Biasanya kalau kita nak membeli-belah, mesti ada kertas kecil yang bertulis senarai barang dapur untuk dibeli supaya kita tidak lupa jenis barangan yang banyak. Namun, penemuan artifak berupa senarai membeli-belah ini menjadi bukti bahawa orang zaman dulu juga mempunyai budaya yang sama dalam urusan jual-beli.
Terdapat 8 buah artifak berupa senarai membeli-belah yang ditemui seawal 4,000 tahun dulu bermula dari fasa tamadun Mesopotamia.
1. Senarai Membeli-belah Mesopotamia Bertarikh 2,000 SM
Kita tahu sistem tulisan orang Mesopotamia berbeza dengan sistem tulisan pada abad ini. Tulisan Cuneiform adalah sistem tulisan paling tua di dunia menggunakan ‘pen’ mengukir pada kepingan tablet tanah liat.
Dalam tablet ini, orang Mesopotamia telah merekod bermacam-macam senarai, dari jumlah gaji hinggalah senarai barang perlu dibeli untuk menu makanan rebusan. Senarai ini memberikan kita gambaran jelas akan diet pemakanan orang Mesopotamia.
Malah, pengkaji dari New York University’s Institute mencuba masakkan hidangan rebusan yang disenarai dalam tablet tersebut! Jadi, senarai membeli-belah Mesopotamia ini sebenarnya senarai untuk memasak sejenis rebusan. Sebelum memahami tablet ini, pengkaji telah menafsir senarai ini selama beratus tahun!
2. Senarai Barangan Tentera Judea Bertarikh 600 SM
Sekumpulan ahli arkeologi telah menemui kepingan balang yang pecah dengan tulisan berdakwat di dalam kubu lama orang Judea. Tulisan ini ialah tulisan berupa arahan dari pegawai tentera memberitahu barangan apa yang perlu diambil dan diberikan kepada tentera yang bertugas.
Salah satu arahannya telah dicatat seperti berikut:
“Kepada Eliashib: Sekarang, berikan Kittiyim 3 mandian wain, dan tuliskan nama hari ini,”
“Dan pemilik wain, bawakannya esok; jangan lewat. Kalau ada cuka, berikan kepada mereka.”
Menariknya tulisan ini ialah ahli arkeologi mampu menentukan bilakah kitab Taurat dalam Perjanjian Pertama Kristian ditulis. Sejarahwan berandaian bahawa kitab ini ditulis lewat selepas tulisan pada cebisan balang ini. Sebabnya kadar orang Judea yang celik membaca tidak tinggi semasa arahan pegawai tentera ditulis.
Walau bagaimanapun, senarai barang ini membuktikan bahawa ramai orang Judea memang pandai membaca dari teori sejarahwan memulakan kemudian memikirkan balik teori-teori pembikinan kitab Taurat.
3. Senarai Membeli-belah Rom di United Kingdom (UK) Pada Abad Pertama Masihi
Tembok Hadrian ialah Tembok Besar China versi empayar Rom. Maharaja Hadrian mengarahkan tentera untuk membina tembok bagi menghalang pencerobohan orang Picts, iaitu salah satu kaum asal Scotland yang kuat berperang.
Sekumpulan ahli arkeologi menemui ratusan surat dan dokumen di kubu Vindolandia dalam tembok Hadrian. Surat dan dokumen itu berupa kepingan kayu yang mempunyai tulisan dakwat. Kerana kepingan ini semakin reput, teknologi infra-merah digunakan untuk mendedahkan tulisannya.
Dalam beberapa tulisan yang didedahkan, terdapat tulisan berupa senarai membeli-belah. Senarai itu berada dalam Tablet 302 mengandungi senarai barang yang perlu hamba beli.
”… kacang lebam, dua modii (ukuran timbangan kering Rom), ayam, dua puluh, seratus epal, kalau kamu boleh cari yang baik punya, seratus atau dua ratus telur, jika mereka jual pada harga yang berpatutan. … 8 sextarii (ukuran liter Rom) sos ikan, sedikit buah zaitun.”
4. Senarai Membeli-belah Rusia , Abad Ke-14 Masihi
Kerajaan Novgorod adalah salah satu kerajaan orang Rusia kuno yang berpengaruh. Ahli arkeologi menemui cebisan dahan pokok kayu Birch dari fasa kerajaan tersebut yang mengandungi tulisan yang terpelihara dalam lumpur.
Kepingan itu sebenarnya senarai barang ditulis oleh ayah dan berikan kepada anak lelakinya. Senarainya ditulis seperti berikut:
“Hantarkan saya baju, tuala, seluar panjang, tali kuda, dan, untuk adik perempuan saya, hantarkan kain fabrik.”
Si ayah juga menulis pada perenggan akhir dengan nada lawak.
“Kalau saya hidup lagi, saya akan bayar.”
Mesti si ayah pernah berhutang dengan si penjual sampai melawak sebegitu.
5. Surat Paston dari UK, Abad Ke-15 Masihi
Dalam dunia arkeologi terutamanya mengkaji dunia fasa pertengahan Eropah, tidak banyak surat peribadi yang ditemui selain dokumen dan laporan yang terpelihara lama. Jika ada, ia mampu membongkar bagaimana hidup orang pertengahan Eropah pada ketika itu.
Keluarga Paston ialah keluarga tuan tanah yang kaya. Ahli keluarga bernama Margaret sering menghantar surat kepada suaminya ketika keluar berurusan dalam tempoh yang lama (macam outstation). Dalam surat-surat tersebut, terdapat senarai barang import yang Margaret mahukan suaminya beli.
“Sila berkelakuan baik dengan belikan saya satu pound kacang almond, satu pound gula, dan belikan beberapa pakaian corak frieze untuk anak-anak kamu. Saya diberitahu yang kau akan dapatkan barang yang murah dan pilihan terbaik dari isteri Hay.”
Margaret juga menulis di surat lain meminta suaminya membeli senjata panah bersilang (crossbow), kunci, dan anak panah. Banyak sangat barang import Margaret nak.
6. Senarai Membeli-belah Michelangelo dari Itali, Abad Ke-16 Masihi
Kita sekarang bukan cerita pasal Teenage Mutant Ninja Turtle buat senarai. Kita cerita pasal seorang artis, arkitek, dan pemuisi dari fasa Pencerahan Eropah, juga seteru Leonardo da Vinci. Namanya Michelangelo.
Michelangelo menulis senarai makanan dapur perlu dibeli untuk memasak tiga hidangan istimewa. Dalam senarai beliau tulis barang perlu dibeli seperti ikan bilis, ikan herring, sebotol wain, dan sup fennel.
Michelangelo juga melukis sebelah nama barang dapur untuk kemudahan orang gajinya yang buta huruf. Tak sangka baik juga Michelangelo ni membantu orang gaji mudahkan urusan pembelian barang dapur.
7. Senarai Membeli-belah Galileo dari Itali, Abad Ke-17 Masihi
Galileo ialah ahli astronomi Itali yang pertama membuktikan kepada pihak gereja bahawa Bumi sebenarnya mengelilingi Matahari setelah mengkaji menggunakan teleskop buatan sendiri.
Setelah berjaya mencipta teleskop yang mampu menoropong dengan pembesaran 8 kali ganda menggunakan kanta ciptaan sendiri, beliau mahu menaiktaraf teleskopnya dengan menjadikannya besar dan mudah meneliti angkasa. Maka, beliau menulis senarai barang untuk dibeli bagi lengkapkan kajiannya.
Dalam senarai Gelileo, ia bercampur dari senarai makanan sehingga barangan bermula dari rempah-ratus dan kekacang sehingga kristal dan paip organ. Siapa sangka senarai ini menjadi bukti kejayaan Galileo membuktikan kepada dunia akan peredaran orbit Bumi!
8. Senarai Membeli-belah Knole Hall dari UK, Abad Ke-17 Masihi
Kertas berupa senarai beli-belah ini ditemui oleh pekerja pembinaan pada bahagian bawah lantai rumah agam Knole Hall yang berada di tenggara England.
Senarai ini sebenarnya milik orang gaji atasan bernama Robert Draper, diberikan kepada orang gaji bawahannya iaitu En. Billy untuk membeli barang-barang seperti ‘greenfis’ iaitu ikan kod kering dan barangan dapur.
Namun, senarai ini sebenarnya berasal dari rumah agam lain bernama Copt Hall yang jauhnya 58 kilometer dari Knole Hall. Bagaimana senarai beli-belah ini boleh ditemui di Knole Hall?
Sebenarnya terdapat perkahwinan antara keluarga yang memiliki kedua-dua rumah agam ini sehinggakan barangan dari Copt Hall disimpan dalam ruangan loteng Knole Hall. Mungkin senarai ini terkeluar dari poket orang gaji kemudian termasuk ke bahagian dalam lantai loteng dan secara tak sengaja telah dipelihara selama ratusan tahun.
Ini saja 8 senarai membeli-belah kuno yang masih terpelihara. Mungkin kita rasa senarai berupa kertas kecil hanya tidak berguna setelah kita gunakannya sebagai tanda peringatan. Mungkin setelah kita buang atau simpan, generasi akan datang temui senarai-senarai ini dan labelkan sebagai senarai barangan perlu dibeli yang kuno yang menjadi pembuka kepada memahami kehidupan kita sekarang.
Jadi, kalau ada senara membeli-belah di tangan, simpanlah untuk kenangan masa hadapan.
RUJUKAN:
Waygood, James. (24 October 2018). 8 Historic Artifacts that Cover 4,000 Years of Shopping History! Listonic.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih