Kahwin bawah umur adalah kejadian global. Bukan isu setempat, atau terhad pada satu-satu zaman apalagi bangsa. Kalau imbau sejarah, kita boleh dapati ia berlaku di mana-mana. Misalnya di Mesir Purba, antara Ankhesenamun (c. 16 tahun) dan Tutankhamun (c. 10 tahun).
Begitu juga antara Tokugawa Masako (12 tahun) dengan Go-Mizunoo (24 tahun), Judith of Flanders (12 tahun) dengan Æthelwulf (61 tahun), dan Eleanor of Aquitaine (15 tahun) dengan Louis VII of France (17 tahun). Andai lihat tamadun Yunani dan Rom kuno pun, hal serupa berlaku. Usia minimum kahwin bagi wanita di Yunani adalah 16 tahun, manakala di Rom pula 12 tahun.
Sebutan begini bukanlah bertujuan membenarkan apalagi menormalkan kahwin bawah umur. Tetapi, supaya (1) kita buang jauh-jauh stereotaip konon isu ini eksklusif hanya pada kelompok tertentu dan (2) supaya kita tidak memaksakan naratif zaman dahulu terhadap naratif masa kini atau sebaliknya.
Hari ini, rata-rata bersepakat yang umur minimum kahwin harus pada 18 tahun. Namun jika dilihat akta, hakikatnya ada kira-kira 117 buah negara yang membolehkan rakyatnya berkahwin pada umur bawah daripada itu, termasuk Malaysia.
Iya, di negara kita, had umur kahwin bagi wanita Islam adalah 16 tahun (atas kelulusan mahkamah syariah). Setakat 2018, UNICEF menganggarkan di Malaysia berlaku sebanyak 1,500 perkahwinan bawah umur setahun. Akhbar tahun 2015 pula menyatakan jumlah remaja bawah 19 tahun yang sudah berkahwin adalah seramai 15,000 orang.
Ikutkan, memang menarik untuk gali isu ini lebih dalam. Tapi untuk artikel kali ini, kita alihkan sebentar perhatian ke satu negara lain yang masalah kahwin bawah umurnya ditangani (hampir) secara sendirian oleh seorang wanita. Negara yang dimaksudkan adalah Malawi.
Kalau dalam peta, lokasi Malawi memang jauh dari kita – nun jauh di tenggara Afrika sana. Tapi ikut senarai alfabet, ia boleh dikata sebagai jiran dekat juga. Sebab, duduknya betul-betul di atas nama Malaysia. Jadi, Malawi bukanlah nama yang asing. Hatta dalam isu kahwin bawah umur pun, Malawi tidak terasing. Bahkan, ia antara yang tertinggi di dunia.
Memang kalau kita lihat senarai 10 negara dengan kadar kahwin bawah umur tertinggi, nama Malawi tidak termasuk. Tapi statistiknya masih membimbangkan. Menurut UNICEF (tahun 2012), lebih 42% gadis Malawi berkahwin sebelum usia 18 tahun. Satu dalam sepuluh pula berkahwin sebelum 15 tahun.
Untuk beri gambaran, bayangkan dalam sebuah sekolah ada 100 orang pelajar perempuan. Seramai 42 orang daripadanya berkahwin. Nah kesannya, apa jadi dengan pendidikan mereka? Memang terabai habis sebab mahu jadi isteri dan ibu. Statistik pun menuding pada kesimpulan itu.
Didapati, kira-kira 45% gadis Malawi terpaksa berhenti belajar pada gred 8 gara-gara berkahwin, hamil, dan bersalin. Pada era pandemik pula, jumlah gadis yang menjadi ibu melonjak kepada 57.2%. Itu bilangan ibu, kalau yang bergelar isteri sudah tentu lebih tinggi.
Apa yang dibimbangkan daripada gejala kahwin bawah umur ini bukan sahaja berkait hal pendidikan semata-mata. Tetapi juga peluang membina masa hadapan (mandiri-kewangan), di samping terdedah kepada keganasan jantina dan rumah tangga. Itu belum lagi bercerita tentang komplikasi sepanjang mengandung dan ketika bersalin, di mana ia menjadi penyebab kepada kematian 20-30% ibu muda di Malawi.
Oleh sebab itu, gejala kahwin bawah umur amat diperangi. Tambahan pula di Malawi, ia mendorong kepada satu lagi tradisi jelek yang disebut sebagai kusasa fumbi. Secara ringkas, tradisi ini menganjurkan kanak-kanak perempuan dihantar ke kem pengantunan (grooming). Dalam kem tersebut, mereka diajarkan tentang hal-hal dewasa. Baik urusan rumah tangga mahupun hal dalam kamar.
Kemudian sebagai ‘majlis graduasi’, anak tadi akan ditiduri seorang lelaki (disebut hyena) yang diupah oleh keluarga sendiri. Konon, ia bagi meraikan akil baligh si gadis – semacam khitan bagi lelaki dalam masyarakat kita. Namun masalahnya, hyena ini langsung tidak beretika masa ‘buat kerja’. Cuma fikir sedap dia saja. Sudahlah buat tanpa perlindungan, adakala mereka ini mendatangi pula gadis tadi berkali-kali tanpa pengetahuan keluarga. Lantas, tidak hairan kalau anak pertama gadis-gadis di pinggir bandar Malawi adalah dari benih hyena.
Nasib begitu sudah cukup buruk. Namun, bayangkan pula jika gadis tadi dijangkiti STD (sexually transmitted diseases). Memang malang berganda-ganda. Justeru, munasabah apabila statistik AIDS/HIV di Malawi agak tinggi; iaitu satu dalam sepuluh rakyatnya. Menunjukkan betapa melaratnya keadaan di sana.
Dan menyedihkan, kerajaan seakan tidak berbuat apa-apa sehinggalah masalah ini ditangani hampir sepenuhnya oleh seorang wanita kelahiran Dedza. Dedza adalah bandar utama di Daerah Dedza, berjarak 80 km di tenggara Lilongwe (ibu negara Malawi). Populasi di daerah itu mencecah 900,000 orang dan ia memiliki 551 buah kampung.
Pada tahun 2003, kerusi ketua suku kaum di Dedza diambil-alih oleh seorang wanita bernama Theresa Kachindamoto. Jawatan itu diserahkan selepas kematian abang sulungnya, yang turut mewarisi tugas daripada ayah mereka.
Sememangnya, keluarga Kachindamoto adalah keluarga kehormat. Justeru kesemua 12 beradik menerima pendidikan penuh. Termasuk Theresa si bongsu. Di Malawi, jarang sebenarnya dapat jumpa wanita berpendidikan apatahlagi yang bekerjaya dan bermasyarakat seperti Theresa. Jadi, beliau ini antara yang menongkah arus.
Dasar pengurusannya juga berbeza berbanding abang dan ayahnya. Beliau lebih mengambil berat soal nasib gadis-gadis di Dedza. Sampaikan, habis kesemua 551 ketua kampung dipanggil dan disuruh menandatangani perjanjian untuk melarang perkahwinan bawah umur di kampung masing-masing. Empat daripada mereka yang ingkar serta-merta dipecat.
Ikutkan, tidak hairan jika ada yang ingkar. Sebab biasanya ketua kampung akan terima habuan bila ada perkahwinan diluluskan. Tambahan, dasar baru Theresa ini seakan mahu ubah tradisi. Jadi, memang ramai yang membantah beliau. Sampai tahap beri ancaman bunuh pun ada.
Tetapi, Theresa buat selamba sahaja. Sejak 2012, beliau tidak henti melobi pada kerajaan supaya meminda undang-undang had umur minimum perkahwinan daripada 15 kepada 18 tahun. Usaha itu membuahkan hasil pada 2017, atas sokongan dari UN Women dan beberapa organisasi tempatan.
Setahun sebelum itu, beliau menerima sumbangan bernilai $2,000 dari Anugerah Kemanusiaan Jesse & Helen Kalisher. Ia bagi membiayai pendidikan 144 orang gadis Malawi. Theresa sendiri pun sememangnya giat dalam kerja lapangan. Siap ada Pertubuhan Ibu-Ibu Mpapa lagi.
Pertubuhan ini berfungsi mengenal pasti gadis-gadis yang berhenti sekolah kerana kahwin bawah umur. Mereka akan mengetuk pintu ke pintu, lalu memujuk ibu bapa supaya batalkan perkahwinan dan hantar semula anak mereka ke sekolah.
Sekolah ini pula bukan sekolah biasa-biasa. Ia sekolah khas yang dibangunkan oleh Theresa sendiri – iaitu Sekolah Asas Mpapa. Yurannya percuma. Seragam, buku, dan makan minum di asrama turut disediakan tanpa bayaran. Tinggal hantar sahaja anak ke sana.
Dengan inisiatif sebegitu, Theresa berjaya membatalkan sebanyak 3,500 perkahwinan bawah umur sepanjang 16 tahun berkhidmat. Kebanyakan gadis yang dipujuk bersetuju untuk kembali meneruskan pendidikan sehingga tamat.
Kadar kehadiran di Sekolah Mpapa pun amat menggalakkan, iaitu sekitar 87%. Ini memang satu pencapaian besar, terutama kalau kita bandingkan dengan purata kehadiran di seluruh negara yang berada pada kadar 51%.
Betapa daripada separuh remaja perempuan Malawi yang keciciran, Theresa berhasil mengembalikan ramai ke landasan kehidupan yang lebih sihat dengan memberi peluang pendidikan sehingga tamat.
RUJUKAN
Flanagan, Padraic. (2019, 2 August). How woman, 60, has saved thousands of child brides in Malawi and helped girls finish education amid death threats. iNews.
Keefe, Libby. (2021, 26 April). Theresa Kachindamoto’s Activism For Malawi Children. Borgen Project.
King, Ashlee. (2021, 18 January). Chief Kachindamoto’s life mission to end child marriage in Malawi. UN Women.
Soldati, Camilla. (2019, 31 January). Theresa Kachindamoto, the woman saving girls from child marriage in Malawi. Life Gate.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih