Mengimpikan politik bersih ini seumpama mengharapkan crush membalas kasih. Berharap boleh, mendamba jangan. Sebab politik bukan pentas moral. Sebaliknya medan ordeal. Macam kata Henry Kissinger, “Kerja 90% ahli politik adalah menconteng arang pada 10% yang lain.” Kerana itu, politik penuh dengan sketsa saling berantam dan bertikam.

Cuma bila sebut pasal bejatnya politik ini, ia bukan melibatkan ahli politik sahaja. Kadang, kalangan awam pun boleh tahan mambang perangainya. Dari merusuh dan mengguling, sampailah bermusuh dan memutus silaturrahim. Mujur, tidak jadi kanibal macam di Belanda suatu ketika dahulu.

Ikutkan, bukanlah terlalu lama dahulu. Baru sekitar 400 tahun lepas. Saat Turki ditadbir Mehmed IV dan Kesultanan Acheh baru saja kehilangan Iskandar Muda. Namun di Belanda, atau Eropah Barat secara umum, lain pula ceritanya. Satu sisi, mereka sedang meniti Era Pencerahan. Namun sisi lain, masih menyerlah kejahilan.

Ini khusus bila kita menelusuri nasib akhir yang menimpa seorang politikawan Belanda masa itu, iaitu Johan de Witt. Johan lahir di Dordrecht pada 24 September 1625. Keluarganya memang berlatar-belakang politik, dengan bapanya Jacob memegang beberapa jawatan penting. Antaranya seperti bendahara Synod of Dort (sidang gereja), datuk bandar, dan duta besar ke Sweden.

Justeru sejak muda lagi, Johan didedahkan dengan selok-belok politik. Hinggakan pada umur seawal 19 tahun, dia sudah terlibat ke Sweden dan beberapa misi diplomatik di negara lain bersama bapa dan abangnya (Cornelis). Antara negara yang dikunjungi termasuklah Itali, Switzerland, Perancis, dan England. Mujur, mereka tak ada singgah ke Turki. Kalau tidak, habis hilang kisah berpolitik – ganti jadi berpiknik. Macam seorang menteri di negara pasir berdengung ini.

Cornelis (baring) dan Johan (duduk)

Apapun sepulang ke Belanda, Johan kemudian menetap di bandar The Hague dan melanjutkan pengajian ke Universiti Leiden dalam bidang perundangan. Lantas setamat sebagai graduan, bermulalah kariernya sebagai politikawan.

Perjalanan Johan boleh kata amat dimudahkan. Pada usia 25 tahun (1650), dia sudah terlibat dalam pembentukan republik Belanda – setelah memenangi undi majoriti susulan kemangkatan Willem II, putera dari Wangsa Orange yang memayungkuningi negara itu sejak 1544.

Tiga tahun kemudian, Johan naik pangkat dari pensionary kepada council pensionary dan seterusnya grand pensionary – jawatan tertinggi dalam republik masa itu, setaraf Perdana Menteri atau Presiden masa kini.

Sepanjang kenaikan itu, memang banyak pembaharuan yang dibuat. Ekonomi Belanda pun dikukuhkan, sampai ia jadi antara pemain utama. Paling kemuncak, bila Johan membentuk Triple Alliance (Persekutuan Tiga Serangkai) antara Belanda, England, dan Sweden pada 1668.

Persekutuan ini bertujuan mmbentengi masing-masing dari kekuatan Perancis. Masa itu, Perancis boleh dikata ‘singa’ Eropah dan Belanda pula ibarat ‘rusa’ yang ingin diratah. Justeru dengan adanya persekutuan sebegitu, nafsu Perancis dapat digoyahkan… walau tidaklah lama. Cuma empat tahun sahaja.

Masuk tahun 1672, Belanda meniti Tahun Bencana. Ia dimulai dengan konflik bersenjata di perairan England pada 23 Mac, di mana armada Inggeris membedil habis 30 kapal milik Belanda. Selang empat hari kemudian, King Charles II mengisytihar perang sekali gus membelakangi aliansi. Ini disusuli oleh semboyan dari Louis XIV pada 6 April, dan seterusnya oleh Munster dan Cologne.

The Patriots berada di PBAKL 2022 bermula 3 June sehingga 12 June. Jumpa di sana!

Mungkin ada kalangan pembaca bertanya, “Mengapa England sanggup mengkhianati janji?” Jawapannya ringkas; politik ini bersifat ‘hari ini kawan, besok tak mustahil jadi lawan’. Macam pembaca dengan bekas kekasih; hari ini berangan naik pelamin, besok lusa pandang pun tak ingin. Nama pun hati manusia… berubah-ubah dan mudah goyah bila disua kunci Honda.

Samalah juga kes ini. Tahun 1670, England memeterai Perjanjian Dover dengan Perancis. Ia secara langsung menandakan Charles II berdiri di belakang Louis XIV dalam lanskap politik Eropah. Dan sebagai imbalan, England diberi subsidi sekali gus melegakannya dari sudut ekonomi.

Hampir dua tahun juga England mencurangi Belanda, sebelum hubungan mereka dibaiki menerusi Perjanjian Westminster. Dalam perjanjian ini, Belanda dilarang mengangkat Willem III (cucu Charles I) sebagai stadholder. Tujuannya mudah; mahu menyekat pengaruh Willem III sekali gus memustahilkannya mengancam England.

Belanda yang terhimpit mahu tidak mahu perlu akur. Supaya satu beban dapat dikurangkan. Cuma masalahnya, bukan semua berkongsi fikiran sedemikian. Terutama kalangan marhaen. Bagi mereka, persetujuan tersebut adalah satu bentuk pengkhianatan dari Johan.

Amarah mereka terhadapnya makin membara selepas parlimen membuat rundingan damai dengan Perancis… secara suka-suka tanpa kebenarannya. Semenjak itu, Johan jadi figura yang dibenci. Tahap benci ini sampai kalau mereka hidup masa kini, memang dilaung habis, “Asal bukan Johan!” dan “Hidup Willem!”

Bayang, muka gini pun boleh kena makan

Propaganda lantas menjadi agenda. Di mana, kebencian dizahirkan dalam bentuk cubaan membunuh. Cubaan pertama dilakukan pada 21 Jun 1672. Masa itu, Johan sedang dalam perjalanan pulang dari Het Binnehof. Dalam lewat malam, dia diserang sehingga terluka di leher dan badan.

Sekitar masa sama itu juga abangnya di Dordrecht turut diserang. Cuma mujur, kedua-dua mereka selamat… dengan Johan terlantar sampai 1 Ogos sebelum kembali pulih. Setelah pulih, dia meletak jawatan tiga hari kemudian. Ini kerana Willem III masa itu sudah pun menjadi stadholder Belanda – sekali gus memaksudkan bahawa jawatan grand pensionary yang didudukinya tidak lagi berguna. Dengan peletakan jawatan tersebut, Johan pun menjadi rakyat biasa tanpa pengaruh dan kuasa.

Namun tanpa kuasa, dia tidak dapat buat apa-apa saat abangnya ditangkap atas dakwaan merancang pembunuhan Willem III. Kes tersebut memang gempar di seluruh Belanda. Ramai mengikuti perkembangannya – dari 23 Jun sampai 15 Ogos – macam tak ada kerja.

Sampaikan pada 15 Ogos, masing-masing pakat berkerumun depan penjara sebab ada ura-ura konon Cornelis terlepas. Walhal ia ura-ura saja, tak benar pun. Mudah sangat termakan berita palsu, macam segelintir orang kita. Masalahnya bila tahu palsu, keadaan bukannya makin reda. Sebaliknya makin menggila. Sebagai adik, situasi begini memang merisaukan Johan. Atas sebab itu, dia nekad melawat abangnya di penjara pada 20 haribulan.

Lokasi jasad dua beradik de Witt digantung. Belah kanan tu gerbang penjara

Namun malang, tindakan itu mengundang malapetaka. Pagi dia datang melawat, tengahari orang ramai sudah berkerumun dan merusuh. Siap ada yang menggempur masuk penjara pun. Faham-faham sajalah apa yang jadi seterusnya.

Cornelis ditikam berkali-kali. Johan pula ditetak di bahagian kepala, sebelum ditembak dari belakang. Jasad kedua-duanya kemudian diheret ke Groene Zoodje lalu digantung terbalik dalam keadaan telanjang. Lama juga ia dibiarkan begitu.

Sepanjang waktu itu, jasadnya dibelasah oleh orang yang lalu-lalang. Tak cukup belasah, habis ia dilapah. Kaki, tangan, hidung, bibir dan lidah… semua pun dikerat. Usus turut dikeluarkan lalu diberi makan anjing.

Sebahagian malah membawa pulang anggota tadi – dipercayai untuk dimasak dan dimakan. Laporan begini barangkali dilebih-lebihkan. Tapi memang ada catatan betapa seorang dari mereka makan bola mata Johan. Ini seakan, mereka benar-benar cuba memaknai kenyataan “we hate him, so we ate him.” Kami benci dia. Jadi, kami makan dia.

RUJUKAN

Blazeski, Goran. (2017, 9 May). In 1672, an angry mob of Dutchmen butchered and ate their prime minister. The Vintage News.

Dijkhuizen, Bryan. (2021, 8 November). That One Time the Dutch People Ate Their Prime Minister. History of Yesterday.

Kapoor, Mehek. (2021, 30 January). When an Angry Mob Decided to Kill and Eat Their Prime Minister. Medium.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Pencinta bahasa ibunda dan sejarah dunia. Amir Zayyanid merupakan seorang penulis dan penterjemah bebas yang menyimpan impian mahu menabur bakti kepada anak pertiwi menerusi pendokumentasian sebanyak mungkin bahan bacaan, sama ada fiksi mahupun bukan-fiksi.

Leave A Reply