-kapal pe-rang sebagai langkah keselamatan –menunjukkan demikian pentingnya harga Codex Regius.
Hal ini tidak terlalu menghairankan. Codex Regius merupakan saki-baki catatan masyarakat pagan di Eropah Utara yang masih terselamat semenjak rantau itu dikristiankan. Isi kandungannya banyak memerihalkan tentang mitologi atau kepercayaan pagan yang dianuti oleh masyarakat Norse di zaman dahulukala. Secara intisarinya, mitologi Norse berpusat dan berakar pada sebatang Pokok Semesta yang dikenali dengan nama Yggdrasil.
YGGDRASIL DAN ODIN
Penafsiran maksud Yggdrasil yang paling diterima dalam kalangan ilmuwan ialah ‘Kuda Odin’. Ini kerana Ygg adalah nama lain bagi Odin, sementara drasill pula bermaksud ‘kuda’. Bagaimanapun, perkataan itu juga boleh difahami sebagai ‘penggerak’ atau ‘perintis’, justeru ada yang berpandangan maksud Yggdrasil ialah ‘Penggerak Odin’.
Sementara itu di dalam Codex Regius, ada bahagian-bahagian tertentu yang seakan-akan menuding bahawa Odin dan Yggdrasil adalah watak yang sama. Sewaktu Odin digantung pada Pokok Semesta dan diti-kam selama sembilan hari, beliau ada menyatakan yang ‘dia mengor-bankan diri ke dalam diri sendiri’.
Pernyataan ini mengisyaratkan wujudnya kesatuan antara Odin si Raja Dewa dan Yggdrasil si Pokok Semesta. Tambahan, dalam bahasa Inggeris Lama terdapat perkataan treow, yang membawa maksud pokok (tree) dan kebenaran (truth). Justeru secara etimologi, ‘kebenaran’ dan ‘pokok’ tumbuh daripada akar yang sama.
ASK DAN EMBLA – PASANGAN MANUSIA PERTAMA YANG DICIPTAKAN
Selanjutnya di dalam mitos penciptaan Norse, kita boleh dapati betapa kononnya daripada pokok jualah lahirnya manusia. Pokok yang melahirkan Ask, lelaki pertama ialah pokok ash. Pokok yang melahirkan Embla, wanita pertama pula ialah pokok elm. Kedua-dua pokok ini juga berperanan merembeskan oksigen pertama yang menjadikan bumi sesuai untuk dihuni.
Diceritakan, Ask dan Embla keluar daripada biji ek yang dibuahkan oleh Pokok Yggdrasil. Justeru, masyarakat Norse meyakini yang manusia lahir daripada pokok tersebut. Lalu, roh manusia diambil oleh dua ekor burung upeh untuk dimasukkan ke dalam rahim ibu masing-masing.
Mitos sebegini kemudiannya melahirkan kultus memuja pokok dalam kalangan masyarakat Norse. Kultus sedemikian dapat digambarkan menerusi catatan Artur Lundkvist, salah seorang sasterawan Sweden yang berpaut pada kepercayaan tersebut:
“… dalam diri setiap manusia wujud sebatang pokok, dan dalam setiap pokok wujud manusia… Aku bersenandung bersama hutan belantara; belantara umpama lautan kedua di dunia (sesudah lautan air), lautan di mana manusia sentiasa mengembara. Hutan wujud dengan diam, memenuhi pergerakan alam, bersemenda dengan angin, membersihkan udara, menenteramkan cuaca, menggembur tanah, dan menjaga keperluan manusia (menjadi habitat haiwan).”
YGGDRASIL MERESAP DALAM KEHIDUPAN SEHARIAN
Mitos Yggdrasil bukan sekadar melahirkan kultus yang nyata dan ketara. Akar pengaruhnya juga menjalar dalam kehidupan seharian masyarakat Norse, lalu meresap ke dalam beberapa tamadun lain.
Antara lain, pengaruh Yggdrasil melahirkan amalan menanam sejenis pokok yang disebut sebagai ‘pokok pelindung’ di tengah-tengah rumah. Bagi mereka, ia umpama miniatur Yggdrasil yang bertujuan mengingatkan mereka pada kepercayaan lama Norse – kepercayaan yang berprinsipkan kebergantungan sesama isi alam.
‘Pokok pelindung’ kononnya mempunyai roh atau semangat yang tanpa henti memerhatikan kehidupan seisi rumah yang berteduh di bawah dedaunannya yang rimbun. Ia umpama tiang seri yang menjadi pasak bagi sesebuah keluarga.
Sehingga hari ini, ‘pokok pelindung’ masih menjadi kebiasaan dalam kalangan masyarakat Scandinavia. Bahkan, ada juga ilmuwan yang berpendapat kononnya pokok Krismas berasal-usul daripada tradisi menanam ‘pokok pelindung’ – yang akar pengaruhnya kembali kepada mitos Yggdrasil.
YGGDRASIL DIANCAM OLEH NAGA DAN RUSA
Codex Regius turut memaklumkan kepada kita bahawa Pokok Yggdrasil kononnya bukanlah satu kewujudan yang melangkaui batas pengetahuan manusia atau mencarik ruang dan masa. Sebaliknya, ia merupakan sebatang pokok hidup yang tegap namun terancam, dan diikat oleh tiga dimensi masa, iaitu masa lalu, masa kini, dan masa hadapan.
Ancaman bahaya yang menimpa Yggdrasil sentiasa menjadi kebimbangan dewa-dewi Norse. Antara makhluk yang memangsakannya ialah seekor naga yang terus-menerus menggigit Yggdrasil hingga ke akar-akarnya. Begitu juga empat ekor rusa yang memakan dahan-dahan Yggdrasil, di mana masing-masing bernama Dain, Dvalin, Duneyr, dan Duratro.
Kambing Heidrun dan rusa Eiktyrner yang berada di bumbung Valhalla (mahligai dewa-dewi) juga mengincari dahan-dahan Yggdrasil. Cuma, kedua-dua mereka memberikan hadiah sebagai imbalan – Heidrun memberikan padang rumput manakala Eiktyrner menghadiahkan air yang menyirami akar Yggdrasil.
NORN SI PELINDUNG YGGDRASIL
Yggdrasil dilindungi oleh tiga wanita tua yang dikenali sebagai Norn. Ketiga-tiga Norn ini seringkali digambarkan berteduh di bawah Yggdrasil sambil menenun benang. Masing-masing dikaitkan dengan Urd (masa lalu), Verdandi (masa kini), dan Skuld (masa hadapan).
Kononnya pada setiap pagi, dedaunan Yggdrasil akan menggugurkan embun yang memenuhi seluruh lembah. Embun tersebut mewakili ingatan manusia terhadap hari semalam. Sebelum matahari mengewapkannya sehingga habis, Urd akan mengutip kesemua embun itu lalu menuangnya ke dalam Telaga Ingatan.
Di tengah-tengah telaga itu pula hidup dua ekor angsa. Ketika kedua-duanya saling menghadap, lehernya yang panjang diliuk-lentuk menjadi seakan-akan bentuk hati. Kononnya, daripada telaga inilah cinta bersemi.
Sementara itu, Verdandi (masa kini) menguruskan bunga-bunga mekar yang mewakili kehidupan. Skuld pula membantu supaya bunga-bunga tersebut dapat terus hidup di masa akan datang. Menariknya, nama Skuld membawa maksud hutang. Ia seakan-akan menggambarkan betapa masa hadapan tidak akan berlaku tanpa usaha yang dilakukan pada masa sekarang.
Secara intisarinya, Yggdrasil dilihat oleh masyarakat Norse Lama sebagai elemen utama dalam proses penciptaan, pemuliharaan, dan kehancuran alam semesta.
Kaitannya dengan masa juga membuatkan Yggdrasil membumi dalam kehidupan seharian mereka – ditanam sebagai tiang seri bagi seisi keluarga supaya mereka dapat terus mengenang kembali masa dahulu, menghargai masa sekarang, dan berusaha mengecapi masa hadapan yang lebih baik.
TERJEMAHAN
Andreas Kornevall. (10 Mei 2019). The Norse Legend of the World Tree – Yggdrasil. Ancient Origins.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih