Virus Rabies disebarkan kepada manusia melalui gigitan haiwan yang mempunyai virus. Cecair saliva haiwan yang mengandungi virus memasuki tubuh manusia melalui luka gigitan. Manusia juga berisiko menerima jangkitan sekiranya saliva haiwan yang mengandungi virus terkena pada bahagian luka terbuka (luka lama, bukan sebab gigitan)
Selepas terkena gigitan, virus ini akan memasuki bahagian otak melalui sistem saraf. Otak dan saraf tunjang akan mengalami bengkak dan cedera (inflamation) kerana virus yang telah tersebar ke dua organ ini dan akan membawa kepada risiko kematian. Jangkitan virus akan menular lebih cepat sekiranya kawasan gigitan ialah tengkuk atau kepala kerana kedudukan yang dekat dengan bahagian otak dan saraf tunjang.
Nama Rabies diambil daripada perkataan Latin yang bermaksud “madness” (berang, ganas, tidak terkawal). Dalam bahasa sanskrit pula disebut rabhas, bermaksud violence atau kekasaran.
Penyakit ini telah direkod oleh Aristotle sekitar 300 tahun sebelum masihi tentang penyakit yang menjangkiti anjing dan binatang lain yang digigit anjing (Yolanda Smith, 2018). Seorang sarjana Rom bernama Celsus juga telah menulis tentang jangkitan virus ini melalui cecair saliva dan gigitan.
Vaksin virus ini ditemui pada tahun 1885 oleh dua orang saintis Perancis bernama Louis Pasteur dan Emile Roux. Pada julai 1885, seorang kanak-kanak berumur sembilan tahun bernama Joseph Meister telah dijangkiti virus ini selepas terkena gigitan anjing. Dua orang saintis tadi telah mengambil langkah berisiko untuk mencuba vaksin yang belum selesai kajian kepada Joseph. Rawatan ini berjaya dan vaksin yang mereka berdua temui berhasil untuk digunakan dalam rawatan (Karen Harris, 2018)
Wabak virus ini telah dikesan di Malaysia sejak tahu 1884, akan tetapi rekod hanya bermula sejak tahun 1924. Kes wabak endemik ini direkod di Seberang Perai ( dahulunya Province of Wellesly) dan di Perak pada tahun 1945.
Pada tahun lepas, seorang lelaki di Sarawak telah meninggal dunia tiga hari selepas dijangkiti virus ini. Anak perempuannya turut digigit tetapi negatif dari jangkitan, dia membasuh kawasan luka sebaik sahaja digigit. Dari tempoh 2017-2019, 19 kematian telah direkodkan di Malaysia (Bernama, 2019).
Virus ini telah mempunyai vaksin untuk mencegah jangkitan. Akan tetapi, Menurut WHO, sekiranya simptom klinikal telah muncul kepada sesorang yang dijangkiti peratus untuk dia sembuh adalah sifar. Lebih kurang 59 ribu kematian direkod saban tahun kerana jangkitan virus ini (CDC Website, 2015)
Anjing yang dijangkiti virus rabies akan menunjukkan perubahan pada tingkah laku normalnya secara tiba-tiba, seperti menggigit tanpa sebarang provokasi. Kelakuan pemakanannya juga akan berubah seperti memakan benda tidak lazim seperti ranting kayu, paku, najis dan sebagainya. Kegelisahan, berlari-lari tanpa sebarang sebab yang jelas. Perubahan pada bunyi salakan menjadi serak/garau atau tidak mampu bersuara. Anjing itu juga akan mengeluarkan cecair saliva secara berlebihan.
Antara simptom jangkitan virus ini pada manusia ialah kesakitan atau kegatalan pada luka gigitan berdasarkan 80 peratus kes yang dilaporkan. Pesakit juga akan mengalami demam, kelesuan, sakit kepala yang berlanjutan sehingga 2 hingga 4 hari (Risalah Rabies KKM).
Pesakit juga akan mengalami hidrofobia iaitu ketakutan terhadap air. Pada peringkat berikutnya, kekejangan pada leher dan tekak apabila hanya dengan melihat air. Tempoh jangkitan penyakit adalah dalam 2 hingga 3 hari, tetapi boleh berlanjutan hingga 5 ke 6 hari atau lebih jika pesakit menerima rawatan intensif.
Virus ini telahpun mempunyai vaksin untuk mencegah penularan. Pengambilan vaksin untuk anjing peliharaan boleh mencegah penyakit ini. Kita juga perlu mengawasi anjing liar yang disekeliling kita sekiranya mempunyai simptom jangkitan.
Jangkitan boleh dielakkan dengan rawatan secepat mungkin selepas terkena gigitan. Kawasan luka juga akan dicuci untuk membunuh virus yang terkandung dalam saliva haiwan itu.
RUJUKAN:
1. Rabies, WHO Website
https://www.who.int/news-room/fact-sheets/detail/rabies
2. Press Release (2015) Every 9 Minutes, Someone in the World Dies of Rabies, CDC Website
https://www.cdc.gov/media/releases/2015/p0928-rabies.html
3. Karen Harris (2018) The Life and Death of Joseph Meister, Hsitory Daily Website.
https://historydaily.org/the-life-and-death-of-joseph-meist…
4. Bamaiyi, Pwaveno. (2015). 2015 Outbreak of Canine Rabies in Malaysia: Review, Analysis and Perspectives. Journal of Veterinary Advances. 5. 1. 10.5455/jva.19691231040000.
5. Bernama (2019) Man bitten by pet puppy dies of rabies in Sarawak, New Straits Times.
6. Yolanda Smith (2018) Rabies History, Life Science Website.
https://www.news-medical.net/health/Rabies-History.aspx
7. Steven Kim (2015) Understanding Rabies, Healthline Website.
https://www.healthline.com/health/rabies
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih