Menonton anime ini mengingatkan saya tentang perasaan yang paling saya benci sepanjang saya hidup. Perasaan bila anda sudah habis menonton cerita yang bagus. Secara jujurnya, sekiranya mesin penghilang memori itu wujud, sudah lama dah saya padamkan memori saya berkenaan anime ni supaya dapat tengok banyak kali dan selami perasaan tu kembali.

Bagi yang selalu ikuti penulisan saya, saya pasti anda semua sudah maklum bahawa saya merupakan seorang ‘fanboy’ Kyoto Animation (KyoAni), sebuah studio animasi yang terkenal dengan ketelitian dan kecantikan grafik animasinya.

Jadi, selepas pengumuman dan trailer anime ini dikeluarkan, saya secara automatik telah meletakkan Violet Evergarden (VE) sebagai anime yang saya patut lihat bila tiba musimnya. Melihatkan pencapaian novel ringannya, saya meletakkan harapan yang tinggi terhadap animasi ini.

Nampaknya, tanggapan saya tak salah. Violet Evergarden ialah MAHAKARYA AGUNG.

Anime Violet Evergarden mengisahkan tentang watak titular kita, Violet yang merupakan seorang bekas askar di negara Leidenschaftlich, berlatar belakangkan zaman steampunk-Victoria. Setelah hidup bertahun menjadi mesin pembunuh tanpa emosi, Violet hidup tanpa tujuan dan erti setelah kematian orang atasan yang rapat dengannya, mejar Gilbert, dengan lafaz cinta mejar Gilbert kepada Violet sebagai kata-kata terakhirnya.

Bingung dengan erti cinta dan juga kehidupan pasca perang, Violet memilih untuk menjadi seorang ‘Auto Memories Doll’, atau dalam bahasa mudahnya, ghostwriter professional. Maka, bermulalah odisinya dalam memahami dan menjadi manusia, terutamanya berkenaan emosi aneh bernama cinta.

TRAGEDI GREEK

Semasa saya meneliti sejarah dan falsafah tamadun Yunani, saya tertarik dengan tiga jenis teater drama yang wujud pada zaman tersebut yakni tragedi, komedi dan satira. Memandangkan kita bercakap tentang orag Yunani, sudah pasti ketiga-tiga teater ini berat dengan pemahaman falsafah masing-masing dan kesannya terhadap mentaliti orang Yunani. Bagi kes VE, saya akan membawa anda untuk memahami sisi tragedi Greek dan kesannya terhadap jiwa manusia.

Sebelum ini, saudara Ayman Rashdan Wong ada tulis sedikit tentang tragedi Greek, terutamanya katarsis (penyucian jiwa) dalam artikel ‘Han’ dalam seni Korea (rujuk artikel ini: https://thepatriots.asia/han-dalam-seni-korea/ ). Bagi saya sebenarnya, tak banyak beza pun Han dan katarsis ni. Kedua-duanya membawa kepada penyucian jiwa.

Semasa saya membaca buku The Great Dialogues of Plato, saya teringat pada dialog di dalam Ion di mana Socrates membicarakan tentang epik Homer terhadap penyair bernama Ion. Menariknya, beliau ada menceritakan tentang bagaimana warga Yunani ketika itu boleh menangis kerana menghayati epik Homer. Walaupun epik Homer tak dianggap sebagai tragedi, tapi dari sini kita boleh nampak sisi katarsis di mana ia bertindak sebagai penyuci jiwa melalui kesedihan.

Topeng teater tragedi Greek tamadun Yunani

Menurut Aristotle dalam buku Poetic, beliau memperkenalkan konsep mimesis (imitasi) dan katarsis (penyucian). Beliau secara ringkasnya menyebut tragedi sebagai imitasi terhadap kehidupan dan, di mana melalui empati dan ketakutan, akan menyebabkan penyucian jiwa (katarsis) terhadap manusia. Mungkin ayat ni nampak berbelit sedikit, tapi izinkan saya untuk tunjukkan demonstrasi tragedi Greek.

Manusia, secara semula jadinya adalah liar dan keras. Kita tak mempunyai belas kasihan terhadap perkara yang sepatutnya diberikan. Juga, atas nama survival, kita kerap kali memendam rasa ketakutan. Sekaligus, ini mencetuskan masalah kepada umat manusia.

Kita secara fitrahnya dilahirkan tanpa sifat kemanusiaan, seiring dengan pandangan ahli falsafah terkenal Thomas Hobbes, “life outside society would be solitary, poor, nasty, brutish, and short”. Apa yang dibicarakan oleh Aristotle dan Hobbes ini berkait dengan kehidupan Violet sebelum diambil oleh mejar Gilbert sebagai tenteranya. Violet ditemui Dietfred, abang mejar Gilbert, sebagai kanak-kanak yang gasar dan buas di pulau tak berpenghuni. Ini secara tak langsung menjadi punca utama kenapa Violet tak mampu menzahirkan sisi kemanusiannya.

Melalui analisis Aristotle, kita sepatutnya merasai dan melalui fasa belas kasihan serta ketakutan untuk belajar erti menjadi manusia. Apabila kita biarkan diri kita melalui fasa tersebut, kita akan belajar erti kehilangan, sengsara dan seterusnya ini akan mencetuskan rasa penebusan terhdap diri. Katarsis. Penyucian jiwa.

Semua ini boleh dilakukan dengan melihat drama tragedi yang sempurna, melalui imitasi yag sempurna. Apabila imitasi itu dianggap sebagai sempurna, ia akan mewujudkan sebuah penceritaan yang realistik. Melalui elemen belas kasihan, ketakutan dan juga pelbagai lagi elemen emosi yang lain, kita akan memberikan roh kepada sebuah cerita. Tujuan utama tragedi Greek adalah untuk merasai perit derita protagonis, dan membuang perit itu sebagai katarsis.

Pada mulanya, anime ini berelemenkan belas kasihan. Kita mendapat tahu bahawa kehidupan Violet menjadi terumbang ambing kerana tak mempunyai arah. Selama ini, dia hidup berpandukan arahan mejar Gilbert. Setelah kehilangan mejar Gilbert, Violet bekerja menjadi Auto Memories Doll, dan kita dapat lihat ketidak upayaan Violet dalam berempati dengan manusia. Pada episod 2, klien kerap memarahi servis syarikat Hodgin (tempat Violet bekerja) dek sifat lurus bendul dan stoik Violet. Pada episod 5, perasaan belas kasihan ini ditukar kepada bentuk lain. Kita dapat saksikan bahawa Violet rindukan mejar Gilbert. Dia mengatakan dia tidak pernah lupakan mejar Gilbert walau sesaat, sambil memegang kerongsang hijau yang merupakan hadiah oleh mejar Gilbert kepadanya.

Kemudian, kita disajikan pula dengan elemen ketakutan oleh semua klien Violet setakat ini. Puteri Charlotte dengan ketakutannya terhadap perkahwinan, Oscar terhadap writer’s block -nya, dan Violet sendiri dibelenggu ketakutan, yakni ketakutan terhadap diri sendiri. Sebelum ini, dia merupakan mesin pembunuh, memusnahkan hubungan sesama manusia dan sekarang, dia bertugas sebagai ghostwriter. Penulis surat. Posmen. Penyambung hubungan sesama manusia. Juga, dia kerap kali terfikir adakah dia layak diberikan kehidupan sebegini sedangkan mejar Gilbert kesayangannya, mati? Pada episod 9, Violet cuba untuk membunuh diri kerana tak dapat menerima berita kematian mejar Gilbert (berita ini disorok oleh kolonel Hodgin, sebelum dibocori Tiffany Evergarden, penjaga Violet yang diamanahkan oleh mejar Gilbert, tanpa sengaja.)

Reaksi Violet setelah didedahkan tentang berita kematian mejar Gilbert (walaupun sebenarnya lebih tepat kepada taraf MIA).

Setelah melalui fasa belas kasihan dan ketakutan, Violet melalui fasa katarsis semasa dia membantu posmen syarikatnya menghantar surat. Bermula dari situ hinggalah ke pertanyaan Violet kepada kolonel Hodgin, dia menyedari bahawa dia tak mampu melarikan diri daripada kesedihan serta trauma perangnya sampai ke kubur.

Ini ialah fakta yang tak mampu diubah, sebagaimana tangan robotnya tak mampu berubah kembali menjadi asal. Namun, dia juga tak mampu mengubah fakta bahawa kerjayanya telah menghubungkan dan mengembirakan ramai manusia. Puteri Charlotte hidup bahagia dengan putera Damian, Oscar sudah bergerak mara dari mimpi ngerinya dan Leon bahagia hidup mengembara. Lantas, untuk sebab apakah Violet harus bersedih?

‘Lagipun, bukankah kehendak terakhir mejar Gilbert kepadanya adalah untuk Violet hidup bebas, serta menjadi seseorang yang berpadanan dengan namanya? Violet Evergarden, si gadis ayu persis bunga violet. Tugasnya kali ini bukanlah membunuh manusia, tetapi menyambung hubungan dengan manusia. Ihsan, ketakutan, katarsis, dan akhirnya, Violet menangis. Violet selamat dilahirkan semula menjadi manusia. Mekarlah bunga violet, menjadi indah.

CINTA DAN EMOSI

Sebelum kita mula jauh, saya perlu bercerita tentang keadaan minda Violet. Kisah asal usul Violet ni mengingatkan saya terhadap kisah Hayy bin Yaqzan yang ditulis oleh Ibn Tufail sekitar abad ke 13. Kedua-duanya hidup di hutan sejak kecil dan minda mereka ibarat kain putih kosong yang tak tercemar. Ini ialah konsep tabula rasa dalam falsafah empirisisme. Minda manusia ini seperti kain putih, yang menanti untuk dicorakkan menjadi warna warni. Bagi kes Violet, pencorakkan kain ini membentuk personaliti dan emosinya sebagai seorang manusia.

Dari segi pembentukan emosi Violet, ia bermula dengan kebingungannya terhadap tindak tanduk manusia. Pada episod 2, seorang klien perempuan yang hadir untuk meminta ditulis surat pinangan bernada ‘tunjuk mahal’ berakhir dengan ratapan kerana Violet menulis surat balas tersebut secara literal, yakni menulis surat balas cinta bernada menolak pinangan. Sekalipun dia merupakan pelajar terbaik di sekolah Auto Memories Dolls, dia masih gagal untuk menulis surat yang berbaur emosi manusia. Dia mula memahami emosi setelah berinteraksi dengan semua sahabat serta kliennya:

-Melalui Luculia, dia belajar erti harapan
-Melalui Leon, dia belajar erti rindu
-Melalui Oscar, dia belajar erti memaafkan diri
-Melalui Anne, dia belajar erti sifat innocent kanak-kanak

Namun, semua emosi baru yang Violet rasai ini masih di tahap primitif. Dia masih tak mampu untuk memahami sifat ini dengan sendirinya. Jadi, bagaimana Violet menghubungkan semua dan sifat emosi ini supaya membentuk personaliti manusianya?

Mudah. Jawapannya ialah cinta.

Perlu diingatkan, sebab utama kenapa Violet memilih untuk menjadi seorang Doll adalah untuk memahami ayat terakhir mejar Gilbert; yakni lafaz “jauh dalam benak hatiku, saya cintakan awak”. Dia tak faham apa-apa emosi manusia. Selama ini, Violet merupakan robot bertubuh daging. Dengan menyalurkan perasaan-perasaan baru ini kepada satu objek formal iaitu cinta, maka pandangan alam (worldview) Violet akan tampak lebih jelas:

-Melalui Luculia, dia tahu harapan sayang akan menyatukan adik beradik
-Melalui Leon, dia tahu dia rindukan mejar Gilbert
-Melalui Oscar, dia mula rasa bersalah tentang kesalahan lampaunya. Kerjanya sekarang ialah menyambung cinta manusia kepada manusia, sedangkan dia dahulu merupakan pembunuh manusia.
-Melalui Anne, dia tahu bahawa cinta antara ibu dan anak ialah cinta tersuci.

“She’ll be all alone in that huge mansion. I…I was fighting back my tears the entire time I was there”- Violet Evergarden, episode 10. Kenyataan ini mengejutkan rakan-rakannya kerana selama ini Violet merupakan perempuan yang stoik.

Melalui semua interaksi dan pengalaman Violet dalam menjadi Doll, dia sedar bahawa cinta itu sangat abstrak dan luas, tapi sangat kaya dengan makna. Mungkin Violet masih lagi naif dalam memahami cinta, mungkin juga dia masih tak faham akan konsep tersebut, tapi walau bagaimanapun Violet tahu.

Dia cuma mahu berada di sisi mejar Gilbert. Dia rindukan beliau dan sedikit demi sedikit, dia tahu dia cintakan mejar Gilbert. Gilbert ialah dunianya.

“One day, should I have managed to meet you, I had wanted to reply to your question of “why can’t you understand my feelings” and to the words “I love you”. Major, was I… was your Violet… still loved by you?”- Violet Evergarden jilid ketiga, bab 13

Pada episode terakhir VE, Violet akhirnya berjaya menaip sebuah warkah, sekeping surat terhadap mejar Gilbert, tentang apa yang dia sudah belajar. Tentang apa yang telah dilaluinya. Violet memilih untuk move on dari tragedinya dan bekerja kembali sebagai Dolls, sang penyambung hubungan antara manusia, dan juga sebagai manusia, bukan lagi mesin membunuh.

“Time heals all sorrows, gain love and no worries
Cause nothing is more precious than love, noble, faithful
She’s as pure as the driven snow
Oh, dear heart’s so sweet”-Petikan lirik Violet Snow, lagu tema VE. Lagu ini membawa mekasud Violet akhirnya memahami emosi dan mara meninggalkan tragedinya.

P/S: Kisah ini akhirnya ditamatkan secara bittersweet. Di penghujung cerita, Violet telah dikehendaki oleh seorang klien, di mana berdasarkan klu dan petunjuk oleh anime berkenaan, berkemungkinan besar ialah mejar Gilbert kesayangannya sendiri. Berbanding anime, novel ringan VE diakhiri dengan mejar Gilbert kembali ke pangkuannya semasa kes rampasan keretapi oleh puak pemberontak.

Gambar: Ilustrasi pertemuan Violet dan mejar Gilbert pasca rampasan keretapi.

RUJUKAN:

Bedford, Errol, 1957. “Emotions,” Proceedings of the Aristotelian Society, 57: 281–304.

Nietzsche, F. W. (2000). The birth of tragedy. Oxford University Press, USA.

Emotion. https://plato.stanford.edu/entries/emotion/?PHPSESSID=8aeee86ea5fc86fa908442643ba66e11#2

Why Tragedy Is Good For Humanity. https://classicalwisdom.com/tragedy-poetics/


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Alkisah diceritakan tentang pemuda, yang berdua tiadalah bertiga, yang berjasad dan bertumbuh, juga mempunyai sahabat dalam tubuh. Sebagai seorang pelajar Bioteknologi di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Kuantan, Ammar dan sahabatnya, A sentiasa berganding bahu dalam mencari erti kewujudan alam, cuba mengkagumi ciptaan Tuhan melalui kaca mata sains biologi dan falsafah. Impian terbesar mereka adalah untuk menghampiri Ilmu Mutlak, kerana akal yang tak berisi tiadalah dibau kasturi, melainkan debu nista yang berbau jebat.

Comments are closed.