Sejak kebelakangan ini, nama India tidak lekang dengan kontroversi. Kalau tidak kes dua pemimpinnya yang mengeluarkan kenyataan jelek terhadap Rasulullah s.a.w, ada saja cerita pelik bin ajaib membabitkan warganya. Seminggu lepas, seorang wanita mengumumkan rancangan berkahwin dengan diri sendiri atau sologami!

Kshama Bindu, seorang wanita yang berasal dari Gujarat berhasrat untuk melakukannya pada 11 Jun ini. Upacara perkahwinan diri sendiri itu akan diadakan mengikut upacara perkahwinan tradisional Hindu – dari pheras (mengelilingi api suci beberapa kali) hinggalah ikrar perkahwinan dan bulan madu.

Kshama Bindu. Sumber: Kshama Bindu

Apabila ditanya pihak media tentang keputusannya itu, Bindu melihat ia sebagai komitmen untuk mencintai diri sendiri. Ini kerana padanya, dengan memberi komitmen itu, dia akan memilih kehidupan yang baik dan gembira untuk diri sendiri. Ini termasuk menerima semua bahagian dirinya dan mengakui kelemahannya.

Baginya, itu merupakan satu komitmen mendalam yang selari dengan matlamat sesebuah perkahwinan.Bindu juga mengakui sologaminya mendapat restu keluarganya selagi mana ia dapat menggembirakan dirinya.

Carrie Bradshaw merupakan orang pertama yang membangkitkan topik sologami sehingga mencetuskan keributan di Barat lebih 20 tahun yang lalu.

Sologami menjadi tajuk berita utama di Barat terutama di Amerika Syarikat kira-kira 20 tahun lepas. Ini selepas watak Sarah Jessica Parker dalam siri Sex and the City, Carrie Bradshaw membangkitkan hal berkenaan. Tetapi perlu diingat, watak tersebut merupakan watak fiksyen semata-mata.

Tetapi sejak itu, ia mencetuskan fenomena sologami di Barat. Bukan sedikit wanita bujang yang memilih berkahwin dengan diri sendiri dan melakukannya menerusi ritual tradisional dari memakai gaun perkahwinan hinggalah membaling jambakan bunga selepas membaca ikrar perkahwinan. Dan sudah pasti, kes paling pelik ialah tindakan seorang model Brazil berusia 33 tahun yang menceraikan diri sendiri selepas menjalani sologami tiga bulan sebelumnya.

Bagi pakar kesihatan mental seperti Dr Savita Malhotra, seorang profesor psikiatri di Hospital PGIMER di Chadigarh, konsep sologami sememangnya mengelirukan. Ini kerana konsep mencintai diri sendiri sudah lama wujud dan tidak perlu diterjemah dalam konsep tertentu sebagai cara menjayakannya. Tambah Dr Malhotra, idea perkahwinan itu sendiri berkisar tentang kisah dua insan yang disatukan bersama dan sologami dianggap lari daripada konsep ini.

Selain itu, sologami juga tidak diiktiraf di sisi undang-undang India. Menurut pengamal undang-undang Krishnakant Vakharia, sologami langsung tidak wujud dan kebiasaannya, perkahwinan membabitkan penyatuan dua insan. Justeru, sologami dianggap bertentangan dengan undang-undang negara itu.

Tambah seorang lagi peguam Chandrakant Gupta, ini dibuktikan menerusi maksud perkahwinan yang ditetapkan dalam Akta Perkahwinan Hindu yang menyebut salah seorang daripada pasangan sekiranya mahu melangsungkan perkahwinan. Justeru, dengan menggunakan sologami menerusi upacara perkahwinan tradisional Hindu seperti yang dilakukan oleh Bindu, perkahwinan tersebut dianggap tidak sah.

Sejak pengumuman sologami dibuat Bindu seminggu sebelumnya, bukan sedikit yang meluahkan rasa tidak puas hati kepadanya termasuk pemimpin parti pemerintah India, BJP. Ketua BJP tempatan Sunita Shukla menyifatkan tindakan tersebut bertentangan dengan ajaran Hindu dan membawa kepada kepupusan populasi penganut agama berkenaan.

Di sebalik kekecohan ini, ada juga yang menyokong sologami Bindu. Pada mereka, kumpulan yang menentang terlupa tentang isu perkahwinan dengan objek tidak bernyawa dari pokok hingga patung atau kumbh-vivah. Dalam sesetengah kes, individu yang menjalani ritual berkenaan terdiri daripada kanak-kanak.

Mengikut kepercayaan Hindu, individu yang lahir di bawah pengaruh Mangala (nama India untuk planet Marikh mengikut kalendar astrologi mereka) dianggap mempunyai kecacatan yang dipengaruhi planet berkenaan atau Mangala Dosha. Ini menyebabkan si polan akan dipanggil sebagai Mangalik (untuk lelaki)/Manglik (untuk wanita).

Jika si polan (lelaki atau wanita) berkahwin dengan individu bukan Mangalik/Manglik, perkahwinan tersebut akan berakhir dengan bencana dengan pasangannya akan mati awal. Bagi mencegah perkara tersebut daripada berlaku, ritual kumbh-vivah akan diadakan. Dengan melalui ritual perkahwinan dengan objek tidak hidup, dirinya akan terhindar daripada kejahatan yang dicetuskan oleh Mangala Dosha dan menjamin perkahwinan dengan orang lain berakhir dengan kebahagiaan.

Bindu sudah melangsungkan sologami di kediamannya pada Rabu lepas. Sumber: Hindustan Times.

Di sebalik semua ini, sologami yang dimahukan Bindu telah berlangsung di rumahnya pada 9 Jun lepas. Padanya, semua cacian dan kritikan yang dilemparkan langsung tidak menggentarkannya. Apa yang penting pada akhirnya ialah kebahagiaan yang dicari untuk dirinya.

The Patriots berada di PBAKL 2022 bermula 3 June sehingga 12 June. Jumpa di sana!

RUJUKAN

Pandey, G. (2022, 3 Jun). Sologamy: India woman’s plan to ‘marry herself’ sparks debate. BBC News.

Singh, N. (2022, 4 Jun). Indian woman faces backlash after announcing plans to marry herself: ‘I am my own queen’. The Independent.

Ghosh, P. (2022, 9 Jun). Kshama Bindu gets married to self in ‘1st sologamy in India’ , steers clear of row. Hindustan Times.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Leave A Reply