Ini mungkin satu kisah yang dianggap tidak sahih, tapi ia sememangnya wujud dan didiami oleh lebih kurang 450 ribu penduduk. Ini cerita tentang Yanjin, sebuah bandar di pergunungan yang terletak di Wilayah Yunnan, yang dianggap sebagai bandar paling sempit di dunia!
Yanjin adalah sebuah bandar yang berada di kawasan pergunungan, yang menjadikannya terkurung di antara gunung-ganang dan diapit oleh gunung tinggi di kedua-dua belah Sungai Nanxi, anak sungai Yangtze.
Manakala di tengah-tengah bandar itu terdapat sebatang sungai besar yang dinamakan Sungai Heng. Sungai Heng inilah yang memisahkan dua bahagian utama Bandar Yanjin, dan kedua-dua bahagian ini dihubungkan melalui beberapa jambatan kecil yang merentasi sungai.
Reka bentuk Bandar Yanjin ini sangat unik sehinggakan ia dianggap sebagai bandar tersempit di dunia. Malah, lebar kawasan di beberapa tempat di bandar ini hanya seluas 30 meter sahaja!
Disebabkan ruang tanah yang sangat terhad, bangunan-bangunan tinggi dibina rapat-rapat antara satu sama lain dan selari dengan sungai. Selain itu, disebabkan ia berdekatan dengan sungai, maka bandar ini sentiasa terdedah dengan risiko banjir.
Setiap bangunan dibina atas cerucuk konkrit yang ditambahkan ketinggiannya, dan sekaligus menaikkan ketinggian setiap bangunan kira-kira 6 tingkat dari aras sebenar tanah.
Asal-usul Yanjin ini sebenarnya adalah sebuah bandar yang dibuka kerana ratusan telaga garam yang diusahakan di kawasan tersebut. Nama Yanjin itu sendiri memabawa maksud ‘perahu garam’ yang menunjukkan ia adalah pusat perdagangan garam suatu ketika dahulu.
Para pekerja yang tinggal di kawasan itu memilih untuk tetap kekal di situ walaupun selepas mereka tak lagi bekerja. Ia telah diisytiharkan sebagai sebuah bandar pada tahun 1917, dan penduduk menggunakan feri sebagai pengangkutan utama mereka.
Pada abad ke-20, walaupun banyak bandar lain berkembang secara meluas dan moden, Yanjin terus mengekalkan bentuk tradisionalnya kerana batasan geografi. Kemudahan asas seperti jambatan, bangunan bertingkat tinggi, dan sistem jalan raya dibina untuk menyesuaikan diri dengan bentuk tanah sempit.
Ia kini menjadi contoh kejuruteraan bandar ekstrem, bagaimana manusia menyesuaikan diri dengan alam untuk terus hidup dan berkembang. Dan Yanjin, di sebalik kesempitan ruang bandarnya, ia juga menjadi simbol sejarah penting dalam perdagangan garam di China.




No comments yet