Xerxes I, juga dikenali sebagai Xerxes Agung merupakan raja Achaemenid yang berkuasa pada abad ke-5SM. Beliau masyhur kerana mengetuai serangan besar-besaran ke atas Yunani yang dikenai menerusi beberapa buah pertempuran ulung seperti Thermopylae, Salamis dan Plataea.
Dalam budaya popular, Xerxes berkemungkinan meraih kemasyhuran sebagai antagonis utama dalam filem 300 arahan Frank Miller, sebuah filem yang diadaptasi daripada siri komik berjudul sama.

Dalam karya moden  ini, Xerxes digambarkan sebagai seorang yang despotic dan kolot. Jika dilihat dari suatu sudut, sifat-sifat sebegini sememangnya berfungsi sebagai tanda yang membezakan beliau dengan seterunya dari Yunani, iaitu raja Sparta yang menentangnya di Thermopylae – bernama Leonidas.

Gambaran negatif yang dibuat terhadap Xerxes (dan masyarakat Parsi secara umum) ini tidak hanya terhad pada zaman moden. Sebaliknya, ia telah pun dilakukan sejak raja ini masih hidup lagi. Sudah tentu, gambaran-gambaran sebegitu dibuat oleh musuh-musuhnya dari Yunani.

SIAPAKAH XERXES AGUNG?


Xerxes Agung dilahirkan pada tahun 519SM dan mangkat di Persepolis, Iran moden. Beliau adalah putera kepada Atossa, si puteri raja Achaemenid (Cyrus Agung) bersama Raja Darius I. Xerxes kemudiannya menjadi calon pewaris takhta yang mengenepikan kedudukan abangnya berikutan jalur keturunannya memiliki perkaitan dengan Cyrus, suatu hal yang tidak dimiliki oleh abangnya yang bukan putera kepada Atossa.

Xerxes mula memerintah Empayar Achaemenid pada tahun 486SM dan berakhir pada 465SM. Pemerintahannya paling dikenali menerusi kempen-kempen ketenteraan yang dilancarkan terhadap Yunani, diwarnai oleh pertempuran-pertempuran besar seperti Thermopylae, Salamis dan Plaetaea.

Hal ini berkemungkinan menjadi sebab mengapa raja Parsi ini sering dikritik hebat olah para penulis (terutama dari Yunani purba). Salah satu kritikan terhebat yang diterima oleh Xerxes boleh ditemukan di dalam karya Aeschylus yang berjudul ‘The Persians’.

XERXES DALAM ‘THE PERSIANS’


Karya teater hasilan Aeschylus yang berjudul ‘The Persians’ ini dipersembahkan buat kali pertama pada tahun 472SM dan ia merupakan salah sebuah persembahan yang memenangi anugerah dalam keraian Kota Dionysia di Athens pada tahun tersebut. Dua karaker yang dikatakan meraih penampilan paling kerap adalah Atossa, ibu kepada Xerxes dan hantu Darius, bapa kepada Xerxes.

Walau bagaimanapun, persembahan teater ini berkisar seputar ekspedisi ketenteraan Xerxes menentang Yunani dan kekalahannya dalam Pertempuran Salamis. Tambahan lagi, Xerxes ada membuat penampilan di bahagian akhir persembahan.

Patung kepala Atossa

Dalam karya ini, Xerxes digambarkan secara negatif. Salah satu ciri buruk yang ditunjukkan di dalam persembahan teater ini adalah sikap megah diri. Misalnya, dalam perbualan di antara Atossa dan hantu suaminya, Darius mengutarakan bahawa sifat bangga diri yang berlebihan yang dimiliki oleh Xerxes mendorongnya untuk menganggap bahawa dirinya berupaya memperhambakan sesiapa pun, termasuklah dewa.

“Sementara beliau berharap / untuk membelenggu dan menguasai Hellespont yang suci / Bosforus yang mengganas, umpama seorang hamba yang dirantai / … dan asyik dengan angan-angan / angkuh, yakin, manusia yang megah diri / (menganggap) bahawa kuasanya / boleh lebih tinggi daripada para dewa, termasuklah kekuatan Dewa Neptune.”


Walau bagaimanapun, megah diri merupakan satu ciri yang lazim dalam mitologi Yunani. Ramai karakter Yunani seperti Oedipus dan Bellerophon turut dikatakan menghidap penyakit megah diri. Salah satu ciri yang mungkin membezakan Xerxes dengan karakter-karakter Yunani lain adalah sifatnya sebagai seorang yang berasal dari Timur.

Bagi masyarakat Yunani purba, orang-orang dari Timur sering dilihat sebagai orang yang bertentangan sifat dengan mereka. Misalnya dalam The Persians, Xerxes digambarkan oleh Aeschylus sebagai seorang yang tidak mampu mengawal emosi. Dalam kebanyakan masa, Xerxes dipamerkan sebagai seorang lelaki yang sering bersedih, meratapi nasib malangnya dalam memerangi Yunani dan sering menuturkan ucapan rintih seperti “oioi!”, “ieh, ieh!” dan “otototoi”.

Relif batu yang menggambarkan Xerxes pada makamnya di Naqsh-e Rustam

BAGAIMANA HERODOTUS MENGGAMBARKAN XERXES

Xerxes juga menerima layanan yang buruk daripada Herodotus di dalam karyanya yang berjudul The Histories, lebih-lebih lagi apabila beliau dibandingkan dengan raja-raja Parsi lain yang ditampilkan dalam karya berkenaan, seperti Cyrus dan Darius I. Walau bagaimanapun, Herodotus tidak meletakkan kesalahan sepenuhnya kepada Xerxes atas kekalahannya memerangi Yunani. Sebaliknya, pertanggungjawaban tersebut digalaskan kepada Mardonius, iaitu salah seorang sepupu Xerxes merangkap satu figura yang berpengaruh di dalam istana Parsi.

Menurut Herodotus, Xerxes pada mulanya berasa berat hati untuk menyerang Yunani. Namun, beliau dihasut oleh Mardonius yang mempunyai motif peribadi di sebalik kempen ini.

“Kini, Xerxes pada mulanya berasa berat hati untuk berperang dengan Yunani… Beliau (Mardonius) memperdebatkan hal ini kerana beliau mahu menghuru-harakan keadaan dan mahu menjadi gabenor Yunani. Beliau kemudiannya berjaya mempengaruhi Xerxes supaya menerima sudut pandangnya.”


PERMULAAN KEPADA PENGKAHIRAN EMPAYAR


Walaupun kempen ketenteraan yang dilancarkan ke atas Yunani menemui kegagalan besar, Xerxes meraih kredit menerusi usahanya menundukkan sejumlah pemberontakan di Babylonia dan Mesir sekaligus mengekalkan kekuasaan Empayar Achaemenid. Tambahan lagi, Xerxes juga memelihara keadaan Jalan Diraja, iaitu sebuah jalan utama di zaman purba yang direka dan dibina oleh bapanya – sebuah kemudahan yang dipuji oleh Herodotus kerana ia membolehkan para pengembara melakukan perjalanan dengan lebih pantas. Selain itu, Xerxes turut meneruskan sejumlah projek pertanian yang tidak diselesaikan oleh Darius sepulangnya beliau dari Yunani.

Dua pembinaan masyhur yang diusahakan oleh Xerxes adalah Gerbang Seluruh Negara (Gate of All Nations) dan Dewan Seratus Tiang (Hall of a Hundred Columns). Namun, akibat kegagalan ekspedisi ketenteraan terhadap Yunani, projek-projek ini menjejaskan perbendaharaan empayar sekaligus menimpakan bebanan kepada rakyat jelata Xerxes menerusi polisi percukaian yang tinggi.

Semasa berlaku kejadian ribut yang membadai jambatan-jambatan di Hellespont, Xerxes memerintahkan supaya air di situ dipukul sebanyak 300 kali dan rantai-rantai belenggu dicampakkan ke dalamnya sebagai simbol perairan di situ dihambakan oleh Xerxes.

Ilustrasi tahun 1909 yang menggambarkan Xerxes menghadiri upacara memukul dan ‘membelenggu’ Hellespont

Walau bagaimanapun, Xerxes kelihatan seperti buta terhadap sebarang masalah yang dihadapinya, atau kalaupun beliau menyedarinya, Xerxes tidak berbuat apa-apa berkenaan masalah tersebut. Beliau terus berbuat sesuka hati dan makanya, zaman pemerintahannya disebutkan sebagai permulaan kepada kejatuhan Empayar Achaemenid.

Xerxes pada akhirnya dibunuh oleh salah seorang menterinya sendiri, bernama Artabanus yang berniat untuk menduduki kerusi takhta Parsi. Namun, rancangannya itu gagal memandangkan beliau kemudiannya dibunuh oleh salah seorang putera Xerxes, bernama Artaxerxes yang ditabalkan sebagai raja Achaemenid yang seterusnya.

DIOLAH DAN DITERJEMAHKAN DARI:

Wu Mingren. (13 April 2019). Xerxes The Great: The Powerful Persian King Whose Death Destroyed an Empire. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/history-famous-people/xerxes-great-achaemenid-king-who-began-decline-empire-005567


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Pencinta bahasa ibunda dan sejarah dunia. Amir Zayyanid merupakan seorang penulis dan penterjemah bebas yang menyimpan impian mahu menabur bakti kepada anak pertiwi menerusi pendokumentasian sebanyak mungkin bahan bacaan, sama ada fiksi mahupun bukan-fiksi.

Comments are closed.