Bila kita menonton siri filem Jason Bourne yang dibintangi pelakon terkenal Matt Damon, kita sudah tahu aksi dan kisah yang dipaparkan amat mendebarkan. Ia satu kisah bagaimana seorang perisik dan pembunuh yang kehilangan memori bergelut dengan kisah silam yang tidak diketahuinya sambil dikejar pihak berkuasa seluruh dunia. Dalam kehidupan sebenar, kita ada versi sebenar Jason Bourne tetapi mereka bukanlah perisik seperti digambarkan dalam filem dan novel Robert Ludlum. Mereka hanyalah orang biasa yang menjadi mangsa permainan licik Agensi Perisikan Pusat (CIA) atas tujuan keselamatan negara di bawah kod: MKUltra.

Bagi peminat siri filem Jason Bourne tetapi tidak biasa dengan MKUltra, biar saya terangkan sedikit. Ia merupakan satu program rahsia CIA semasa Perang Dingin bagi menangani ancaman komunisme dari blok Komunis ketika itu. Program ini lahir dari kebimbangan kepimpinan Langley yang tertanya-tanya bagaimana Rusia menjadikan tentera-tentera Amerika yang ditawan semasa Perang Korea boleh mengeluarkan komen-komen memuji ideologi komunisme dan mengecam cita-cita ‘imperialis’ Amerika di Semenanjung Korea. Bagi CIA, ini sesuatu yang membimbangkan dan perlu ditangani dengan segera.

Justeru, Allan Dulles yang juga pengarah pertama Agensi mengarahkan eksperimen dijalankan dengan segera pada tahun 50-an dan 60-an. Kebanyakan yang menjadi ‘tikus makmal’ eksperimen ini langsung tidak tahu mereka sebenarnya sebahagian daripada eksperimen zalim Langley kerana menyangka ia hanya satu eksperimen perubatan biasa. Jika ada yang menyertai secara ‘sukarela’ sekalipun, ianya bersifat bersyarat. Contoh bagi para banduan yang menyertai eksperimen MKUltra, sebagai pertukaran kepada penyertaan mereka, hukuman penjara dikurangkan selama beberapa tahun atau mendapat lebih banyak keistimewaan di penjara. Tetapi bagi mana-mana individu yang berada dalam keadaan paling lemah seperti pesakit mental, mereka ibarat lembu yang sudah disediakan untuk disembelih.

Jika anda sangka eksperimen MKUltra ini hanya tertumpu di Amerika Syarikat sahaja, anda salah. Mereka juga memberikan geran kepada sesetengah penyelidik di beberapa universiti di Kanada bagi menjalankan eksperimen tersebut. Salah seorang yang dianggap bersubahat dengan eksperimen kejam Langley ini ialah mendiang Dr Ewen Cameron. Cameron merupakan bekas ahli psikiatri di Institut Memorial Alan, Universiti McGill bertanggungjawab mengendalikan eksperimen MKUltra dengan dana CIA pada tahun 1950-an dan 1960-an. Jika dianalisis motifnya, dia melihat eksperimen ini sebagai cubaan untuk mempengaruhi minda subjek dan memasukkan kelakuan baru pada minda subjek.

Pesakit-pesakit mental yang diselia di bawah MKUltra akan dikenakan terapi kejutan elektrik beberapa kali dalam sehari. Selain itu, mereka turut diletakkan keadaan koma di bawah pengaruh dadah bukan dalam tempoh beberapa hari atau seminggu tetapi boleh berlanjutan kepada berbulan-bulan. Dan dadah popular yang digunakan saintis dan penyelidik MKUltra ialah LSD di mana dos yang dikenakan melebihi dos yang dibenarkan. Selepas berjaya mengembalikan mereka dalam keadaan minda seperti kanak-kanak, adakalanya membuang semua kemahiran asas seperti memakai pakaian atau mengikat tali kasut, Cameron akan cuba memprogram semula minda subjek-subjeknya dengan menghantar mesej bertubi-tubi ke minda mereka.

Ini dilakukan dengan memainkan rakaman pesanan-pesanan kadangkala selama 16 jam pada satu-satu masa. Mesej pertama dimainkan menyentuh berkenaan kekurangan mereka sebelum diikuti mesej berbaur positif. Mesej-mesej ini dimainkan berulang kali kepada subjek di mana dalam sesetengah kes dimainkan sebanyak 500,000 kali. Sekiranya merasakan mesej yang dihantar tidak sampai kepada subjek, Cameron memaksa mereka memakai topi keledar American football yang dipasang dengan speaker. Ini menyebabkan pesakit-pesakit yang tidak berdosa ini mengalami gangguan bunyi yang dahsyat sehingga mereka menghentak kepala mereka ke dinding. Melihat cara tersebut tidak berkesan, dia meletakkan mereka dalam keadaan koma di bawah pengaruh LSD di mana mereka diperdengarkan mesej-mesej tersebut semasa tidur.

Pesakit-pesakit di bawah seliaan Cameron turut terdedah kepada penderaan seksual terutama membabitkan kanak-kanak. Ini didedahkan sendiri oleh penulis Andrew Goliszek menerusi buku In the Name of Science: A History of Secret Programs, Medical Research, and Human Experimentation. Dalam buku tersebut, beliau mendedahkan sesetengah pesakit tidak berdosa ini dirakam mengadakan hubungan seksual dengan pegawai tinggi kerajaan yang ada kaitan dengan MKUltra. Ia dikatakan sebahagian daripada rancangan mereka untuk mengugut pegawai-pegawai terlibat untuk meneruskan penghantaran dana membabitkan eksperimen berkenaan.

Pada tahun 70-an, Program MKUltra berakhir selepas didedahkan dalam satu sesi pendengaran kongres pada tahun 1974. CIA yang sudah terganggu dengan skandal Watergate yang membawa kepada penyingkiran Richard Nixon sebagai perisik mengarahkan semua fail berkenaan MKUltra termasuk operasi mereka di Kanada dimusnahkan pada tahun 1973 oleh pengarah Richard Helms. Tetapi 20,000 fail diletakkan secara tidak sengaja di bangunan lain dan tidak dimusnahkan seperti diarahkan Helms. Kewujudannya didedahkan oleh mendiang Laksamana Stansfield Turner yang membawa kepada pendedahan skala ngeri eksperimen dan kesannya kepada individu-individu terlibat. Turner ketika itu berkhidmat sebagai pengarah agensi semasa era Presiden Jimmy Carter. 20,000 fail ini mengandungi pelbagai nama terlibat termasuk Cameron yang mati semasa mendaki gunung pada tahun 1967.

Masyarakat Kanada hanya mengetahui projek sebegini selepas satu pendedahan yang dibuat oleh sebuah rancangan berita CBC, The Fifth Estate. The Fifth Estate menjelaskan eksperimen MKUltra secara panjang lebar termasuk pembabitan beberapa institusi awam termasuk Universiti McGill dan individu seperti Cameron dalam eksperimen tersebut. Selain itu, Ottawa juga menyedari kewujudan eksperimen ini di Kanada dan menyerahkan dana sebanyak $500,000 kepada para penyelidik untuk meneruskan eksperimen kejam mereka. Namun, ini menjejaskan usaha mangsa-mangsa MKUltra di Kanada mendapatkan penyelesaian memuaskan di mahkamah terutama yang berhasrat mahu menyaman CIA. Ini menyebabkan mereka terpaksa berpuas hati dengan penyelesaian luar mahkamah sebanyak $100,000 kepada 127 mangsa yang terkesan dengan MKUltra.

Sehingga kini dan ya sehingga era pentadbiran Donald Trump dan Justin Trudeau, dua kerajaan bahalul ini masih enggan mengakui apa yang dilakukan agensi perisikan masing-masing adalah salah dan enggan memohon maaf kepada mangsa yang terlibat. Bahkan, Kanada juga berusaha mengelak perkara ini dari terus menjadi tumpuan umum dengan sedia mengadakan penyelesaian di luar mahkamah dengan klausa larangan pendedahan penyelesaian kepada khalayak umum. Tindakan ini dilihat untuk menghindar tindakan waris dari bercakap kepada pihak media dan menceritakan perihal MKUltra dan kesan pada keluarga mereka. Namun, itu tidak menghalang lebih ramai individu dan waris mangsa terlibat dari terus mengenakan tekanan bukan saja kepada Ottawa tetapi juga Washington berkenaan isu ini.

Antara individu terkesan dengan eksperimen MKUltra di Kanada:

1. Jean Steel, seorang wanita yang mengalami masalah kemurungan selepas melahirkan anak dimasukkan ke program Institut Allen yang dikendalikan Cameron pada tahun 1957. Keluarganya menyangka masalah kemurungannya dapat ditangani kerana percaya dengan kepakarannya. Selepas dibenarkan keluar, keadaannya sudah tidak sama lagi. Waris Steel iaitu anak perempuannya Allison Steel mendapat pampasan penyelesaian luar mahkamah sebanyak $100,000 dengan syarat tidak mendedahkan syarat penyelesaian.

2. Helene McIntosh, seorang wanita yang keluar masuk Institut Allen selama dua tahun untuk merawat masalah kemurungan pasca-kelahiran anak selepas melahirkan anak kedua. Selain masalah kemurungan, McIntosh juga pada ketika itu turut mengalami masalah perkahwinan. Ramai menyangka kemasukannya ke Institut Allen dapat membantu meredakan masalah kemurungan yang dihadapinya. Tetapi semasa anak perempuannya Diane dan suaminya melawatnya di situ, mereka melihat Helene dalam keadaan khayal kerana diberi dos dadah yang tinggi. Diane yang berusia lima tahun ketika itu sudah tahu ada sesuatu tidak kena di Institut Allen.

3. Semasa mengandungkan Lloyd Schirier, ibunya selalu menemui Cameron untuk temujanji mingguan bagi memeriksa tahap kesihatannya dan kandungannya. Semasa mengandungkannya, selama sembilan bulan dalam bilik yang digelar bilik tidur, ibunya kehilangan berat badan dan diberi dos dadah yang banyak. Hanya selepas berjumpa dengan pakar-pakar lain terutama selepas kelahiran Schirier, barulah ibunya kembali normal.

4. Velma Orlikow dimasukkan ke Institut Allen pada tahun 1956 untuk merawat masalah kemurungan pasca-kelahiran anak. Selepas tiga tahun berada di Institut Allen, dia bukan lagi wanita yang dikenali keluarganya. Mindanya terperangkap dalam minda seorang kanak-kanak dan sudah tidak boleh menggunakan tandas seperti orang normal. Selepas mendapat rawatan berterusan dari doktor-doktor, dia kembali pulih tetapi trauma dari eksperimen Cameron terus menghantuinya sehingga ke akhir hayat.

Ini bukan kisah seram tahap Hantu Kak Limah, Ju-On atau The Conjuring. Ini kisah seram sebenar, kisah di mana sebuah agensi kerajaan mempergunakan orang awam terutama kelompok yang mudah terjejas sebagai tikus makmal sebuah eksperimen di mana ia langsung tiada asas saintifik. Malah, ia lebih tepat jika ia diklasifikasikan bukan saja sebagai satu bentuk kezaliman dan pencabulan hak asasi manusia tetapi juga satu bentuk penyeksaan berbentuk mental yang tidak sepatutnya diharungi oleh mana-mana manusia tidak kira sama ada watak fiksyen seperti Jason Bourne atau orang awam seperti saya dan anda.

SUMBER

1. Kassam, Ashifa. (2018). The Guardian. The toxic legacy of Canada’s CIA brainwashing experiments: ‘They strip you of your soul’. https://www.theguardian.com/world/2018/may/03/montreal-brainwashing-allan-memorial-institute

2. McKeown, Bob, Cashore, Harvey dan Ellenwood, Lisa. (2017). CBC. Trudeau government gag order in CIA brainwashing case silences victims, lawyer says. https://www.cbc.ca/news/canada/canadian-government-gag-order-mk-ultra-1.4448933

3. CTVNews. (2018). Victims of alleged LSD brainwashing experiments in Montreal plan to file lawsuit. https://www.ctvnews.ca/canada/victims-of-alleged-lsd-brainwashing-experiments-in-montreal-plan-to-file-lawsuit-1.3938614

4. The Scotsman. (2006). Stunning tale of brainwashing, the CIA and an unsuspecting Scots researcher. https://www.scotsman.com/lifestyle/stunning-tale-of-brainwashing-the-cia-and-an-unsuspecting-scots-researcher-1-466144


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Comments are closed.