Nama Isr-el ini boleh mengundang pelbagai reaksi. Dari kata maki “mak kau hijau” sampailah kata puji “oy vey, holy cow!” Bergantung kita datang dari mana. Kalau di sini, memang payahlah nak puji. Paling-paling pun mesti terpacul “Haha sodeh, koyak.. you too!”

Mana tidak, bab perang Russia-Ukraine bukan main beriya mahu bersolidariti. Sampai sanggup batalkan perlawanan menentang Russia 6 Jun lepas. Dapat isu Palestin, habis keluar aci aci buka pintu bagai. Cuma itulah, Isr-el ini bukan tentang konflik dengan Palestin saja.

Boleh kata, rugi juga kalau kita bataskan sudut pandang sekadar itu. Lagipun sabda Nabi (SAW); “Hikmah ini adalah barang yang hilang milik orang beriman. Di mana saja ia menemukannya, maka ambillah.”

Justeru dalam hal Isr-el ini, tetap ada sisi-sisi hikmah yang boleh kita ambil. Contohnya sejak 2020 lagi, Isr-el menghuni tangga ketiga sebagai negara paling berteknologi di dunia – selepas UK dan US. Pencapaian ini betul, kita boleh “eleh” kan saja.

The Patriots berada di PBAKL 2022 bermula 3 June sehingga 12 June. Jumpa di sana!

Tapi macam dikata tadi, ruang-ruang beralasan ini sentiasa ada kalau kita cari. Sekarang, cuba lihat sektor pelancongan pula. Walaupun angka pelancong tahunan Isr-el hampir 5 kali lebih rendah berbanding Malaysia (4.5 juta berbanding 25 juta setahun), khazanah-khazanah sejarah mereka boleh kata jauh lebih diimarah dan dipelihara.

Bayang, Malaysia yang 10 kali ganda lebih besar ini cuma ada 5 sahaja tapak Warisan Dunia UNESCO (tidak termasuk Kompleks Sungai Batu). Sedangkan Isr-el setakat ini sudah ada sembilan.

Walhal, punya berlambak lokasi dan artifak bersejarah penting di sini – termasuk kalau campur claim-claim pelik macam “Gunung Jerai tempat Nabi Adam (as) turun”, “Saidina Uthman (ra) pernah singgah Kedah”, dan kapal-kapal Tariq ibn Ziyad dibuat oleh orang Melayu”. Bahan dan sumber sejarah bukannya tiada, cuma kurang diusaha dan dimanfaatkan.

Sedangkan di Isr-el (dan kebanyakan negara lain), cukup penemuan kecil saja sudah dihebahkan. Macam, ayam bertelur sebiji riuh sekampung. Misalnya penemuan satu tulisan dinding ini. Ringkas saja sifatnya. Tapi bila diadun dengan signifikasi sejarah bercampur sensasi sumpahan, habis mendunia perginya. Sampai kami di The Patriots pun buat liputan.

Sedangkan, ia tidaklah terlalu luar biasa. Sekadar bermula dengan seorang pensyarah sejarah dari Universiti Haifa ‘meronda-ronda’ di kompleks makam Beit She’arim… lalu terjumpa dua tulisan dinding berbahasa Yunani. Setelah diamat-amati, si profesor (bernama Jonathan Price) pun lantas menyedari signifikasi penemuan ini.

Pintu masuk ke kompleks makam Beit She’arim

Pertama, harus tahu yang Beit She’arim (nama lain, Bukit Sheikh Abreik) sudah diterokai sejak 80 tahun lalu. Jadi sebetulnya, sudah banyak penemuan arkeologi dibuat di sini. Termasuk makam seorang rabbi besar kurun ke-2, iaitu Rabbi Yehuda Hanasi (135-217).

Punya besar peranan rabbi ini, sampai dia dilantik sebagai ketua penyunting Mishnah bagi kurun tersebut. Ibaratnya kalau di sini, mufti mahu menterjemahkan kutubus-sittah (enam kitab hadis utama) lalu dilantiknya seseorang sebagai ketua penyelenggara. Lebih kurang begitulah gayanya.

Cuma soalnya, macam mana seorang rabbi penting boleh dimakamkan di sini? Kenapa bukan di Silwan (pemakaman yang lebih masyhur)? Penting sangat ke Beit She’arim ini?

Ikut sejarah, memang penting. Sebab selepas Jerusalem dibedal oleh Rom pada 70 Masihi akibat memberontak, kesemua Sanhedrin (23-27 rabbi tertinggi Yahudi) berpindah ke Beit She’arim. Lantas, lokasi itu pun berubah menjadi pusat pengetahuan yang baru – dari era Mishnaik (70-200 M) hingga era Talmudik (200-500 M). Tetapi nama pun bangsa Yahudi. Mana lari dari penentangan.

Justeru pada 351 M, mereka sekali lagi melawan Rom yang kini benar-benar sudah didominasi pengaruh Kristian. Maka apalagi, giliran Beit She’arim pula untuk dibantai… kali ini oleh Constantius Gallus (menantu Constantine si raja Rom pertama yang menganut Kristian).

Sudahnya, Beit She’arim pun ikut jadi padang jarak padang tekukur… sampailah ditinggalkan sepenuhnya selepas kebangkitan Islam pada kurun ke-7 – sebelum diteroka semula oleh Benjamin Mazar dan Nachman Avigad pada 1930-1950an sekali gus meraih status tapak warisan dunia UNESCO pada 2015.

Jangan baca, nanti malam ada yang teman

Berbalik semula kepada kisah penemuan ; Price adalah individu pertama yang menemui satu makam dari kurun ke-2 ini. Berhampiran makam ini pula, terdapat dua inskripsi berbahasa Yunani… dalam warna merah darah. Macam gambar di atas. Yang satu serba ringkas (tiada gambar); sekadar bertulis ‘Jacob’ – merujuk kepada nama pemilik makam. Tapi yang satu lagi ini yang mengundang kontroversi.

Sebab? Lapan baris tulisannya mengandungi sumpahan laknat yang berbunyi; “Jacob si Mualaf (Yaakov HaGer) bersumpah akan melaknat sesiapa saja yang buka makam ini. Jadi, jangan sesiapa berani-berani buka. Dia 60 tahun.”

Ikutkan, memang pelik sikit bunyinya. Mana tidak, tengah sedap-sedap melaknat tiba-tiba beritahu umur berapa. Macam kelakar pun ada. Tapi kalau ikut kata Price, baris terakhir (pasal umur) itu lain sikit gaya tulisannya. Jadi barangkali ia ditambah selepas ‘Jakob’ selesai disemadikan.

Masalahnya, Jacob si Mualaf ini siapa? Sebetulnya, tiada siapa tahu. Pengkaji hanya tahu apa yang diberitahu – iaitu, Jacob ini seorang lelaki dari kurun ke-2 M yang pada umur tertentu memilih untuk menganut Yahudi. Apa agama asalnya, pengkaji masih berteka-teki. Mungkin Kristian yang sedang dominan. Mungkin juga kultus pagan macam Mithra dan Isis.

Salah satu Menorah di dalam Beit She’arim

Kalau ditanya, ada dua hal saja dalam penemuan ini yang menggamit minat pengkaji macam Price. Pertama, sumpahan laknat tadi. Kedua, status mualaf Jacob. Iyalah, masa itu agama Kristian sedang mengukuh. Tapi boleh pula Jacob ini pilih untuk peluk Judaism. Pasti ada sebab. Ini justeru mendorong pengkaji untuk lebih mendalami keadaan sosial di Jerusalem pada kurun ke-2. Mana tahu, ada titik-titik fokal yang sebelum ini sejarawan terlepas pandang.

Lagipun, memang itu fungsi arkeologi – menambah bukti sekali gus mengukuhkan pengetahuan sedia ada, atau menemui bukti baru yang mempersoal pengetahuan lama. Dari situ ilmu berkembang dan berkembang.

Sekarang, cuba bayang kalau sumpahan laknat ini ditemui pengamal teori konspirasi; habis dikajinya pada sudut bukan-bukan – Kenapa 8 baris? Kenapa bertulisan merah? Kenapa namanya sama dengan seorang Nabi ini? Apa maksud angka 60? Dan bermacam-macam lagi. Sampai masa dan tenaga yang ada lebih diguna untuk menatal sifat Dajjal berbanding menekuni Syamail.

RUJUKAN

Cowie, Ashley. (2022, 3 June). Disturbing Red Painted Curse Discovered in Jerusalem Catacomb. Ancient Origins.

Schuster, Ruth. (2022, 1 June). Convert’s ‘Bloody’ Curse Against Robbers Found in Ancient Galilee Grave. Haaretz.

Sudilovsky, Judith. (2022, 2 June). An ancient Jewish curse to keep grave robbers away revealed on tomb. Jerusalem Post.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Pencinta bahasa ibunda dan sejarah dunia. Amir Zayyanid merupakan seorang penulis dan penterjemah bebas yang menyimpan impian mahu menabur bakti kepada anak pertiwi menerusi pendokumentasian sebanyak mungkin bahan bacaan, sama ada fiksi mahupun bukan-fiksi.

Leave A Reply