“Beraninya kalian memanggil Ferdinand sebagai penguasa yang bijak, dia telah memiskinkan negerinya sendiri dan memindahkan kekayaan kepada negaraku!” — Sultan Bayezid II, 1429.
Begitulah bunyinya ejekan yang dilemparkan oleh Sultan Bayezid II, pemerintah Empayar Uthmaniyyah terhadap perbuatan Ferdinand II dari Aragon dan Isabella I dari Castile yang mengusir satu golongan yang sangat berguna sebagai subjek mereka, iaitu kaum Yahudi.
Sebagai tindak balas terhadap Dekri Alhambra yang menyaksikan tragedi pemb4ntaian dan pengusiran kaum Yahudi dari Sepanyol dan Portugis pada 31 Julai 1492, Sultan Bayezid II yang memerintah Empayar Uthmaniyyah ketika itu mengirim armada tenter4 laut Uthmaniyyah di bawah pimpinan Laksamana Kemal Reis ke Sepanyol untuk menyelamatkan orang Yahudi yang diusir.
Bayezid mengeluarkan ferman kepada semua gabenor di wilayah-wilayahnya di Eropah, memerintahkan agar mereka bukan hanya menahan diri dari menghalau kembali pelarian dari Sepanyol, tetapi juga memberi mereka sambutan yang ramah dan menerima mereka dengan baik.
Baginda memerintahkan agar titahnya itu disebarkan ke seluruh empayar bahawa para pelarian harus disambut. Baginda berkenan mengizinkan kepada para pelarian untuk menetap di tanah Empayar Uthmaniyyah dan menjadi warga Uthmaniyyah. Sultan turut mengancam akan membvnuh sesiapa saja yang memperlakukan orang Yahudi dengan kasar atau menolak mereka masuk masuk ke dalam empayar.
Moses Capsali, Ketua Rabbi Empayar Uthmaniyyah mungkin menjadi individu bertanggungjawab membantu mengeratkan persahabatan antara sultan dengan orang Yahudi. Moses adalah orang yang paling bersemangat dalam usaha membantu para pelarian. Dia melakukan lawatan ke komuniti-komuniti Yahudi dan berperanan dalam mengenakan cukai ke atas orang kaya, untuk menebus m4ngsa-m4ngsa penindasan.
Kebangkitan Uthmaniyyah Sebagai Sebuah Empayar
Uthmaniyyah mula bangkit sebagai sebuah kuasa politik dan ketenter4an yang kuat pada awal abad ke-14. Osman Gazi menjadi pengasas untuk sebuah dinasti yang berasal dari sebuah kerajaan beylik Turki yang kecil, dimana secara berperingkat ia berkembang menjadi sebuah empayar yang luas itu.
Libasan pedang para penerus legasi Osman yang tanpa henti telah mengakhiri pengaruh bangsa Yunani selama berabad-abad di selatan Mediteranean, menggantikannya dengan satu kuasa besar kerajaan Islam. Terbentang sejauh ke benua Eropah, peluasan kuasa Uthmaniyyah menjadikan Vienna sebagai benteng terakhir kerajaan-kerajaan Kristian.
Masyarakat Yahudi yang berbahasa Yunani, yang merupakan para pendatang dari Sepanyol dan Portugis kemudiannya digelar sebagai “Romaniot” atau “Gregos,” semuanya berada di bawah payung pemerintahan Empayar Uthmaniyyah pada saat kejatuhan Kota Konstantinopel yang kemudian dikenali sebagai Istanbul selepas tahun 1453.
Orang Yahudi berbahasa Arab (disebut “Mustarab” mengikut sebutan lidah pelarian Iberia), adalah salah satu kumpulan pribumi yang penting. Mereka tinggal di “Arabistan”, negara-negara yang ditaklvki terutama pada zaman pemerintahan Selim I dan puteranya Suleiman I (Suleiman Kanuni). Bagi setiap orang Yahudi, penaklvkan tersebut dianggap sebagai rahmat yang menyelamatkan bangsa mereka, kerana situasi mereka pada abad ke-14 dan ke-15 di bawah pemerintahan Byzantium dan Mamluk adalah sangat sukar.
Syurga Pelarian Yahudi dari Sepanyol dan Portugis
Kemudian, setelah pengusiran dari Sepanyol (1492) dan penukaran agama secara paksa di Portugal (1497), puluhan ribu orang Yahudi Iberia tiba di wilayah Uthmaniyyah. Memandangkan apa yang diperlukan dari mereka hanyalah membayar jizyah dan mengakui kedaulatan pemerintah Islam, maka tanah Uthmaniyyah telah menjadi syurga bagi para pelarian Yahudi ini.
Sejak awal abad ke-16, masyarakat Yahudi di Empayar Uthmaniyyah menjadi komuniti Yahudi yang terbesar di dunia. Konstantinopel dan Salonika masing-masing mempunyai komuniti sekitar 20,000 orang. Migrasi Yahudi dari semenanjung Iberia yang tiba dalam beberapa gelombang sepanjang abad ke-16 juga berperanan mengubah perwatakan dan budaya Yahudi Uthmaniyyah.
Dengan jumlah populasi yang lebih ramai daripada orang-orang Yahudi tempatan, orang Sepanyol dan Portugis tidak lama kemudian melenyapkan budaya Romaniot dan penduduk pribumi dengan cara menarik mereka supaya berasimilasi dengan budaya dan komuniti pendatang baru.
Setelah penaklvkan Konstantinopel, Sultan Mehmed II ingin membesarkan dan membangunkan kota itu lalu menjadikannya sebagai ibu kota yang sesuai dengan sebuah empayar besar, ini membawa kepada penghijrahan ramai orang dari pelbagai wilayah. Penghijrahan ini telah mempengaruhi masyarakat Yahudi dan mengubah karakter yang dimiliki mereka semasa zaman Byzantium.
Keadaan ekonomi dan agama sememangnya bertambah baik, tetapi ramai para penganut Yahudi dari golongan Romaniot yang lebih tua menghilang, peninggalan dan legasi mereka hanya tersimpan atas nama beberapa buah rumah ibadat Yahudi di Istanbul. penganut Yahudi yang meneruskan kesinambungan mereka di ibu kota dan juga di Salonika atau di Tiriya di barat Anatolia, adalah berd4rah orang Sepanyol tulen.
Perkembangan Kebudayaan Yahudi
Di dalam komuniti, para organisasi dan jemaah Yahudi disusun berdasarkan geografi asal anggotanya. Berkelompok di sekitar rumah ibadat, organisasi Yahudi menyediakan semua perkhidmatan keagamaan, perundangan, pendidikan, dan sosial, sehingga mewujudkan sebuah masyarakat Yahudi yang hampir autonomi.
Sehingga akhir abad ke-16, institusi-institusi ini sangat fleksibel, memungkinkan beberapa pergerakan yang signifikan di dalamnya. Geografi asal anggotanya mula hilang kepentingannya, dan perkembangan organisasi Yahudi mula ditentukan melalui perebutan kuasa antara individu kaya atau kumpulan yang mempunyai kepentingan yang bertentangan.
Sepanjang abad ke-16, orang Yahudi di Empayar Uthmaniyyah menikmati kemakmuran yang luar biasa. Empayar ini berkembang pesat, dan permintaan ekonomi meningkat sesuai dengan situasi semasa. Oleh itu, penduduk Yahudi tidak menghadapi kesukaran untuk menyertai dunia perdagangan dengan orang Kristian di Eropah, dan mudah bagi mereka untuk menyertai industri seperti tenunan yang baru hendak mula berkembang.
Di bawah kepemimpinan tokoh-tokoh seperti Don Joseph Nasi dan Solomon ibn Yaish, mereka dapat memanfaatkan rangkaian hubungan keluarga di seluruh dunia dan pengetahuan mereka tentang hal ehwal Eropah untuk mempromosikan keprihatinan Sublime Porte atau Uthmaniyyah umumnya, dan juga untuk melindungi kepentingan peribadi dan komuniti mereka.
Ini juga merupakan zaman berkembangnya budaya ketika kitab undang-undang Ibrani ditambah baik melalui Shulḥan ʿarukh, atau Prepared Table, sebuah karya kodifikasi abad ke-16 untuk undang-undang dan praktikal agama Yahudi yang masih menjadi karya rujukan standard untuk pemuliharaan budaya Ortodoks.
Shulḥan ʿarukh, disusun dan diterbitkan oleh Joseph ben Ephraim Karo (1488-1575) sebagai ringkasan untuk karyanya yang lebih terperinci iaitu Bet Yosef (House Of Joseph), ia berisi pendapat dari berbagai penyusun kod lain sebelum dirinya sebagaimana keputusan peribadi mengenai yang dipertikaikan secara ringkas oleh Karo sendiri.
Ia menjadi kod autoriti untuk seluruh kaum Yahudi sementara dari Safed di Palestin pula muncul Kabilah Lurianic dari Ha-ari, salah satu trend paling berpengaruh dalam budaya mistik Yahudi. Kelihatannya komuniti yang berasal dari golongan pelarian Sepanyol dan Portugis yang tiba-tiba diselamatkan dari ancaman kepupusan, dapat memberikan ekspresi terhadap ledakan kekuatan budaya yang telah disekat oleh penganiayaan selama berabad-abad.
Kita kembali ke tahun 1492, tahun di mana Columbus keluar berlayar ke barat dari Sepanyol yang menjadi titik tolak penjaj4han terhadap kaum pribumi Amerika, ketika itu juga pemerintah Katolik negara itu mula mengusir orang Yahudi. Rata-ratanya yang menjadi pelarian datang ke timur menuju ke Empayar Uthmaniyyah, di mana keturunan mereka dianugerahkan hidup yang aman damai hingga sekarang.
Setiap tahun, beberapa negara sentiasa menyambut sambutan ulangtahun pelayaran bersejarah Columbus sejak 500 tahun yang lalu, namun kaum Yahudi di Turki merayakan ulang tahun khas mengikut budaya mereka sendiri dan mengenang jasa bakti Sultan Bayezid II, sultan Muslim yang menyelamatkan kaum Yahudi yang menjadi m4ngsa pemb4ntaian Katolik di Semenanjung Iberia dan menyambut mereka seumpama saudara sendiri di tanah Turki Uthmaniyyah.
Namun kaum yang sama ini juga telah mengkhianati Uthmaniyyah semasa Per4ng Dunia Pertama dengan berpaling dari Uthmaniyyah memihak kepada British dan sekutunya sehingga menjadi salah satu faktor dan punca kejatuhan Dinasti Osmanlı.
Namun, siapa sangka pada Per4ng Dunia Kedua, bangsa yang dikhianati Yahudi itu juga telah menyelamatkan kaum Yahudi dari dipupuskan oleh pemb4ntaian pihak tenter4 Jerman, di atas kapasiti sebagai negara yang berkecuali dari per4ng.
Kira-kira sejumlah 26,000 orang Yahudi hari ini yang tinggal di Turki, sebuah negara yang didominasi oleh umat Islam yang seramai 57 juta orang.
RUJUKAN:
Haaretz – The Largest Jewish Debt To Turkey
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih