Tatkala Timur Tengah, Afrika Utara, Asia Tengah dan Andalusia menikmati buah Zaman Keemasan Islam, Eropah pula berdepan Zaman Gelapnya. Ya, itulah nama lain bagi Zaman Pertengahan Eropah ketika itu di mana krisis politik antara negara berleluasa dan penularan penyakit berjangkit. Salah satu wabak penyakit yang dilaporkan dalam rekod sejarah ialah wabak tarian!
Wabak tarian atau Tarian St John/Tarian St Vitus dikatakan sudah tercetus sejak abad ketujuh Masihi lagi dan terus menimbulkan keributan dalam masyarakat sehingga abad ke-17. Terma ini dinamakan oleh pakar perubatan Switzerland abad ke-16, Paracelsus di mana beliau percaya ia tercetus gara-gara disumpah oleh santo sama ada John the Baptist atau St Vitus. (Midelfort, 2000)
Walaupun dikatakan berlaku seawal abad ketujuh, rekod terawal wabak tarian ini wujud pada abad ke-11 di Bernburg, Jerman. Mengikut catatan penduduk ketika itu, 18 orang petani mula menyanyi dan menari sekitar kawasan gereja sehingga mengganggu upacara ibadat sehari sebelum Krismas. (Marks, 2005)
Lebih banyak insiden kemudiannya dilaporkan pada abad ke-13 termasuk insiden sekumpulan kanak-kanak menari dan melompat dari Erfurt ke Arnstadt, Jerman pada 1237. Ironinya, insiden ini berlaku dalam tempoh sama legenda Pied Piper tersebar. Pada 1278 pula, tindakan sekumpulan penduduk menari di atas sebuah jambatan merentasi Sungai Meuse mengakibatkan ia roboh. Mereka hanya pulih selepas dibawa ke sebuah chapel didedikasikan kepada St Vitus. (Bartholomew, 2001)
Menjelang abad ke-14 pula, lebih banyak insiden dilaporkan di England, Jerman dan Belanda dengan insiden paling terkenal pada tahun 1374. Pada 24 Jun tahun tersebut, wabak tarian bermula di Aachen, Jerman sebelum tersebar ke kota-kota Eropah lain seperti Utrecht (Belanda), Strasbourg (Perancis) dan Tongeren (Belgium). Dan ia terus berlanjutan untuk dua tahun berikutnya di Perancis, Jerman dan Belanda. (Bartholomew, 2001)
Mengikut keterangan saksi ketika itu, orang yang menari membentuk bulatan dan sudah tidak boleh mengawal diri mereka. Mereka akan terus menari tanpa mempedulikan mata-mata yang memerhati dalam keadaan khayal sehinggalah mereka rebah tak bermaya atau dalam sesetengah kes, ma.ti.
Apabila mereka dijangkiti wabak berkenaan, mereka bagai dise.ra.ng epilepsi sebelum rebah, tercungap-cungap dan mengadu tidak cukup nafas. Pada ketika itu, mulut mereka berbuih sebelum tiba-tiba bangun dan mula menari di sebalik keanehan keadaan dialami si penghidapnya.
Wabak ini membuatkan komuniti saintifik menggaru kepala memikirkan apa sebenarnya yang berlaku. Bukan sedikit yang cuba mengemukakan teori menerangkan apa yang berlaku ketika itu.
Satu teori popular ketika itu ialah mereka termakan tepung yang dicemari oleh sejenis fungus bernama ergot. Pendedahan jangka panjang terhadap alkaloid itu boleh menyebabkan seseorang itu mengalami kekejangan, spasma, gila dan psikosis. Ergot juga diketahui mengandungi asid lisergik yang diketahui sebagai komponen kimia utama untuk da.da.h LSD. (Hale, 2021)
Ada juga mengaitkan wabak tarian ini dengan tekanan psikologi yang berlebihan akibat tekanan hasil tuaian yang tidak memuaskan dan penularan wabak penyakit. Ada pula mengatakan ia hampir serupa dengan budaya-budaya lain di seluruh dunia.
Pada akhirnya, teori yang dilihat lebih tepat ialah wabak tarian sebenarnya ialah sejenis histeria beramai-ramai. Ia tercetus apabila sekumpulan individu mengalami penyakit fizikal atau psikologi yang sama bila berdepan sesuatu an.ca.man sama ada ianya betul atau tidak.
Walaupun ia dianggap jarang berlaku, ada beberapa kes unik yang boleh dikaitkan dengan ini. Pada 2011, 18 orang di sebuah sekolah di New York tiba-tiba mengalami gerenyet yang tak terkawal dan spasma dengan simptom-simptom ini hampir sama dengan penyakit Tourette. Manakala pada 1983, wujud epidemik orang pengsan di Tebing Barat, Palestin pada 1983 membabitkan lebih seribu orang.
Tetapi bagi sejarawan John Waller, beliau percaya terdapat faktor-faktor yang boleh digabungkan sebagai punca wabak tarian. Beliau percaya masyarakat pada ketika itu yang tertekan dengan tekanan hidup yang dahsyat selama bertahun-tahun sebelum terpengaruh dengan satu idea budaya yang mudah tersebar. Dan itu menyebabkan apa yang digelar sebagai epidemik psikiatri bertukar menjadi ritual keagamaan berbaur kegembiraan. (Waller, 2009)
RUJUKAN:
Midelfort, Erik H. C. (2000). A History of Madness in Sixteenth-Century Germany. Stanford University Press. Halaman 32.
Waller, J. (2009). A forgotten plague: making sense of dancing mania. The Lancet.
Marks, R. W. (2005). The Story of Hypnotism. Kessinger Publishing. Halaman 202.
Bartholomew, R. E. (2001). Little green men, meowing nuns, and head-hunting panics. McFarland. Halaman 134 dan 138.
Hale, T. (2021). The “Forgotten Plagues” Of Dancing Mania That Rocked Medieval Europe. IFLScience.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih