Sistem kasta di India mempunyai sejarah berusia lebih 3,000 tahun. Sebutan awal tentangnya tercantum dalam kitab-kitab Veda, khususnya Rig Veda (1,500-800 SM) yang disusun ke dalam sepuluh jilid (mandala).

Dalam jilid ke-10 dan gita puji ke-90, Rig Veda menyebutkan yang segalanya tercipta dari Purusha termasuklah sistem kasta. Betapa kasta Brahman tercipta dari mulutnya, Kshatriya dari kedua lengannya, Vaishya dari pehanya, dan Shudra dari tapak kakinya.

Aturan sistem kasta ini kemudiannya diperjelaskan lagi dalam Bhagavad Gita (400 SM – 200 SM) dan Manusmriti (200 SM – 300 M).

Misalnya ayat 18:41 hingga 18:48 dalam Bhagavad Gita menceritakan tentang sifat (guna) dan bebanan-tugas (dharma) setiap kasta – brahmana bersifat bijak dan ahli agama, kshatriya bersifat berani dan perwira, vaisya bersifat rajin dan kuat bekerja, manakala sudra dilahirkan untuk menjadi hamba.

Bhagavad Gita (6:41) pula menyatakan betapa kasta seseorang telah pun ditetapkan sejak lahir dan ia kekal sehingga akhir hayat. Kasta tersebut hanya boleh diubah dalam kehidupan seterusnya (samsara). Itu pun berdasarkan karma atau amalannya sepanjang hidup. Jika dia seorang sudra yang taat terhadap tugas-tugas seorang sudra, maka dalam kehidupan selanjutnya dia boleh dilahirkan dalam kasta yang lebih baik.

Penetapan kasta sebegini membuatkan kegiatan sosial dalam masyarakat Hindu agak ketat. Kasta mendominasi banyak hal dalam kehidupan – termasuklah perkahwinan, pemakanan, pemakaian, pendidikan, dan cara penyembahan.

Pada dua kurun yang lepas, sistem kasta di India melahirkan satu sejarah yang amat hitam sehingga ia cuba dipadam dari buku-buku teks sekolah di negara terbabit.

Sejarah ini melibatkan satu cukai, iaitu cukai payudara (mulakaram). Ia dikeluarkan pada awal 1800an oleh kerajaan Travancore (kini Kerala), salah sebuah dari 550 buah kerajaan kecil yang wujud semasa British memerintah India.

Namun, ia hanya dikenakan ke atas wanita-wanita berkasta rendah. Mereka yang datang dari keluarga kehormat terlepas dari cukai ini.

Ia diberi nama mulakaram (cukai payudara) kerana hanya pembayarnya sahaja dibenarkan untuk menutup seluruh tubuh. Ketika itu, mereka yang berkasta rendah dilarang menutup tubuh atas pinggang – baik lelaki mahupun perempuan.

Sebaik wanita di Kerala cukup umur, pegawai kerajaan akan datang memeriksa saiz payudaranya bagi menentukan jumlah cukai mulakaram yang akan dikenakan

Pada permukaan, ketetapan ini bertujuan membezakan cara pemakaian setiap kasta. Namun di sebalik itu, ia juga merupakan satu bentuk penindasan (baik secara material mahupun seksual) ke atas masyarakat berkasta rendah.

Setiap kali wanita berkasta rendah mencapai umur dewasa, payudaranya akan diperiksa oleh pihak penguasa. Ini kerana amaun cukai mulakaram yang dikenakan ke atas mereka adalah berbeza bagi setiap individu – bergantung kepada saiz payudara masing-masing.

Justeru, cukai mulakaram bukan hanya satu bentuk penindasan kasta. Tetapi ia juga perlanggaran hak asasi memandangkan wanita-wanita mereka dijadikan bahan penyedap mata golongan berada. Mereka juga tidak dapat bersuara lantaran ketiadaan kuasa.

Cuma pada tahun 1803 di Kampung Cherthala, seorang wanita bangkit membela maruah wanita-wanita di Kerala. Perjuangannya ini berlaku 45 tahun lebih awal berbanding Pergerakan Hak-Hak Wanita di Amerika.

Siapakah wanita ini?

Namanya ialah Nangeli (yang jelita), isteri kepada seorang pekerja ladang bernama Chirukandan. Siapa anaknya, siapa keluarganya, dan bagaimana dia mendewasa – semua maklumat ini tidak disimpan walau kisah pengorbanannya telah pun berlalu lebih 200 tahun.

Satu-satunya cerita tentang Nangeli yang kita miliki adalah kisah bagaimana dia menentang dasar kerajaan dan bagaimana dia mengakhiri kehidupan.

Suatu hari, pada tahun 1803, Nangeli dengan berani keluar ke khalayak awam dengan menutup seluruh tubuhnya – sekali gus melanggar ketetapan yang dikenakan ke atas wanita berkasta rendah. Namun, sebab apa dia tiba-tiba bertindak sedemikian, tidak pula dinyatakan.

Apa yang kita ketahui, rata-rata wanita berkasta rendah di Kerala ketika itu memang telah lama memendam rasa, menanggung malu, dan menyimpan derita. Hidup mereka sempit. Pekerjaan mereka rumit. Setiap hari, mereka kena berdepan pula dengan mata-mata miang yang mengenyit.

Namun, penderitaan ini hanya mampu disenyapkan tanpa penentangan. Sebahagian mereka memilih untuk menukar agama dan memeluk Kristian bagi menyelamatkan diri dari cukai yang tidak manusiawi itu.

Tetapi, pilihan ini tidaklah diikuti semua. Ramai yang lebih rela bertahan dengan agama lama. Jadi, bebanan inilah yang mungkin diluahkan oleh Nangeli menerusi tindakannya menutup seluruh tubuh itu.

Cuma tentunya, ia mengundang keributan. Di saat dan di situ juga, Nangeli dikerumuni lelaki-lelaki berkasta tinggi. Masing-masing menuntut Nangeli menanggalkan pakaian – hal yang bagi mereka adalah selayaknya bagi wanita bawahan.

Nangeli bagaimana pun enggan. Beliau malah mengacukan pisau, membuatkan lelaki-lelaki itu semua mundur. Dengan selamba, beliau pun pulang ke rumah.

Kisahnya tak henti di situ. Ia pantas tersebar dan sampai ke pengetahuan pihak berkuasa. Tidak berapa lama, rumahnya dikunjungi pengutip cukai yang diiringi askar. Nangeli didenda (ada pula kata dia diminta bayar cukai mulakaram pada masa itu juga).

Maka, Nangeli pun minta diri sebentar untuk masuk ke dalam rumah. Untuk ambil wang, katanya. Beliau pun ke dapur. Diambilnya pelepah pisang beberapa helai lalu dihamparkan ke lantai. Kemudian, tangannya mencapai pisau (atau sabit).

Dengan sekali dua tebas, buah dadanya lantas tertanggal dari badan. Lalu dengan saki-baki tenaga yang ada, dibalutnya buah dada tadi dengan pelepah pisang dan ia segera diserahkan kepada pengutip cukai.

Belum sempat balutan itu dibuka, Nangeli tersungkur jatuh. Darahnya membasahi lantai. Di hadapan pegawai yang dihantar kerajaan itu, Nangeli mati – mati dalam menentang kezaliman. Suaminya sendiri kemudian membunuh diri dengan terjun ke dalam api kremasi, menjadikan beliau lelaki pertama yang melakukan sati.

Ilustrasi Nangeli mengerat payudaranya sebagai penentangan terhadap cukai mulakaram

Berikutan kematian Nangeli, cukai mulakaram dimansuhkan di Travancore (Kerala). Cuma, sejarahnya dilupuskan dari ingatan dan tulisan.

Pernah ia cuba dimasukkan oleh CBSE (Central Board of Secondary Edition) ke dalam silibus pendidikan, di mana ia mempunyai satu bab khusus berjudul “Kasta, Konflik, dan Pemakaian” dalam buku teks sains sosial.

Namun, pihak kerajaan membuangnya atas alasan ia memberi pengaruh negatif terhadap pemikiran pelajar, di samping tidak mempunyai rekod sejarah yang jelas.

Bagaimana pun, apa yang nyata, ia adalah tindakan menyelindung satu sejarah hitam dari generasi muda – sejarah di mana adanya sebuah cukai yang bukan sahaja menindas kasta rendah, tetapi juga menindas maruah wanita.

Kata Joan of Arc, “Wanita yang kuat membela maruah dirinya. Dan wanita yang kuat juga membela maruah orang sekelilingnya.”

Kisah Nangeli merupakan salah satu kisah emansipasi wanita di India. Walaupun kisahnya dibuang dari silibus pendidikan, ia tidak menghalang masyarakat dari menyebarkannya. Pada tahun lepas, kisah Nangeli dipaparkan dalam bentuk filem pendek yang boleh ditonton oleh semua.

RUJUKAN

India Today. (29 January 2018). Reviving the unknown sacrifice of Nangeli, the woman who protested against the casteist ‘Breast Tax’.

Jaiswal, Shatakshi. (28 September 2020). We Should All Know About Nangeli and her Revolt Against the Breast Tax. India Breakthrough.

Szczepanski, Kallie. (25 February 2020). History of India’s Caste System. ThoughtCo.

Vishnu. (10 August 2020). Breast Tax: The Most Horrendous Tax History Has Ever Seen. History of Yesterday.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Pencinta bahasa ibunda dan sejarah dunia. Amir Zayyanid merupakan seorang penulis dan penterjemah bebas yang menyimpan impian mahu menabur bakti kepada anak pertiwi menerusi pendokumentasian sebanyak mungkin bahan bacaan, sama ada fiksi mahupun bukan-fiksi.

Comments are closed.