Sejak beberapa tahun lepas, sejenis penyakit yang dipanggil ‘chronic wasting disease’ (CWD) atau penyakit zombi menjadi ancaman utama kepada populasi rusa di Amerika Syarikat dan Kanada. Jika keadaan ini berterusan, lambat-laun CWD bakal menjangkiti manusia dan mencetuskan epidemik penyakit baru.
CWD dikesan di AS menerusi rusa yang ditangkap di sebuah kemudahan penyelidikan pada tahun 60-an sebelum ia mula dikesan di belantara Colorado pada 1981. Sejak itu, 26 negeri AS merekodkan kes CWD. CWD kemudiannya diisytiharkan sebagai endemik di Colorado, Oklahoma, Kansas, Nebraska, Minnesota, Wisconsin, South Dakota dan Montana.
Di Kanada pula, CWD mula muncul di sebuah ladang elk di Saskatchewan sebelum tersebar ke populasi rusa liar. Alberta kemudiannya mengesahkan merekodkan kes CWD pertama pada Disember 2005 menerusi rusa yang ditangkap berhampiran sempadan Alberta-Saskatchewan. Sampel rusa berkenaan yang dihantar ke makmal mendapati rusa tersebut sudah dijangkiti dengan CWD.
Mungkin ada menganggap CWD ini tidak merbahaya. Tetapi hakikatnya, ia termasuk dalam kelas patogen unik bernama prion – kelas penyakit sama seperti penyakit lembu gila, skrapi (penyakit yang menjangkiti kambing dan kibas) dan varian penyakit Creutzfeldt-Jakob (vCJD) yang mengakibatkan manusia jatuh sakit.
Tidak seperti bakteria dan virus yang merampas sel perumah, hal ini berbeza dengan penyakit jangkitan prion. Ini kerana prion tidak mengandungi gen dan terdiri daripada asid amino seperti protein-protein lain. Walaupun rusa merupakan perumah biasa bagi CWD di Amerika Utara, ia boleh juga menjangkiti spesies rusa lain seperti karibu, moose dan elk.
Haiwan yang dijangkiti tidak akan menunjukkan simptom selama dua tahun dengan simptom dikesan pada bulan atau minggu terakhir kehidupannya. Haiwan ini tidak akan takut kepada manusia atau haiwan pemangsa dan menunjukkan simptom seperti air liur meleleh, terhuyung-hayang, lumpuh dan perubahan tingkah laku.
Simptom-simptom ini menyebabkan sesetengah orang merujuk CWD sebagai penyakit zombi kerana ia boleh menjangkiti menerusi sentuhan haiwan kepada haiwan melalui air liur atau air kencing. Dalam tempoh dua tahun sebelum ia mati, ia akan makan, bergerak dan mengawan dengan haiwan yang sihat sambil mengeluarkan prion daripada badan secara berterusan.
Prion-prion ini tidak akan menjadi lengai apabila berada di luar perumahnya tetapi masih punya potensi jangkitan. Apabila ia bertambah di kawasan sekitarnya, ia berpotensi menjadi vektor terbaru jangkitan kepada haiwan dan manusia.
Pusat Pencegahan dan Pengawalan Penyakit (CDC) AS mempunyai sebab kukuh merasa bimbang dengan potensi jangkitan CWD terhadap manusia. Ini kerana pada tahun 80-an dan 90-an, penyakit lembu gila memusnahkan industri daging Amerika Utara dan Eropah serta membunuh 232 orang.
Penyakit lembu gila boleh mengakibatkan vCJD dengan simptom-simptom seperti perubahan tingkah laku, terketar-ketar, simptom persis dementia dan kematian. Dan ini berlaku apabila penyakit jangkitan prion berupaya melompat melepasi hadangan spesies seperti manusia.
CWD boleh dialami oleh manusia seperti pemburu atau pemakan dalam keadaan tertentu seperti pengendalian haiwan buruan yang kurang baik atau termakan daging yang tercemar. Ini kerana prion yang menjadi punca CWD tidak akan mati dan terus berjangkit walaupun selepas dimasak.
Tetapi bagi penyelidik dari Universiti Alberta, Margo Albus, ancaman CWD yang patut diberi perhatian bukan pada manusia tetapi spesies rusa. Ini kerana apabila seekor rusa itu lahir dalam kawasan epidemik CWD, ia akan mati awal. Ini sekaligus mengurangkan kapasiti penghasilan semula rusa sekaligus membunuh populasi haiwan itu secara perlahan-lahan.
Walaupun hal ini sukar dibuktikan di lapangan, penyelidikan populasi rusa sekitar Wyoming dan Colorado mendapati peratusan kematian membabitkan populasi rusa sekitar 19%.
Satu cara untuk mengatasi CWD ialah melalui proses pemantauan populasi rusa. Tetapi ia bukan sesuatu yang mudah disebabkan pergerakan rusa dan isu perubahan iklim. Setelah penyakit ini dikesan, maka ia perlu diperangi habis-habisan agar ia tidak mengundang masalah di kemudian hari. Hanya itu saja cara melindungi populasi haiwan liar daripada menjadi mangsa CWD dan mengelak penyakit zombi ini menjangkiti manusia.
RUJUKAN
Fox, L. (2022, 30 Mac). A ‘Zombie Disease’ Is Killing Off Canadian Deer. Vice.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih