Terlampau ramai perwira negara pada era sebelum kemerdekaan dan pada era darurat dahulu dan jika hendak dikira dengan jari jumlahnya, mungkin hal itu akan memakan masa yang agak lama. Namun begitu, terdapat sesetengah atau boleh saya katakan agak banyak juga perwira-perwira negara tersebut yang namanya kurang diberikan perhatian umum terutamanya oleh kebanyakan remaja generasi masa kini. Kenapa begitu? Mungkin segelintir remaja yang dikatakan itu hanya memikirkan soal artis-artis dari negara Korea Selatan dan mungkin juga mereka terlampau sibuk melayari media sosial, Wallahualam.
Jika kita ada Jeneral Tun Ibrahim Ismail (baca juga artikel Tun Ibrahim Ismail), kita juga ada Yeop Mahidin pada era yang sama. Namun persoalannya, siapakah gerangan yang bernama Yeop Mahidin ini?
Latar Belakang Kolonel Yeop Mahidin
Allahyarham Kolonel Dato’ Yeop Mahidin atau nama sebenarnya Yeop Mahidin bin Mohamed Shariff dilahirkan pada tanggal 20 Februari 1918 di sebuah kampong yang bernama Kampung Lambor Kiri di daerah Bota, Perak. Allahyarham telah menerima pendidikan awalnya di kampung halaman sebelum melanjutkan lagi pendidikannya di Sekolah Anderson di Ipoh, Ibu Negeri Perak dari tahun 1928 sehingga tahun 1937. Allahyarham Yeop Mahidin cukup dikenali sebagai seorang pelajar yang aktif semasa zaman persekolahannya.
Manakan tidaknya, beliau pernah menjadi johan dalam sebuah pertandingan tinju amatur peringkat negeri Perak. Bukan itu sahaja, beliau juga pernah menerima gelaran Batsman of the Year dalam sukan kriket atas kemampuannya yang memukau sebagai pemukul kriket yang hebat. Tidak terhenti di situ, Allahyarham Yeop Mahidin juga pernah mewakili negeri Perak dalam pelbagai sukan lain lagi seperti bola sepak dan hoki.
Seperti Tun Jeneral Ibrahim, Allahyarham Yeop Mahidin juga pernah bercita-cita untuk menyertai Askar Melayu demi mempertahankan tanah airnya yang tercinta. Namun begitu, beliau telah dinasihati gurunya untuk menjadi Pegawai Kanan Kerajaan berbanding anggota tentera kerana ianya dikatakan dapat menjamin kehidupan yang senang berbanding daripada menjadi tentera.
Oleh itu, seusainya menamatkan pelajarannya di Sekolah Anderson, beliau telah memohon dan kemudian diterima masuk ke Malay College Kuala Kangsar (MCKK) ataupun juga dikenali sebagai Kolej Melayu Kuala Kangsar. MCKK yang pada ketika itu memang terkenal dalam melahirkan pemimpin tempatan telah membentuk diri Allahyarham untuk menjadi seorang pegawai kerajaan. Hasilnya, sebaik tamat pengajian di MCKK pada tahun berikutnya, Allahyarham telah diterima dan dilantik untuk menjadi Majistret di Teluk Anson (Teluk Intan) sebelum dipindahkan pula ke Kajang pada tahun 1939.
Kolonel Yeop Mahidin & Dunia Ketenteraan
Tahun 1940 boleh dikatakan sebagai titik permulaan Allahyarham Kolonel Yeop Mahidin dalam dunia ketenteraan. Pada tahun tersebut, beliau telah dipindahkan ke Kuala Lipis setelah dilantik untuk menjadi Penolong Pegawai Daerah di situ. Minatnya dalam bidang ketenteraan tidak pernah pudar dan itu menyebabkan beliau menyertai Pasukan Sukarela Tempatan dan beliau juga telah ditauliahkan sebagai Leftenan Muda dalam pasukan tersebut di atas kelayakannya.
Semasa Jepun mula menyerang Tanah Melayu, Allahyarham telah secara sukarela menubuhkan sebuah pasukan yang dinamakan Wataniah Pahang bagi menentang penjajahan Jepun pada ketika itu. Anggota-anggota yang diserap ke dalam pasukan ini kemudiannya dilatih oleh Pegawai British dari pasukan Force 136.
Beliau bersama anak-anak buahnya telah merosakkan puluhan kenderaan milik tentera Jepun dan tidak terkira berapa ny4wa musuh yang berjaya dicabut mereka. Kekuatan dan keberaniannya dalam memimpin anak-anak buahnya dalam usaha menentang penjajahan Jepun telah membuktikan bahawa pahlawan kita pada masa dahulu tidak gentar dengan apa rintangan sekalipun.
Pep3rangan sudah berakhir, Allahyarham Yeop Mahidin pun dinaikkan pangkatnya kepada Mejar yang dalam masa sama juga dilantik sebagai Pemerintah Pasukan Sukarela Tempatan tersebut. Seiring dengan pelantikannya itu, beliau juga ditawarkan untuk menjalani kursus ketenteraan di United Kingdom namun ditolaknya seterusnya digantikan dengan dua orang pegawai bawahannya iaitu Kapten Abdul Razak (Tun Abdul Razak) dan Leftenan Ghazali Shafie (Tan Sri Ghazali Shafie).
Menjelang tahun 1950, pasukan ‘Home Guard’ ditubuhkan oleh British dalam misi membantu pihak berkuasa yang berusaha untuk menangani pemberontakan Parti Komunis Malaya. Allahyarham Yeop Mahidin yang pada ketika itu berpangkat Mejar telah dilantik sebagai Timbalan Pengarah pasukan tersebut. Seusai pembubaran pasukan Home Guard pada tahun 1958, Allahyarham kemudian dilantik sebagai seorang Pegawai Kanan di dalam kerajaan di mana tugasnya adalah untuk memastikan pemberontak-pemberontak daripada Parti Komunis Malaya tidak mendapat simpati daripada orang tempatan lalu menyukarkan lagi pergerakan mereka dan hal ini membuatkan beliau amat dibenci oleh pemberontak Komunis kerana beliau menjadi antara penghalang utama kepada pergerakan mereka.
Pada tahun yang sama, kerajaan telah merancang untuk menggantikan Home Guard dengan sebuah pasukan tentera yang dinamakan Tentera Tempatan Persekutuan (Rejimen Askar Wataniah). Mejar Yeop Mahidin merupakan antara individu yang dicalonkan untuk menjadi pemimpin pasukan tersebut atas pengalaman dan kemahirannya dalam bidang keselamatan dan ketenteraan.
Akhirnya, bulan Disember tahun 1958 menyaksikan Allahyarham dilantik sebagai Pengarah pertama Tentera Tempatan Persekutuan dan dinaikkan pangkatnya kepada Kolonel setelah Ordinan Tentera Tempatan Persekutuan diluluskan oleh Majlis Perundangan Persekutuan. Lebih 4 tahun berlalu, Kolonel Yeop Mahidin akhirnya memilih untuk bersara daripada tentera setelah dilantik sebagai Pegawai Daerah Kuala Lipis.
Kolonel Yeop Mahidin Selepas Bersara
Allahyarham meninggalkan dunia ketenteraan setelah dilantik sebagai Pegawai Daerah Kuala Lipis pada tahun 1963. 2 tahun setelah beliau memegang jawatan tersebut, beliau berkelana pula ke Kementerian Kebajikan Masyarakat kali ini dilantik sebagai Setiausaha Kanan Kementerian pula. 2 tahun kemudian iaitu pada tahun 1967, beliau dilantik sebagai Pengarah Hal Ehwal Peneroka di FELDA. Pengalamannya sebagai pemimpin dalam pasukan tentera amat diperlukan dalam sektor kerajaan pada masa itu.
Sebagai tambahan, Allahyarham Kolonel Yeop Mahidin yang dahulunya dikenali sebagai seorang yang amat aktif dalam bidang sukan juga dikatakan merupakan jurulatih silat setelah bersara daripada menjadi tentera. Bukan itu sahaja, Allahyarham juga telah dilantik sebagai Ketua Kontinjen Negara atau Chef-de-Mission ke Sukan Asia Tenggara 1971 di Kuala Lumpur. Hal ini membuktikan yang Allahyarham bukan sahaja jaguh dalam dunia ketenteraan malahan dalam bidang sukan.
Allahyarham Yeop Mahidin akhirnya menghembuskan nafasnya yang terakhir pada tahun 1999. Hari di mana negara kehilangan seorang wira yang kisahnya kurang didendangkan. Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman. Al-Fatihah.
RUJUKAN :
- New Straits Times (2019). The Malay Lion and Birth of the Wataniah. https://www.nst.com.my/lifestyle/sunday-vibes/2019/01/455107/malay-lion-and-birth-wataniah
- Orang Perak (2019). Pengasas Askar Wataniah Berasal Dari Lambor Kiri. https://www.orangperak.com/pengasas-askar-wataniah-berasal-dari-lambor-kiri.html
- Perak Today (2011). YEOP MAHIDIN BERJAYA BUKTIKAN KOMUNIS ADALAH PENGGANAS BUKAN PEJUANG!. https://peraktoday.com.my/2011/09/yeop-mahidin-berjaya-buktikan-komunis-adalah-pengganas-bukan-pejuang/
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih