Setiap orang pasti pernah mengimpikan untuk kembali ke masa lalu. Ada yang ingin kembali ke kurun ke-15 untuk melihat sendiri keagungan Kesultanan Melayu Melaka. Ada juga yang ingin kembali ke tempoh perang dunia kedua untuk menghalang si misai kontot meluaskan kuasanya.
Tidak kurang juga orang yang ingin berjumpa dengan nenek moyang mereka yang telah lama meninggalkan dunia. Setiap orang pasti ada impian masing-masing yang ingin mereka realisasikan sekiranya mereka boleh merentas masa.
Namun adakah wujud suatu platform yang membenarkan manusia merentas masa dan kembali ke masa lalu?
Teori Relativiti Istimewa mengatakan kita hanya dibenarkan kembara ke masa hadapan, namun bukan ke masa lalu. Teori Relativiti Umum pula mengusulkan beberapa senario pengembaraan masa, tetapi hanya satu sahaja yang berkemungkinan mampu membawa manusia ke masa lampau, iaitu ‘wormhole’.
Teori Asal Usul ‘Wormhole’
Teori ‘wormhole’ mula diperkenalkan oleh Albert Einstein dan Nathan Rosen pada tahun 1935 dan ia dikenali sebagai jambatan Einstein-Rosen. Ia pada asalnya merupakan sebuah percubaan untuk menentang hujah kuantum mekanik tentang keterikatan kuantum (quantum entanglement). Namun apa yang terhasil ialah sebuah huraian matematik yang menjelaskan struktur terowong yang menghubungkan dua titik ruang-masa yang berbeza.
Terowong ini berpotensi untuk menjadi sebuah jalan pintas untuk perjalanan interstellar atau intergalaksi yang kebiasaannya memakan masa berjuta tahun cahaya. Dengan terowong ini kita bukan sahaja boleh mengembara dari suatu galaksi ke galaksi yang lain dalam masa seminggu dua, kita juga bahkan boleh kembali ke tempat asal sebelum kita sempat memulakan perjalanan tersebut. Dalam kata lain, ‘wormhole’ (secara teori) membenarkan kita untuk kembali ke masa lalu.
Walaupun konsep ‘wormhole’ atau jambatan Einstein-Rosen sering digunakan dalam filem sains fikyen seperti Interstellar, Thor dan Star Trek, kebarangkalian untuk ‘wormhole’ ini wujud di angkasa lepas adalah sangat rendah. Ini kerana struktur ‘wormhole’ itu sendiri yang tidak stabil dan berpotensi untuk runtuh akibat daya tarikan gravitinya sendiri.
Cara Membina ‘Mesin Masa’
Recipe for a dragon stew: First, find a dragon…
Matt Visser, Lorentzian Wormholes
Untuk mencipta ‘wormhole’, seseorang itu perlu mengumpul tenaga positif dengan jumlah yang sangat banyak bagi membuka pintu masuk atau corong ke dalam fabrik ruang-masa – seperti lohong hitam. Namun teknologi yang kita ada sekarang belum cukup canggih untuk membenarkan perkara itu berlaku.
Ramuan kedua, dan yang paling penting, bagi mencipta sebuah ‘wormhole’ yang stabil ialah jirim yang mempunyai jisim negatif dan ketumpatan tenaga negatif. Jirim ini dikenali sebagai jirim eksotik (exotic matter).
Kewujudan jirim eksotik ini akan memastikan ‘wormhole’ sentiasa terbuka dan tidak tertutup dengan sendirinya. Hal ini kerana jisim negatif, serta ketumpatan tenaga negatif, mempunyai sifat yang menolak objek (termasuklah ruang-masa itu sendiri) keluar, bertentangan dengan sifat graviti yang menarik objek ke arah satu sama lain.
Tapi wujudkah jirim eksotik dalam alam semesta ini? Teori kuantum fizik mengatakan ‘mungkin ya’. Dalam kuantum fizik, tenaga dibenarkan untuk menjadi negatif di sesuatu tempat, dengan syarat ia adalah positif di tempat yang lain.
Kewujudan tenaga negatif ini dibuktikan dengan fenomena ‘kesan Casimir’, dimana dua plat logam yang menghadap satu sama lain (dalam persekitaran vakum), akan bergerak ke arah satu sama lain dan kemudiannya bercantum. Daya yang menarik dua logam ini terhasil daripada kewujudan tenaga negatif yang wujud di antara dua logam tersebut.
Bolehkah Kita Kembali Ke Masa Lalu?
Manusia seakan sudah mempunyai pengetahuan yang cukup untuk membina ‘wormhole’ dengan adanya deskripsi matematik dan bukti eksperimen yang kukuh. Ilmu fizik yang kita ada sekarang memungkinkan ‘wormhole’ akan berjaya dijumpai ataupun dicipta dalam beberapa abad yang akan datang. Tapi kenapa sampai sekarang tidak ada individu yang datang dari masa hadapan dan mengajar kita cara untuk mencipta ‘wormhole’ tersebut?
Jawapan kepada persoalan diatas berkait rapat dengan isu logik pengembaraan masa. Contoh yang terdekat ialah ‘Grandfather Paradox’, dimana seseorang itu mengembara ke masa lampau menggunakan mesin masa dan menghalang datuk dan neneknya daripada bertemu, lalu menyebabkan ibu atau bapanya tidak lahir dan hidup di dunia, dan seterusnya menghalang kewujudan dirinya sendiri.
Ia sangat tidak masuk akal. Ada banyak lagi contoh senario paradoks rentas masa yang anda boleh baca di internet. Kesemua paradoks pengembaraan masa ini berkongsi masalah yang sama – masalah logik. Ia mungkin menjadi asbab kenapa sampai sekarang tidak ada manusia yang berjaya kembali ke masa lalu.
Selain itu, pada tahun 1992, Stephen Hawking mengusulkan sebuah hipotesis yang bertajuk ‘Chronology Protection Conjecture’. Hipotesis ini menyatakan bahawa alam semesta akan melindungi dirinya sendiri daripada membentuk CTC (Closed Timelike Curve), atau sebarang struktur yang mempunyai CTC – seperti ‘wormhole’ itu sendiri. Dalam kata lain, hukum fizik itu sendiri yang bertindak menghalang sebarang objek makroskopik untuk mengembara ke masa lalu.
Disini kita boleh simpulkan bahawa kembara merentas masa mungkin tidak berlaku untuk masa sekarang. Ia juga mungkin tidak berlaku dalam masa seratus tahun yang akan datang. Tapi peminat sains fiksyen usahlah berasa sedih dan kecewa. Ada sebuah sinar harapan yang sedang menanti untuk merealisasikan impian agung ini. Sinar harapan itu adalah M-Theory, sebuah teori penyatuan untuk Teori Relativiti Umum dan kuantum mekanik.
RUJUKAN:
Bambi, C., & Stojkovic, D. (2021). Astrophysical Wormholes. Universe, 7(5), 136. https://doi.org/10.3390/universe7050136
Mostepanenko, V. M., & Trunov, N. N. (1988). The Casimir effect and its applications. Soviet Physics Uspekhi, 31(11), 965–987. https://doi.org/10.1070/pu1988v031n11abeh005641
Hawking, S. W. (1992). Chronology protection conjecture. Physical Review D, 46(2), 603–611. https://doi.org/10.1103/physrevd.46.603
Artikel dikirimkan oleh Amier Hakeem untuk The Patriots.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih