Dianggarkan, terdapat lebih 100 suku asli di dunia yang masih tidak dapat dihubungi. Di Papua Barat sahaja, ada 40 suku sedemikian. Di Amazon belahan Peru pula ada 15. Namun antara semua suku yang ada, mungkin suku Sentinel paling tersohor.
Mereka berjumlah sekitar 50-200 orang dan menetap di Pulau Sentinel Utara, berjarak 1,292 km dari bandar Kolkata, India. Populasinya mungkin kecil. Tetapi saiz pulau tersebut sebenarnya besar – dua kali ganda berbanding Kangar (Perlis) dan empat kali ganda berbanding Pulau Perhentian.
Ikutkan, sudah lebih 60,000 tahun juga mereka menghuni situ. Namun hingga kini, suku Sentinel masih menyisihkan diri. Bukan saja dari dunia luar. Tetapi juga dari suku-suku jiran seperti Onge dan Jarawa – sampaikan bahasa mereka tidak lagi difahami oleh dua suku itu.
Kehidupan tradisi masih jadi panutan. Mereka berburu dan memungut hasil hutan menggunakan lembing dan panah. Dengan senjata yang sama itu juga, mereka menghalau kapal-kapal British dan helikopter-helikopter India. Lantaran itu, mereka dilihat sebagai suku gasar.
Pulau Sentinel Utara juga bagaikan Segi Tiga Bermuda – siapa masuk ke sana, memang tidak pulanglah jawabnya. Perkara itu pun bukannya mitos. Ia terbukti (setidaknya) sejak seratus tahun lampau. Tepatnya pada 1896, saat seorang tahanan meloloskan diri dari Pulau Andaman.
Ketika itu, fungsi Pulau Andaman sama saja seperti Australia – ia dijadikan pulau ‘buangan’ oleh British. Ditakdirkan, rakit buatan tahanan tadi terhanyut sampai ke pantai Pulau Sentinel. Apa lagi, dia pun dibunuh. Jasadnya dijumpai dalam keadaan tertusuk panah dan leher terburai. Kisah sama turut menimpa beberapa tahanan lain pada 1899.
Apapun, itu bukanlah sejarah terawal antara British dan Sentinel. Sedekad lebih awal, iaitu pada 1880, Royal Navy ada menghantar sebuah kapal untuk menerokai pulau tersebut. Rombongan itu diketuai oleh Maurice Portman.
Portman sempat tiba di pulau. Sempat berlabuh di pantai. Sempat juga meredahi hutan landai. Sampailah satu ketika dia bertembung dengan 6 orang suku Sentinel – sepasang individu berusia dan empat orang belia (ada yang kata budak kecil).
Tanpa provokasi, dia dengan selamba menculik enam individu itu lalu bawa mereka ke Port Blair – pangkalan British di Andaman. Di sana, pasangan itu jatuh sakit lalu meninggal dunia. Empat budak itu pula dipulangkan semula bersama sedikit hadiah – konon sebagai cubaan berbaik-baik dengan suku Sentinel.
Sepanjang 1880-an, Portman melawat pulau itu sebanyak tiga kali. Selain maklumat yang tercatat, tiada siapa tahu apa yang benar-benar terjadi. Cuma yang pasti, suku Sentinel enggan langsung berinteraksi dengan dunia luar. Ini berbeza dengan suku Onge, Jarawa, Shompen, dan Nicobar yang semakin lama semakin menunjukkan sikap mesra.
Justeru, boleh juga kita kata yang Portman adalah antara sebab mengapa suku Sentinel ‘menutup pintu’ – walau bagi Portman sendiri, tindakannya mungkin dilihat wajar sebagai susulan terhadap insiden 1867. Di mana, anak-anak Nineveh (kapal dagang India) diserang saat terdampar tiga hari di pulau itu. Kejadian itu memang benar berlaku, tetapi tiada siapa pun terbunuh. Jadi, pendekatan keras Portman sebenarnya hanya memburukkan lagi hubungan.
Apapun selepas tamat Perang Dunia Kedua, ehwal Kepulauan Andaman diambil-alih oleh India. Berbanding British, sikap India lebih diplomatik dan bertoleransi. Mereka siap mewartakan enam suku Andaman sebagai ‘suku jagaan’ dan pulau kediaman mereka sebagai ‘kawasan simpan. Radius 3 batu dari pulau juga diisytihar sebagai zon larangan.
Semenjak itu, India kerap menghantar ahli antropologi ke sana – sebagai usaha bermesra dengan suku Sentinel. Namun, semua berakhir gagal. Pada 1974 misalnya, India meluluskan penggambaran sebuah dokumentari berjudul Man in Search of Man terbitan National Geographic. Ia tentang usaha ahli antropologi mendekati suku-suku asli di Andaman.
Sambutan yang diterima memang pelbagai. Bersama suku Jarawa, mereka dapat berhibur dan tari-menari. Tetapi tiba saja di pantai Sentinel, habis peha pengarah ‘dibaham’ anak panah sepanjang 8-kaki. Penggambaran lantas dibatalkan.
Hadiah yang mereka bawa pula sekadar ditinggalkan di bahagian pantai yang selamat. Ia berupa babi hidup, kelapa, anak patung, dan alatan dapur keluli. Ketika beransur pergi, mereka sempat melihat suku Sentinel menikam dan menanam babi dan anak patung tersebut, sebelum membawa pulang yang lain.
Insiden tersebut bukanlah yang terakhir. Pasca tsunami tahun 2004, kerajaan India menghantar helikopter untuk meninjau situasi suku berkenaan. Namun, kehadiran mereka mengundang kemarahan. Panah demi panah dilepaskan, cuma mujur tiada yang terkorban.
Kematian bagaimana pun berlaku dua tahun kemudian – melibatkan dua orang nelayan yang terhanyut ketika sedang menangkap ikan secara haram. Juga pada empat tahun lalu, ketika seorang mubaligh Kristian dari Amerika melawat pulau itu tanpa izin.
Berita sebegini menjadikan naratif ‘suku Sentinel sebagai primitif dan ganas’ semakin sensasi. Sampai-sampai, ia menenggelami kenyataan ahli antropologi sendiri, yang menyifatkan mereka sebagai “lebih bertamadun (dari segi sosial) berbanding sebilangan lelaki di negara maju.”
Kenyataan tersebut bukan terbit dari bibir sembarangan. Ia dituturkan oleh Madhumala Chattopadhyay (lahir 1961), antropologis yang menghabiskan enam tahun bersama suku-suku asli di Andaman – termasuk suku Sentinel.
Sepanjang enam tahun itu, sekali pun dia tidak pernah diganggu. Dia disenangi dan dihormati. Justeru, dia menjadi satu-satunya individu yang berjaya menjalin interaksi mesra dengan suku Sentinel (dan suku-suku lain).
Lawatnnya ke pulau itu berlaku pada tahun 1991. Yakni, dua tahun selepas Madhumala mula bertugas di Anthropological Survey of India (AnSI). Ketika itu, India memang melarang wanita dari membuat kajian lapangan.
Namun disebabkan keputusan akademik dan tesis PhD yang cemerlang, Madhumala dikecualikan. Itu pun setelah dia dan ibunya bersetuju untuk tidak menuntut sebarang pampasan andai berlaku kemalangan.
Pasukannya diberangkatkan pada pagi 4 Januari dengan menaiki MV Tarmugli. Mereka terdiri dari 13 orang – S. Awaradi (pengarah badan kebajikan), Dr. Arun Mullick (pegawai perubatan), Madhumala (ketua penyelidik), dan kru-kru sokongan.
Sebaik wajah pantai kelihatan, mereka disambut empat lelaki bersenjatakan busur. Memang enam bulan lalu ada insiden yang berlaku. Jadi, kali ini mereka cuba bertindak lebih berhati-hati. Kapal disauhkan jauh.
Mereka hampiri pantai dengan menaiki perahu. Itu pun masih menjaga jarak – tidak terlalu dekat. Dalam jarak yang selamat, Madhumala kemudian menghanyutkan buah-buah kelapa yang dibawa. Ini sebagai isyarat bahawa kedatangan mereka bertujuan aman, dan kelapa-kelapa itu adalah hadiah.
Lantas, sebiji demi sebiji diturunkan. Sampailah berlaku reaksi yang tidak dijangka. Empat lelaki tadi menurunkan senjata. Lalu mereka turun ke pantai dan mengutip kelapa-kelapa yang dihanyutkan. Tindakan itu diikuti beberapa lelaki lain, sambil kaum wanita dan kanak-kanak memerhati dari pantai.
Jumlah mereka makin ramai. Menjelang tengahari, kelapa yang dibawa mula habis. Jadi, Madhumala pun kembali ke MV Tarmugli untuk ambil lagi kelapa sambil makan tengahari. Jam 2 petang, interaksi sama diulangi.
Cuma kali ini, suku Sentinel lebih berani. Mereka siap bertempik-sorak dengan laungan, “Nariyali jaba jaba” (bermaksud “lagi, lagi, bagi lagi kelapa”). Malah ada seorang dari mereka yang menghampiri perahu dan menyentuhnya dengan tangan. Ramai kemudian ikut berbuat demikian.
Namun dalam momen sebegitu, ada seorang lelaki berdiri di pantai. Tangannya mencapai busur lalu dihalakan pada perahu. Entah mengapa dia bertindak begitu. Cuak juga semua kru dibuatnya. Tetapi Madhumala kekal bertenang.
Dia cuba beri isyarat mengajak lelaki itu supaya mendekat, namun tidak berjaya. Anak panah tetap dilepaskan. Cuma mujur ia tidak mengenai sasaran. Sebabnya, lelaki itu ditolak seorang perempuan yang lantas memarahinya dan menyuruhnya untuk turun ke pantai. Lelaki itu akur, lalu turut serta mengutip kelapa.
Keadaan tersebut lantas dimanfaatkan oleh Madhumala. Baginya, suku Sentinel sudah selesa dengan kehadiran pasukannya. Jadi, dia pun turun dari perahu dan naik ke pantai. Kelapa tidak lagi dihanyutkan, tetapi diserah dengan tangan.
Justeru untuk kali pertama dalam sejarah, Madhumala berjaya menapakkan kaki di pantai Sentinel, bersemuka dengan penduduknya, dan menyerahkan hadiah dengan tangan tanpa disambut senjata. Apa yang menjadi faktor pengubah pada hari itu ialah Madhumala sendiri.
Sebelum itu memang pernah berlaku interaksi yang hampir serupa, dilakukan oleh Triloknath Pandit pada 1967. Pandit berjaya melawat Pulau Sentinel dan menyerahkan hadiah sambil diiringi oleh suku Onge. Namun tidak seperti Madhumala, Pandit gagal memujuk suku Sentinel untuk menurunkan senjata.
Dalam lawatan Madhumala, dia bukan saja menjadi wanita pertama yang mengunjungi pulau itu. Malah, dia sendiri yang berinteraksi dalam bahasa tempatan – hasil dari kajiannya ke atas suku-suku jiran.
Memang Madhumala tidak dibawa ke kawasan petempatan, seperti yang berlaku semasa dia bersama suku Jarawa. Tetapi setidak-tidaknya, dia berpeluang untuk beramah-mesra dengan suku Sentinel – satu perkara yang gagal dilakukan oleh sesiapa pun.
Kunjungan berikutnya pada 21 Februari turut menerima sambutan baik. Mereka dengan selamba menaiki perahu untuk ambil kelapa. Ada yang siap terambil senapang yang dibawa. Dalam lawatan itu, tiada panah diangkat mahupun dilepaskan.
Namun, Madhumala menyedari ada beberapa ahli suku yang tiada. Jadi sebaik pulang, dia meminta tinjauan udara dilakukan. Hasil mendapati beberapa pemuda suku meninggal dunia atas sebab yang tidak diketahui. Madhumala menyimpulkan yang mereka diserang penyakit.
Jadi, kerajaan memutuskan untuk hentikan sebarang lawatan. Mereka siap keluarkan kenyataan, “Suku Sentinel mampu sihat dan mandiri tanpa campur tangan moden. Justeru, penting untuk kita tidak ganggu kehidupan mereka.”
Kenyataan itu turut dipersetujui Madhumala dan ramai ahli antropologi lain. Madhumala sendiri sejak itu tidak lagi mengunjungi Pulau Sentinel. Dia hanya berkhidmat dalam Kementerian Keadilan dan Pemberdayaan Sosial – setelah menolak tawaran sebagai ketua penyelidik di beberapa universiti tersohor kerana mahu menjaga ibu dan adik-beradiknya.
Mengulas tentang tragedi yang menimpa John Chau, mubaligh Amerika pada 2018, Madhumala hanya berpesan, “Saya tak menghalang interaksi dilakukan dengan suku-suku tersebut atas tujuan saintifik dan penghuluran bantuan kecemasan. Cuma, ia perlu dijalankan mengikut protokol dan di bawah pemantauan kerajaan.”
Dia juga berpendapat, suku-suku seperti Sentinel tidak perlu diganggu dan ditamadunkan. Mereka sudah ada tradisi sebagai solusi. Mereka juga ada animisme sebagai agama. Alam lebih terpelihara di tangan mereka.
RUJUKAN
Hunter-Bailey, Liam. (2021, 5 January). The Remote Tribe We Still Haven’t Been Able to Contact. History of Yesterday.
Prasad, Blessy Mather. (2021, 6 March). Why the first person to establish friendly contact with the Sentinelese believes that we mustn’t try to civilise them. Edex Live.
Ratnam, Dahmini. (2018, 4 December). The woman who made ‘friendly contact’ with Andaman’s Sentinelese. Hindustan Times.
Sengupta, Sudipto. (2018, 29 November). Madhumala Chattopadhyay, the woman who made the Sentinelese put their arrows down. The Print.
Zakeer, Fehmida. (2018, 7 December). Meet the first woman to contact one of the world’s most isolated tribes. National Geographic.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih